Sunday, January 31, 2010

Kikislah kepercayaan hanya BN mampu memerintah

Oleh: Mohd Nasir Awang

Harus diakui betapa amat sukar melihat Barisan Nasional (BN), khususnya Umno berubah, terutama dalam sikap dan layanannya terhadap parti-parti lawan. Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa kes pertikaian pemberian wang ihsan kepada Kelantan yang sedang hangat diperkatakan kini adalah contoh terkini berhubung tabiat buruk BN itu.

Keengganan BN mengiktiraf hak negeri Kelantan mendapatkan royalti ke atas penghasilan petroleum di luar pantai negeri itu sudah dimaklumi. Sementara pertikaian undang-undang dan perlembagaan berhubung letak duduk perkara itu tertakluk kepada kebijaksanaan setiap pihak menafsir dan menghuraikannya, di sana turut terserlah manipulasi kuasa dan strategi jahat BN terhadap parti lawannya.

Apatah lagi sejak negeri itu mula diperintah PAS hampir dua dekad lalu BN yang memerintah kerajaan Pusat sering membelakangi sikap demokratik dan semangat federalisme dalam berurusan dengan Kelantan. Tempoh itu dipenuhi segala macam penafian pelbagai peruntukan kewangan dan sabotaj politik BN terhadap negeri tersebut, termasuk penyaluran minyak Kelantan ke Kedah melalui wilayah Pattani.

Apa yang dilakukan BN itu mengesahkan kata-kata orang bahawa mengharapkan parti itu meninggalkan tendang terajang politik cara lampau adalah lebih payah daripada menunggu kucing bertanduk atau menyaksikan gajah masuk ke lubang jarum.

Biar pun betapa lantang suara menuntut BN berganjak dari sikap primitif itu, kelantangan itu gagal berakhir dengan pencapaian sepatutnya. Tiada perubahan signifikan yang dapat dibuat terhadap cara dan kaedah politik diamalkan BN, sejak dulu hingga kini.

Parti itu terbukti masih selesa dengan politik cara lampau, terutama cara mereka berfikir. Di antara fahaman yang dipegang kuat BN dan diterapkan sedapat mungkin ke dalam minda rakyat ialah kepercayaan kononnya hanya BN yang mampu memerintah negara dengan baik.

Hanya BN didakwa boleh menganjurkan pembangunan dan kemajuan. Hanya parti itu yang berupaya menjamin keselamatan negara dan masa depan rakyatnya.

BN seolah-olah tidak pernah diberitahu bahawa ada pendapat mengatakan pegangan yang memutlakkan keupayaan kepada hanya satu-satu pihak sebegitu sudah boleh dikategorikan sebagai khurafat. Sedangkan secara logiknya pun sebagai umat Islam kita dapat merasionalkan betapa karut dan sesatnya sesuatu pegangan yang memutlakkan kuasa berbuat sesuatu ke atas makhluk.

Kendati pun penilaian itu masih terdedah kepada perbahasan dan pertikaian lebih terperinci, kedegilan BN mempertahankannya dilihat tidak konsisten dengan perkembangan zaman dan anjakan minda rakyat. Mendendangkan lagu lama dengan lirik serupa sambil mengharapkan rakyat terus menyokong BN adalah taktik ketinggalan zaman.

Begitu juga, memaksa rakyat menerima pegangan kononnya hanya BN yang mampu membuat kebaikan untuk negara seolah-olah memperkecilkan kecerdikan rakyat membuat penilaian. Sepatutnya dengan beberapa episod kekalahan demi kekalahan dialami BN dalam siri pilihan raya kebelakangan ini sudah cukup untuk menyedarkannya tentang tahap rakyat berfikir.

Ia sebenarnya isyarat jelas dari rakyat yang menolak hegemoni kuasa BN disamping menampakkan bahawa minda rakyat sudah banyak beranjak. Lebih-lebih lagi generasi muda di negara ini semakin terdedah kepada nilai-nilai sejagat seperti memperjuangkan hak asasi manusia dan menuntut institusi kerajaan yang lebih telus dan bertanggungjawab.

Malangnya, setakat ini BN tidak menampakkan ia mengambil pengajaran berguna dari isyarat diberikan rakyat itu. Ia kekal dengan kaedah berfikir cara kuno dan bertindak cara primitif. Ia terus menindas dan menafikan hak asasi parti lawan. Ia juga masih selesa memaksa rakyat menerima hanya BN mampu membuat itu dan ini.

Sebab itu rakyat dapat mendengar hujah sama dijadikan sandaran utama mewajarkan tindakan BN menolak hak kerajaan Kelantan menguruskan wang hasil minyaknya. Selain aspek perundangan dan perlembagaan, BN turut mengaitkan tindakannya meneruskan pemberian wang ihsan dengan pertikaian atas keupayaan kerajaan negeri mengurustadbir kewangannya.

Dalam usaha meredakan kemarahan rakyat Kelantan di atas pengkhianatan BN merampas hak mereka itu, BN tampil dengan nada memujuk. Kata mereka,  BN bukan merampas hak rakyat Kelantan, tetapi hanya menidakkan hak PAS untuk mengurus wang milik rakyat itu. Kata mereka lagi, BN hanya mengambil alih tugas kerajaan negeri mengurusnya bagi memastikan ia benar-benar dibelanjakan untuk manfaat rakyat Kelantan.

“Kami lebih pandai, jauh lebih pandai (dari BN). Kami tak ada rasuah, stadium dan masjid tidak pernah runtuh. Yang menyebabkan runtuh itu kerana tidak pandai,” tempelak Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, sepertimana dipetik akhbar pada Selasa (26 Januari) lalu.

Beliau dipercayai mengulas kenyataan Timbalan Menteri Kewangan, Senator Dato’ Dr Awang Adek Hussin mengenai perkara itu sebelumnya. Menurut Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan itu, Kerajaan Pusat tidak memberi wang royalti kepada kerajaan negeri kerana bimbang cara pengurusan kerajaan PAS itu.

Lalu bagi menguruskannya satu jawatankuasa pengagihan wang ihsan akan ditubuhkan di bawah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan. Bagi menampakkan keterbukaan BN, Dr Awang Adek turut mencadangkan kerajaan negeri menghantar wakilnya di dalam jawatankuasa tersebut.

Satu soalan mudah yang banyak diajukan rakyat ialah, apakah kerajaan Pusat akan membuat keputusan serupa sekiranya Kelantan di bawah BN? Bagi saya soalan itu sebenarnya bukan bertujuan mengetahui jawabannya, kerana ia telah pun dimaklumi umum. Ia bahkan lebih kepada satu sindiran mengenai sikap BN yang tidak demokratik dan primitif itu.

Hakikatnya, rakyat sudah kenal hati budi BN. Parti itu tidak boleh terus memperbodohkan rakyat kononnya hanya ia mampu memerintah negara.

(Artikel ini disiarkan tabloid mingguan Siasah Bil: 0185, 31 Januari 2010 dengan tajuk "Unsur khurafat di sebalik wang ihsan Kelantan")

No comments:

Post a Comment