Sunday, January 10, 2010

Naikkan harga bahan kaedah baru pencegah keburukan?

Oleh: Mohd Nasir Awang

Keputusan kerajaan menaikkan harga runcit gula di pasaran tempatan bermula 1 Januari tidak lah begitu mengejutkan. Dengan kenaikan itu, harga runcit baru gula di Semenanjung ditetapkan pada RM1.65 sekilogram, manakala di Sabah dan Sarawak RM1.75 sekilogram.

Meski pun ia mencetuskan sedikit reaksi tidak senang, terutama dari kalangan pengguna pukal bahan pemanis itu, kenaikannya bagai sudah dijangkakan. Kebelakangan ini rakyat sudah semakin kalih dengan peningkatan beban hidup.

Justeru ada yang secara sinis mengaitkan kenaikan harga gula minggu lalu dengan slogan yang diulangsebut para pemimpin kerajaan, “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”. Kata mereka, memang sering menjadi tabiat kerajaan mendahulukan rakyat untuk menanggung beban dan kesan peningkatan apa-apa kos ekonomi.

Meski pun sinis, luahan dibauri kekecewaan rakyat itu agak berasas. Apatah lagi serentak dengan kenaikan harga gula, pada tarikh sama juga berkuatkuasa kenaikan harga rokok dan roti putih. Harga minimum sekotak rokok 20 batang ditetapkan pada RM6.40, manakala harga roti putih naik sehingga 40 sen sebuku.

Sementara kenaikan harga roti dilaporkan ekoran penarikan balik subsidi kerajaan ke atas produk berkenaan, kenaikan harga rokok pula lebih banyak dikaitkan dengan usaha kerajaan membendung penyakit-penyakit diakibatkan amalan merokok.

Tentunya tidak sukar bagi mana-mana manusia berakal untuk mengutamakan kesihatan diri. Bahaya amalan merokok sudah dimaklumi umum. Manfaat tabiat itu hampir tiada, selain sekadar melepaskan ketagihan dan mempertahankan ego penghisapnya.

Tidak ramai yang merungut tentang kenaikan harga rokok. Saya kira jumlah mereka tidak seramai yang terkesan oleh kenaikan harga roti. Bagaimana pun isu kenaikan harga makanan berasaskan gandum itu tertimbus oleh isu harga gula.

Media dan para pemimpin kerajaan lebih berminat mengulas isu gula. Ada laporan menyebut kenaikan harganya didorong kenaikan harga gula mentah di pasaran antarabangsa. Fakta itu bagaimana pun kurang dibualkan. Para pemimpin dan media sebaliknya lebih banyak mengulas kenaikan harga bahan itu di atas hujah kesihatan.

Pelbagai pihak, termasuk para pemimpin kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan berkaitan kesihatan dan persatuan pengguna sepakat melabelkan gula sebagai bahan makanan yang banyak mendatangkan mudarat kepada rakyat. Paparan media mengenai statistik penyakit-penyakit bahaya disebabkan pengambilan gula berlebihan menguatkan lagi hujah mewajarkan tindakan kerajaan menaikkan harga gula.

Statistik pada 2009 menunjukkan 17 peratus daripada 27 juta penduduk Malaysia menghidap diabetes. Data 2006 pula mencatatkan 21 peratus rakyat negara ini mengalami kegemukan manakala 6.2 peratus menghadapi masalah obesiti.

Ia dikaitkan dengan tabiat pengambilan gula secara purata oleh seorang penduduk negara ini sebanyak 26 sudu teh sehari, berbanding hanya tujuh sudu yang disyorkan.

Di atas hasrat membasmi tabiat pemakanan yang memudaratkan itu, pelbagai pihak  mengalu-alukan harga gula dinaikkan. Mereka dapat menerima secara logik kenaikan harga gula akan menekan rakyat mengurangkan penggunaannya, sekali gus membantu mengurangkan risiko penyakit-penyakit berkenaan.

Tidak syak lagi pihak paling gembira dengan penerimaan rakyat itu ialah para pemimpin kerajaan. Mereka seolah-olah dihadiahkan hujah dan alasan paling kukuh merasionalkan tindakan mereka kali ini. Jika sebelum ini setiap kenaikan harga runcit bahan keperluan rakyat menyebabkan bantahan meluas, suasana amat berlainan tergambar dalam isu gula kini.

“Pada saya tidak ada logiknya kerajaan keluarkan subsidi hampir RM1 bilion untuk subsidi satu bahan makanan yang boleh mendatangkan mudarat pada rakyat,” media 4 Januari lalu memetik ulasan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Apakah kenyataan itu sebagai bayangan bahawa Najib sudah berkira-kira untuk menghapuskan terus subsidi gula suatu ketika nanti? Jika rakyat dapat merasionalkan hujah beliau itu, besar kemungkinan perkara itu akan direalisasikannya.

Buat masa ini kerajaan masih menanggung subsidi sebanyak 80 sen sekilogram gula. Maka rakyat perlu bersedia dengan kemungkinan membayar harga RM2.45 sekilogram sekiranya Barisan Nasional (BN) masih memerintah selepas pilihan raya umum nanti.

Saya melihat itulah antara mesej dan isyarat silap yang dihantar rakyat tatkala menerima dengan baik kenaikan harga gula. Kita bagaikan menemui satu kaedah baru mengatasi sesuatu tabiat buruk, iaitu dengan menaikkan harga bahan yang menjadi punca keburukan itu. Gula dikatakan punca utama diabetes dan obesiti. Lalu bagi mencegah penyakit itu, kita terima kenaikan harga gula dengan harapan rakyat akan mengurangkan penggunaannya.

Alasan serupa diterima baik dalam kes rokok. Namun, selepas ini rakyat wajar berfikir pula, apa lagi yang ‘memudaratkan’ selain gula dan rokok? Antara catatan paling menakutkan ialah statistik kemalangan jalan raya. Punca utama peningkatannya ialah kerana peningkatan jumlah kenderaan.

Maka jika diambil logik dalam kes kenaikan harga gula, jumlah kenderaan di jalan raya perlu dikurangkan. Barangkali salah satu alasan kerajaan menaikkan harga minyak sebelum ini ialah kerana itu, ya? Andaiannya, kenaikan kos bahan bakar mengurangkan jumlah kenderaan di atas jalan, sekali gus menurunkan risiko berlakunya kemalangan pula. Apakah andaian itu berlaku?

Tidak mustahil juga alasan loyar buruk serupa akan dimanipulasi untuk merasionalkan kenaikan tarif elektrik nanti. Kononnya apabila kadar tarif lebih tinggi, ia akan mendorong rakyat lebih berhemah dan berjimat dalam penggunaan tenaga.

Kesediaan rakyat menerima hujah dan alasan sebegitu sebenarnya ibarat memberikan “lesen besar” kepada kerajaan untuk merasionalkan kenaikan apa juga kos kehidupan rakyat selepas ini.

(Artikel ini disiarkan tabloid mingguan Siasah, Bil: 182, 10 Januari 2010 dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment