Friday, January 8, 2010

Utamakan pendidikan kesihatan, bukan menghukum rakyat

oleh: Mat Zain Mat Isa

Ada sekurang-kurangnya dua kemusykilan utama yang wajar dirungkaikan dari alasan diberikan kerajaan untuk menaikkan harga gula di pasaran tempatan minggu lalu. Berkuatkuasa 1 Januari, harga runcit bahan pemanis utama makanan dan minuman itu dinaikkan sebanyak 20 sen sekilogram. Dengan kenaikan itu, harga runcit baru gula di Semenanjung ditetapkan pada RM1.65 sekilogram, manakala di Malaysia Timur RM1.75 sekilogram.

Walau pun pada awalnya ada laporan menyebut kenaikan itu diwajarkan oleh kenaikan harga gula mentah di pasaran antarabangsa, alasan itu tidak begitu mendapat perhatian. Para pemimpin negara sebaliknya lebih selesa mengulas kenaikan harga bahan itu berkisar perspektif kesihatan.

Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak, malah seakan menemui hujah sangat kukuh merasionalkan tindakan kerajaannya kali ini. Dalam satu kenyataan disiarkan media pada Isnin (4 Januari) lalu, beliau melabelkan gula sebagai bahan makanan yang banyak mendatangkan mudarat kepada rakyat.

“Malah, pada saya tidak ada logiknya kerajaan keluarkan subsidi hampir RM1 bilion untuk subsidi satu bahan makanan yang boleh mendatangkan mudarat pada rakyat,” katanya.

Sehubungan itu beliau mengajak seluruh rakyat mengubah cita rasa dengan mengurangkan  kadar pengambilan gula dalam minuman dan makanan. Katanya, langkah itu perlu memandangkan jumlah penduduk negara ini yang menghidap penyakit diabetes adalah antara yang tertinggi di dunia.

Statistik pada 2009 menunjukkan 17 peratus daripada 27 juta penduduk Malaysia menghidap diabetes. Laporan sebelum ini menyebut secara purata seorang penduduk negara ini mengambil 26 sudu teh gula sehari. Jumlah itu adalah amat tinggi berbanding hanya tujuh sudu teh sehari yang disyorkan.

Selain diabetes, pengambila gula secara berlebihan juga dikaitkan sebagai punca utama masalah kegemukan dan obesiti. Satu data pada 2006 pula mendapati 21 peratus rakyat negara ini mengalami kegemukan manakala 6.2 peratus lagi menghadapi masalah obesiti.

Di atas hasrat membendung kecenderungan memudaratkan rakyat itu, pelbagai pihak  termasuk persatuan pengguna dan badan kesihatan tampil mengalu-alukan langkah terbaru kerajaan itu. Bagi mereka langkah menaikkan harga gula akan membantu mengurangkan risiko penyakit-penyakit berkenaan.

Sementara para pemimpin kerajaan kelihatannya telah mampu bernafas lega apabila sebilangan pihak itu senada dan seirama dengan mereka, kelegaan serupa tidak begitu dinikmati rakyat terbanyak selaku pengguna. Selain terpaksa menanggung lebihan kos dalam sajian seharian, mereka juga dibayangi kebimbangan akan berlakunya kenaikan harga makanan dan minuman diproses.

Kegusaran rakyat agak berasas berdasarkan rekod lalu. Meski pun kerajaan memberi amaran, kelemahan penguatkuasaan sering mendorong adanya peniaga dan penjaja degil yang sewenang-wenang mengambil kesempatan menaikkan harga bahan jualan mereka. Itulah fenomena yang berulangkali berlaku saban kali kenaikan bahan mentah seperti gula, beras, gandum dan seumpamanya.

Terasing daripada hakikat itu, tanda tanya turut timbul berkenaan kewajaran alasan diberikan kerajaan itu. Pertama, apakah langkah menaikkan harga gula dipastikan kaedah paling berkesan mencegah penularan masalah kegemukan, obesiti atau diabetes? Tidakkah ia lebih cenderung ke arah menghukum rakyat selaku pengguna, bukannya mendidik mereka mengenai tabiat pemakanan?

Sepatutnya rakyat lebih banyak didedahkan dengan kesedaran kesihatan dan pengetahuan mengenai tabiat pemakanan yang sihat. Jumlah gula paling ideal untuk diambil seseorang setiap hari itu elok disertakan dengan perkiraan jumlah kandungan gula dalam pelbagai makanan yang mereka ambil.

Rasanya buat masa ini, pendidikan kesihatan dibekalkan kepada rakyat masih belum sampai ke tahap sepatutnya. Maka sekadar mengatakan kurangkan pengambilan gula adalah seruan mudah, tetapi tidak menjamin keberkesanannya.

Kerajaan juga perlu tampil dengan tindakan bersepadu dalam menangani penyakit-penyakit disebutkan tadi. Perlu ada keseragaman tindakan pelbagai pihak dan kementerian, terutama dalam menentukan jenis makanan di pasaran selamat dan tidak memudaratkan rakyat. Kerajaan perlukan keberanian mengharam atau menghadkan pengeluaran sesuatu jenis makanan, minuman atau manisan yang dibuktikan lebih banyak memudaratkan kesihatan berbanding manfaatnya.

Kemusykilan kedua, apakah pengambilan gula satu-satunya penyebab kepada obesiti dan diabetes? Setahu kita, antara pantang larang utama bagi seseorang penghidap obesiti mahu pun diabetes ialah pengambilan nasi dan makanan berkanji secara berlebihan.

Ertinya, kedua-dua penyakit itu bukan hanya disebabkan pengambilan gula tebu bertapis secara berlebihan. Ia sebenarnya lebih banyak kembali kepada tabiat pemakanan seseorang serta sistem pencernaan dan perembesan enzim badan mereka.

Justeru, agak mengelirukan apabila kerajaan sebegitu mudah menghukum rakyat selaku pengguna, bukannya menggandakan pendidikan kesihatan ke atas mereka. Bukankah hal itu  tidak bertepatan dengan pendirian Najib sendiri yang sebelum ini (dalam kes hukum sebat terhadap model yang bersalah meminum arak) menekankan keutamaan mendidik dan mentarbiyah, bukannya menghukum?

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1503, 8 Januari 2010 di ruangan 'fokus', F16 dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment