Sunday, January 24, 2010

Sanngupkah BN tinggalkan politik cara lampau?

Oleh: Mohd Nasir Awang

Timbalan Perdana Menteri merangkap Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin memang ada sebab yang sangat wajar untuk menaruh kebimbangan tentang masa depan Umno dan Barisan Nasional (BN). Sebagai pemimpin yang mewarisi teraju setelah partinya mengalami kekalahan paling buruk dalam sejarahnya, sudah tentu tanggungjawab memulihkan kembali kekuatan dan kewibawaan BN/Umno turut sama digalasnya.

Di atas kesedaran dan hasrat itu, maka dalam banyak ucapan dan kenyataannya Muhyiddin kerap mendesak dilakukan perubahan dalam partinya. Malah kelantangannya menyuarakan hal itu menarik perhatian umum seusainya pilihan raya umum lalu. Beliau antara pemimpin paling berani menuntut agar Tun Abdulllah Ahmad Badawi mengundur diri dari parti mahu pun kerajaan.

Sehinggakan pernah pada suatu ketika Muhyiddin menjadi bahan kecaman dan kritikan kalangan pendokong Umno sendiri. Beliau dianggap gopoh dan terlalu mendesak apabila menuntut perubahan pucuk pimpinan partinya dilakukan segera. Sedangkan ketika itu Abdullah sudah pun mengumumkan pelan peralihan kuasa kepada timbalannya, Datuk Seri Najib Razak.

Muhyiddin bagaimana pun berpandangan sebarang penanggguhan atau kelengahan atas peralihan itu akan merencatkan usaha memulihkan segera kekuatan Umno/BN. Beliau agak bertuah apabila perubahan dituntutnya itu berlaku lebih awal daripada dirancangkan.

Lebih bermakna lagi, penyerahan jawatan parti dan kerajaan oleh Abdullah kepada Najib turut sama melonjakkan Muhyiddin satu anak tangga dalam hierarki kepimpinan partinya.

Namun suara menuntut perubahan itu tidak dihentikannya setakat itu. Selaku orang nombor dua dalam parti dan kerajaan, kini Muhyiddin memanfaatkan kedudukannya menjadi pendesak utama perubahan. Beliau malah melangkah lebih jauh apabila turut mengisyaratkan kepada parti-parti komponen BN lain agar turut berubah bersama Umno.

Ahad (17 Januari) lalu, tuntutan serupa sekali lagi disuarakannya. Beliau mengingatkan partinya agar sentiasa peka terhadap perubahan semasa dan tuntutan-tuntutan baru rakyat. Baginya hanya dengan kepekaan itu membolehkan Umno/BN kekal relevan dan terus mendapat sokongan rakyat.

“Umno dan BN kena berkembang seiring dengan minda rakyat Malaysia. Kita tidak boleh terikut cara lampau kerana walau pun ia tidak semestinya salah, mungkin rakyat kini tidak dapat terima,” akhbar memetik katanya.

Muhyiddin turut mengakui keadaan kini amat berbeza dengan era beberapa dekad lalu. Sebagai contoh, katanya, generasi muda di negara ini semakin terdedah kepada nilai-nilai sejagat seperti memperjuangkan hak asasi manusia dan menuntut institusi kerajaan yang lebih telus dan bertanggungjawab. Hal ini berbeza dengan generasi terdahulu yang lebih sayang dan hormatkan Umno kerana masih terikat dengan nostalgia kemerdekaan negara.

Kita mengucapkan syabas kepada Umno, khususnya Muhyiddin kerana telah semakin berpijak di bumi nyata. Minda mereka nampaknya semakin dapat menerima apa yang selama ini disuarakan pihak lain, terutamanya parti-parti lawan BN.

Maksud saya, soal taktik lapuk BN memperkotak-katikkan minda rakyat telah sekian lama tidak disenangi pembangkang. Sudah menjadi tabiat BN memanfaatkan kekuatan kewangan dan kelebihan sebagai kerajaan untuk memanipulasi apa juga bentuk sumbangan dan bantuan yang dihulurkannya untuk memancing sokongan rakyat.

Hakikat sebegitu paling ketara tatkala berlangsungnya mana-mana pilihan raya, sama ada umum atau pun kecil. Umpan projek segera, janji pembangunan, huluran bantuan dan keprihatinan yang “melebih-lebih” seakan sinonim dengan aktiviti jentera pilihan raya BN.

Walau pun BN merasakan kaedah itu penting untuk memastikan sokongan rakyat dan kemenangannya, tidak semua ketika ia berakhir seperti diharapkan. Ada ketikanya BN tetap ditolak rakyat walau pun ia mencurah dan membanjirkan kawasan pilihan raya dengan pelbagai limpahan kebaikan.

Maka semakin banyak pihak menyimpulkan bahawa rakyat sudah semakin cerdik dan dapat menilai apakah BN benar-benar ikhlas membantu mereka atau sekadar memancing undi mereka. Minda rakyat malah turut digilap agar melihat taktik kempen cara lapuk BN itu sebenarnya satu bentuk penghinaan terhadap tahap minda rakyat. Seolah-olah BN masih menganggap rakyat terlalu dangkal politik dan mudah dibeli dengan umpan kebendaan.

Mesej itu sudah acapkali diantar rakyat kepada BN. Namun kedunguan dan kedegilan para pemimpinnya bagaikan menyumbati telinga mereka daripada menerima hakikat bahawa minda rakyat telah beranjak.

Sebab itu kita dapat melihat BN hingga kini masih dibelenggu minda lapuk yang tidak mampu menerima perbezaan sikap dan pendirian. Rakyat, terutama penjawat awam dan penerima sesuatu bantuan kerajaan kerap dipaksaan taatsetia kepada BN.

Kebebasan dan hak individu untuk memilih kecenderungan politik masing-masing masih tersekat. BN kekal mengongkong minda rakyat dengan menapis maklumat dan membataskan peluang pihak lain menyampaikan pandangan kepada rakyat.

Amalan diskriminasi dan pilih kasih, sama ada di atas perbezaan kaum, agama mahu pun kecenderungan politik adalah satu lagi warisan politik cara lampau. Ia masih kekal diamalkan segenap peringkat organisasi parti dan kerajaan BN.

Kes yang mendapat ulasan meluas media dua minggu lalu berkenaan isu penafian peruntukan pembangunan oleh kerajaan kepada Ahli Parlimen pembangkang satu lagi contoh sikap primitif BN. Begitu juga soal sekatan kewangan dan sabotaj pembangunan oleh kerajaan Pusat terhadap negeri-negeri diperintah Pakatan Rakyat.

Pendekata masih terlalu banyak sudut dan aspek yang perlu diubah BN sekiranya Muhyiddin ikhlas melihat perubahan minda dalam partinya. Soalnya, mampukah BN meninggalkan cara politik lampau itu? Jika tidak, maka Muhyiddin memang ada sebab wajar untuk bimbangkan masa depan partinya.

(Artikel ini disiarkan tabloid mingguan Siasah, Bil: 184, 24 Januari 2010, dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment