Sunday, January 17, 2010

BN silap cara hargai kegigihan penjawat awam

Oleh: Mohd Nasir Awang

Agak sukar dimengertikan apakah kebijakan yang tersemat di fikiran para pemimpin negara di sebalik segala tindakan mereka yang semakin membebankan kehidupan rakyat kebelakangan ini. Meski pun ada mereka kemukakan hujah ekonomi dan rasional kebertanggungjawaban rakyat untuk sama-sama memikul peranan membangunkan negara, wajar juga diakui sebilangan keputusan dibuat kerajaan mutakhir ini amat bercanggah dengan slogan ‘rakyat didahulukan’ yang mereka sendiri laungkan.

Disedari atau tidak, antara golongan paling terkesan oleh perubahan ‘layanan’ kerajaan ialah khalayak penjawat awam. Mereka yang saban tahun ditradisikan dengan berbagai insentif kewangan dan kelebihan sebagai kakitangan kerajaan kini berhadapan keadaan sebaliknya. Satu demi satu perkara yang selama ini mereka nikmati sebagai keistimewaan untuk penjawat awam kini semakin terhakis oleh himpitan perbelanjaan kerajaan.

Kita tidak perlu mengundur terlalu jauh ke belakang untuk meneliti perkara ini. Kedatangan Idulfitri lalu boleh dijadikan titik mula perbincangan. Secara tradisi sambutan hari raya umat Islam itu diiringi dengan hilai tawa rakyat, terutama penjawat awam.

Jika pun tidak saban tahun, di kebanyakan ketika ketibaan hari lebaran itu dilimpahi pemberian bonus raya oleh kerajaan. Ia membuatkan golongan pemakan gaji ini tersenyum hingga ke pipi. Malah kesempatan itu juga sering dimanipulasi para penjuak Barisan Nasional (BN) untuk menguar-uar dan mengulang sebut kebaikan dan kemurahan hati kerajaan.

Malangnya, suasana amat berbeza menjelang Idulfitri lalu. Tiada lagi bonus dari kerajaan untuk kesemua penjawat awam. Yang diberikan hanyalah bayaran khas kewangan sebanyak RM500 kepada kakitangan kumpulan sokongan sahaja. Ada pun penjawat awam kategori lain hanya terkulat-kulat, ibarat menantikan buah yang tidak gugur.

Lalu mereka menaruh harapan pula sesuatu yang lebih bermakna bakal diumumkan kerajaan lewat belanjawan negara 2010. Para penjuak BN di segenap lapisan masyarakat juga tidak berputus asa meyakinkan kenalan masing-masing bahawa kerajaan tidak akan mensesiakan khidmat bakti penjawat awam.

Malang lagi, setelah antara mereka ada yang sanggup mengunci pandangan dan pendengaran ke arah kaca tv yang menyiarkan secara langsung pembentangan belanjawan oleh Perdana Menteri, kalimah “bonus tahunan” yang sangat dinanti-nantikan mereka tidak juga kedengaran.

Kerajaan hanya mengumumkan bayaran khas RM500 kepada penjawat awam gred 41 hingga 54 yang dijadualkan bayarannya Disember lalu. Sebelum itu bayaran serupa diumumkan hanya untuk kumpulan sokongan.

Tiada ganjaran kewangan lebih besar untuk penjawat awam. Bonus sebulan, apatah lagi dua bulan gaji, sepertimana pernah mereka terima sudah menjadi nostalgia. Keistimewaan itu yang selama ini menceriakan kehadiran tahun baru mereka tidak lagi diutamakan kerajaan.

Belum pun kemurungan akibat ketiadaan bonus tahunan itu menyusut, para penjawat awam dipaksa berhadapan karenah lain pula. Rasanya tiada ketua keluarga yang tidak terbeban tatkala bermulanya sesi baru persekolahan. Kelengkapan untuk anak-anak ke sekolah adalah suatu yang wajib disediakan, sama ada berduit atau tidak.

Duit RM500 diberikan kerajaan terlalu jauh dari mengusai keperluan itu. Untuk membeli sehelai selendang isteri pemimpin negara pun belum tentu cukup, inikan pula untuk kelengkapan persekolahan lima-enam anak?

Sementara beban menyediakan keperluan itu dirasai semua rakyat, sebilangan peraturan diamalkan pihak sekolah pula menjadi beban tambahan khusus untuk penjawat awam. Berbagai bentuk bantuan disediakan sekolah untuk murid dan pelajar yang mensyaratkan nilai pendapatan tertentu oleh ibu bapa mereka secara tidak langsung mewujudkan ruang “pilih kasih” terhadap penjawat awam.

Bagi mereka yang berpendapatan melebihi jumlah tertentu, anak-anak mereka tidak layak menerima bantuan tersebut. Jika sebelum ini isu berkenaan timbul berkaitan bantuan buku teks, rancangan makanan tambahan (RMT), skim baucer tuisyen dan berbagai lagi, kini isu paling hangat diperkatakan ialah mengenai yuran makan pelajar yang tinggal di asrama.

Pekeliling Kementerian Pelajaran berhubung perkara itu yang diedarkan tahun lalu menyebutkan bahawa ibu bapa atau penjaga berpendapatan RM5,000 ke atas perlu membayar yuran makan RM3 sehari berbanding keluarga berpendapatan RM4,999 ke bawah yang dikekalkan bayarannya RM1 sehari seperti sebelum ini.

Sepintas lalu ada pihak menganggap wajar diambil kira jumlah pendapatan penjaga sebelum melayakkan pelajar menerima bantuan. Bagaimana pun menilai keupayaan kewangan penjaga semata-mata berdasarkan jumlah gaji bulanan bukan lah kaedah adil menentukan tahap bebanan ditanggung mereka.

Beban kewangan sebenar keluarga terbabit harus diperhalusi. Misalnya, sebuah keluarga dengan pendapatan ibu bapa berjumlah RM6,000 tetapi memiliki tanggungan tujuh anak sedang menuntut belum tentu lebih kukuh kewangannya berbanding yang berpendapatan RM4,000 dengan hanya tiga anak bersekolah.

Isu lebih utama di sini ialah bagaimana kerajaan menghargai kegigihan penjawat awam. Apakah semata-mata kerana jumlah pendapatan ibu bapa melebihi tahap tertentu, maka anak-anak mereka tidak wajar diberikan bantuan tertentu?

Diura-urakan juga warga pendidik yang berusaha menambah pendapatan dengan menjadi pengawas peperiksaan awam dan penanda kertas peperiksaan tidak lagi dibenarkan membuat tuntutan perjalanan. Mereka hanya dibayar elaun tugasan sahaja.

Ura-ura kerajaan mahu menghapuskan elaun kos sara hidup penjawat awam (Cola) juga kedengaran, konon bagi menjimatkan perbelanjaan negara.

Dengan segala perkembangan yang semakin membebankan penjawat awam itu, tidak salah jika mereka bertanya apakah itu cara terbaik BN membalas khidmat bakti mereka kepada negara?

(Artikel ini disiarkan tabloid mingguan Siasah, Bil: 183, 17 Januari 2010 dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment