Friday, January 29, 2010

Tiada maaf atas rampasan royalti Kelantan

oleh: Mat Zain Mat Isa

Bersandarkan hujah dan pendirian yang tidak sukar dirasionalkan, kerajaan negeri Kelantan menolak tawaran menyertai jawatankuasa pengagihan wang ihsan. Menteri Besarnya, Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat pada Ahad (24 Januari) menegaskan pihaknya sama sekali tidak akan menerima sebarang rundingan mengenai pemberian wang ihsan oleh kerajaan Pusat sebagai ganti royalti petroleum yang dituntut kerajaannya.

Malah katanya, beliau tidak akan memenuhi sebarang jemputan atau membenarkan mana-mana wakil daripada kerajaan negeri menduduki jawatankuasa berkenaan.

“Kalau dijemput semata-mata untuk menerima wang ihsan, saya tidak akan pergi dan (tidak akan) benarkan, seratus peratus kerajaan Kelantan akan tolak,” akhbar pada Isnin memetik katanya.

Nik Aziz dipercayai mengulas kenyataan Timbalan Menteri Kewangan, Senator Dato’ Dr Awang Adek Hussin mengenai perkara itu sehari sebelumnya. Menurut Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan itu, satu jawatankuasa pengagihan wang ihsan akan ditubuhkan di bawah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan. Ia bertujuan mengenalpasti kaedah terbaik menyalurkan wang tersebut kepada negeri itu.

Bagi menampakkan keterbukaan dan supaya Barisan Nasional (BN) dianggap telus dan serius membincangkan persoalan pembangunan rakyat Kelantan, maka Dr Awang Adek bercadang melantik wakil kerajaan negeri di dalam jawatankuasa tersebut. Secara luarannya alasan disebutkan ialah agar kerajaan negeri turut terlibat memberi pandangan dan pendapat berhubung penyaluran wang tersebut.

Namun maksud politik yang tersirat di sebalik keterbukaan itu tidak wajar diketepikan. Paling tidak pun nantinya, ditakdirkan berlaku apa-apa di kemudian hari, maka lebih mudahlah bagi BN untuk berkata bahawa semua keputusan yang dibuat jawatankuasa berkenaan adalah keputusan bersama antara BN dan PAS.

BN akan mengeksploitasi kehadiran wakil kerajaan negeri. Ia akan mendakwa kerajaan Kelantan telah diberi ruang menyatakan pendirian atau membuat cadangan mereka mengenai pengagihan wang ihsan itu. Makanya, sebarang kesilapan atau kelemahan atas perkara itu nantinya tidak wajar dipersalahkan seratus peratus atas BN sahaja.

Bahkan pendekatan “terbuka” BN itu lebih bermaksud mengalihkan perbincangan isu sebenar yang menjadi fokus pertikaian. Isu pokok ialah apakah rakyat Kelantan berhak ke atas wang ihsan sahaja atau royalti sepenuhnya?

Pendirian kerajaan negeri dalam pertikaian ini adalah jelas. Mereka mendakwa berhak diberikan royalti, bukannya wang ihsan. Apa yang dibuat BN malah dianggap suatu perampasan terhadap hak negeri.

“Saya tidak akan terima wang ihsan dan saya akan beritahu pada rakyat semua, (Kerajaan) Pusat telah merampas, mencuri, menyamun harta (royalti) Kelantan,” kata Dato’ Nik Aziz lagi.

Oleh kerana BN mempertahankan pendirian menolak pemberian royalti, maka segala hujahnya dirasionalkan ke arah pengagihan wang ihsan. BN sangat gigih membina persepsi umum bahawa keputusan pemberian wang ihsan itu sebagai bukti kecaknaannya terhadap Kelantan.

Malah ada pemimpin BN yang agak gusar melihat kemarahan rakyat terhadap penafian itu tampil memutar belit kenyataan. Kata mereka, BN bukan bertindak terhadap rakyat Kelantan, tetapi hanya menidakkan hak PAS untuk mengurus wang milik rakyat itu. Hujah itu disertakan pula dengan berbagai pertikaian atas keupayaan kerajaan negeri mengurustadbir kewangannya.

Cerita-cerita palsu mengenai kegagalan PAS mengurus negeri ditokok-tambah bagi menguatkan hujah mengapa wang itu tidak patut diserahkan kepada kerajaan negeri. Kata mereka, BN hanya mengambil alih tugas kerajaan negeri mengurusnya bagi memastikan ia benar-benar dibelanjakan untuk manfaat rakyat Kelantan.

Di sinilah terserlah hujah loyar buruk BN. Dunia tidak boleh lari daripada hakikat bahawa sebagai pengundi, rakyat Kelantan telah membuat pilihan siapa yang mereka mahu sebagai pemimpin. Sebuah kerajaan negeri yang sah telah terbentuk hasil pilihan rakyat secara demokratik.

Dalam beberapa pilihan raya sejak 1990, mereka memilih PAS sebagai peneraju kerajaan. Sepatutnya semua pihak menghormati keputusan rakyat itu. BN pula tidak sepatutnya buat muka tak malu dan masih menganggap ia layak mengurus sesuatu yang menjadi milik rakyat, sedangkan ia telah ditolak rakyat Kelantan sejak dua dekad lalu.

Rakyat telah kenal hati budi BN. Rakyat tersangat maklum dengan rekod penyelewengan dan salah guna kuasa mereka. Rakyat sudah tidak nampak kewajaran menyerahkan pengurusan wang milik negeri kepada mereka itu.

Tindakan BN mempertahankan penyaluran wang ihsan sebagai ganti royalti petroleum adalah satu perampasan hak rakyat Kelantan. Dato’ Nik Aziz malah turut menganggapnya sebagai perbuatan mencuri dan menyamun.

Maka jika pun BN ikhlas mempelawa Kelantan menghantar wakil ke dalam jawatankuasa wang ihsan itu, ia tidak mampu membersihkan kedurjanaan dibuatnya. Ia sekadar ibarat sekumpulan penyamun yang baru selesai merompak rumah anda kemudian mengajak anda untuk ikut serta bersama mereka berbincang secara terbuka tentang bagaimana mahu diagihkan hasil rompakan itu. Demi Alllah, sandiwara itu amat menghinakan dan tidak wajar dimaafkan!

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1509, 29 Januari 2010 di ruangan EDITORIAL, N4 dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment