Monday, January 11, 2010

Belanja berhemah, komitmen atau justifikasi bebankan rakyat?

oleh: Mat Zain Mat Isa

Harus disimpulkan bahawa Barisan Nasional (BN) yang menguasai tampuk pemerintahan negara kini berhadapan saat sukar memenuhi tuntutan perbelanjaan mengurus kerajaan. Meski pun para pemimpinnya cuba menyembunyikan hakikat itu, jauh sekali untuk memperakuinya, bunga-bunga permasalahan itu bagaikan tidak dapat diselindungkan lagi.

Tindak-tanduk dan butir cakap mereka banyak mengisyaratkan keadaan kewangan kerajaan kini agak kritikal. Bagi meringankan kerajaan, dalam banyak keadaan beban kewangan itu dipindahkan ke atas rakyat.

Sebab itu setiap kali kerajaan mengumumkan kenaikan harga barangan keperluan utama rakyat, ia sering disertakan dengan seruan klise agar rakyat berjimat cermat. Diselitkan juga pengakuan bahawa kerajaan sudah tidak mampu menampung pembiayaan subsidi barangan berkenaan. Ia disusuli janji menyalurkan wang dijimatkan di situ kepada perkara lain yang bakal memberikan manfaat lebih besar kepada rakyat.

Bukankah itu antara hujah BN tatkala menaikkan harga runcit petrol dan diesel dulu? Rakyat dijanjikan dengan nikmat pembangunan lebih baik menggunakan hasil penjimatan subsidi minyak itu, terutama penambahbaikan sistem pengangkutan awam. Setakat ini berbaloikah apa yang rakyat dapat dari janji manis itu? Sepadankah ia dengan beban tambahan dipikul semua pemilik kenderaan?

Dalam nada lebih apologetik dan menagih simpati, BN cuba meredakan bantahan rakyat dengan mengajak rakyat berkongsi membina negara. Mereka yang sebelum ini membuat segala keputusan berhubung perbelanjaan negara tanpa menanyakan terlebih dahulu kepada rakyat, tiba-tiba menurunkan status selaku penguasa rakus dan boros.

Kata mereka, rakyat perlu berganding bahu bersama kerajaan memikul beban perbelanjaan negara. Kononnya perkongsian bijak rakyat-kerajaan akan memudahkan usaha memulihkan ekonomi negara. Untuk itu rakyat perlu bersedia menyerap sebahagian kos kenaikan harga barang keperluan mereka.

Begitulah mudahnya pemimpin membina persepsi dan mencari justifikasi. Apabila rakyat menerima rasional itu dan tidak membantah apa juga penambahan beban dan kos sara hidup mereka, ia bagai menghadiahkan hujah dan alasan paling kukuh merasionalkan tindakan kerajaan, sama ada menaikkan harga barang, mengurangkan subsidi mahu pun menarik balik sesuatu peruntukan.

Selain minyak, kerajaan sebelum ini turut menarik balik sebahagian subsidi ke atas harga beras. Kononnya pembiayaan subdisi makanan ruji itu merugikan negara dan tidak menepati hasrat membantu rakyat tidak berada apabila harga sama turut dinikmati warga asing dan golongan kaya.

Awal bulan ini pula, kerajaan menarik balik subsidi roti putih, menyebabkan kenaikan harganya sehingga 40 sen sebuku. Turut dinaikkan ialah harga runcit gula yang disifatkan Perdana Menteri sebagai “satu bahan makanan yang boleh mendatangkan mudarat pada rakyat”. Berbekalkan hujah itu, beliau juga mempersoalkan di mana logiknya kerajaan meneruskan subsidi gula.

Dalam ertikata lain, ada kemungkinan ia dihapuskan sepenuhnya suatu ketika nanti. Yalah, jika rakyat dapat merasionalkan hujah beliau itu, apa lagi masalah bagi kerajaan merealisasikannya?

Banyak pihak melihat penerimaan baik rakyat terhadap kenaikan harga gula sebagai isyarat silap terhadap tindakan kerajaan itu. Ia bagaikan memberi justifikasi besar kepada kerajaan meneruskan tindakan menambahkan beban kewangan negara ke atas rakyat, satu demi satu.

Jangan lupa serentak dengan kedatangan tahun baru juga bermulanya sesi baru persekolahan. Di sana terpambang beberapa lagi “pemindahan” beban kewangan dari kerajaan ke atas bahu ibu bapa. Kita dimaklumi meski pun kerajaan menetapkan yuran tahunan pada kadar RM24.50 untuk sekolah rendah dan RM33.50 bagi sekolah menengah, jumlah yang terpaksa dibayar ibu bapa di kebanyakan sekolah jauh lebih tinggi. Kononnya ia untuk aktiviti mempertingkatkan pengajaran dan pembelajaran.

Beberapa nikmat dan kemudahan diterima pelajar dan warga pendidik sebelum ini sama ada diperkecilkan peruntukannya atau ditiadakan. Antaranya, penamatan skim tuisyen percuma.

Diura-urakan juga pegawas peperiksaan awam dan penanda kertas peperiksaan tidak lagi dibenarkan membuat tuntutan perjalanan. Mereka hanya dibayar elaun tugasan sahaja. Ura-ura kerajaan mahu menghapuskan elaun kos sara hidup penjawat awam (Cola) juga kedengaran.

Di tengah-tengah gambaran kesesakan itulah kerajaan tampil dengan seruan berjimat-cermat. Kabinet dalam mesyuarat mingguannya pada Rabu (6 Januari) memutuskan supaya semua kementerian, jabatan dan agensi kerajaan melaksanakan perbelanjaan berhemah, terutama berhubung masalah penentuan kos pembinaan dan pewujudan sesuatu projek.

Menilai segala hujah dan alasan kerajaan di sebalik kenaikan kos hidup rakyat sebelum ini, apakah keputusan kerajaan untuk berhemah dalam perbelanjaannya itu bermaksud menggambaran komitmen menjimatkan wang negara atau sekadar gimik menjustifikasi tindakan-tindakan kerajaan terus membebankan rakyat? Kita harap jangan pula berbekalkan seruan berbelanja secara berhemah itu nanti, maka penerimaan rakyat atas usaha itu dimanipulasi untuk mengurangkan segala macam bantuan, peruntukan dan subsidi yang selama ini menjadi nikmat rakyat.

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1504, 11 Januari 2010 di ruangan EDITORIAL, N4 dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment