Sunday, January 3, 2010

Himpunan GKPPNS, sukarnya nafikan penglibatan Umno

Oleh: Mohd Nasir Awang
 
Kalau tidak kerana rekod cemerlang Umno dalam kerja-kerja sabotaj terhadap parti lawan sangat dimaklumi umum sejak sekian lama, sudah tentu tidak mudah bagi mana-mana pihak mengaitkan parti itu sebagai dalang perhimpunan “penyokong PAS” di Selangor minggu lalu.

Apatah lagi kepakaran perang saraf dimiliki Umno dan keberkesanan taktik adu domba digunapakainya sudah diakui kawan dan lawan. Justeru, walau pun pemimpin parti itu tampil menafikan penglibatan mereka dalam merancang tindakan yang cuba memalukan PAS Selangor itu, tidak banyak pihak yang mampu menerimanya.

Ahad (27 Disember) lalu sekumpulan yang menggelarkan mereka sebagai Badan Bertindak Gerakan Kesedaran Penyokong dan Pengundi PAS Negeri Selangor (GKPPNS) mengadakan perhimpunan di hadapan Pejabat Badan Perhubungan PAS Selangor di Shah Alam. Media melaporkan kumpulan dianggotai sekitar 20 orang itu berhasrat menyerahkan memorandum mendesak agar PAS keluar daripada Pakatan Rakyat (PR).

Dalam kenyataannya kepada media, jurucakap GKPPNS memaklumkan desakan itu dibuat ekoran wujud rasa tidak puas hati penyokong akar umbi PAS dalam banyak hal melibatkan kerjasama dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

“Kita tidak mahu PAS dipermain-mainkan oleh PKR dan DAP dalam membuat keputusan melibatkan pentadbiran negeri termasuklah dalam menangani isu-isu sensitif melibatkan kepentingan Melayu dan Islam,” akhbar memetik kenyataan jurucakap tersebut.

Beliau turut memaklumkan pihaknya menyenaraikan 13 perkara dalam memorandum tersebut bagi mewajarkan desakan agar PAS keluar daripada pakatan pemerintah negeri itu.

Memorandum itu bagaimana pun gagal diserahkan kepada pemimpin PAS Selangor. Semacam sudah disengajakan, kumpulan itu memilih berhimpun pada hari Ahad bilamana pejabat PAS memang ditutup untuk cuti hujung minggu. Hairan juga kita memikirkan bagaimana mungkin penyokong PAS tidak tahu waktu operasi pejabat parti mereka sendiri?

“Kita (PAS Selangor) akan siasat sama ada mereka ahli PAS atau tidak. Jika mereka ahli PAS, kita akan ambil tindakan disiplin. Kita sebenarnya tidak tahu adanya perhimpunan ini dan tiada pemimpin PAS negeri yang terlibat menyokong perhimpunan ini,” ulas Ketua Penerangan PAS Selangor, Roslan Shahir Datuk Mohd Shahir.


Di atas hakikat itu juga kebanyakan pemimpin PAS tidak menganggap mereka yang berhimpun itu dari kalangan ahli parti itu.

“Itu (perhimpunan GKPPNS) kerja orang Umno, bukannya ahli PAS”, demikian reaksi spontan Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

Katanya, ahli PAS mahu PR diperkukuhkan dan jauh sekali memilih untuk mengeruhkan lagi kesepakatan gabungan itu.

Pendirian serupa disuarakan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Dato’ Harun Taib. Perhimpunan itu diyakininya sebagai perancangan politik didalangi Umno dalam usaha parti itu merampas pemerintahan Selangor.

Agak kebetulan, perkara itu seakan telah terlebih dahulu dinafikan pemimpin Umno Selangor. Sehari sebelum berlakunya perhimpunan itu, Datuk Noh Omar seolah-olah telah membayangkan partinya akan dipersalahkan atas kekecohan yang cuba diwujudkan dalam kerajaan PR negeri itu.

“Mereka (PR) bergaduh sesama sendiri, tetapi tuduh Umno macam-macam. Rakyat tidak akan tertipu dengan alasan mereka,” katanya yang optimis Umno akan merampas Selangor pada pilihan raya umum nanti.

Penafian serupa kemudiannya turut dibuat Ketua Pemuda Umno Selangor, Suhaimi Mohd Ghazali. Beliau sebaliknya membayangkan kemungkinan perhimpunan itu sebagai inisiatif PKR yang didakwanya berhasrat melihat PAS keluar dari pakatan itu.

Siapa pun anggota perhimpunan itu dan pihak mana pun yang mendalangi tindakan mereka, ia perlu diakui sebagai usaha terancang untuk mencalarkan imej PAS Selangor dan menggugat keutuhan PR negeri itu. Sudah tentu jika itu natijah tindakan mereka, agak sukar diterima ia digerakkan kalangan pendokong PR sendiri, sama ada dari PAS atau PKR.

Apatah lagi kelicikan Umno dalam menghakis sokongan rakyat terhadap PR, termasuk melagakan sesama pendokong parti lawan, bukan suatu yang sukar diakui. Jangan lupa rekod penglibatan Umno dalam beberapa kejadian seumpama itu sebelum ini.

Siri demonstrasi membantah tindakan dan keputusan kerajaan negeri-negeri diperintah PR acapkali berlaku di Kelantan, Pulau Pinang, Selangor dan Kedah. Ia sempat berlaku di Perak ketika masih di bawah PR. Ia juga pernah berlaku di Terengganu sewaktu diperintah PAS dahulu.

Ada antara perhimpunan haram itu dibuat atas nama Pemuda Umno atau gabungan Pemuda Barisan Nasional (BN). Kadang-kadang wajah Umno berselindung di sebalik pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tertentu yang mereka kuasai. Ada juga ketikanya mereka bersembunyi di sebalik kumpulan rakyat atau badan bertindak penduduk bertujuan menangani sesuatu isu tertentu.

Bagaimana pun cubaan mereka berselindung itu terzahir juga. Ibarat cubaan menyembunyikan bangkai gajah di sebalik nyiru, jika tidak kelihatan sekali pun, bau busuknya tetap akan diketahui juga.

Penglibatan aktivis dan pendokong Umno di belakang tabir bukan setakat mendalangi demonstrasi dan bantahan terhadap kerajaan PR. Parti itu juga mahir mereka cipta dan mengobarkan isu-isu yang membangkitkan rasa benci rakyat terhadap parti lawan.

Pengalaman PAS cukup banyak berhadapan mainan saraf Umno. Pernah orang PAS dituduh mengkafirkan Umno, sedangkan hakikat sebenar yang berlaku ialah orang Umno dakwa orang PAS tuduh Umno kafir.

Jangan lupa sekumpulan ulama Umno juga pernah ‘menyamar’ menjadi pemimpin PAS dan mengadakan debat olok-olok antara mereka bagi mencari hujah benarkah perjuangan Umno menyimpang dari ajaran Islam.

Berbekalkan rekod cemerlangnya memanipulasi taktik dan strategi jahat sebegitu untuk memfitnah parti lawan, Umno jangan salahkan orang lain jika didakwa menjadi dalang himpunan di Selangor, Ahad lalu.

(Artikel ini disiarkan tabloid mingguan Siasah, Bil: 181, 3 Januari 2010, dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment