Monday, February 1, 2010

Pengalaman pilu bahana wang ehsan Terengganu

oleh: Mat Zain Mat Isa

Bersalahan dengan apa yang difahami sebilangan pihak, pengagihan wang ehsan sebenarnya bukan faktor utama kekalahan PAS di Terengganu pada 2004 lalu. Meski pun bahana wang ehsan amat dirasai ketika itu, ada beberapa faktor lain yang menyumbang peratusan lebih besar kepada kejatuhan kerajaan Barisan Alternatif (BA) itu.

Pihak yang mengatakan wang ehsan sebagai penyebab utama kekalahan PAS beranggapan parti itu kalah kerana kemerosotan sokongan pengundi. Mereka mendakwa ekoran Program Pembiayaan Wang Ehsan (PPWE) dilancarkan BN menyebabkan rakyat yang pada 1999 lalu mengundi PAS/BA beralih kepada BN pada 2004.

Hakikatnya, meski pun jumlah undi diperolehi kesemua calon PAS dan Parti Keadilan Nasional (Keadilan) merosot, peratusannya terlalu kecil, iaitu sekitar hanya lima peratus. Bagi sebilangan calon yang menang besar pada 1999, jumlah itu masih terlalu jauh untuk menyebabkan kekalahan mereka.

Apa yang berlaku pada 2004 ialah ekoran peningkatan luar biasa pada perolehan undi calon-calon parti lawan. Undi popular BN menokok sekitar 72 peratus. Ia dipercayai datang dari pemilih yang baru mendaftar.

Peratusan penambahan pemilih baru dalam tempoh 1999-2004 di Terengganu sebanyak 15.04 peratus adalah yang kedua tertinggi dalam negara selepas Selangor (15.96%). Peratusan keluar mengundi di Terengganu juga yang tertinggi di seluruh Malaysia.

Pun begitu, faktor berkenaan tidak begitu digema riuhkan orang. Sama ada BN mahu pun BA sebaliknya lebih cenderung memfokuskan faktor utama penentuan politik ketika itu ialah wang ehsan. Gemariuh cerita pengagihannya turut disemarakkan jentera saraf BN. Ke mana pun anda pergi di Terengganu ketika itu, perkataan paling popular dibualkan rakyat bawahan ialah wang ehsan.

Keadaan digambarkan sangat memilukan buat PAS/BA ketika itu apabila sekumpulan demi sekumpulan penyokongnya tewas kepada penangan wang berpuaka itu. Cerita sebegitu diperbesarkan lagi menerusi manipulasi media talibarut BN.

Ia meletakkan PAS/BA secara psikologi dalam keadaan defensif. Sudah lah sebagai kerajaan negeri PAS merasa hak ke atas royalti minyak dicabul, di masa sama pula BN yang “merompak” wang itu tersenyum sinis membahagi-bahagikannya di hadapan mata.

Lebih memilukan ialah apabila kekangan kewangan dihadapi kerajaan negeri tidak memungkinkan PAS mengatasi taburan kebendaan dibuat BN. Namun bagi mendepani serangan wang ehsan itu, tidak sedikit masa dan peruntukan kewangan dihabiskan PAS.

BN telah berjaya dalam strateginya menjadikan rakyat Terengganu begitu obses dengan kalimah “wang ehsan”. Apabila PAS turut terikut menari dengan paluan gendang BN itu, maka fokus kepada beberapa perkara lain yang lebih asas sedikit terjejas.

Antaranya termasuklah soal semakan dan bantahan daftar pemilih tadi. Sehinggakan penambahan pemilih baru dalam jumlah sebegitu banyak seakan tidak disedari PAS, termasuk oleh para petugas yang dikhususkan memantau perkembangannya.

Kini, cerita wang ehsan masih diperkatakan orang. Jika di Terengganu ia sudah bertukar menjadi bahan percakaran antara sesama penjuak dan pemuka BN di kampung-kampung yang berebut mengambil kesempatan mengisi tembolok masing-masing, di Kelantan pula kedatangan wang ehsan baru di peringkat pertikaian awal. Rakyatnya masih belum difahamkan sepenuhnya tentang hakikat sebenar wang tersebut.

Rencana ini ditulis pada tengahari Khamis (28 Januari). Malam nanti dijadualkan satu perhimpunan raksasa membiacarakan soal itu di Stadium Sultan Mohamad IV, Kota Bharu. Boleh jadi di masa rencana ini menemui pembaca, tahap kefahaman rakyat Kelantan mengenai hakikat wang ehsan, khususnyabagi yang menghadiri perhimpunan itu, telah semakin baik.

Apatah lagi dalam banyak keadaan sebelum ini rakyat Kelantan dikatakan sangat bijak dan matang berpolitik. Mereka ada sikap politik yang dikatakan lebih ke hadapan berbanding rakyat negeri lain, termasuk jirannya Terengganu.

Antaranya ialah daya ketahanan mereka yang sukar digugat oleh segala macam umpan dan tipu daya politik BN. Sebab itu pernah ada ungkapan bagi menggambarkan jatidiri mereka yang berbunyi, “beri gula, kacau; beri lembu, heret; beri kain, pakai; beri duit, kilas; bila mengundi, pangkah bulan”.

Ertinya, mereka pada zahirnya akan terima apa bentuk sogokan politik sekali pun daripada BN, tetapi apabila tiba masa mengundi mereka tetap memilih PAS.

Tidak pasti apakah keyakinan itu masih bersebati dalam masyarakat Kelantan hingga kini. Jika jawabannya “ya”, maka rasanya tidak ada apa yang perlu dirisaukan PAS dan pendokong Pakatan Rakyat negeri itu dengan perancangan jahat BN menabur wang ehsan di Kelantan.

Namun ada pihak berkata, keadaan sudah banyak berubah kini. Kata mereka, petanda bahawa rakyat Kelantan juga sudah mula kalah dengan taburan kebendaan agak terserlah di Manek Urai tahun lalu. Hakikat itu semacam diakui beberapa pemimpin PAS yang menganalisis keputusan pilihan raya kecil.

Jika Manek Urai dianggap kejayaan BN memanipulasi kekuatan kewangannya, maka tidak mustahil dengan tercetusnya isu wang ehsan kini BN akan memanfaatkan modus operandi PPWE Terengganu di Kelantan pula. Harap-harap ia tidak akan mengulangi pengalaman pilu negeri penyu itu.

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1510, 1 Februari 2010 di ruangan 'kolumnis' F21 dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment