Sunday, August 1, 1999

CCC PAS Muncul Semula?

Oleh: Mohd Nasir Awang
 
DI PINGGIR barat Bandar Kulai, Johor, terdapat sebuah perkampungan tradisional yang dipanggil Kampung Melayu Pulau Besar. Tidak sebagaimana yang dapat difahami daripada namanya, Kampung Melayu Pulau Besar turut didiami sebahagiannya oleh rakyat Malaysia berketurunan Cina.

Sejak beberapa bulan yang lalu boleh dikatakan semua bandar dan pekan seluruh negeri Johor mempamerkan satu senario baru dalam politik negeri itu. Rata-rata orang Johor dikejutkan dengan kibaran bendera bulan berwarna putih dan hijau. Bandar Kulai juga tidak terkecuali dari fenomena itu. Tempat tumpuannya ialah di Kampung Melayu tadi.

Apa yang barangkali membuatkan Kulai berbeza daripada lain-lain bandar ialah kibaran bendera PAS di situ bukan dilakukan oleh ahli-ahli PAS sahaja. “Itu Haji punya bendera, kita yang kasi angkat,” dakwa seorang peniaga berbangsa Cina dalam lewat 40-an. Beliau membahaskan PAS sebagai ‘Haji’.

Kibaran bendera PAS di angkasa Kampung Melayu memang jelas kelihatan dari pusat bandar Kulai. Sesiapa sahaja yang berada di hentian bas atau kedai berdekatan pasti dapat melihatnya. Menurut peniaga itu lagi, sebahagian besar rakan-rakannya di situ bertekad memberikan undi kepada PAS dalam pilihan raya akan datang. “Kali ini kita mahu kasi angkat itu ‘Haji’ punya orang. Itu BN tak ada bagus!” kata beliau lagi.

Lebih kurang dalam minggu yang sama, heboh dipolemikkan di akhbar-akhbar tempatan tentang langkah PAS mendekati masyarakat bukan Islam. Pelbagai pihak mengemukakan berbagai-bagai pandangan dan ulasan.

Para pemimpin parti-parti politik yang mewakili kaum masing-masing, sama ada Cina atau India, menentang keras usaha PAS itu.  Bermacam-macam anggapan dan prasangka yang dihamburkan. Para pemimpin Umno juga tidak ketinggalan mengambil bahagian mengelirukan pemikiran rakyat bukan Islam yang sudah sedia keliru itu.

Memanglah, salah satu daripada kejahatan para pemimpin Umno yang paling nyata ialah usaha dan ucapan mereka yang sengaja menakutkan-nakutkan rakyat bukan Islam dalam negara ini terhadap Islam dan segala peraturan hidupnya.  “Sesungguhnya Umno adalah parti yang bertanggungjawab merosakkan Islam di kalangan atau pun pada mata orang bukan Islam. Umnolah yang mendakwa, kalau kamu wahai orang yang bukan Islam menerima Islam sebagai pemerintah di dalam negara ini, pelbagai anggota yang ada pada diri kamu akan dipotong,” kata Setiausaha Akhbar Menteri Besar Kelantan, Wan Ismail Jusoh.

Akibat momokan berterusan, banyak pihak menerima dakwaan palsu itu sebagai kebenaran.  Golongan Islam sering diprejudiskan sebagai ekstrim. Dengan dasar Islam yang dibawa PAS, parti itu didakwa dipenuhi sentimen perkauman yang sangat merbahaya kepada keharmonian pelbagai kaum dalam negara ini.

Untuk survival politiknya, Umno memang perlu berbuat demikian. Kekuatan Umno tidak pernah teruji di atas namanya sendiri. Kemenangan dan keupayaan Umno memerintah selama ini adalah hasil bantuan dua kaum utama negara ini iaitu Cina dan India. Kalau PAS berjaya memecahkan tembok salah faham dan prejudis antara masyarakat bukan Islam terhadap Islam, Umno akan bermasalah besar.

Sebab itu ada dakwaan bahawa Umno lebih suka orang bukan Islam kekal dalam kekafiran mereka asalkan kekafiran itu memberi undi kepada Umno/BN. Umno takut, sekiranya golongan bukan Islam ini memeluk Islam atau memahami Islam dan lebih bersikap lunak terhadap golongan yang memperjuangkan Islam, survival politik Umno akan terancam.

Langkah pendekatan PAS dengan masyarakat bukan Islam negara ini bukanlah perkara baru.  Menjelang Pilihan Raya Umum 1986, PAS mengambil pendekatan yang licin dengan masyarakat Cina. Dengan bantuan beberapa aktivis PAS berbangsa Cina, Chinese Consultative Council (CCC) ditubuhkan.

CCC berperanan seolah-olah sebagai cawangan PAS yang memberikan penerangan kepada masyarakat Cina tentang Islam dan perjuangan PAS. Nama-nama tokoh bukan Islam seperti Tan Ah Chye dan Foo Chee Thaw adalah antara yang paling aktif. Mereka seolah-olah menjadi jurucakap PAS dalam masyarakat mereka.

Di situlah mula tercetus persoalan “Ahli Bersekutu” dalam PAS. Dalam dialog dengan Pesuruhjaya PAS Kelantan, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat di Dewan Perhimpunan Cina, Kota Bharu pada 1985, seorang peserta berbangsa Cina mengemukakan cadangan agar PAS menerima orang-orang Cina sebagai ahli bersekutu.

Walau pun sokongan undi yang diperolehi PAS daripada masyarakat bukan Islam tidak begitu memuaskan, ia sekurang-sekurangnya menjadi satu titik tolak yang bermakna.  Golongan yang begitu lunak dengan PAS ini dikatakan terus-terusan mengadakan hubungan dengan PAS.

Mereka dikatakan menjadi pendesak utama agar PAS membuka keahlian kepada masyarakat bukan Islam. Mereka semacam terlalu bersedia untuk bernaung di bawah kepimpinan PAS. Lebih-lebih lagi rekod pembelaan sosial PAS terhadap bukan Islam amat meyakinkan.

Apabila Timbalan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dihukum penjara kerana membela seorang gadis Melayu bawah umur yang menjadi mangsa kerakusan pemimpin BN, PAS antara pihak yang tampil membela Lim. Bagi PAS, isu ini bukan semata-mata soal politik atau perkauman. Keadilan adalah suatu yang dituntut Islam. Ia sememangnya menjadi satu agenda dalam perjuangan PAS.

Sikap PAS dalam kes Guan Eng bukanlah yang pertama seumpamanya. Sebab, dalam tahun 1986 dulu, PAS pernah mengambil bahagian yang aktif memohon menangguhkan hukuman mati ke atas Sim Kie Chon, seorang Cina yang menerima hukuman gantung atas kesalahan memiliki senjata api tanpa kebenaran yang sah.

PAS mengemukakan rayuan terakhir kepada Yang Dipertuan Agong dan Perdana Menteri supaya hukuman gantung itu ditangguhkan atas dasar kemanusiaan dan di atas kesedaran bahawa peruntukan undang-undang yang membawa kepada hukuman itu perlu dikaji dan disemak semula.

Prinsip keadilan dan keselamatan sosial dalam pemerintahan dibuktikan secara praktikal oleh PAS melalui kerajaannya di Kelantan. Dasar Islam yang dianuti PAS sememangnya menjanjikan kesejahteraan kepada rakyat semua kaum.

Peristiwa 13 Mei 1969 menjadi contoh nyata. Ketika rusuhan memuncak di Kuala Lumpur dan bandar-bandar di negeri-negeri yang dikuasai Perikatan, bandar Kota Bharu yang pada waktu itu dikuasai PAS berada dalam keadaan tenang. Orang Cina di Kelantan adalah yang paling tenteram menghadapi susunan tegang dalam negara ketika itu.

Sejak awal pemerintahan PAS pada 1990, sudah kedengaran suara-suara masyarakat Cina di negeri itu ‘mengangkat ibu jari’ terhadap kepimpinan negeri. Mereka meluahkan rasa gembira kerana kerajaan PAS berurusan tanpa ‘duit kopi’ dan para pegawai penguatkuasanya pula bersopan dan beretika.

Masyarakat Siam di Kelantan turut diberi hak milik tanah yang mereka diami sejak beberapa generasi lalu. Kerajaan BN sebelum ini terlalu lembab menyelesaikan permohonan mereka.

Baru-baru ini pula masyarakat India di Kelantan julung-julung kali bersuara menyatakan kesediaan mereka untuk bersama PAS. Mereka, yang dikatakan kecewa dengan karenah Presiden Malaysian Indian Congress (MIC), menunggu keputusan PAS menerima keahlian bersekutu untuk masyarakat bukan Islam. 

Analisis Zulkifli Yahya terhadap keputusan Pilihan Raya Kecil DUN Pantai Merdeka, Kedah pada 1990 menguatkan lagi hujah bahawa masyarakat bukan Islam sudah menerima kepimpinan PAS. Beliau  mengulas: ‘Sokongan kuat diterima oleh PAS dalam pilihan raya ini datangnya dari pengundi-pengundi Cina di kawasan bandar yang mencatatkan sokongan lebih 50 peratus kepada PAS. Pengundi-pengundi Cina tidak segan untuk memberikan sokongan terbuka kepada PAS baik sewaktu hari-hari berkempen mahu pun pada hari mengundi.”

Cerita seorang peniaga Cina di Johor menghantar anaknya belajar di pra-sekolah tajaan PAS, Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) juga pernah disiarkan Harakah suatu ketikan dahulu.

Akhir Jun lalu, disiarkan pula berita para peneroka bandar di Sungai Kayu Ara yang terdiri daripada masyarakat India menaikkan bendera PAS di sebelah rumah mereka yang hendak dirobohkan. Ia dilihat sebagai suatu pengiktirafan dari golongan tertindas ini bahawa hanya PAS mampu membela mereka di saat begitu.

Tahniah kepada PAS atas kejayaan memenangi hati bukan Islam. Syabas kepada mereka yang bukan Islam, yang memilih untuk bernaung di bawah kepimpinan PAS. Nampaknya peniaga Cina di Kampung Melayu Pulau Besar, Kulai tidak bersendirian dalam sokongan mereka kepada PAS. Rakan-rakan mereka di Kelantan, Sungai Kayu Ara, Pantai Merdeka, bahkan di seluruh negara makin menzahirkan sokongan masing-masing.

Satu perkembangan yang sihat untuk Islam, tentunya!

(Artikel ini disiarkan majalah bulanan Detik Edisi 1 Ogos 1999 dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment