Orang Islam undi BN ada saham
Oleh Mohd Nasir Awang
MINGGU lalu, kira-kira 20 pertubuhan agama Buddha di Pulau Pinang telah
tampil menuntut permohonan maaf secara terbuka daripada Hagemeyer Marketing
Services Sdn. Bhd. berkaitan satu iklan yang mereka anggap “tidak sensitif”
terhadap penganut agama Buddha. Kumpulan berkenaan merujuk kepada satu iklan
kamera Olympus yang menampilkan seorang sami (monk) di sebelah seekor monyet
(monkey) dengan papan tanda “Please Don’t
Feed The Monkey”.
Iklan tersebut disiarkan sebuah akhbar harian berbahasa Inggeris pada 13
Ogos lalu, dua hari sebelum Maha Sanga
Dana, iaitu hari di mana para penganut agama Buddha menghadiahkan makanan
dan jamuan (offering) kepada sami
mereka. Penyiaran iklan tersebut dianggap ofensif terhadap ajaran agama Buddha.
Begitulah gambaran betapa sensitifnya manusia terhadap sebarang bentuk
penghinaan yang cuba dilakukan terhadap agama mereka. Bahkan, apa yang lebih
menarik dalam kes di atas, walau pun bantahan itu dianjurkan beberapa
pertubuhan agama, para pemimpin politik beragama Buddha dari parti-parti
kerajaan turut tidak melepaskan tanggungjawab menyatakan sokongan terbuka.
Beberapa pemimpin kanan dan Adun dari parti MCA dan Gerakan hadir bersama mereka.
Kadang-kadang kita rasa cemburu dengan kesepakatan bangsa lain dalam
mempertahankan kesucian agama mereka. Amat malang bagi umat Islam dalam negara
ini, kesepakatan itu tidak kita nikmati. Kerap berlaku sesuatu penghinaan
terhadap Islam yang tercetus dalam negara hanya mampu menarik perhatian dan
tindakan protes segelintir khalayak.
Paling menyedihkan ialah sikap para pemimpin Islam dalam kerajaan BN
(khususnya para pemimpin dan ulama Umno) yang terlalu segan untuk ikut serta
membantah sebarang isu yang menyentuh sensitiviti umat Islam.
Dalam beberapa minggu mutakhir ini, misalnya, Mahkamah Tinggi Kuala
Lumpur sedang membicarakan satu tindakan sivil yang dikemukakan oleh seorang
tokoh korporat Muslim (selaku plaintif) terhadap bekas kekasihnya, seorang wanita
bukan Islam (defendan). Dalam prosiding yang telah berjalan, plaintif tanpa
segan silu mendedahkan secara terperinci hubungan intimnya dengan defendan
sehingga melanggar had dan batasan syarak.
Lebih mengejutkan lagi, plaintif itu mengatakan apa yang penting adalah “niat
murni”nya ketika dia melakukan hubungan seks dengan defendan. Beliau menegaskan
bahawa perbuatannya itu tidak salah kerana dia memang berniat baik akan mengambil
defendan sebagai isterinya.
Agaknya, kerana terkilan dengan pendedahan berani itulah, maka Menteri
di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Paduka Dr Abdul Hamid Othman menyifatkan
pendedahan itu sebagai “sangat menyentuh perasaan umat Islam” dan “menjejaskan
keadaan dalam negara ini dari segi akhlak dan moraliti”.
Setakat itu saja komen beliau. Itu pun barangkali kerana ditanya oleh wartawan. Ada pun lain-lain pemimpin mahu pun ulama Umno tidak memberikan apa-apa komen.
Sikap membisu para pemimpin dan ulama Umno terhadap apa-apa kenyataan
yang menghina ajaran Islam sebegitu bukanlah perkara baru. Akhir Jun lalu,
seorang bekas Ketua Polis Negara yang kini menjadi Timbalan Pengerusi syarikat
judi Genting Berhad secara berani berkata, beliau tidak pernah terjumpa
sebarang ayat al-Quran yang melarang umat Islam dari melibatkan diri dalam
aktiviti perniagaan judi.
Beliau menyatakan demikian dalam perbicaraan kes pertuduhan liwat Dato’
Seri Anwar Ibrahim. Seperti yang diduga, tiada seorang pun pemimpin kerajaan
beragama Islam yang dare to speak out
mengulas kenyataan tersebut.
Kita semua tentu masih belum lupa bagaimana menjelang temasya Sukan
Komanwel ke-16 di Kuala Lumpur tahun lalu, negara digemparkan dengan iklan
jenama arak Carlsberg di badan bas dan bumbung teksi sekitar Lembah Kelang. Semuanya
gara-gara tidak ada rasa sensitif pihak pengurusan Sukom Ninety Eight Berhad,
syarikat yang diawasi kerajaan bagi mengendalikan sukan berkenaan, sehingga
tergamak menandatangani perjanjian penajaan RM5 juta dengan Carlsberg Brewery
Malaysia Berhad, syarikat pembuat minuman keras jenama Carlsberg.
Bantahan masyarakat tambah memuncak apabila Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan
Jalan (JPJ) mengiakan langkah jabatannya memberi kelulusan kepada kenderaan
awam mempamerkan iklan tersebut. Baginya, memaparkan iklan Carlsberg itu tidak
salah dan tidak bercanggah dengan peraturan pengangkutan jalan. Soal salah di
sisi ajaran Islam tidak timbul langsung.
Pada tahun 1995 lalu, Timbalan Menteri Kesihatan, yang beragama Islam,
telah membahagikan lebih 4,000 paket kondom kepada remaja di Pasar Seni, Kuala
Lumpur dalam agenda kempen ‘safe sex’ mencegah jangkitan HIV/AIDS.
Apa gunanya kondom kalau bukan untuk hubungan seks? Apakah hukumnya seks
rambang di sisi Islam? Tindakan kerajaan itu seolah-olah merestui dan
menggalakkan perzinaan di kalangan remaja. Agenda ‘kesihatan’ telah dianggap
lebih utama dan mengatasi soal halal-haram di sisi agama.
Para artis juga tidak ketinggalan terlibat dalam menghina ajaran agama
Islam. Isu adegan cium seorang artis wanita beragama Islam (kita masih ingat
namanya) dengan seorang pelakon lelaki bukan Islam dalam teater Inggeris, A Streetcar Named Desire di Auditorium
DBKL, Julai 1993 membongkar kecetekan fahaman agama di kalangan para artis.
Apabila masyarakat dan rakan artis memberi kritikan terbuka lewat akhbar
dan tv, artis wanita itu menjawab, “saya ini pelakon yang harus mengikut
kehendak pengarah sebagai pelakon yang bertanggungjawab! Lagi pun itu teater
Inggeris, biasalah begitu!”
Astaghfirullah al-Azim! Mengapa sampai mereka sebegitu berani?
Dalam setiap kes yang diutarakan di atas, setiap peribadi Islam
terbabit; tokoh korporat, timbalan pengerusi syarikat judi, Pengerusi Sukom,
Ketua Pengarah JPJ, Timbalan Menteri Kesihatan dan artis wanita, terlalu mudah
menafsirkan ajaran Islam mengikut fahaman mereka sendiri. Kod etika dan hukum
Islam telah dibelakangi. Jauh sekali untuk mereka merujuk kepada ulama dan
tokoh agama.
Dalam kebanyakan kes, para pemimpin yang beragama Islam dalam kerajaan
gagal mengambil apa-apa inisiatif untuk memperbetulkan keadaan. Kecuali dalam
kes Sukom-Carlsberg, itu pun setelah mendapat bantahan menonjol daripada
segenap lapisan masayarakat.
Lebih mendukacitakan lagi, dalam kes pembahagian kondom, kerajaan
sendiri memainkan peranan sebagai penganjur “agenda menghina” itu.
Sikap kerajaan yang sering membelakangkan ajaran Islam sedia difahami. Ia
tentunya berkait rapat dengan sikap pandang remeh ketua kerajaan itu sendiri
terhadap Islam. Bagaimana para ulama dihina dan digambarkan sebagai golongan
yang tidak kenal realiti dan masalah sebenar ummah, yang hanya ingatkan mati
dan membiarkan dunia dikuasai golongan bukan Islam.
Jawatan mufti pula dikatakan wujud “kerana keghairahan mereka yang
mendakwa diri sebagai ulama untuk membuat fatwa dan tafsiran sendiri, yang
kerap bertentangan antara satu dengan lain, yang mengelirukan umat Islam”.
Sedangkan di masa yang sama, pemimpin kerajaan itu sendiri
sewenang-wenang menafsirkan ajaran Islam mengikut selera akalnya. Dikatakannya Assalamu’alaikum dengan Selamat Pagi sama saja. Katanya lagi,
Saidina Hamzah yang syahid di Uhud tidak dimandi dan dikafankan kerana
kesukaran mendapatkan air di negara Arab (bukan kerana beliau syahid). Dan
lagi, di zaman Nabi Muhammad s.a.w. orang menyimpan janggut kerana tidak ada
pisau cukur.
Keceluparan dan keberanian para pemimpin Umno menghina ajaran Islam itu
menjadi punca utama kepada penghinaan oleh tokoh-tokoh lain dalam masyarakat. Kepimpinan Melalui Teladan lah, katakan!
Apabila seorang ketua kerajaan mempelopori kenyataan-kenyataan yang
menyinggung sensitiviti Islam, maka logiknya sudah tentu tidak pelik lagi bagi
seorang artis, atau tokoh korporat atau tauke judi untuk bercakap sesuatu yang
serong mengenai ajaran Islam.
Rakyat jangan fikir mereka tidak mempunyai saham atas segala penghinaan
terhadap Islam yang dilakukan oleh segelintir ‘orang penting’ dalam negara itu.
Keberanian seorang ketua kerajaan tidak datang begitu sahaja, sekiranya beliau
tidak mempunyai kuasa sebagai pemerintah. Sedangkan kuasa itu diperolehinya hasil
undi yang diberikan oleh rakyat dalam pilihan raya.
Setiap orang Islam yang mengundi BN ada saham atas segala penghinaan terhadap
Islam yang berlaku dalam negara ini. Bertaubatlah, dan jangan diulangi
kesilapan memangkah BN. Confirm,
pangkah PAS kali ini!
(Artikel ini disiarkan akhbar
Harakah, edisi 30 Ogos 1999 dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment