ADA beberapa sebab mengapa hasrat Kementerian Pendidikan mengambilalih urusan Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR) begitu hebat disanggah dan dipertikaikan oleh banyak pihak. Pertama, ia berkait rapat dengan alasan Menteri Pendidikan, Najib Razak, antara lain, membendung usaha pihak tertentu termasuk pembangkang menggunakan SMAR sebagai tempat menghasut pelajar membenci pemimpin kerajaan.
Kedua, diteliti rekod kebobrokan akhlak dan moral pelajar di sekolah-sekolah menengah kerajaan jelas menggambarkan kegagalan kerajaan menyediakan sistem dan kurikulum pendidikan yang mampu membentuk keperibadian Islam.
Ketiga, sikap sesetengah pemimpin Umno sendiri yang terlalu ‘rimas’ dengan kecenderungan dan minat masyarakat menghantar anak-anak ke sekolah agama menyerlahkan sikap sebenar Umno terhadap institusi pendidikan Islam itu.
Di seluruh negara, terdapat sekurang-kurangnya empat jenis sekolah agama. Masing-masing mempunyai perbezaan yang jelas dari dua aspek iaitu kurikulum dan bantuan pengurusan.
Jenis pertama, sekolah agama tradisi atau lebih selesa disebut ‘pondok’. Ia diurus secara persendirian dan menggunakan kurikulum tersendiri mengikut pengajian yang dipilih oleh mudirnya. Ia biasanya berkisar kepada pengajian kitab-kitab lama. Institusi ini banyak terdapat di Kelantan dan Kedah.
Jenis kedua, sekolah agama bantuan penuh kerajaan, sama ada kerajaan negeri atau Pusat. Aspek yang membezakan antara sekolah jenis ini dan sekolah menengah kebangsaan hanyalah dari segi menyediakan mata pelajaran bahasa Arab. Ada pun sistem pembelajaran dan guru yang disediakan adalah serupa. Mata pelajaran agama sekadar menjadi pengajian tambahan kepada kurikulum kebangsaan. Sekolah-sekolah agama di Terengganu adalah contohnya.
Jenis ketiga, sekolah menengah agama rakyat (SMAR) yang diwujudkan oleh individu atau perkumpulan dan menggunapakai kurikulum Universiti Al-Azhar, Mesir bersama-sama kurikulum kebangsaan sebagai tambahan. Keseluruhan sekolah menengah agama di Kelantan, beserta sebahagian besar sekolah-sekolah agama di Perak, Pahang dan Kedah tergolong dalam kategori ini. Ia mendapat sedikit bantuan tambahan dari Kementerian Pendidikan. Di Kelantan, sekolah-sekolah ini diletakkan di bawah pengurusan Yayasan Islam Kelantan (YIK) dan menerima bantuan penuh kerajaan negeri.
Jenis keempat, sekolah agama rakyat (SAR) yang diwujudkan pihak tertentu seperti FELDA, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) atau perkumpulan persendirian untuk menampung keperluan pendidikan agama yang asas terutama bagi murid-murid peringkat rendah. Berbeza dengan jenis terdahulu, murid-murid di sekolah ini adalah juga murid bagi sekolah-sekolah kebangsaan berdekatan. Sekolah ini hanya menyediakan beberapa mata pelajaran agama yang asas di sesi pagi atau petang.
Sungguh pun ia di bawah penyeliaan Jabatan Agama Islam Negeri, bantuan kewangan yang diterima amat minima. Ia banyak terdapat di Selangor, Negeri Sembilan, Johor dan Perak dan sering dipaparkan di akhbar dengan pelbagai masalah termasuk kekurangan guru, peralatan sekolah dan juga bilik darjah. Sehingga ada yang terpaksa menjadikan kaki lima sebagai ‘kelas’.
Perjenisan di atas wajar difahami kerana ia memudahkan masyarakat mengenalpasti punca pertikaian yang wujud kini. Ini kerana, apabila polemik pengambilalihan pengurusan SMAR tercetus Jun lalu, banyak pihak yang tidak faham institusi dari kategori mana yang dimaksudkan itu.
Apabila Najib mengisytiharkan kementeriannya akan mengambil alih secara berperingkat pengurusan kesemua 210 buah SMAR di seluruh negara, sudah tentu beliau tidak bermaksud mengambil alih sekolah pondok. Amat janggal bunyinya jika kerajaan pimpinan Umno mahu menguruskan sekolah pondok.
Bahkan, istilah ‘pondok’ itu sendiri mencetuskan ketakutan tersendiri kepada sesetengah pemimpin Umno. “Di mana ada pondok, di situ ada PAS”, kata Sanusi Junid penuh jenggi, suatu ketika dulu.
Najib juga tidak bermaksud melibatkan sekolah agama bantuan penuh kerajaan dalam pengambilalihan itu. Sekolah tersebut telah pun dikuasai kerajaan.
Dengan alasan bahawa langkah itu bagi membolehkan kerajaan Pusat memastikan 70,000 pelajar di institusi berkenaan mendapat pendidikan yang lebih sempurna berbanding sekarang, beliau jelas merujuk kepada sekolah-sekolah dari dua kategori terkemudian, iaitu SMAR dan SAR. Lebih-lebih lagi bila beliau menyebut tentang kekurangan tenaga pengajar, guru tidak terlatih dan gaji guru yang rendah.
Sememangnya itulah yang selama ini dialami oleh sekolah-sekolah agama rakyat seperti di Sungai Tua Baru, Batu Caves, FELDA Sungai Lui, Jempol; atau Taman Permata. Kisah mengenai pelbagai masalah di sekolah-sekolah tersebut pernah tersiar di akhbar harian beberapa tahun lalu.
Tetapi apabila Najib menambah bahawa langkah itu juga bagi membendung usaha pihak-pihak tertentu khususnya pembangkang menjadikan sekolah agama sebagai sarang menanam perasaan benci pelajar terhadap pemimpin kerajaan, polemik mula wujud. Najib menyempitkan skop sekolah agama yang dimaksudkan itu.
Tidak munasabah kenyataan Najib itu turut melibatkan SAR, yang hanya mendidik murid-murid sekolah rendah separuh hari itu. Yang jelas menjadi target Najib ialah sekolah menengah agama rakyat dari kategori ketiga. Dan, parti pembangkang yang dimaksudkan juga jelas. Mana ada parti lain yang terlibat dengan pengurusan sekolah-sekolah agama secara aktif selain Parti Islam SeMalaysia (PAS)? Kerajaan tahu benar, beberapa SMAR di Kedah dan Perak diuruskan ahli-ahli PAS. Manakala keseluruhan SMAR di Kelantan pula di bawah kelolaan kerajaan PAS.
Justeru, polemik hanya berlaku antara pemimpin Umno dan pemimpin PAS, khususnya pemimpin kerajaan Kelantan. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan, Penerangan dan Dakwah Kelantan, Muhammad Daud Iraqi mencabar Menteri Pendidikan membuktikan dakwaannya bahawa PAS menjadikan SMAR sebagai sarang menghasut pelajar. “Dakwaan tersebut sebenarnya tidak berasas,” katanya. Disebabkan ia tidak berasas, kerajaan Kelantan bertegas tidak akan menyerahkan SMAR di negeri itu untuk ditadbir Kementerian Pendidikan.
Lebih-lebih lagi jika diambil kira tujuan asal penubuhan SMAR, sebagai institusi mendidik anak-anak bangsa menjadi insan beriman dan bertakwa kepada Allah. Dengan rekod kebobrokan akhlak dan moral para pelajar di sekolah-sekolah menengah kerajaan jelas menggambarkan kegagalan kerajaan menyediakan sistem dan kurikulum pendidikan yang mampu membentuk keperibadian Islam di kalangan pelajarnya.
Bagaimana kerajaan Umno mahu menyediakan tenaga pakar dalam menguruskan SMAR? Inilah yang dimaksudkan oleh Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, bahawa Kementerian Pendidikan tidak mempunyai pengalaman dan tenaga pakar untuk mempertingkatkan mutu pendidikan Islam.
Najib hanya berhujah balas di atas track record kecemerlangan akademik beberapa sekolah agama di bawah kementeriannya. “Kementerian saya menguruskan sekitar 55 buah sekolah seumpama itu dan sekurang-kurangnya empat daripadanya mencapai 100% kelulusan Gred Satu setiap tahun,” kata Najib.
Apa yang Najib lupa, bagi seorang ibu atau bapa sekarang, kecemerlangan pendidikan anak-anak bukan lagi dinilai sekadar lulus straight-A. Harapan ini pernah dicoretkan oleh Mallika Vasugi, seorang pendidik: “whether or not we teachers have been successful in murturing a batch of students until the point where they leave school would have to be measured not by the SPM percentage but by the quality of adults we have in our mindset much later.”
Sudah tentu kualiti remaja yang dimaksudkan itu mengambilkira pencapaian akhlak dan moral para pelajar. Apakah Najib akan berbangga dengan track record akhlak dan moral para pelajar dan remaja lepasan sekolah sekarang?
Cuba teliti rekod-rekod yang pernah dipaparkan di akhbar. Antaranya, ‘Kadar pelajar merokok naik’, ‘2,033 pelajar menengah terbabit dadah’, ‘Pelajar hamil: Bukan kes kecil’, ‘Jenayah juvana kian meningkat’, ‘Seven boys nabbed over gang rape of schoolgirl’, ‘Khaled: Ban students from shopping malls’, ‘Kejadian buli pelajar sekolah asrama berleluasa’, ‘1,073 murid terlibat kes melawan guru’, ‘Bilik sekolah hangus disyaki perbuatan khianat’, ‘Tiga pelajar mengaku bakar sekolah’, dan ratusan lagi seumpamanya.
Berdasarkan “rekod” tersebut, persoalan kegagalan sistem pendidikan kebangsaan melahirkan pelajar berkualiti ternyata bukan sekadar gimik politik parti pembangkang. “Sistem pendidikan kerajaan BN hanya mampu melahirkan kutu Dataran Merdeka,” tulis Subky Latif.
Mohd Shah Abdullah, wartawan Berita Harian pula pernah mengupas panjang lebar persoalan “memikirkan semula strategi pendidikan.”
Antara kes salah laku jenayah membabitkan pelajar yang dikenal pasti termasuklah peras ugut, mencuri, kongsi gelap, mengambil dadah, mengancam guru dan murid, melawan pengawas, ponteng sekolah, terlibat dengn maksiat dan tingkah laku lucah, merogol dan yang paling terkini serta paling menakutkan ialah membakar sekolah.
Dengan rekod yang ada itu, kerajaan BN/Umno sepatutnya perlu memikirkan persoalan memperbaiki kebobrokan para pelajar di sekolah-sekolah kerajaan kini, sebelum memikirkan persoalan mengambilalih pengurusan SMAR.
Tambahan pula, sikap ‘rimas’ sesetengah pemimpin Umno terhadap kecenderungan dan minat masyarakat menghantar anak-anak mereka ke sekolah agama menyerlahkan lagi sikap sebenar Umno terhadap institusi pendidikan Islam itu. Perdana Menteri, Dr. Mahathir Mohamad secara sinis pernah menuturkan, “ramai ibu bapa yang ingin anak mereka menjadi alim dalam bidang agama sahaja. Dengan itu sebahagian daripada kanak-kanak yang berbakat tidak dapat mempelajari ilmu lain yang mereka berupaya menguasai dengan baik. Apabila lulus kemudian dalam pelajaran agama didapati mereka tidak mempunyai banyak peluang untuk bekerja dalam bidang berpendapatan tinggi. Mereka kecewa akhirnya.”
Pengerusi Jawankuasa Pendidikan dan Pembangunan Manusia Terengganu, Abdul Rashid Ngah turut berkongsi perasaan ‘rimas’ Dr. Mahathir itu. Beliau pernah merungut: “Kita mendapati segelintir ibubapa lebih suka menghantar anak mereka ke sekolah agama kerana berpendapat ia lebih baik daripada sekolah lain. Disebabkan persepsi tersebut, maka sekolah-sekolah agama menerima permohonan melebihi kuota, dan hakikat ini amat tidak memuaskan hati kita.”
Sememangnya sambutan ibu bapa terhadap sekolah-sekolah agama amat menggalakkan, terutama apabila banyak program kesedaran diwujudkannya dalam mendidik anak-anak menjadi insan berguna yang bukan sekadar lulus cemerlang dalam aspek akademik mereka. Keprihatinan ibu bapa ini, bagaimana pun nyata merimaskan para pemimpin kerajaan.
Dengan sikap yang jelas ditunjukkan oleh Dr. Mahathir dan lain-lain pemimpin Umno itu, tidak mustahil SMAR yang bakal diambilalih sekelip mata bertukar menjadi sekolah yang memenuhi citarasa Dr. Mahathir, iaitu menyediakan “peluang untuk bekerja dalam bidang berpendapatan tinggi”. Persoalan kurikulum pendidikan Islam dibimbangi akan pudar entah ke mana.
Berdasarkan segala pengalaman pahit, berkaitan kepincangan sistem pendidikan, yang dihadapi sepanjang pemerintahan BN/Umno, rakyat yang prihatin terhadap pendidikan Islam mempunyai hujah yang kukuh untuk mempertikaikan kewajaran tindakan Kementerian Pendidikan mahu mengambilalih pengurusan SMAR di seluruh negara.
(Artikel ini disiarkan majalah bulanan Detik, 15 Ogos 1999 dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment