Oleh: Anuwa Jamalullail
Kaum Cina membentuk hampir sepertiga atau 30 peratus daripada 22 juta penduduk Malaysia yang lebih separuh adalah orang-orang Melayu. Memandangkan sebahagian besar pengundi Melayu kurang senang terhadap layanan buruk yang menimpa bekas Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, sokongan pengundi Cina menjadi bertambah penting bagi Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamed dan Barisan Nasional (BN).
Undi kaum Cina dijangka menjadi penentu dalam Pilihan Raya Umum Kesepuluh nanti, yang mesti diadakan beberapa bulan mendatang, memandangkan tempoh kerajaan yang ada sekarang akan tamat April tahun depan.
Dalam suasana kemarahan masyarakat Melayu terhadap Umno pada hari ini, pengundi Cina dianggap sebagai ‘penyelamat’ utama Dr. Mahathir dan BN. Menurut kebanyakan penganalisis politik negara, dari segi sejarahnya 40 peratus pengundi Cina biasanya akan mengundi pembangkang, 30 peratus akan tetap bersama parti pemerintah, manakala 30 peratus selebihnya adalah pengundi atas pagar.
Golongan pengundi atas pagar itu kini menjadi target group BN. Sebab itu, Dr. Mahathir yang sudah begitu kecewa dengan para pengundi Melayu dikatakan menumpukan perhatiannya kepada merayu sokongan para pengundi Cina. Beliau kelihatan lebih banyak mendampingi masyarakat Cina dan menghadiri perhimpunan-perhimpunan masyarakat Cina. Rumah terbuka Mahathir pada Hari Raya Aidil Fitri juga dihadiri kebanyakannya oleh masyarakat Cina dan India.
Dalam beberapa perjumpaan dengan masyarakat Cina, Mahathir secara terbuka memuji-muji mereka. Pada 17 Julai lalu, misalnya, semasa berucap di Perhimpunan Tahunan MCA, Mahathir menyifatkan para pengundi Cina sebagai ‘pragmatik’, berbanding dengan para pengundi Melayu yang disifatkan ‘mengikut emosi’.
Pengundi Cina dipuji kerana amat menghargai kestabilan yang dijamin oleh kerajaan BN, takut akan huru-hara yang mungkin dicetuskan oleh kemenangan pihak alternatif. Yang terpenting sekali ialah tidak bersedianya mereka menerima sebuah kerajaan alternatif yang akan dipimpin dan didominasi oleh PAS yang akan mendirikan “Negara Islam” yang didakwanya akan menindas kaum Cina di negara ini.
Mahathir juga pernah melahirkan ‘dukacita’ atas kelemahan dan kemunduran mahasiswa Melayu berbanding rakan berbangsa Cina. Mahathir menyatakan tabiat mahasiswa Melayu yang banyak berpolitik dan berdemonstrasi menjadi punca kemunduran prestasi akademik mereka. Lebih dari itu, bangsa Melayu digambarkan sebagai bangsa yang malas dan bodoh. Sebaliknya, bangsa Cina disifatkannya rajin dan pintar.
Terdorong oleh tuntutan memenangi hati orang-orang Cina itu, Mahathir pergi lebih jauh. Kali ini golongan profesional Melayu menjadi sasarannya. Mahathir berkata orang Melayu tidak mungkin mendapat jawatan tinggi jika kriteria merit digunakan untuk menilai mereka.
Jika ujian-ujian diadakan untuk menentukan kelayakan golongan bumiputera, kata Mahathir, hanya segelintir kecil sahaja yang akan lulus. Ramai pensyarah dan profesor Melayu dikatakan mendapat kedudukan kerana polisi kerajaan, bukan kerana kebolehan mereka. Sedangkan rakan sejawat mereka dari bangsa Cina dan India yang lebih berkelayakan sukar mendapat kedudukan mereka kerana polisi tersebut.
Lawatan Mahathir ke negara China baru-baru ini juga dilihat oleh banyak pihak sebagai usaha memancing sokongan kaum Cina kepada kerajaan Mahathir. Sebab itu, antara tokoh politik yang mengiringi beliau ialah Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Ling Liong Sik dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon.
Mahathir dikatakan cuba merundingkan beberapa perkara dengan para pemimpin negara China untuk manfaat masyarakat Cina Malaysia. Antaranya menguruskan kemasukan mudah pelajar-pelajar Cina Malaysia ke institusi pengajian tinggi di China dan kelonggaran visa masuk ke negara itu untuk kaum Cina Malaysia.
Bagaimana pun, keputusan yang diterima dikatakan kurang menggalakkan. Mahathir dan rombongan pulang dengan kecewa. Segala pujian Mahathir kepada kaum Cina sebelum itu, sehingga sanggup menghina bangsanya sendiri, seolah-olah tidak berupaya menampung rasa kecewa beliau atas kegagalan mencapai misi lawatan ke China tempohari.
Barangkali terdorong oleh rasa kecewa itu, maka Mahathir secara tiba-tiba mencetuskan rancangan kontroversi kerajaan untuk memaksa percantuman 58 buah bank dan institusi kewangan. Rancangan penggabungan tersebut dianggap rombakan paling menyeluruh dalam sektor perbankan yang belum pernah berlaku dalam sejarah negara ini.
Malaysia kini mempunyai 21 bank perdagangan, 12 bank saudagar dan 25 syarikat kewangan. Enam bank induk di bawah rancangan penggabungan itu terdiri daripada Malayan Banking Bhd., Multi-Purpose Bank Bhd., Kumpulan Bumiputera-Commerce, Perwira-Affin Bank Bhd., Public Bank Bhd. dan Southern Bank Bhd.
Walau pun kerajaan cuba melenyapkan sebarang tanggapan negatif, rancangan untuk mewujudkan hanya enam kumpulan bank gergasi kelak dibimbangi boleh membakar kemarahan pengundi Cina. Di bawah rancangan penggabungan itu, jumlah bank yang bakal dikuasai oleh tokoh korporat Cina kelak akan menjadi dua buah, berbanding dengan lapan sebelumnya.
Apa yang paling tidak menyenangkan kaum Cina negara ini, terutama di kalangan golongan terpelajar dan golongan elit di bandar ialah hilangnya dua bank ‘permata’ mereka – Hong Leong Bank dan Phileo Allied Bank – yang akan dicantum dan dikuasai oleh ahli korporat Melayu.
Rancangan penggabungan tersebut menimbulkan tandatanya mengapa Mahathir, yang dikenali jarang membuat kesilapan besar dalam politik, kali ini seolah-olah menempah risiko dengan menyinggung pengundi Cina menjelang pilihan raya.
Akibat pelbagai kecaman dan rungutan, Bank Negara Malaysia (BNM) selaku bank pusat terpaksa menafikan wujudnya sebarang agenda politik di sebalik rancangan penggabungan tersebut.
Bahkan, BNM kemudiannya melonggarkan keputusan tersebut dengan membenarkan mereka membentuk dan memilih sendiri peneraju atau ketua masing-masing. Ini bermakna, bank pusat itu membuka ruang kepada pembentukan lebih daripada enam kumpulan utama penggabungan dan pemilihan penerajunya.
Namun, kaum Cina yang telah diiktiraf oleh Mahathir sendiri sebagai bangsa yang rajin dan pintar tidak semudah itu menerima ‘perubahan sikap’ BNM. Mereka tahu sokongan dan undi mereka amat diperlukan oleh Mahathir dan BN, terutama di saat pengundi Melayu telah bangkit menolak BN kini.
Mereka juga mampu menilai sendiri tanpa perlu ditunjuk ajar oleh sesiapa, siapakah yang berupaya menegakkan keadilan dalam pemerintahan dan siapakah sebenarnya berpotensi mencetuskan suasana huru-hara dalam negara ini.
Mereka tahu menilai apakah Mahathir benar-benar ikhlas dalam memuji dan membela nasib kaum mereka. Ataukah apa yang dilakukan oleh Mahathir selama ini hanya semata-mata sandiwara politik untuk memancing undi daripada mereka?
Tidak mustahil, setelah mereka menyedari maksud sebenar Mahathir di sebalik beberapa ucapan dan tindakan yang dilakukannya baru-baru ini, para pengundi Cina akan beralih sikap dan mengubah sokongan kepada parti-parti alternatif. Jika itu berlaku, undi Cina sudah bukan lagi menjadi penyelamat, tetapi bertukar menjadi penamat hayat pemerintahan BN.
(Artikel ini disiarkan majalah isu tidak berkala "Ustaz Haron Din Buru Mahathir" diselenggarakan Tarmizi Mohd Jam, diterbitkan sekitar Ogos 1999).
No comments:
Post a Comment