Oleh: Mohd Nasir Awang
Secara jujur, harus diakui bahawa satu-satunya parti pembangkang yang berdaya tahan dalam menongkah arus politik negara ialah Parti Islam SeMalaysia (PAS). Lain-lain parti yang datang seangkatan dengannya atau kemudian daripadanya, semuanya telah berkubur.
Parti Kemerdekaan Malaysia (IMP) dan Parti Negara hanya bertahan untuk beberapa penggal pilihan raya. Parti Progresif Rakyat (PPP) yang pernah menyengat suatu ketika dahulu, hanya tinggal nama dalam senarai kerabat Barisan Nasional (BN).
Parti Buruh dan Front Sosialis sudah lama tidak disebut orang. Berjasa, Hamim dan Akim pula dikatakan ada lebih ramai pemimpin daripada ahli. Manakala, Semangat 46 pula memilih untuk ‘membunuh diri’, setelah Presidennya gagal mencapai cita-cita menjadi Perdana Menteri.
Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Rakyat Malaysia (PRM) boleh dianggap berdaya tahan juga. Tetapi ia masih belum berpeluang memerintah mana-mana negeri setakat ini. BN juga tidak banyak memfokuskan serangan kepada mereka berdua.
Satu-satunya parti sezaman dengan PAS yang masih bernafas megah ialah Umno. Itu pun kerana ditakdirkan ia masih memerintah dan menguasai kekuatan kewangan negara.
Umno adalah pertubuhan politik orang-orang Melayu yang beragama Islam. Tidak ada sebab orang-orang Islam tidak boleh berdiri teguh di belakang Umno jika parti itu memperjuangkan Islam. Malangnya, hanya ahli-ahlinya yang beragama Islam tetapi dasar partinya adalah gabungan sekular-nasionalis. Umno hanya bersetuju menjadikan Islam sebagai agama Persekutuan di dalam konteks negara sekular.
Laporan Suruhanjaya Reid menyebutkan: “In the Memorandum submitted by the Alliance, it was stated the religion of Malaya shall be Islam. The observance of this principle shall not impose any disability on non-Muslim nationals professing and practising their own religions and shall not imply that the state is not a secular state....”
Sikap sekular dan kebangsaan yang diperjuangkan Umno itu ternyata tidak dapat memaut para ulama dan ilmuan Islam di bawah payung Umno. Mereka bertindak keluar daripada Umno bagi menubuhkan PAS. Penubuhan itu adalah satu tuntutan kerana perjuangan mereka adalah untuk mendaulatkan Negara Islam, yang bukan sahaja beridentiti Islam tetapi menjalankan pemerintahan negara secara Islam.
Ranjau yang dihadapi PAS sepanjang liku perjuangannya amat menguji kesabaran. Khatijah Sidek, satu-satunya ahli parlimen wanita PAS, mencatatkan keperitan yang dialami PAS lewat memoirnya, Puteri Kesatria Bangsa: “Kerajaan Perikatan memang sangat kuat dan mereka menggunakan banyak wang sumbangan tauke besar Cina untuk menentang kami, sebuah parti orang Melayu yang daif. Kami hanya bersandar pada orang kampung yang miskin yang untuk menyewa sebuah mikrofon pun mereka tak mampu. Seringkali kami terpaksa buat ucapan tanpa mikrofon dan pembesar suara. Sekali pun kami mendapat mikrofon, kami tak dapat pinjam bateri untuk alat pembesar suara. Kami tak dapat sewa kereta untuk kempen pilihanraya.
Semasa kempen Pilihan Raya Umum 1959 itulah, Umno menuduh PAS sebagai komunis untuk menakut-nakutkan orang Islam daripada mengundi PAS. Itulah durjananya Umno! Apabila ia terancam, ia tidak segan-silu melabelkan musuhnya dengan entah apa-apa label.
Namun, itu tidak mematahkan semangat PAS. Apa pun label yang Umno berikan, lawan tetap lawan. Dan PAS mampu menang besar di Kelantan, serta membentuk kerajaan simple majority di Terengganu di samping menawan sepasang kerusi Parlimen dan DUN di Perak.
Walau pun dalam sejarahnya menghadapi pilihan raya, pencapaian PAS seringkali tersangkut di bawah sasaran, parti itu mampu bangkit semula setiap kali ia dikatakan tersungkur. Bahkan, kejatuhan kerajaan PAS yang dianggap ‘tersembam’ di dua negeri Pantai Timur suatu ketika dahulu, juga tidak melemahkan perjuangan PAS. Ia menjunam di Terengganu daripada 13 kerusi pada 1959 kepada 3 kerusi pada 1964, tetapi bangkit mendadak kepada 11 kerusi dalam pilihan raya berikutnya.
Begitu juga di Kelantan. Daripada hanya tinggal dua kerusi selepas kejatuhan pada tahun 1978, PAS bangkit semula dan mampu bertahan di 10 kerusi dalam dua pilihanraya umum selepas itu sebelum menawan semula Kelantan pada tahun 1990. Asas utama kekuatan PAS ialah, “kalah atau menang, perjuangan wajib diteruskan!”.
Ujian yang dihadapi para pendokong PAS bukan setakat dilempar telur busuk, dibakar jambatan, diugut, dinista atau di torture di bawah ISA. Perjuangan PAS sudah pun menuntut pengorbanan nyawa.
Haji Abdul Samad Gul Ahmad Mianji, Ahli Parlimen Pasir Mas Hulu merangkap Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat diserang di Kota Bharu pada tahun 1967; Cikgu Taharim Ariffin, ADUN Hutan Aji, Perlis, dibunuh dirumahnya (1970); dan Ustaz Osman Talib diserang gangster Umno di Lubuk Merbau, Kedah (1985). Kemuncak tribulasi yang dihadapi PAS ialah kesyahidan Ustaz Ibrahim Mahmood dan 13 muridnya dalam Peristiwa Memali pada 19 November 1985.
Prof. Zulkifli Muhammad, Naib Yang Dipertua Agung PAS dipanggil pulang oleh Allah lewat kecelakaan jalanraya di Kuantan hanya beberapa jam selepas memberikan ‘Amanat Terakhir’ kepada wakil-wakil rakyat PAS Kelantan di Kota Bharu. Ustaz Nik Abdullah Arshad pula rebah ketika sedang berucap dalam satu majlis parti. Mereka mati dalam medan perjuangan.
Dalam usianya menghampiri separuh abad, PAS teruji dan terbukti sebagai parti yang berdaya tahan menghadapi seribu-satu macam karenah perjuangan. Gunung didaki, lurah dituruni. Membujur lalu, melintang patah. Tertiarap memakan pasir, terlentang meminum embun. Namun, lawan tetap lawan. Inilah yang merimas dan mencemaskan Umno, dulu, kini dan selamanya...!
(Artikel ini disiarkan makalah isu tidak berkala bertajuk "Anwar Diracun - Lawan Tetap Lawan" diselenggarakan Tarmizi Mohd Jam, diterbitkan sekitar Julai 1999).
No comments:
Post a Comment