Sunday, August 15, 1999

Mengapa Dr. Haron Din?


Oleh: Mohd Nasir Awang

Sejarah politik negara mencatatkan Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad pernah ditumbangkan di gelanggang pilihan raya. Orang yang menjadi ‘the giant killer’ itu ialah Ustaz Yusof Abdullah ar-Rawa, seorang tokoh agama dalam kepimpinan PAS pada masa itu (1969).

Dari segi karisma kepimpinan, Pak Yusof tidaklah sehebat Mahathir. Dari segi kelantangan pula, Pak Yusof sememangnya dikenali sangat moderate dalam pendekatannya. Manakala dari nilaian ‘anak tempatan’, Pak Yusof adalah ‘orang luar’ yang berasal dari Pulau Pinang, sedangkan Mahathir anak negeri Kedah.

Ironisnya, karisma dan kelantangan Mahathir itu tidak mampu menongkatnya daripada tumbang dalam gelanggang. Dia menerima knock-out dalam negerinya sendiri, di Parlimen Kota Setar Selatan, di tangan tokoh PAS dari negeri jirannya itu.

Kini, Mahathir ‘dinujum’ oleh banyak pihak akan tumbang sekali lagi. Tumbangnya juga melalui pilihan raya. Dan untuk lebih melengkapkan pengulangan sejarah, Mahathir akan bersedia tumbang di negerinya sendiri, Kedah.

Maka desas-desus siapakah ‘the second giant killer’ bagi mengalahkan Mahathir mula bertiup kencang. Ada yang menamakan Presiden KeADILan, Datin Seri Dr. Wan Azizah Ismail. Ada yang mencadangkan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat, atau Presiden PAS, Dato’ Fadzil Mohd Noor.

Bahkan, tidak kurang juga yang menuntut bekas Timbalan Perdana Menteri yang dipenjarakan Dato’ Seri Anwar Ibrahim, dibebaskan dan diberi kebenaran ‘memburu’ di mana jua Mahathir bertanding.  

Setiap yang mencadangkan nama-nama di atas, tentunya berdasarkan rasional masing-masing. Wan Azizah antara lain dianggap pengganti batang tubuh suaminya yang terpenjara; Tok Guru, atas alasan sering menjadi ‘papan dart’ Mahathir dalam banyak hal; Ustaz Fadzil pula layak atas kapasitinya menerajui PAS, parti alternatif paling konsisten dalam menentang BN; dan Anwar pula mengambilkira tragedi politik yang berlaku ke atasnya.

Maka, siapakah antara mereka yang paling layak? Untuk tujuan itu, elok juga diteliti fakta sejarah kekalahan Mahathir dulu. Pertama, beliau kalah di tangan seorang tokoh agama.  Kedua, tokoh itu dari luar negeri Kedah. Ketiga, perbezaan umur yang tidak begitu jauh antara Mahathir dan pencabarnya. Dan keempat, tokoh berkenaan tidak mempunyai tugasan yang khusus untuk mempertahankan partinya di tempat-tempat tertentu (di mana-mana pun boleh).

Mengambilkira aspek-aspek yang dikemukakan itu, Wan Azizah secara teknikal terkecuali atas kriteria bukan tokoh agama, dan perbezaan umur dengan Mahathir yang agak ketara.  Lagi pun, lebih ramai meletakkan tanggungjawab kepada Wan Azizah mempertahankan partinya dan maruah suaminya di Permatang Pauh.

Tok Guru pula lebih dipertanggungjawabkan meneruskan kegemilangan pemerintahan Kelantan sebagai ‘Negeri Islam Contoh Dekad Ini’. Manakala Ustaz Fadzil pula adalah anak negeri Kedah, disamping mempunyai tanggungjawab di tempat lain. 

Dengan terpenjara dan terbelenggunya Anwar daripada sebarang kegiatan politik, maka senarai awal mereka yang berpotensi menjadi ‘the second giant killer’ kembali kosong.  Bagaimana pun, seorang tokoh agama dari luar Kedah yang tidak jauh beza umurnya dengan Mahathir dan tidak mempunyai tugasan parti yang “khusus” (dari sudut kepimpinan) mesti diintai.

Pengintaian itu akhirnya menemukan kita, antara lain, dengan Dato’ Dr. Haron Din, bekas pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia yang berasal dari Perlis, dan juga tokoh agama yang sangat disegani masyarakat. Kelayakan beliau untuk berhadapan dengan Mahathir tidak perlu dipersoalkan. Mereka sama-sama mendapat gelaran dari istana (Dato’), dan sama-sama berpendidikan tinggi (Dr.).

Kalau Mahathir berbangga dengan pengikut yang ramai (zahirnya), di mana-mana jua sekarang, puluhan ribu rakyat pasti menunggu kehadiran Haron Din. Mahathir terkenal sebagai penulis yang mampu mengetengahkan idea bernas dan tajam lewat buku-buku karyanya, Haron Din juga telah menghasilkan beberapa buah buku.

Cuma yang berbeza, Mahathir mengulas mengenai kelemahan orang Melayu, dan undang-undang ekonomi kapitalisme. Sedangkan Haron Din mengulas mengenai kemuliaan orang Islam dan undang-undang syariah.

Mahathir suka menekankan soal rakyat dan kemajuan, serta tajuk-tajuk pembangunan kebendaan dalam menghadapi alaf baru. Haron Din pula menitikberatkan soal manusia dan agama serta tajuk-tajuk pembangunan kerohanian dalam menghadapi alam akhirat.

Haron Din mungkin tidak dilihat sebagai seorang tokoh politik berpengalaman sebagaimana Mahathir. Tetapi jangan lupa beliau adalah Naib Yang Dipertua Agung PAS (Naib Presiden) sebelum dipaksa oleh Akta Universiti dan Kolej Universiti untuk tidak melibatkan diri secara aktif dalam politik kepartian, lebih 20 tahun lalu.

Bagaimana pun, penglibatan beliau yang berterusan dalam Majlis Syura Ulama, badan legislatif tertinggi dalam PAS, dan Panel Deraf Kanun Jenayah Syariah Kelantan (Hudud) membuktikan komitmen beliau terhadap parti tidak pernah pudar.

Secara jujurnya, rakyat melihat ada kewajarannya tugas ‘memburu’ Mahathir dalam pilihan raya umum nanti diberikan kepada Haron Din. Tamabahan pula beliau sudah mengumumkan tekad beliau, “saya sudah bertekad pada diri sendiri untuk menghapuskan segala kezaliman yang dilakukan kepimpinan sekarang dan tidak akan undur walau setapak pun demi merealisasikan cita-cita ini. Walau pun ada pihak cuba untuk menghalang saya, tetapi perjuangan saya untuk melawan Mahathir tetap akan diteruskan”.

Namun, pilihan muktamad terpulang atas dirinya. Sama ada beliau akan memilih gelanggang pilihan raya, atau sekadar menjadi ‘pemburu’ dari luar gelanggang, dirinya dan parti yang bakal menentukan. Lagipun, mengenali orang-orang PAS sebagai orang yang sangat taat kepada kepimpinan parti, mereka akan bersedia menerima apa jua yang bakal diputuskan oleh parti.

Apa pun yang muktamad nanti, kehadiran Haron Din di pentas politik tanahair adalah sesuatu yang amat dinanti-nantikan oleh rakyat. Ia nyata menggelisahkan Dr. Mahathir.

(Artikel ini disiarkan makalah isu tidak berkala "Ustaz Haron Din Buru Mahathir" diselenggarakan Tarmizi Mohd Jam, diterbitkan sekitar Ogos 1999).

No comments:

Post a Comment