Sunday, August 15, 1999

PJ Selatan Restui Haron Din


Oleh: Abdul Rahim Din

Suasana di sekitar kawasan perumahan Taman Medan, Petaling Jaya pada malam itu tidak ubah seperti sebuah pasar malam. Tidak kurang daripada 60 peniaga membuka gerai masing-masing.

Berbagai barangan keperluan seperti pakaian, peralatan sembahyang, kaset dan video syarahan agama, kaset ceramah politik, syiar parti-parti alternatif (bendera, pelekat, butang, topi, rantai kunci dan lain-lain), buku-buku (agama, politik dan pendidikan), peralatan sekolah dan ubat-ubatan ada dijual. Makanan penjamu selera juga tidak ketinggalan; kebab, burger, kacang rebus, kacang goreng, mee sup dan entah apa lagi, semuanya ada.

Bagi saya yang buat pertama kali menghadiri ceramah parti alternatif di sekitar Lembah Klang mutakhir ini, suasana majlis ceramah anjuran PAS Kawasan Petaling Jaya Selatan itu barangkali suatu suatu pengalaman baru. Lebih-lebih lagi diketahui bahawa penceramah undangan pada malam itu bukanlah YAB Tuan Guru Nik Abdul Aziz, YB Mohamad Sabu, Dato’ Dr. Haron Din, atau lain-lain penceramah Gred A atau B.

Penguasaan pentas atau penceramah malam itu hanyalah oleh dua anak muda PAS; Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman (ketika itu masih Presiden Gamis) dan Tarmizi Mohd Jam (Setiausaha Lajnah Hal Ehwal Dalam Negeri PAS Pusat).

“Di sini memang gitu! Dia tak kira dah siapa penceramah. Janji (anjuran) parti alternatif,” celah seorang rakan melihatkan kehairanan saya menyaksikan kehadiran yang begitu ramai.  Ribuan manusia berbagai ragam telah pun memenuhi dataran pasar basah di tepi jalan masuk utama ke Taman Medan. Sebahagian mereka sudah pun berada di situ sejak selepas Maghrib.

PJ Selatan bukanlah kawasan yang “sangat cerah” bagi Barisan Alternatif. Dalam Pilihan Raya Umum 1995 lalu, Parlimen PJ Selatan menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara tiga calon dari tiga bangsa; calon Barisan Nasional (BN), Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan seorang calon Bebas.

BN diwakili oleh seorang berbangsa Cina, Lim Siang Chai. Presiden PRM, Dr. Syed Husin Ali mewakili partinya. Manakala calon Bebas adalah seorang berbangsa India, Selvanathan a/l Savarimuthu.

Peratus mereka yang keluar mengundi agak rendah berbanding lain-lain kawasan, iaitu hanyalah 65.66 peratus atau 43,854 orang daripada sejumlah 66,786 pemilih yang layak mengundi. Dalam pilihan raya itu, Lim mendapat 26,646 undi mengalahkan Syed Husin yang memungut 15,021 undi, sekaligus mencatat majoriti 11,625 undi. Selvanathan hanya meraih 811 undi.

“Itu dulu! Sekarang ni deme dah sedor. Ramai tadi tu, deme Umno la dulu tu!”, ulas Saudara Kimi, Ketua Penerangan PAS PJ Selatan dalam bahasa baku Parit, sambil menikmati jamuan “sahur” selepas majlis berakhir.

Memang, kesedaran masyarakat setempat untuk menyertai angin perubahan politik terkini jelas terbukti melalui response yang mereka berikan kepada hampir setiap bait ucapan kedua-dua penceramah. Setiap persoalan yang diajukan oleh penceramah akan disambut gema jawapan samada ‘Ya!” Atau “Tidak!”, dengan penuh semangat.

Setiap point penceramah yang agak menarik dan membakar semangat, akan disulami dengan laungan takbir bertalu-talu dibauri tepukan gemuruh para hadirin. Bahkan, tidak kurang juga yang bertempik dan bersiul, tanda “masuk line” dengan hujah-hujah yang diutarakan.

Antara detik paling gamat malam itu, ialah apabila penceramah, Saudara Tarmizi mengusulkan agar Dr. Mahathir dipastikan tumbang dalam pilihan raya akan datang. “Dan untuk memikul tugas menumbangkan Mahathir, kita cadangkan agar tokoh ulama yang sangat disegani, Dato’ Dr. Haron Din, menentang Mahathir di mana sahaja beliau akan bertanding nanti!”, ujar Tarmizi disambut tepukan paling gemuruh, beserta laungan takbir bertalu-talu dari para hadirin, termasuk kanak-kanak dan kaum ibu.

Hadirin yang berpatisipasi dalam majlis ceramah malam itu bolehlah dianggap sebagai sampel rambang daripada komposisi pengundi seluruh PJ Selatan. Mereka boleh dikatakan mewakili keempat-empat parti alternatif yang wujud di kawasan mereka; PAS, PRM, Keadilan dan DAP.

“Barangkali tidak keterlaluan kalau kita simpulkan bahawa masyarakat PJ Selatan merestui Haron Din untuk menentang Mahathir”, ujar saya kepada Tarmizi dalam perjalanan pulang.  Beliau tersenyum bangga, kerana saya akhirnya akur dengan kewajaran usul yang dikemukakan beliau dalam ceramahnya tadi.

(Artikel ini disiarkan makalah isu tidak berkala "Ustaz Haron Din Buru Mahathir" diselenggarakan Tarmizi Mohd Jam, diterbitkan sekitar September 1999).

No comments:

Post a Comment