Oleh: Anuwa Jamalullail
Marah betul Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim kepada tokoh ulama kelahiran Perlis, Datuk Dr. Haron Din. Marahnya bukan kerana Haron Din kononnya didakwa berkata mahu membawa Perlis keluar dari Malaysia, jikalau Parti Islam SeMalaysia (PAS) berjaya memerintah negeri itu melalui pilihan raya akan datang. Bukan juga kerana Haron Din mengkritik nama ‘Indera Kayangan’, yang menjadi jolokan bagi negeri tersebut, sebagai bercirikan kehinduan.
Marahnya bukan juga semata-mata kerana Haron Din dikaitkan dengan gerakan reformasi anjuran bekas Timbalan Perdana Menteri yang disingkirkan, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Haron Din sendiri tidak menafikan keterlibatan beliau dalam gerakan reformasi.
“Apabila Anwar datang ke rumah saya, semua orang tahu. Jika saya bukan orang reformasi, mengapa beliau datang ke sini?”, Haron Din dilaporkan pernah berkata begitu.
Kenyataan itu sekaligus memberikan kekuatan tambahan kepada gerakan reformasi. Sokongan dan simpati masyarakat kepada gerakan tersebut tambah memuncak dengan pengakuan terbuka Haron Din itu.
Masyarakat umum mudah menerima apa sahaja yang diperkatakan oleh Haron Din. Penerimaan mudah masyarakat tersebut diperkuatkan dengan latarbelakang atau pengaruh beliau sebagai tokoh ulama di negara ini.
Umum masyarakat Malaysia masih lagi berpegang kuat kepada kata-kata ulama. Mereka akan lebih yakin di atas sesuatu yang keluarnya daripada ulama. Ulama biasanya tidak membawa masyarakat kepada perkara yang negatif. Ulama memberi sumbangan dengan percuma, khususnya dalam konteks pembinaan spiritual.
Masyarakat telah dibentuk dalam satu keadaan di mana mereka telah keluar daripada alam kegelapan ilmu dan agama kepada cahaya iman. Ini semua atas sumbangan ulama. Kerana itu mereka menghargai ulama.
Pengaruh Haron Din amat ketara dalam konteks ini. Untuk beberapa ketika, beliau dijadikan anchor dalam program televisyen, Forum Perdana Ehwal Islam. Saban minggu kemunculan wajah beliau di kaca TV ditunggu-tunggu oleh segenap lapisan masyarakat.
Kupasan dan huraiannya yang bersahaja tetapi padat dan ‘kemas’ memukau para penonton. Masyarakat semacam ketagih untuk mendengar ulasannya mengenai persoalan agama, lagi dan lagi!
Tetapi, itu tidak menjadi sebab yang menaikkan kemarahan Shahidan terhadap Haron Din. Shahidan tidak kisah Haron Din menjadi popular dan berpengaruh lebih-lebih lagi dalam aspek agama Islam. Itu hak dan keistimewaan yang memang ada pada Haron Din.
Apa yang membuatkan Shahidan marah dan benar-benar rasa ‘terhina’ ialah penegasan Haron Din yang menganggap Shahidan tidak layak bertanding dengannya pada pilihan raya umum ini kerana MB Perlis itu bukan lawannya. Haron malah membayangkan akan bertanding menentang pemimpin yang lebih tinggi dari kedudukan Menteri Besar atau Menteri. Banyak pihak menyifatkan Haron Din bermaksud menentang Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamed.
“Dia (Haron Din) boleh bertanding di mana sahaja kawasan yang disukai pada pilihan raya ini. Tetapi janganlah menunjukkan sifat takbur dan memperlekehkan serta memfitnah orang lain”, kata Shahidan yang terasa diperlekeh oleh kenyataan Haron Din itu.
Sebelum itu, Haron Din disebut-sebut bakal mewakili PAS menentang Shahidan di kerusi Dewan Undangan Negeri Tambun Tulang pada pilihan raya umum nanti. Shahidan kemudiannya secara terbuka menyatakan kesediaannya menanti kehadiran Haron Din untuk beradu kekuatan di kerusi miliknya itu.
Haron Din bagaimana pun membayangkan bahawa yang mahu ditentangnya bukannya Shahidan atau mana-mana MB dan Menteri setaraf dengannya, tetapi orang yang lebih tinggi daripada itu. Kenyataan Haron itu dianggap memperlekeh kelayakan Shahidan untuk bertanding melawannya.
“Mungkin dia (Haron Din) merasa mempunyai kelebihan berbanding saya. Tetapi pada masa yang sama perlu diingatkan saya juga mungkin mempunyai kelebihan. Manakala dia pula mungkin lemah dalam soal-soal tertentu”, tambah Shahidan semacam “angkat bakul” dan tidak mahu mengalah dengan kelayakan peribadinya menentang Haron.
(Artikel ini disiarkan makalah isu tidak berkala "Ustaz Haron Din Buru Mahathir" diselenggarakan Tarmizi Mohd Jam, diterbitkan sekitar Ogos 1999).
No comments:
Post a Comment