Friday, August 20, 1999

Pemikiran menteri BN ‘lewat 40 tahun’


Tok Guru PAS dahului langkah perubahan


Oleh Mohd Nasir Awang

MENGAKU atau tidak, para pemimpin kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam diam-diam mengiktiraf ketajaman idea perubahan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat (Tok Guru). Satu demi satu idea dan langkah perubahan serta pembaharuan dalam pentadbiran yang dicetuskan oleh Tok Guru akhirnya ‘dicedok’ oleh pemimpin kerajaan BN, sama ada di peringkat Pusat atau pun negeri-negeri.

Menjadi kebiasaan para pemimpin BN/Umno untuk mengkritik setiap apa yang dicetus dan dicadangkan oleh pembangkang. Mentaliti holier than thou yang dianuti mereka mengajar mereka untuk menilai pihak lain sebagai inferior. Apa-apa yang bersifat pembangkang dianggap lemah dan negatif. Apa-apa yang bersifat BN didakwa muluk dan ampuh belaka. Sebab itu, boleh dikatakan tiada langkah pembaharuan yang dilaksanakan kerajaan PAS Kelantan yang terlepas dari serangan dan tafsiran negatif para pemimpin BN.

Beberapa bulan lalu, heboh diperkatakan tentang kononnya Tok Guru melarang wanita daripada bekerja. Sedangkan intipati maksud yang dapat difahami daripada kenyataan Tok Guru itu ialah bagaimana meringankan bebanan tugas yang dipikul oleh suri rumah yang bekerja. Sekira-kira maksud Tok Guru, pendapatan keluarga tidak terjejas dan di masa yang sama kebajikan anak-anak dan rumah tangga tidak terabai.

Sebab itu, antara lain Tok Guru menyarankan dalam kenyataan itu agar diwujudkan “jadual kerja fleksibel” khusus bagi suri rumah, iaitu membenarkan mereka datang kerja lebih lewat dengan skim gaji “istimewa” untuk mereka. Itulah perubahan yang cuba dicetuskan. Bagaimana pun, media kroni telah melaporkannya secara yang tidak bertanggungjawab. Ia merebak menjadi polemik.

Belum pun padam sepenuhnya isu itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dato’ Seri Rafidah Aziz mengumumkan akhir Julai lalu bahawa kerajaan akan memperkenalkan skim perkhidmatan yang membolehkan wanita berkemahiran tetapi berhenti kerja kerana tuntutan keluarga, berkhidmat di jabatan dan agensinya dengan upah berdasarkan jumlah jam bekerja.

Skim baru itu memberi peluang kepada lebih ramai wanita berkemahiran, yang tidak dapat ke pejabat setiap hari kerana urusan rumah tangga, menyumbang kemahiran mereka sama ada berkhidmat secara kontrak atau sambilan.

Bukankah adaptasi itu daripada jadual kerja “flexible” dan skim gaji “istimewa” yang diutarakan oleh Tok Guru? Sama ada diakui atau tidak, ianya sudah terang lagi bersuluh. Beberapa peniruan yang telah pun berlaku sebelum ini tambah mengukuhkan lagi dakwaan di atas.


Pertama: Larangan Memberi Hadiah Semasa Lawatan Rasmi.
Pada Ogos 1998 lalu, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Dr. Mazlan Ahmad mengarah jabatan-jabatan kerajaan agar tidak memberi hadiah kepada para tetamu khas yang merasmikan atau yang terlibat dalam apa-apa upacara rasmi jabatan atau kerajaan. Hal ini terkandung dalam pekeliling Garis Panduan Pemberian dan Penerimaan Hadiah di Dalam Perkhidmatan Awam yang diedarkan.

Lapan tahun sebelum itu, Tok Guru telah mengeluarkan arahan serupa kepada jabatan-jabatan di bawah kerajaan negeri Kelantan. Langkah ini bagi mengelakkan sebarang kemungkinan amalan rasuah, di samping mengelakkan perbelanjaan kewangan kerajaan dengan sewenang-wenangnya.


Kedua: Penambahan Cuti Bersalin Untuk Kakitangan Perempuan.
Bagi memenuhi dasar keluarga bahagia, maka Kerajaan Negeri Kelantan telah memanjangkan tempoh cuti bersalin untuk kakitangan perempuannya dari 42 hari kepada dua bulan (60 hari). Ia mula dilaksanakan di awal pemerintahan pada 1990. Kerajaan BN hanya mula melaksanakan penambahan ini pada 1997, iaitu lewat tujuh tahun.

Ketiga: Penguatkuasaan Atas Pengharaman Judi.
Negeri Terengganu ketinggalan hampir lapan tahun berbanding Kelantan dalam ketegasan menghapuskan kegiatan judi di negeri masing-masing. Manakala Tan Sri Wan Mokhtar selaku Menteri Besar pula terlewat 24 tahun berbanding Tok Guru dalam melaksanakan penghapusan judi di negeri masing-masing.

Wan Mokhtar mula menjadi MB pada 1 September 1974 dan hanya mula menutup premis judi di Terengganu (Jertih) pada bulan Julai 1998, iaitu selepas 24 tahun menjadi MB. Sedangkan Tok Guru di hari pertama tahun 1991 terus mengambil langkah drastik menghapuskan judi di Kelantan.

Keempat: Pemotongan Elaun MB, TMB dan Wakil Rakyat.
Sedari awal pemerintahan PAS di Kelantan pada tahun 1990, MB telah memotong elaunnya sebanyak 45 peratus; 40 peratus untuk PAS dan 5 peratus untuk Perbendaharaan Negeri. Pemotongan elaun dua TMB pula berjaya menjimatkan RM18,000 setahun. Manakala Wakil-Wakil Rakyat PAS memotong sebanyak RM500 sebulan untuk parti.

Kerajaan BN melaksanakan pemotongan elaun para Menteri dan Exco-Exco Negeri pada tahun 1997 lalu, lewat tujuh tahun daripada apa yang dilakukan oleh Kelantan. Itu pun kerana terpaksa, disebabkan tekanan kegawatan ekonomi. Kononnya sebagai teladan bagi rakyat dalam kempen berjimat-cermat, setelah mereka puas berboros selama ini.

Kelima: Rumah Awam Tiga Bilik Tidur.
Pada tahun 1993, Tok Guru mengarahkan semua pihak pemaju perumahan di Kelantan membina rumah awam dengan tiga bilik tidur. Ia adalah bagi mengasingkan dua ibubapa, anak-anak lelaki dan anak-anak perempuan, sebagaimana yang dikehendaki oleh Islam. Kerajaan Terengganu mula melaksanakan saranan tersebut pada tahun 1997. Ia terlewat lagi, kali ini empat tahun. Bagaimana kerajaan negeri-negeri lain?

Keenam: Cuti Hari Sabtu.
Beberapa tahun lalu, apabila kerajaan Kelantan mula melaksanakan jadual kerja lima hari seminggu, pelbagai seranah dilemparkan oleh para pemimpin BN. Dikatakan para pemimpin PAS pemalas, tidak produktif, mahu membawa Kelantan kepada kemunduran, anti-kemajuan dan berbagai-bagai lagi. Tok Guru hanya mampu tersenyum dan terus bersyarah kepada rakyatnya bahawa hasrat kerajaan negeri ialah menjadikan hari Jumaat sebagai hari ilmu dan Sabtu sebagai hari keluarga.

Kini segala seranah itu telah lenyap entah ke mana. Malah, para pemimpin BN dalam mengulas keputusan mereka menjadikan hari Sabtu pertama setiap bulan sebagai cuti umum turut menyebut tujuannya antara lain untuk menjadikan hari itu sebagai hari keluarga. Berapa tahun pemimpin BN terlewat kali ini?

Dalam kes lain, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan dalam diam-diam mengadaptasi beberapa bahagian tertentu daripada Kamun Jenayah Syariah II yang diluluskan kerajaan Kelantan secara “ayat demi ayat”. Kata orang, “seiras, saling tak tumpah!”

Begitu juga, Bank Pertanian (M) Berhad, dengan kerjasama Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YPEIM) mendapati sistem pajak gadai Islam Ar-Rahn yang diperkenalkan kerajaan Kelantan pada tahun 1992 lalu terlalu muluk untuk diketepikan. Mereka mewujudkan kaunter pajak gadai Islam di tahun berikutnya.

Banyak lagi pembaharuan yang dibuat oleh Tok Guru di Kelantan, ditiru akhirnya oleh para pemimpin BN. Ini membuktikan bahawa pemikiran para pemimpin BN selalu “terlewat” dalam mengenalpasti perubahan-perubahan yang sesuai dilaksanakan di peringkat masing-masing. Jumlah kelewatan pemikiran mereka itu, jika dicampur kesemuanya, sudah tentu melangkaui angka 40 atau 42 tahun, usia kemerdekaan negara kita.

“Mereka tidak kata mereka meniru Kelantan. Tapi yang pasti kita buat dulu. Bila mereka buat kemudian, mereka nyata meniru, walau pun tidak mengaku. Tidak mesti mengaku. Tapi bila kamu buat kemudian lepas orang lain buat, ertinya kamu tiru!”, kata Tok Guru penuh sinis.

Kata-kata itu adalah sebahagian ucapan Tok Guru sebagai MB Kelantan di majlis sempena menjelang 100 Hari Usia Kerajaan Angkatan di Kelantan, yang diadakan di Markas Tarbiyyah PAS Pusat, awal 1991 lalu. Walau pun telah diucapkan lapan tahun lalu, ia dikira masih relevan dengan perlakuan semasa para pemimpin BN yang suka meniru.

Dengan apa yang diutarakan itu, tanggapan bahawa PAS hanya mampu bercakap dan mengkritik serta tidak mungkin berjaya mentadbir kerana ketandusan idea, kekurangan tenaga mahir dan profesional dan sebagainya dengan sendirinya ternafi. Malah, langkah-langkah pembaharuan yang dibuat oleh Tok Guru nyata berkesan dan menjadi ikutan pula oleh para menteri BN di negeri-negeri mahu pun Pusat.

Habis, kalau setakat tunggu nak tiru dan cedok idea orang, di mana bijaknya para menteri BN seperti yang didakwa-dakwa itu? Ramailah orang boleh jadi menteri, kalau macam tu!

(Artikel ini disiarkan akhbar Harakah, edisi 20 Ogos 1999 dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment