Monday, August 2, 1999

Rekod penswastaan banyak susahkan rakyat


Oleh: Mohd Nasir Awang

DI ANTARA persoalan utama yang ditekankan oleh Presiden PAS, Dato’ Haji Fadzil Mohd Noor dalam ucapan dasarnya di muktamar tahunan parti itu beberapa bulan lalu ialah pelaksanaan dasar penswastaan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN). Sikap PAS dalam hal itu disimpulkan dalam ayat “PAS akan meneliti kembali polisi penswastaan seperti yang diamalkan hari ini agar tidak bertentangan dengan konsep ‘Negara Beramanah dan Berkebajikan’”.

Rasanya tidak ada pihak dalam negara ini yang tidak terlibat dengan pelaksanaan dasar penswastaan itu. Kalau pun tidak sebagai pembuat dasarnya, sebilangan rakyat mungkin menjadi pelaksananya. Paling tidak, rakyat sebagai pengguna turut terseret menjadi ‘pembeli’ dasar tersebut.

Dasar penswastaan mula dilaksanakan oleh kerajaan Malaysia pada tahun 1983, dua tahun selepas Dr. Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri. Antara matlamat penswastaan yang digariskan ialah untuk mengurangkan beban perbelanjaan sektor awam yang ditanggung kerajaan. Dikatakan juga, ia bertujuan meningkatkan profesionalisme, kecekapan dan mutu kerja perkhidmatan yang disediakan.

Bagi mencapai maksud-maksud tersebut, satu demi satu sektor awam ditukar wajah. Antaranya, Lembaga Letrik Negara (LLN) menjadi Tenaga Nasional Berhad (TNB); Jabatan Telekom diswastakan kepada Syarikat Telekom Malaysia Berhad (STM); Jabatan Perkhidmatan Pos bertukar menjadi Pos Malaysia Berhad; dan Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) diswastakan sebagai Syarikat Padi Beras Nasional (Bernas).

Beberapa tugas yang sebelum ini disempurnakan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) juga turut diagihkan kepada pihak swasta. Umpamanya, pengurusan pembetungan diserahkan kepada Indah Water Konsortium (IWK). Manakala pengurusan sisa pepejal di beberapa bandar utama pula diambilalih oleh Alam Flora Sdn Bhd (Alam Flora).

Kerajaan telah berjaya mencapai tujuannya mengurangkan perbelanjaan sektor awam. Tetapi hasratnya meningkatkan profesionalisme, kecekapan dan mutu kerja perkhidmatan-perkhidmatan yang diswastakan itu sentiasa dipersoalkan.

Sedari mula dasar penswastaan dilaksanakan, tidak putus-putus kedengaran suara-suara keluhan dan bantahan rakyat terhadap pelbagai kesulitan yang dialami mereka akibat penswastaan. Antaranya melibatkan kenaikan kos yang terpaksa mereka tanggung. Ada juga yang melibatkan mutu perkhidmatan yang terlalu mendukacitakan.

Para pengusaha kereta sewa dan teksi sering bersungut mengenai masalah pemeriksaan kenderaan mereka yang kini diswastakan kepada Pusat Pemeriksaan Kenderaan BerSyarikat Puspakom. Pernah, pada bulan November 1998 lalu, wakil-wakil persatuan kereta sewa dan teksi dari tiga negeri Utara dan dua negeri Pantai Timur Semenanjung, iaitu Perlis, Kedah, Perak, Kelantan dan Terengganu sepakat membentuk Resolusi Baling. Mereka menegur enam kementerian dan Puspakom yang didakwa sering menimbulkan masalah kepada kerjaya mereka.

Antara lain, mereka menyebut contoh bagaimana pernah berlaku, kenderaan mereka yang baru keluar (lulus) dari pusat pemeriksaan Puspakom ditahan oleh penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan disaman kerana mengeluarkan asap tebal. Ertinya, penswastaan pemeriksaan kenderaan gagal menyenangkan urusan mereka.

Beberapa persatuan nelayan kawasan (PNK) pula membantah cadangan menswastakan jeti dan pelabuhan perikanan milik Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di seluruh negara. Mereka bimbang langkah itu akan menyebabkan cukai labuhan dan lain-lain caj berkaitan pendaratan ikan, yang terpaksa dibayar nelayan selama ini, akan melambung naik. Keadaan itu dibimbangi akan memaksa kenaikan harga ikan, yang mana akhirnya akan ditanggung oleh seluruh rakyat.

“Sepatutnya jeti dan pelabuhan berkenaan diserahkan kepada nelayan terlebih dahulu sebelum ditawarkan kepada pihak ketiga, kerana kompleks berkenaan dibina untuk kepentingan mereka,” Pengerusi PNK Kuala Terengganu Selatan, Hassan Ismail dipetik sebagai berkata.

Krisis air di Lembah Klang tahun lalu tercatat sebagai salah satu titik hitam dalam sejarah penswastaan. Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Prof. Hamdan Adnan antara pihak paling lantang menyeru pihak terbabit di negeri-negeri mempertimbangkan semula rancangan penswastaan bekalan air demi kepentingan pengguna. Sedangkan di waktu itu, konsesi bekalan air di Lembah Klang telah diberikan kepada Puncak Niaga Sdn Bhd. Ia dikira gagal mencapai tahap perkhidmatan yang dijanjikan.

Penswastaan pengurusan pembetungan kepada IWK juga tidak sudah-sudah dilanda kontroversi. Selain caj pembetungannya yang terlalu tinggi, perkhidmatannya juga tidak menentu. Akhirnya ia memaksa Kementerian Kewangan memperkenalkan beberapa syarat baru dalam pengurusan syarikat berkenaan.

Pernah dilaporkan juga dalam akhbar harian bagaimana kira-kira 3,000 penanam padi di kawasan pengairan Projek Kemajuan Terengganu Utara (Ketara) mendakwa mereka ditindas oleh Bernas yang menguruskan Kompleks Bernas di Bukit Kenak, Jertih. Pengerusi Persatuan Ketua Tani Ketara, Mohamad Awang Mat berkata, potongan yang dikenakan oleh Bernas adalah antara 17 hingga 27 peratus bagi setiap tan metrik padi yang dijual kepada syarikat itu.

Kadar tersebut sangat tinggi berbanding dengan kadar yang dikenakan oleh pembeli swasta lain. Sedangkan Bernas sebagai syarikat gergasi yang mengambil alih LPN sepatutnya lebih berkemampuan mengenakan kadar potongan serendah mungkin untuk membantu para petani.

Akibatnya, sebahagian para petani terpaksa mengupah lori membawa hasil padi mereka ke kilang-kilang kecil di daerah lain, termasuk ke Kerandang (Setiu), Bukit Awang (Pasir Puteh) dan Tepoh (Kuala Terengganu) yang dilaporkan mengenakan potongan serendah 14 peratus sahaja. Manakala rakan mereka yang lain, mahu tidak mahu, terpaksa merelakan “penindasan” tersebut.

Mei lalu, Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) pula meluahkan rasa kecewa terhadap prestasi perkhidmatan Alam Flora yang menguruskan sisa pepejal di bandar itu. Ia didakwa bukan sahaja gagal mencapai tahap lebih baik, bahkan gagal menyamai tahap perkhidmatan yang pernah diberikan MPK sebelum ini. Apa yang disuarakan MPK itu tentunya bukanlah yang pertama kita dengar mengenai perkhidmatan Alam Flora.

Contoh-contoh yang disebutkan di atas hanyalah kutipan secara rambang. Puluhan lagi (ratusan malah!) kes telah berlaku, yang tidak upaya dinyatakan satu-persatu di sini. Kenaikan caj telefon dan kadar tarif elektrik, lebuh raya bertol, yuran pengajian yang tinggi di Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS), kos perubatan yang melambung di hospital dan klinik swasta, kenaikan harga beras, semuanya semakin membebankan kehidupan rakyat.

Apa yang nyata, dasar penswastaan berjaya menidakkan aktiviti dan fungsi yang pada tradisinya merupakan tanggungjawab kerajaan. Ia kini diserahkan kepada sektor swasta. Ini membolehkan kerajaan BN berlepas tangan daripada beberapa masalah yang dihadapi rakyat.

Di masa yang sama, BN telah mengubah sasaran, daripada rakyat mendapat manfaat sebagai hak, kepada rakyat menjadi pengguna yang perlu membayar. Tanggungjawab sosial pihak pemerintah telah dilepaskan melalui eksploitasi secara perniagaan. Kerajaan BN tidak lagi mempunyai sifat ‘beramanah dan berkebajikan’, tetapi telah dirasuk untuk berfikir secara korporat.

Cadangan PAS untuk mengkaji semula dasar penswastaan menyerlahkan lagi kepekaan parti itu terhadap permasalahan rakyat. Mengkaji semula tidak bermaksud memberhentikan semua perkara yang telah pun diswastakan. Segala yang bermanfaat untuk rakyat tetap akan diteruskan.

Ia bertepatan dengan konsep ‘Negara Beramanah dan Berkebajikan’ yang terlembaga dalam perjuangan PAS sedari dulu. Itulah konsep yang mengutamakan kesenangan dan kebajikan rakyat, mengatasi keuntungan kerajaan dan pihak-pihak berkepentingan.

BN bagaimana pun tidak menampakkan sebarang tanda keinsafan atas pelaksanaan dasar yang membebankan hidup rakyat itu. Rakyat tentunya tidak boleh membiarkan kerajaan sebegini terus memerintah dan terus-terusan menyusahkan mereka. Rakyat ada sebab untuk sama-sama bangkit menolak BN dalam pilihan raya nanti!

(Artikel ini disiarkan akhbar Harakah, edisi 2 Ogos 1999 dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment