Friday, August 13, 1999

Asli atau baru, yang untung Umno juga


Oleh: Mohd Nasir Awang

ALLAHYARHAM Tan Sri Dato’ (Dr) Mohd Asri Muda, bekas Yang Dipertua Agung PAS sehingga ke akhir hayatnya menganggap beliau adalah orang Parti Islam Se-Malaysia (PAS). Baginya, roh sebenar perjuangan PAS, yang asli atau tulen, adalah apa yang ada dalam jiwanya.

Asri bukan sahaja mewarisi, malah memperkukuhkan dasar perjuangan PAS yang dipelopori oleh Dr. Burhanuddin Mohd Noor al-Helmy dan Prof. Zulkiflee Muhammad sebelumnya. Dasar perjuangan PAS di waktu itu ialah gabungan di antara Islam dan faham kebangsaan Melayu.

“Islam itu tidak boleh diletakkan di atas pokok, digantung di dahan kayu, atau dilekatkan di atas dinding. Ia mesti ada pendukungnya.... dan dalam konteks negara kita Malaysia, pendukungnya adalah orang Melayu. Ini bermakna bahawa Islam dan orang Melayu tidak dapat dipisahkan. Dari sudut yang sama, Islam akan menjadi kuat, utuh serta terjamin masa depannya di negara ini hanya jika kedudukan dan masa depan orang Melayu itu sendiri terjamin...”, demikian Asri pernah berkata.

Di atas rasional itu, tidak menjadi janggal bagi Asri untuk melihat Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (Umno) sebagai penyambung dasar yang diperjuangkan oleh beliau sendiri sebelum itu. Umno pada zaman Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad adalah berbeza dengan Umno sebelumnya. Mengikut Asri, Dr Mahathir, dengan dibantu oleh tokoh-tokoh seperti Dato’ Seri Anwar Ibrahim, mengendalikan Umno di atas satu landasan baru iaitu menggabungkan perjuangan faham kebangsaan Melayu dengan Islam. Persis perjuangan PAS di bawah Asri dulu.

Umno secara tradisi sememangnya memperjuangkan faham kebangsaan Melayu. Apa yang perlu bagi Umno hanya sekadar menambah sedikit “serbuk perisa Islam” bagi memberi citarasa yang bersesuaian dengan jiwa orang-orang seperti Asri. Sedangkan PAS, lebih kurang di waktu yang sama, dilanda ‘revolusi dalaman’ yang cuba mencabut saki-baki dasar perjuangan kebangsaan. Ia mengemukakan konsep kepimpinan ulama.

Maka, ada logiknya hujah Asri bahawa PAS pasca-Asri sudah tidak tulen atau asli lagi. PAS telah membuang perjuangan faham kebangsaan Melayu, manakala Umno pula dilihat cuba memakai bauan Islam sebagai gabungan kepada perjuangan kebangsaannya selama ini. Bagi Asri, idealisme perjuangan politiknya telah direalisasikan oleh pemimpin-pemimpin Umno. PAS pula semakin menyimpang dari dasar perjuangan asalnya, apabila meninggalkan faham kebangsaan Melayu.

Bahkan, dalam rangka merampas pemerintahan negara daripada Barisan Nasional (BN), PAS pergi lebih jauh memecah tembok pemisah dengan masyarakat bukan Islam dan bukan Melayu. Sudah ada suara-suara meminta PAS membuka pintu keahlian kepada bukan Islam. Kerjasama secara praktikal pula sudah dan sedang diusahakan dengan Parti Tindakan Demokratik (DAP), sebuah parti cauvinis Cina yang anti-Negara Islam, atas hasrat bersama untuk menumbangkan BN.

Fenomena baru dalam pendekatan politik PAS ini nyata menimbulkan kekecohan di kalangan ahli parti. Ini bukanlah pertama kali keadaan sebegitu berlaku. Secara tradisi, setiap kali PAS cuba melaksanakan pendekatan baru dalam politik, kekecohan pasti berlaku. Sebabnya, orang-orang PAS sangat sayang kepada partinya. Mereka bimbang sebarang pendekatan yang “tidak teliti” akan mencacatkan dasar perjuangan suci parti itu.

Sebab itu, apabila PAS bergabung dengan Perikatan dan BN selepas Tragedi 1969, sebilangan ahli PAS bertindak keluar dan menubuhkan Imam. Sebahagian besar mereka rujuk kembali kepada PAS apabila parti itu berpisah dengan BN pada tahun 1978.

Begitu juga, apabila PAS membentuk kerjasama dengan Parti Semangat 46 (S46) yang merupakan serpihan Umno, sebilangan ahli PAS bertindak menubuhkan PAS 51 atau Kumpulan Islah PAS. Mereka hingga kini masih belum rujuk kembali kepada PAS.

Sebenarnya, dikecualikan dalam kes Imam, setiap firkah atau serpihan yang wujud ekoran krisis dalam PAS, semuanya memberi keuntungan kepada Umno. Walau pun setiap firkah yang wujud itu dikatakan bertujuan mempertahankan PAS yang asli dan tulen, berdasarkan perjuangannya yang asal, mereka berakhir di dalam pelukan Umno.

Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) diwujudkan sebagai alternatif kepada PAS yang sedang bergolak pada tahun 1977. Tidak banyak perbezaan antara dasar dan matlamat perjuangan kedu-dua parti. Maka Berjasa berupaya menarik sebahagian besar ahli dan penyokong PAS, terutama di Kelantan. Kerajaan PAS di Kelantan ditumbangkan. Yang tinggal hanya ‘dua nesan’, iaitu di Sering dan Manek Urai.

Berjasa sememangnya berjasa, tetapi bukan kepada dasar dan matlamat perjuangan Islamnya. Ia berjasa mengembalikan Kelantan kepada Umno, sekadar berkongsi kuasa untuk beberapa ketika sebelum disingkirkan secara halus.

Pada tahun 1983, Parti Hizbul Muslimin Malaysia (Hamim) pula wujud sebagai serpihan PAS. Sebagaimana Berjasa, matlamat dan dasar Hamim juga tidak banyak beza dengan parti induknya, PAS. Bahkan, Asri yang menubuhkannya mendakwa Hamim adalah galang-ganti perjuangan PAS yang asli. PAS yang ada sudah terpesong dari landasan perjuangan asalnya.

Malangnya, Hamim juga tidak sempat menyertai pilihan raya atas namanya sendiri. Dia menyertai gabungan BN. Laungannya yang konon untuk menegakkan perjuangan PAS yang asal dan tulen entah ke mana.

Langkah PAS bergabung dengan S46 pada tahun 1989 juga melahirkan kumpulan serpihan. Mereka disebut PAS 51 atau Kumpulan Islah PAS. Mereka menolak kerjasama dengan S46, kerana parti itu bagi mereka saling tak tumpah dengan Umno.

“Ibarat seekor biawak dikerat dua; bahagian depannya disebut kepala biawak, bahagian belakangnya disebut ekor biawak juga. Biawak tetap biawak”, itulah antara ucapan para pemimpin Kumpulan Islah yang menyamakan Umno dengan seekor biawak. Para pemimpin PAS dituduh mengotorkan perjuangan PAS yang tulen dan suci. Bekerjasama dengan S46 seolah-olah membawa ‘bangkai biawak’ ke dalam PAS.

Duduk tak duduk, mereka yang sama akhirnya menyertai parti “biawak” itu. Ada antara mereka malah menjadi calon Umno, dan sebilangan mereka hingga kini aktif menjadi penceramah Umno memburuk-burukkan PAS. Biawak entah ke mana, perjuangan PAS tulen dan suci itu juga tidak kedengaran lagi.

Parti Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim) juga ditubuhkan bertolak dari rasa tidak puas hati sebilangan ahli PAS terhadap kepimpinannya. Nadanya serupa juga dengan nada awal penubuhan Berjasa, Hamim dan Islah, iaitu kepimpinan PAS yang ada sudah menyeleweng dan terpesong dari perjuangan yang asli dan tulen. Kononnya penubuhan Akim sebagai alternatif kepada PAS dan mengambil dasar dan matlamat perjuangan PAS yang asal.

Namun, dalam masa yang singkat, ia memohon menyertai gabungan BN. Permohonan itu bagaimana pun tidak dilayan BN. Kematian presidennya meninggalkan Akim tanpa teraju.

Kini, bagaikan disuruh-suruh orang, bergema pula suara menubuhkan PAS Baru. Uniknya, sebagaimana Berjasa, Hamim, Islah dan Akim, ia juga bermula di Kelantan. Media massa pro-Umno sudah tentu tidak melepaskan peluang mengeksploitasi sedapat mungkin sebarang keretakan dalam PAS. Digambarkan PAS mengalami perpecahan dalaman yang dahsyat. Semuanya bertitik-tolak daripada rasa tidak puas hati ahli PAS terhadap para pemimpinnya.

PAS didakwa terpesong lagi. Kali ini kerana hasratnya membuka pintu keahlian kepada bukan Islam dan kesediaannya bekerjasama dengan DAP. Di kalangan para pemimpin PAS Besut yang dipecat turut memberitahu para pengikut setia mereka, kononnya mereka dipecat kerana membantah tindakan PAS Pusat bekerjasama dengan DAP.

Gambaran yang cuba diberikan, mereka di pihak yang benar. Hanya mereka yang sayangkan PAS, dan mereka sahaja pejuang PAS tulen. Sedangkan PAS yang ada sekarang sudah tidak tulen. Mereka cuba mengalihkan pandangan masyarakat daripada sebab sebenar pemecatan mereka, sekaligus cuba menutup “pekung politik” yang dihadapi PAS Besut sejak bertahun-tahun lamanya.

Malangnya, mereka mencari kekuatan dengan bergabung tenaga dengan bekas-bekas ahli PAS yang sudah ‘gugur’ lebih awal, dan menjadi penceramah Umno sejak beberapa lama. Mereka juga mengadu nasib kepada tv dan akhbar-akhbar talibarut Umno. Sejak bila pula media-media itu menyokong aspirasi perjuangan Islam? Apakah tv dan akhbar itu akan beria-ia menolong mereka, jika atas dasar memperjuangkan PAS tulen?

Sejarah membuktikan bahawa setiap serpihan daripada perjuangan mainstream PAS berakhir dengan keuntungan kepada Umno. Walau pun dikatakan tujuan asal kewujudan serpihan itu sebagai usaha memperbetulkan perjuangan PAS yang asli dan tulen, kesilapan mereka menghina kepimpinan PAS secara melampau akhirnya memakan diri. Mereka ‘ditelan’ kerakusan politik Umno/BN akhirnya!

 (Artikel ini disiarkan akhbar Harakah, edisi 13 Ogos 1999 dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment