Monday, October 31, 2011

Khatam: Surat Terbuka untuk Malaysia Book of Records


Oleh: Mohd. Nasir Awang

Sekalung tahniah buat Malaysia Book of Records (MBoR) di atas komitmennya merakamkan kejayaan dan pencapaian penting yang berlaku di tanahair ini. Tidak syak lagi peranan dimainkan pihak ini memberikan saham sangat baik dalam membina masyarakat berpengetahuan dan bermaklumat.

Sebagai seorang warganegara yang menyanjung tinggi sebarang usaha menganjurkan masyarakat celik maklumat, saya tidak ketinggalan amat mengalu-alukan kewujudan MBoR di tengah-tengah kerancakan kemajuan teknologi maklumat, pembangunan negara dan perkembangan politik.

Dengan adanya institusi yang mengkhususkan tumpuan kepada kerja-kerja merakam dan menyimpan rekod-rekod dicipta dalam negara, terutama membabitkan beberapa tahun kebelakangan ini, diharap akan menjadi nilai tambah dalam usaha menyemarakkan lagi budaya celik maklumat dalam masyarakat kita.

Mengambilkira peranannya sebagai tempat rujuk yang setakat ini dianggap paling berautoriti berhubung catatan rekod-rekod di negara ini, MBoR sudah semestinya memastikan segala yang dicatat dan diiktirafnya menepati piawaian. Segala fakta mestilah tepat dan benar. Manakala dalam hal yang memerlukan kepastian berhubung kriteria yang perlu dipenuhi bagi melayakkan sesuatu dianggap rekod, MBoR juga perlu memastikan kriteria-kriteria itu dipenuhi sebaiknya.

Di atas rasa prihatin terhadap kredibiliti itulah, saya merasa terpanggil untuk melontarkan sedikit perbahasan mengenai kaedah atau ketelitian diambil pihak MBoR dalam memastikan sesuatu yang dianggap rekod itu benar-benar mencukupi syarat kelayakan atau piawaiannya sebelum diberikan pengiktirafan. Apa yang saya utarakan ini boleh dianggap teguran, pandangan atau mungkin juga bantahan.

Kita difahamkan Sabtu, 29 Oktober, MBoR sekali lagi ke Terengganu bagi menyaksikan satu program besar yang sengaja dirancang untuk dicatatkan di dalam rekod tersebut. Kerajaan negeri menerusi Yayasan Islam Terengganu (YIT) sekali lagi menghimpunkan ribuan kanak-kanak sekolah pada majlis khatam al-Quran secara beramai-ramai. Majlis berkenaan dilangsungkan secara serentak mengikut kawasan Parlimen di tujuh lokasi berbeza di seluruh negeri itu.

Menurut laporan media cetak pada keesokannya, program tersebut telah berjaya memaut penyertaan seramai 20,133 murid, sekali gus melakar sejarah tersendiri. Mereka termasuklah seramai 6,325 murid dari sekolah-sekolah di seluruh Parlimen Kuala Terengganu dan Kuala Nerus yang berkumpul di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Terengganu.

Serentak itu, seramai 3,149 murid dari seluruh Parlimen Besut berhimpun di Masjid Nasiruddin Shah, Kampung Raja. Sejumlah 2,311 rakan sebaya mereka dari Setiu pula berada di Masjid Bandar Permaisuri. Manakala 1,910 murid Hulu Terengganu berkumpul di Masjid Sultan Mahmud, Kuala Berang.

Di Marang, seramai 2,744 lagi berkumpul di Masjid Sultanah Nur Zahirah. Manakala seramai 2,024 murid berhimpun di Dataran Padang Merdeka, Dungun, diikuti 1,670 lagi di Masjid Sultan Ahmad, Kemaman.

Dilaporkan majlis itu anjuran bersama YIT, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT). Menepati hasrat penganjurannya, program Sabtu lalu sekali lagi berjaya mendapat pengiktirafan MBoR sebagai majlis khatam al-Quran secara serentak paling besar. Ia malah memecahkan rekod dicatat negeri itu sendiri tahun lalu yang merekod kehadiran seramai 16,929 murid.

Tidak syak lagi pencapaian itu bakal dijadikan modal politik oleh parti pemerintah. Paling tidak ia akan digembar-gemburkan sebagai bukti betapa serius kerajaan negeri mendidik anak-anak sedari usia awal mereka untuk menamatkan pembacaan al-Quran.

Namun, bukan itu hasrat saya mengulas perkara ini. Biar lah orang politik kekal dengan keghairahan meraih mileage politik. Itu sudah tabiat mereka. Lagi pun sedari awal perancangan menganjurkan program ini pun kita sudah dapat menelah bahawa ia sebenarnya lebih didorong hasrat mencipta rekod dan mencari kemasyhuran.

Mana tidaknya jika diambilkira betapa saban tahun perkara dijadikan sasaran utama penganjurannya ialah mempertingkat jumlah murid yang dikumpulkan dalam program serupa dan bukannya aspek-aspek lain yang lebih bermakna atau lebih mencabar.

Sebab itu dapat kita saksikan rekod itu dengan mudah berulangkali dipecahkan oleh pihak sama saban tahun. Ia sudah menjadi agenda yang sedaya mungkin dipastikan berlaku sehingga sudah hilang seri dan gahnya. Rasanya tidak begitu sukar bagi rakyat negara ini yang mengikuti perkembangan perkara itu, khususnya yang berada di Terengganu beberapa tahun kebelakangan ini mengakui hakikat itu.

Malah tidak sukar juga untuk mereka mengimbau kembali bagaimana riuh dan hebohnya apabila buat pertama kalinya majlis sedemikian diadakan pada 2006 lalu. Kejayaan mengumpulkan seramai 937 kanak-kanak berusia lima hingga enam tahun yang belajar di Tadika YIT dalam satu majlis untuk khatam al-Quran secara serentak benar-benar dijadikan bahan meraih mileage politik oleh parti pemerintah.

Ia diberikan laporan meluas oleh media-media arus perdana dan diulangsiar beberapa kali oleh pelbagai saluran propaganda milik kerajaan negeri. Tidak cukup setakat itu, berpuluh papantanda gergasi memaparkan gambar kanak-kanak sedang mengaji al-Quran beserta angka 937 itu dipacakkan di segenap jalan utama di serata negeri.

Rekod itu diperbaharui oleh pihak sama dengan penganjuran majlis serupa pada 2007. Seramai 2,010 kanak-kanak pula dihimpunkan. Kali ini turut melibatkan murid-murid Tadika Kemas dan prasekolah JPNT, selain Tadika YIT. Kejayaan sama diulang-ulang saban tahun dengan peningkatan jumlah murid yang terlibat.

Sementara sebilangan khalayak umum menghulurkan tahniah kepada pihak penganjur, khususnya kerajaan Terengganu di atas kejayaan itu, sebahagian lagi mengikuti perkembangan itu dengan perasaan sedikit gundah dan kesal. Mereka termasuklah sebilangan ibubapa dan guru-guru yang mengajar al-Quran kepada murid-murid terbabit sendiri.

Sebab-musabab kekesalan itu saya kira amat wajar diperhalusi oleh semua pihak, terutama MBoR, kerana ia membabitkan kredibiliti rekod yang didakwa telah dicipta itu. Menurut maklumat yang saya perolehi daripada sebilangan rakan dan kenalan yang terlibat dengan program ini (terutama sebagai ibubapa kepada murid terbabit), tahap pencapaian pembacaan murid-murid tersebut tidak lah sepertimana didakwa.

Menurut mereka, fakta mendakwa kesemua murid yang hadir dan terlibat dengan setiap program itu saban tahun sudah khatam al-Quran amat mengeliru dan layak dipertikaikan. Ada bukti sangat meyakinkan betapa sebahagian besar murid-murid terbabit sebenarnya baru di peringkat awal pembacaan al-Quran. Mereka mungkin telah mengenal huruf dan dapat membaca sendiri tanpa perlukan tunjuk ajar atau bimbingan guru. Tetapi sekadar dapat membaca dan menghafal beberapa surah belum sesuai dianggap sebagai khatam.

Sebahagian yang tidak sedikit daripada murid terbabit baru sekadar khatam mukaddam atau baru berada pada juz-juz awal pembacaan. Mereka belum pun tamat membaca separuh al-Quran dan terlalu jauh untuk dianggap telah khatam. Sedangkan istilah khatam yang difahami dan diterimapakai dalam tradisi pembelajaran al-Quran ialah kejayaan menamatkan pembacaan kesemua 30 juzuk kitab suci itu.

Ertinya dakwaan mengatakan kesemua murid terbabit dalam majlis itu telah khatam al-Quran adalah sesuatu yang amat dipertikaikan. Sekiranya itu hakikat yang berlaku, bererti rekod yang didakwa telah dicipta itu sebenarnya suatu yang tidak menepati kriteria atau piawaian sebenar dan amat dikesalkan.

Justeru saya mencadangkan agar MBoR mengambil perhatian serius tentang kesahihan dakwaan ini. Untuk itu ada baiknya MBoR turun semula ke Terengganu, bertemu secara peribadi dengan sebilangan ibubapa atau guru-guru terbabit. Dapatkan kepastian mereka tentang tahap pencapaian pembacaan al-Quran murid-murid disenaraikan itu.

Siasatan boleh dilakukan. Saya kira tidak sedikit para ibubapa kepada murid-murid terbabit yang sanggup memberikan keterangan dan pengakuan ikhlas. Mereka lebih tahu tentang tahap pembacaan al-Quran anak masing-masing. Mereka tidak akan teragak mengakui bahawa anak-anak mereka yang disenaraikan sebagai murid yang telah khatam al-Quran itu sebenarnya masih belum layak dikategorikan sedemikian.

Jika terbukti nanti apa yang mereka ragukan di atas sememangnya realiti, maka MBoR berhak memperbetulkan kembali keadaan, termasuk kemungkinan menarik balik pengiktirafan tersebut. Yang bersalah dalam hal ini bukannya MBoR. Ia mungkin bertindak secara terpaksa bagi memenuhi serakah politik parti pemerintah.

Atau mungkin ia tidak dibekalkan pemahaman yang betul mengenai kriteria dan prasyarat kelayakan khatam al-Quran mengikut tradisi ilmu Islam. Mungkin juga kerana mereka meletakkan kepercayaan sepenuhnya kepada pihak penganjur yang diketahui sebagai pihak bertanggungjawab terhadap hal ehwal agama dalam masyarakat.

Ertinya yang jelek, buruk perangai dan wajar dipersalahkan dalam hal ini ialah parti pemerintah yang menaungi ketiga-tiga jabatan penganjur itu. Hanya semata-mata bagi memenuhi agenda politik, rakyat dipaksa terima pembohongan mereka.

Apa yang dipaksakan ke atas MBoR untuk diperakui sebagai catatan rekod itu sebenarnya pembohongan yang amat keji dan sangat dikesalkan. Semata-mata untuk mencipta nama dan meraih kemasyhuran yang disirati agenda mencari mileage politik, pihak penganjur sanggup membohongi rakyat tentang kehebatan pencapaiannya.

Saya kira pihak paling wajar bertindak memperbetulkan kepalsuan ini ialah MBoR. Apatah lagi ia melibatkan pemalsuan fakta yang dicatat dalam rekod negara. Sedangkan fakta itu bakal menjadi sejarah tertulis yang akan dijadikan rujukan generasi puluhan tahun akan datang.

Lebih-lebih lagi perkembangan politik kebelakangan ini mengajar kita betapa aspek sejarah negara juga menjadi isu utama yang tidak sayugia dipandang remeh. Kesedaran mengenai keperluan merakam dan memperakui fakta-fakta alternatif kepada catatan sejarah diterimapakai selama ini sepatutnya mengajar kita betapa kesilapan orang terdahulu dalam merakam sejarah memang berlaku.

Maka amat sayugia kita mengambil pengajaran dari perkembangan itu dan jangan mengulangi kesilapan serupa. Kita perlu memastikan sebarang catatan sejarah yang sedang kita pahat kini dirakamkan dengan fakta yang benar dan maklumat yang tepat.

Catatan hari ini bakal menjadi sejarah di masa akan datang. Ia bakal dirujuk generasi kemudian dan dianggap sebagai suatu catatan yang benar. Sedangkan ketika itu kita yang berusia hampir separuh abad ini besar kemungkinan sudah tidak ada di dunia ini untuk menerangkan perkara sebenar.

Jika itu berlaku, bererti kita telah membenarkan pemalsuan fakta sejarah berlaku di zaman kita. Akhirnya kita ‘mislead’ generasi anak-cucu kita dengan fakta palsu. Kemungkinan itu mesti diperbetulkan sekarang!

(Artikel ini ditulis untuk siaran laman HarakahDAILY 31 Oktober 2011)

No comments:

Post a Comment