Oleh: Mat Zain Mat Isa
Perbincangan mengenai gejala kemurtadan umat Islam di negara ini tidak pernah berkesudahan. Walau pun aktiviti memesongkan kepercayaan penganut Islam telah dikesan berlaku sejak sekian lama dan siri perbahasan mengenainya diadakan berulangkali, ia bagaikan tidak pernah menemui jalan penyesaian muktamad.
Isu itu sekadar menjadi pemanas meja rundingan dan diskusi. Di masa sama ia menjadi bahan menghangatkan sajian media sekali gus melariskan jualan akhbar-akhbar buat beberapa ketika. Ia timbul dan memuncak seketika, sebelum tenggelam tanpa disertakan langkah atau keputusan konkrit mengelakkan gejala itu berterusan.
Baru-baru ini isu murtad dijulang kembali. Ia terlonjak ekoran pemeriksaan dibuat Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke sebuah premis di Petaling Jaya, 3 Ogos lalu. Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan agama Kristian dikatakan menyewa premis berkenaan untuk majlis makan malam.
Anehnya, penganjur turut menjemput sebilangan umat Islam ke majlis yang diadakan pada bulan Ramadhan itu. Siasata JAIS mendapati kehadiran mereka bukan semata-mata di atas tujuan menjamu selera, tetapi disirati agenda pihak penganjur yang didakwa cuba memesongkan akidah umat Islam.
Perkara itu disahkan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menerusi titah Baginda yang dibuat Isnin (10 Oktober) lalu. Selaku Ketua Agama Islam negeri, Baginda melahirkan rasa amat tersinggung dengan usaha pihak terbabit yang cuba melemahkan kepercayaan penganut Islam.
“Beta amat berharap selepas daripada ini, apa-apa kegiatan dan aktiviti yang sedang berjalan atau yang akan berjalan bagi tujuan mengembangkan ajaran agama lain kepada penganut Agama Islam dalam Negeri Selangor ini hendaklah dihentikan segera dan tiada kegiatan dan aktiviti yang serupa dijalankan di masa hadapan” titah Baginda.
Biar pun ada yang merasa sedikit tidak puas hati tatkala Baginda memutuskan tiada pendakwaan dilakukan terhadap pihak yang menceroboh kesucian akidah umat Islam dalam kes itu, pendirian itu tidak sepatutnya dianggap suatu kompromi.
Sebaliknya, ia isyarat dan amaran amat tegas kepada mana-mana pihak bahawa Sultan dan Raja Melayu tidak akan mudah bertolak-ansur apabila akidah dan kepercayaan umat Islam diganggu-gugat.
Ekoran kenyataan tegas itu pelbagai pihak tampul dengan reaksi positif. Kesemua mereka tanpa mengira fahaman politik dan status sosial bersetuju supaya gejala murtad dibendung habis-habisan. Ada yang menyeru agar sebarang usaha membanteras aktiviti memurtadkan umat Islam tidak dipertikaikan. Ada pula yang menyarankan agar digubal suatu akta yang menyediakan hukuman keras terhadap mereka yang didapati bersalah cuba memesongkan akidah umat Islam.
Apatah lagi ketegasan Sultan Selangor itu dilihat seiringan dengan apa yang diluahkan Pemangku Raja Perak, Dr Raja Nazrin Shah, tepat tiga minggu sebelum itu. Dalam titah ucapannya di Kongres Majlis Agama Islam Negeri-Negeri seluruh Malaysia di Kuala Lumpur, 26 September lalu, Dr Raja Nazrin Shah turut menyentuh gejala merosakkan akidah ummah itu.
“Jika dihalusi, usaha-usaha pencerobohan terhadap Islam bukan sahaja tampak berlaku, tetapi berlaku dalam terang lagi bersuluh. Ia mungkin bermula dengan satu jamuan – satu nyanyian, satu perkhemahan – satu lawatan; ia mungkin bermula dengan segenggam garam – setahil emas, ia mungkin bermula dengan satu kalimah – satu ceramah”, titah Baginda.
Ketegasan pihak istana selaku Ketua Agama negeri-negeri telah disuarakan. Reaksi positif dari khayalak agamawan dan pemimpin masyarakat juga sudah didengari. Namun, sejauh manakah kita akan menemui jalan terbaik menghentikan penularan gejala murtad ini? Ataukah ia sekali lagi akan mengulangi episod-episod lepas yang menyaksikan isu ini tenggelam begitu sahaja dan bakal kembali timbul dengan kes menggemparkan suatu hari nanti?
Dalam hal ini, umat Islam seharusnya ingat pesanan Saidina Umar ibn al-Khattab r.a. dengan katanya ‘kita adalah kaum yang telah diberikan kemuliaan oleh Allah dengan Islam. Andaikata kita cuba mencari kemuliaan dengan yang selain daripada Islam, nescaya kita akan dihina oleh Allah”.
Maksudnya, dalam apa pun keadaan umat Islam sepatutnya tidak melupakan ajaran agama mereka sebgaai penyelesaian kepada setiap permasalahan yang dihadapi. Sehubungan itu dalam keghairahan mencari kaedah atau jalan terbaik menyelesaikan gejala kemurtadan ini, sudah sewajarnya kita kembali kepada apa yang diajarkan Islam.
Dalam hal ini semua pihak tanpa mengira fahaman politik mahu pun agama dan keturunan wajar memperakui hakikat bahawa hanya hukum Islam yang secara jelas menyenaraikan perbuatan murtad sebagai kesalahan jenayah.
Justeru, mana-mana pihak yang sangat menentang usaha memurtadkan umat Islam tetapi tercelupar mulut sebelum ini untuk mempertikaikan cadangan pelaksanaan hudud oleh PAS wajib segera bertaubat, menyesali keterlanjuran mereka dan tampil menyatakan sokongan penuh terhadap usaha mendaulatkan hukum Islam itu.
Mudaha-mudahan dengan tertegaknya hukum Islam itu akidah dan kepercayaan umat islam tidak lagi dicerobohi pihak lain, sekaligus menjamin kemuliaan Islam menepati ingatan Saidina Umar r.a. itu.
(Artikel ini adalah versi lebih panjang kepada artikel disiarkan tabloid Harakah Bil: 1682, 17 Oktober 2011 di ruangan 'KOLUMNIS', F22 dengan tajuk 'Murtad: Ingat pesan Umar al-Khattab')
No comments:
Post a Comment