Oleh: Mohd Nasir Awang
Dalam ucapannya yang dimasyhurkan sebagai ‘Amanat Terakhir’ kepada wakil-wakil rakyat PAS Kelantan sejurus selesai Pilihan Raya Umum 1964, Ahli Parlimen Bachok, Prof. Zulkiflee Muhammad antara lain menekankan peri pentingnya mereka yang diberi kepercayaan semula oleh rakyat itu mengutamakan agenda-agenda khidmat masyarakat.
Beliau yang ketika itu menjawat Timbalan Yang Dipertua Agung (Presiden) PAS dengan penuh tanggungjawab mengingatkan wakil-wakil rakyat partinya mengenai peranan utama yang mesti diambil berat oleh setiap mereka, terutama dalam menyempurnakan keperluan rakyat yang masing-masing wakili.
Sepertimana lazimnya bagi kebanyakan pemimpin PAS, tokoh ulama lulusan Timur Tengah itu juga menyandarkan saranannya itu kepada firman Allah Ta’ala di dalam al-Quran. Beliau membacakan ayat 41 Surah al-Hajj, seraya memberikan penafsiran lebih luas mengenai maksudnya.
Antara lain katanya, “kalau kita lihat kepada al-Quran, maka dia berkata, ‘mereka yang menolong Allah itu ialah mereka yang apabila Kami menangkan mereka di bumi Allah, maka didirikan mereka akan sembahyang, akan agama Allah dan diberi mereka akan zakat, akan khidmat-khidmat masyarakat dan menyuruh mereka dengan kebajikan dan mencegah mereka akan kejahatan’”.
Berdasarkan penafsiran itu dapat disimpulkan bahawa pengertian lebih luas bagi maksud perkataan ‘mendirikan sembahyang’ itu bukan setakat perbuatan fizikal menyempurnakan ibadat rukun Islam kedua itu sahaja. Ia sebaliknya membawa pengertian ‘mendirikan agama Allah’ itu sendiri dalam segenap aspek kehidupan.
Begitu juga, kalimah ‘memberi zakat’ difahaminya bukan sekadar perbuatan mengeluarkan sejumlah hasil pendapatan kepada yang berhak, tetapi mempunyai maksud lebih luas iaitu ‘memberikan khidmat-khidmat masyarakat’.
Penekanan Prof. Zulkiflee itu sekaligus mengesahkan pertautan erat antara zakat sebagai satu rukun agama dengan usaha-usaha menyempurnakan agenda kebajikan dalam masyarakat. Apatah lagi Islam sedari awal turut menggariskan betapa wang zakat bukan boleh diagihkan sewenang-wenang, tetapi mestilah mengikut ketetapan tertentu.
Antaranya, ia tidak boleh diberikan kepada sesiapa sahaja tetapi hanya kepada sekelompok manusia yang khusus, yakni yang diiktiraf layak menerimanya sahaja. Perincian senarai lapan kategori penerima (asnaf) zakat itu menemukan kita dengan hakikat bahawa selain amil yang mendapat kelayakan disebabkan tugasnya mengumpul zakat, kesemua tujuh asnaf lain itu tergolong dalam khalayak yang perlukan bantuan atau wajar diberikan pertolongan.
Mereka adalah golongan fakir, miskin, mualaf, hamba mukatab (yakni diberi peluang oleh tuannya untuk menebus diri), orang yang berhutang pada mentaati Allah, kaum pejuang fi sabilillah dan ibussabil (yakni orang yang jatuh fakir atau kehabisan bekal dalam musafir bukan di atas perkara maksiat).
Imam Habib Abdullah Haddad di dalam kitabnya “Nasihat Agama dan Wasiat Iman” dalam membicarakan bab zakat antara lain melontarkan pemahaman beliau mengenai maksud amalan zakat itu. Antara lain beliau menyimpulkan “dan hanyasanya Allah s.w.t. telah mewajibkan zakat itu untuk menjadi penyuci bagi si kaya dan sara hidup dan bantuan untuk si miskin”.
Kesimpulan itu secara tidak langsung menyediakan garis panduan umum bahawa kelayakan utama seseorang menerima zakat ialah kedudukan ekonominya. Sebab itu sasaran utama pengagihan zakat sepertimana lazimnya diamalkan pihak berkuasa ialah terhadap golongan fakir miskin dan yang tidak bernasib baik.
Di antara hikmat Allah Ta’ala mengkhususkan pengagihan zakat kepada golongan terbabit ialah agar mereka merasa kebajikan mereka terbela di sisi agama lalu senantiasa terpaut hati pada mentaati Allah.
Kesimpulan ini dapat dibaca menerusi Kitab Bimbingan Mukminin yang dianggap ringkasan kepada kitab Ihya’ Ulumuddin karangan Imam Ghazali. Ia antara lain mencatatkan peringatan buat para penerima zakat. Tulisnya, “Hendaklah ia (penerima zakat) memahami benar-benar bahawa Allah Ta’ala itu mewajibkan untuk menerimakan harta zakat itu kepada dirinya agar supaya cukuplah ia memberi perhatian pada tugasnya dan dapat merupakan penolong untuknya guna melaksanakan ketaatan pada Allah Ta’ala”.
Diakui umum betapa seseorang yang ditimpa kesempitan hidup, terutama bersabit kewangan mudah hilang pertimbangan. Banyak sekali kisah dan kes yang terdedah kepada umum mengenai berbagai kejadian di mana ada yang sanggup menggadai maruah dan harga diri demi menyempurnakan kebutuhan kewangan. Malah tidak kurang juga yang mempertaruhkan akidah semata-mata di atas desakan hidup.
Islam memang menyedari hakikat betapa bahayanya kefakiran atau kehidupan yang sempit dan terlampau miskin. Seribu satu macam kesan buruk mungkin berlaku, termasuk membabitkan ancaman terhadap akidah seseorang. Sebab itu Rasulullah s.a.w. pernah menyebutkan bahawa “hampir-hampir kepapaan itu membawa kepada kekufuran”.
Peringatan ini sebenarnya suatu amaran bagi semua pihak tentang bahaya kefakiran. Sementara si empunya diri yang fakir sepatutnya mengambil pengertian hadis ini sebagai cabaran dan ingatan agar berusaha keluar dari jurang kefakiran, anggota masyarakat Islam yang lain pula sewajarnya menganggap amaran Nabi s.a.w. ini sebagai tanggungjawab mereka memastikan golongan fakir-miskin terbela sebaik mungkin.
Justeru, tidak seharusnya wujud golongan fakir yang merasa tidak terbela, atau dibuktikan memang tidak diberikan pembelaan sewajarnya. Apatah lagi dalam konteks negara kita sebagai sebuah negara bermajoriti umat Islam yang dibanggakan sebagai memiliki sistem pengurusan zakat paling baik di rantau ini.
Sebab itu apabila baru-baru ini tercetus isu bagaimana terdapat sebilangan individu Islam yang mendakwa tidak diberikan bantuan sepatutnya oleh pihak berwajib di Selangor, sehingga mereka hilang pertimbangan dan sanggup mengadu nasib kepada institusi agama lain, pelbagai pihak spontan menoleh ke arah pihak pengurusan zakat negeri terbabit.
Fokus bual bicara masyarakat, terutama aktivis sosial, pengamal media dan ilmuan Islam segera tertumpu kepada pelbagai soalan berkaitan pengagihan wang zakat. Ada yang bertanya, macam mana pihak terbabit boleh terlepas pandang golongan yang sepatutnya dibantu ini?
Yang lain pula mempersoalkan ke mana perginya wang zakat dikumpulkan kerajaan negeri yang berjumlah ratusan juta setahun? Apakah prosedur permohonan bantuan zakat diamalkan kerajaan terlalu ketat dan remeh sehingga menyebabkan ia tidak mudah sampai ke sasaran?
Ataukah wujud kelemahan urustadbir sehingga gagal mengenalpasti pihak yang sepatutnya dibantu benar-benar mendapat bantuan diperlukannya?
Pertikaian terhadap ketelusan dan keberkesanan mekanisme pengurusan zakat tambah hangat apabila kesan daripada kelemahan itu dianggap punca memudahkan usaha dakyah agama lain kepada golongan tidak berkemampuan itu.
Pendedahan oleh salah seorang individu terbabit dalam kes jamuan makan di gereja di Selangor itu, sepertimana dikisahkan kembali oleh Bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin di dalam satu catatannya menambah kehangatan kepada bual bicara isu tersebut.
Beliau mencatatkan, “Menurut dia (individu terbabit) memang ramai lagi yang terpengaruh dengan usaha Kristianisasi yang dilakukan. Mereka yang banyak terlibat terdiri dari kalangan ibu tunggal yang miskin, saudara baru Muslim yang tidak dipedulikan, wanita yang mengandung tanpa suami, pesakit Aids dan juga Muslim dari Sabah dan Sarawak yang dalam kesusahan”.
Apa yang didakwa individu terbabit mungkin benar, atau boleh jadi juga ditokok-tambah. Apa pun hakikatnya, isu ini sepatutnya memperkukuhkan lagi pegangan umat Islam terhadap peri pentingnya institusi zakat sebagai mekanisme yang dicipta Allah untuk menyempurnakan agenda kebajikan dan pembasmian kemiskinan dalam masyarakat.
Tepat sepertimana ditafsirkan Allahyarham Prof. Zulkiflee hampir separuh abad lalu, bahawa amalan memberi zakat itu sinonim dengan agenda kebajikan dan khidmat masyarakat.
(Artikel ini disiarkan majalah bulanan al-Muslimah, Bil: 236, edisi Oktober 2011 di ruangan 'TOPIK' dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment