Oleh: Mohd. Nasir Awang
Dalam ucapannya kepada wakil-wakil rakyat PAS Kelantan yang baru memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) 1964, Almarhum Prof. Zulkiflee Muhammad secara serius menerjah mereka mengenai soal kesungguhan menunaikan tanggungjawab masing-masing. Ucapan amat bernas dan berpandangan jauh itu kemudiannya menjadi wasiat amat bermakna buat para pejuang Islam sepanjang zaman.
Ia dianggap sebagai ‘Amanat Terakhir’ beliau selaku Timbalan Yang Dipertua Agung (kini Presiden) PAS memandangkan itulah ucapan terakhirnya sebelum maut dalam nahas jalan raya dekat Kuantan dalam perjalanan pulang ke Kuala Kangsar, Perak selepas itu.
Antara aspek ditekankan Almarhum dalam wasiatnya itu ialah peri pentingnya setiap wakil rakyat PAS memahami tugas dan kedudukan mereka. Beliau menghuraikan tugas itu di beberapa bahagian ucapannya.
Antara katanya, “perlu kita kenali diri kita pada hari ini, bahawa kita ini telah dipilih oleh rakyat. Rakyat (Kelantan) yang sayang kepada kita (PAS). Rakyat yang sanggup mengenepikan janji-janji Kerajaan Perikatan hendak mencurahkan nikmat-nikmat besar kepada negeri mereka, kerana kita memberitahu mereka bahawa kita ini hendak menjalankan hukum-hukum Tuhan. Bahawa kita ini hendak menyelamatkan hidup mereka di dunia dan di akhirat. Marilah kita hormati rakyat ...”.
Sepintas lalu sahaja pun, petikan ucapan Almarhum itu mengesahkan kita beberapa fakta. Pertama, bahawa soal melaksanakan hukum Islam bukan agenda baru bagi PAS. Ia telah menjadi matlamat perjuangan parti itu sedari awal penubuhannya dan telah lama dikumandangkan.
Justeru amat tidak tepat jika ada yang mempersoalkan kenapa baru sekarang PAS bercakap mengenai isu itu. Malah amat menyalahi fakta sejarah sekiranya masih ada yang mendakwa PAS sengaja menimbulkan isu pelaksanaan hukum Tuhan semata-mata demi menghadapi pilihan raya.
Kedua, bahawa rakyat yang memilih PAS (khususnya yang memilih untuk mengekalkan pemerintahan PAS di Kelantan) menyokong PAS semata-mata kerana janji melaksanakan hukum Tuhan. Mereka telah membuktikan kesungguhan untuk itu sehingga sanggup mengenepikan janji-janji pembangunan dan tawaran kebendaan oleh Perikatan yang menguasai Kerajaan Pusat.
Keadaan yang digambarkan Almarhum Prof. Zulkiflee hampir lima dekad lalu itu tidak ada bezanya dengan hakikat politik kini. PAS masih berdepan halangan dan ancaman serupa. Walau pun Perikatan bertukar nama kepada Barisan Nasional (BN) dan para pemimpin serta pengikutnya berubah watak, namun ideologi dan pendekatan politik mereka tetap sama.
BN meneruskan tabiat menawarkan limpahan pembangunan dan janji kebendaan sebagai lawan kepada janji PAS menegak dan melaksanakan hukum Islam. Justeru, apabila rakyat masih memilih untuk menyokong PAS, bererti mereka kekal dengan sikap sepertimana digambarkan Almarhum dulu, iaitu sanggup mengenepikan janji-janji kebendaan demi melihat Islam ditegakkan.
Ketiga, bahawa menjadi tugas dan tanggungjawab wakil-wakil rakyat PAS dan kerajaan negeri dipimpin parti itu untuk menghormati pilihan rakyat. Bahawa tugas utama mereka ialah menyempurnakan hasrat rakyat yang memilih mereka, iaitu untuk melihat hukum-hukum Tuhan dilaksanakan di negeri mereka.
Sekalung tahniah buat pucuk pimpinan PAS, khususnya Musrsyidul Am merangkap Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato’ Nik Abduk Aziz Nik Mat yang terbukti amat menghayati fakta sejarah ini. Mereka benar-benar faham maksud sokongan dan pilihan rakyat terhadap parti itu menerusi saban pilihan raya.
Dengan ketegasan PAS meneruskan hasrat mendaulatkan hukum Islam, termasuk hudud dan qisas, parti itu terbukti tidak mensia-siakan kepercayaan diberikan oleh rakyat. Rakyat yang telah memilih untuk menolak janji-janji pembangunan oleh BN itu tahu dan sedar bahawa PAS hanya menawarkan Islam sebagai alternatif kepada mereka.
Justeru, sebarang usaha dan tindakan PAS melaksanakan hukum Islam tidak sepatutnya dipertikaikan mana-mana pihak. Parti itu hanya merai dan menghormati kehendak dan keputusan rakyat yang memilihnya sebagai pemerintah.
PAS perlu bertanggungjawab kepada pengundi dan rakyat yang telah sepakat memilih mereka menerajui kerajaan. Tentu sekali rakyat dan pengundi itu mahu melihat para pemimpin yang mereka pilih mengotakan janji-janji mereka lewat mainfesto parti, terutama hasrat menegakkan sebuah pemerintahan berasaskan al-Quran dan as-Sunnah sepertimana dipahat sekian lama di dalam undang-undang tubuh parti itu.
Rakyat telah memilih PAS secara sah menerusi lunas demokrasi. Mereka telah menyatakan pendirian dan sokongan mereka sejajar dengan hak dan kebebasan yang dijamin Perlembagaan negara.
Inilah hakikat yang sepatutnya tidak terlalu sukar difahami oleh setiap individu yang berpelajaran. Lebih-lebih lagi mereka yang amat menjunjung amalan demokrasi dan mendakwa perjuangan partinya sangat demokratik. Mereka perlu akui bahawa menjadi hak dan kebebasan buat PAS untuk melaksanakan agenda perjuangannya setelah parti itu diberi kepercayaan oleh rakyat.
Semua pihak sepatutnya akur dengan hakikat ini. Justeru tidak sepatutnya kedengaran lagi suara-suara sumbang mempertikai atau membantah sebarang usaha PAS meneruskan agenda memartabatkan Islam sekiranya diberi peluang memerintah. Lebih tidak sayugia lagi andainya suara sedemikian datangnya daripada kelompok yang dikenali sebagai penyokong PAS sendiri.
Dalam sistem politik demokrasi setiap individu berhak dan bebas memilih sama ada untuk menyertai politik atau tidak. Bagi yang mahu terlibat, dia bebas untuk sama ada bergiat secara aktif, separa aktif atau sebarang tahap penglibatan dikehendakinya.
Dia bebas memilih untuk menyokong mana-mana parti politik disukainya. Dia juga bebas untuk tidak menyokong atau menarik balik sokongan kepada mana-mana parti yang dirasakan tidak bersesuaian dengan dirinya.
Namun kebebasan itu ada batasnya. Dia tidak boleh sewenang-wenangnya menghujah di atas dasar kebebasan hingga ke peringkat memaksa mana-mana parti disokongnya agar berubah mengikut selera dan aspirasi dirinya.
Setiap parti atau organisasi mempunyai dasar, matlamat, halatuju dan aspirasi perjuangan tersendiri. Kesemua unsur dan rukun perjuangan itu selalunya tersemat kukuh menerusi undang-undang tubuh organisasi terbabit. Ia juga dipamer dan dicanangkan sebagai identiti organisasi itu sedari awal kewujudannya.
Sebagai salah sebuah organisasi politik paling tua dalam negara, PAS juga tidak terkecuali memiliki unsur dan rukun dimaksudkan. Ia wujud sedari awal penubuhannya dan tersenarai di dalam Perlembagaan parti. Ia juga disebar luas menerusi segenap saluran penerangan parti, terutama lewat ucapan dan amanat para pemimpinnya sejak dulu.
Kewujudan PAS adalah atas asas menegakkan Islam dan PAS tidak boleh hidup tanpa dasar itu. Itulah pegangan PAS sejak dulu dan sepatutnya difahami secara jelas oleh setiap individu yang memilih untuk menjadi penyokong PAS.
Sebab itu agak membingungkan dan amat tidak munasabah apabila pemimpin sayap penyokong PAS sendiri tampil membantah hasrat parti itu menyempurnakan agenda perjuangannya. Bahkan suara itu sampai ke peringkat mengugut meninggalkan parti itu sekiranya meneruskan hasrat melaksanakan hukum Tuhan.
Apakah perkembangan ini bermaksud PAS sebenarnya masih berdepan masalah memahamkan penyokong bukan Islamnya mengenai apa yang sebenarnya parti itu tawarkan kepada mereka?
Maaf cakap, dalam beberapa keadaan sayap penyokong PAS lebih menyerlah sebagai pendesak agar PAS berubah menjadi parti yang sealiran dengan aspirasi mereka. Mereka kelihatan belum berupaya meraikan PAS sebagai sebuah parti yang ada dasar dan fahaman perjuangan tersendiri.
Suatu ketika dulu slogan “PAS Untuk Semua” diutarakan parti itu pernah disalahtafsir para penyokong bukan Islamnya sendiri. Mereka menafsirkannya secara literal bagi memenuhi maksud bahawa PAS sepatutnya tampil dengan imej yang dapat diterima semua pihak. Ia termasuk tidak menampilkan imej dan suara Islam, terutama dalam keadaan tertentu bila mana penyokong bukan Islamnya tidak selesa.
Pernah beberapa kali kenyataan pemimpin tertinggi PAS menyentuh bukan Islam dibantah secara terbuka oleh pemimpin sayap penyokongnya. Lebih mengecewakan apabila mereka sanggup mengungkit-ungkit agar PAS mengenang jasa dan budi pengundi bukan Islam yang memenangkan sebilangan calon parti itu dalam pilihan raya lalu.
Apakah undi dan sokongan yang mereka berikan kepada PAS melayakkan mereka menuntut dan mengugut parti itu? Adakah itu erti menjadi penyokong PAS yang mereka fahami dan pegangi?
Sepatutnya kesediaan mereka menyokong PAS berasaskan kefahaman tentang apa itu PAS dan menerima segala dasar perjuangannya seadanya. Bahkan, lebih diharapkan lagi, mereka sepatutnya memainkan peranan penting dan proaktif memahamkan masyarakat luar PAS, khususnya yang bukan Islam mengenai kebaikan dan kemuliaan perjuangan parti itu. Mereka sepatutnya menjadi agen penerangan dan pemujuk rakyat menyokong PAS.
Malangnya dalam beberapa isu sebelum ini, dan turut menyerlah dalam isu pelaksanaan hudud mutakhir ini, sayap penyokong PAS dari kalangan bukan Islam seakan mengalih peranan kepada mempertikaikan dasar dan tindakan diputuskan PAS.
Kekeliruan ini wajib segera diperbetulkan. Mereka perlu diperjelaskan mengenai peranan selaku penyokong PAS. Jangan sampai nanti musuh mentertawakan kita dan secara sinis menyebut sayap penyokong kita lebih layak digelar “Dewan Himpunan Pembangkang PAS”!
(Artikel ini dihantar untuk siaran laman HarakahDAILY 11 Oktober 2011. Bagaimana pun, di atas seba-sebab tertentu ia tidak disiarkan)
No comments:
Post a Comment