Oleh: Mat Zain Mat Isa
Ada beberapa pemerhatian yang dapat disimpulkan ekoran berlangsungnya Himpunan Sejuta Umat Islam: Selamatkan Akidah Umat (Himpun) di Stadium Shah Alam, Sabtu lalu. Sama ada ia dianggap berjaya mencapai hasrat penganjurannya atau tidak, biar lah masing-masing pihak menilainya.
Namun mengambilkira agenda sebegitu penting diketengahkannya, ditambah publisiti meluas diraihnya, perhimpunan itu sepatutnya meninggalkan kesan dan pengiktibaran kepada khalayak umum, khususnya umat Islam negara ini.
Paling tidak Himpun membuktikan betapa bukan mustahil untuk rakyat negara ini mengadakan perhimpunan berskala besar secara aman tanpa sebarang kekacauan. Suasana menyelesakan pada Sabtu lalu bagai dapat dijangkakan. Himpun berlangsung dengan penuh tertib tanpa sebarang insiden menjejaskan kelancaran agendanya.
Faktor utama tercapainya suasana itu ialah apabila semua pihak bersepakatan mahu melihat ia berlangsung dalam keadaan sedemikian. Sama ada pihak penganjur dan para hadirin yang dikerah menjayakannya mahu pun anggota pasukan keselamatan yang diarah bertugas di sekitar lokasi, semua mereka tiada niat melakukan provokasi atau perancangan memburukkan keadaan.
Media cetak mahu pun elektronik selaku medan membina persepsi umum pula tidak berperanan menggembar-gemburkan andaian negatif terhadap kemungkinan buruk ekoran perhimpunan itu. Ia tidak dilabelkan sebagai perhimpunan haram, tidak dianggap bakal menggugat keselamatan negara atau mencetuskan ketegangan, walau pun isu yang menjadi mauduknya agak sensitif.
Kecenderungan itu tidak sukar difahami. Semuanya bertitik-tolak daripada pendirian positif diisyaratkan para pemimpin Umno selaku peneraju pemerintahan negara. Barangkali mereka menilai ada imej politik yang mampu diraih menerusi Himpun.
Apa pun, hakikat yang berlaku Sabtu lalu sebetulnya mengajar kita bahawa asal saja semua pihak, terutama pihak berkuasa memberikan kerjasama sewajarnya, insya Allah apa jua perhimpunan akan dapat dilangsung dengan baik. Itulah iktibar pertama.
Pengajaran kedua, bahawa setiap perjuangan yang benar-benar bermaksud menjulang agenda Islam di negara ini secara tidak langsung akan memberikan nilai tambah kepada perjuangan PAS.
Lihat saja kepada 10 Deklarasi Himpun yang diumumkan di akhir perhimpunan itu. Biar pun Himpun dianjurkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan telah diisytiharkan sebagai bebas daripada pengaruh dan campurtangan mana-mana organisasi politik, deklarasi itu sangat menepati agenda perjuangan rakyat terutama dalam mempertahankan kesucian dan kedaulatan Islam.
Ia tidak ada kena-mengena dengan PAS, tetapi sebahagian besar deklarasi itu seakan menyuarakan apa yang selama ini diutarakan parti Islam itu. Ia malah secara terbuka “menegur” kelemahan pentadbiran negara yang dianggap punca berlakunya gejala ganggu-gugat kesucian agama. Enam daripada 10 deklarasi itu secara khusus ditujukan kepada kerajaan, manakala selebihnya juga menuntut sikap bertanggungjawab dari parti pemerintah.
Iktibar ketiga, sesuatu perjuangan besar dan penting tidak dapat tidak memerlukan sokongan dan dokongan politik. Kehadiran tidak memuaskan dalam menjayakan Himpun membuktikan bahawa tanpa dokongan politik, amat sukar menggerakkan massa dan menghimpunkan mereka dalam jumlah yang besar.
Biar pun dianggap berjaya, Himpun pada Sabtu lalu gagal memaut kehadiran seperti dijangkakan. Ada tabloid harian menganggarkan jumlah hadirin hanya lebih 8,000 orang. Sebuah mingguan pula menyebut jumlah lebih tinggi, iaitu hampir 10,000 orang. Berapa pun jumlah sebenar, yang pasti ia terlalu jauh dari 100,000 yang diharapkan.
Hakikat itu tidak sepatutnya berlaku, terutama memandangkan agenda difokuskan hari itu amat penting buat umat Islam. Apatah lagi didakwa kononnya Himpun mendapat sokongan lebih 1,000 NGO Islam. Apakah jumlah kehadiran itu menunjukkan setiap NGO terbabit hanya menghantar secara purata tidak sampai 10 orang wakil?
Ternyata dalam keupayaan menagih sokongan massa, tiada pemimpin yang mampu menghimpun atau mengerah sokongan sebesar pemimpin politik. Perlu diakui pengaruh dimiliki pemimpin politik jauh lebih dominan berbanding mana-mana pemimpin NGO.
Justeru, apa jua agenda perjuangan jika mahu ia dihayati khalayak terbanyak masyarakat tidak dapat tidak perlu disalurkan menerusi parti-parti politik. Meminggirkan peranan parti politik dalam menjana penerimaan umum terhadap sesuatu agenda, terutama agenda agama, adalah suatu kesilapan yang mengurangkan kekuatan pendokongnya.
Barangkali di situlah tersematnya hikmat sangat besar mengapa para ulama kita sering menegaskan bahawa politik dan agama tidak boleh dipisahkan. Secara tidak langsung juga, iktibar itu seakan mengulangi suara PAS sekian lama yang lantang memerangi fahaman ‘politik suku, agama suku’ dianuti parti lawannya.
(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1685, 28 Oktober 2011 di ruangan 'KOLUMNIS', F21 dengan tajuk "Iktibar positif dari Himpun'.)
No comments:
Post a Comment