Thursday, October 20, 2011

HKR-PGU, manifesto kembalikan aura 1999 di Terengganu


Oleh: Mat Zain Mat Isa

Sekalung tahniah beserta doa buat PAS Terengganu kerana sekali lagi menzahirkan tekadnya mengambil alih teraju pemerintahan negeri itu daripada Barisan Nasional (BN). Kesungguhannya melengkapkan siri Himpunan Kebangkitan Rakyat - PAS Ganti Umno (HKR-PGU) sebagai usaha terbesar menggempur massa wajar dipuji. Ia bukan kerja mudah, bukan juga menelan belanja yang murah.

Besar harapan tiga siri himpunan itu mencapai hasrat mencetuskan gelombang kebangkitan rakyat menolak BN, seterusnya membuahkan kemenangan manis buat PAS lewat Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) nanti.

Jumaat dan Sabtu lalu berlangsungnya HKR-PGU siri terakhir di Pantai Pandak, Kuala Terengganu. Program yang berlangsung selama satu hari dua malam itu dianggap medan kedua terbesar menghimpunkan para pendukung dari seluruh negeri selepas Ijtimak Kepimpinan PAS Negeri yang saban tahun diadakan.

Himpunan minggu lalu adalah siri dikhususkan sebagai program gempur bagi zon tengah, melibatkan empat kawasan iaitu Marang, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, selain Kuala Terengganu sendiri. Difahamkan siri pertama di Kemaman pada 15 Januari 2011 adalah untuk zon selatan (Kawasan Kemaman dan Dungun). Manakala siri kedua di Besut pada 18 dan 19 Mac lalu untuk zon utara (Besut dan Setiu).

Sejauh mana kejayaan melengkapkan tiga siri HKR-PGU itu benar-benar menyerlahkan kebangkitan rakyat biar lah masing-masing menilainya. Namun paling tidak ia menjadi medan terbaik buat PAS Terengganu ‘memanaskan badan’ para petugas dan pendukungnya menghadapi PRU-13 yang dijangka akan diadakan dalam masa terdekat.

Lebih membanggakan, parti yang pernah dua kali menguasai Terengganu itu juga mendahului sebilangan negeri lain dalam mengemukakan agenda pemerintahan yang bakal ditegakkannya. Serentak dengan berlangsungnya HKR-PGU siri ke-3 itu, PAS negeri turut melancarkan manifestonya bertemakan "Terengganu Maju, Islam Berdaulat, Negeri Berkebajikan". Ia disempurnakan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Antara perkara awal yang akan dilaksanakan PAS jika diberi amanah memerintah negeri itu termasuklah mengembalikan peraturan menghapuskan cukai pintu rumah kediaman dan menyelesaikan isu tanah rakyat yang dirampas oleh BN. Ia juga berjanji memperuntukkan cuti 30 hari bergaji bagi kakitangan kerajaan wanita yang kematian suami.

Turut diumumkan ialah usaha PAS menyediakan 17,000 peluang kerja dalam tempoh tiga tahun, selain program merakyatkan ekonomi dan menyediakan skim khas untuk rakyat miskin.

Tidak syak lagi pemilihan lima perkara atau isu itu amat menyentuh asas permasalahan dihadapi rakyat Terengganu. Ia merupakan isu setempat yang mampu memberi ‘nilai tambah’ kepada pelbagai isu nasional, terutama jika dibicarakan soal peningkatan kos sara hidup dan kezaliman pemerintahan BN.

Contohnya, janji menghapuskan cukai pintu rumah kediaman bukan lagi cakap kosong. PAS telah membuktikan kesungguhannya apabila sebaik mengambilalih pemerintahan daripada BN pada 1999, kerajaannya telah membatalkan kutipan cukai berkenaan.

Bahkan penghapusan itu turut melibatkan tunggakan cukai terbabit untuk tahun-tahun sebelum itu. PAS telah membuktikan kesungguhannya mengurangkan beban hidup rakyat, walau pun sebagai akibat penghapusan itu kerajaan negeri terpaksa mengorbankan sumber hasil berjumlah RM12 juta setahun. Pelepasan membayarnya pada hakikatnya merupakan bonus tahunan daripada kerajaan negeri kepada setiap rakyat terbabit.

Di antara pencapaian kerajaan PAS Terengganu paling menonjol juga ialah kejayaannya menyelesaikan pemilikan tanah rakyat. Untuk dua tahun terakhir pemerintahannya, PAS berjaya memproses lebih 50 ribu lot tanah setahun bagi dilupuskan kepada rakyat.

Kejayaan itu amat memalukan BN kerana selama 38 tahun ia memerintah Terengganu sebelum itu perkara tersebut gagal diselesaikannya. Bagi menutup keaiban itu BN membatalkan semua anugerah tanah diluluskan PAS. Maka berlakulah siri rampasan tanah rakyat secara besar-besaran di seluruh Terengganu.

Tekad PAS untuk menyelesaikan isu tersebut adalah isyarat jelas betapa parti itu serius mengembalikan hak rakyat yang telah dizalimi BN.

Ada pun janji memberi cuti sebulan bergaji untuk kakitangan wanita yang kematian suami adalah suatu pembaharuan yang bakal membuat BN sekali lagi tersentak. Sebelum ini BN telah ‘dimalukan’ oleh agenda pembelaan PAS Terengganu kepada kaum wanita apabila kerajaannya dulu memperkenalkan cuti bersalin 90 hari untuk kakitangan wanita yang disertakan cuti tujuh hari kepada suami.

Walau pun sewaktu mula diperkenalkan, BN mencemuhnya dan menganggapnya merugikan sektor perkhidmatan, tanggapan itu berubah kemudiannya. Pelbagai pihak ketiga, terutama pertubuhan wanita dan kesatuan sekerja, turut menuntut kerajaan Pusat mengaplikasi peraturan sama. Ia kemudiannya ikut disuarakan kementerian berkaitan wanita. Mahu tidak mahu BN akhirnya terpaksa akui ia langkah ke depan PAS membela kaum wanita.

Ada pun agenda khas untuk rakyat miskin juga diingati rakyat sebagai antara kejayaan terbaik pemerintahan PAS. Program mengurangkan kadar kemiskinan amat mengesankan. Bahkan BN sendiri hingga kini mengekalkan Tabung Darul Iman diwujudkan kerajaan PAS. Justeru, apabila PAS menyatakan hasrat mewujudkan program untuk golongan itu, tiada siapa yang akan mempersoalkan komitmen dan keupayaannya.

Kelima-lima butiran manifesto itu sebenarnya banyak mengembalikan ingatan manis rakyat Terengganu kepada pemerintahan PAS dulu. Ia diharap dapat membantu menyemarakkan gelombang kebangkitan mereka menolak BN nanti. Apatah lagi melihatkan sambutan membanggakan di setiap siri HKR-PGU yang diadakan, aura 1999 semakin dirasai di negeri Penyu itu.

(Artikel ini adalah versi lebih panjang kepada artikel disiarkan tabloid Harakah Bil: 1683, 21 Oktober 2011 di ruangan 'KOLUMNIS', F21 dengan tajuk "Kembalikan aura 1999".)

No comments:

Post a Comment