Saturday, October 22, 2011

Agenda Islamik sukarkan BN rampas Kelantan


Oleh: Mohd. Nasir Awang

“Berdasarkan perkembangan terkini, Umno memang serius untuk merampas Kelantan daripada PAS. Sejak 1990, PAS menang di Kelantan dan telah melalui ujian empat kali pilihan raya umum (PRU) iaitu 1995, 1999, 2004 dan 2008. Kesemuanya menyaksikan tindakan ‘kalut’ Umno ingin merampas Kelantan.”

Petikan itu adalah pemula bicara Wan Nik Wan Yussof lewat artikelnya ‘Umno agresif serang Kelantan’ yang termuat di tabloid Harakah, edisi Jumaat, 21 Oktober. Penulis adalah Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Kelantan merangkap Pengarah Pilihan Raya PAS negeri.

Menerusi tulisan itu beliau membekalkan fakta tindakan Umno termasuk menggunakan berbagai taktik kotor sepanjang dua dekad parti itu berusaha menawan semula negeri tersebut. Contoh-contoh terkini seumpama taburan wang ehsan dan pembatalan projek lebuhraya Gua Musang-Kuala Krai-Kota Bharu memperkuatkan hakikat kebobrokan Umno yang menguasai kerajaan Pusat.

Sememangnya tekad Umno merampas pemerintahan negeri itu daripada PAS amat tinggi. Apatah lagi ia nyaris-nyaris merealisasikan hasrat itu lewat PRU 2004. Kelebihan tiga kerusi dimiliki PAS bertukar menjadi hanya satu kerusi selepas kekalahannya di Pengkalan Pasir seketika kemudian. Perbezaan hanya satu kerusi, bahkan salah satu kerusi dimenangi PAS itu hanya dengan dua undi, menyebabkan kegilaan Umno mengambil alih Kelantan semakin mencanak.

Keghairahan itu mendorong ia sampai ke peringkat sanggup melakukan siri ‘penderaan’ (meminjam istilah Wan Nik) terhadap rakyat Kelantan, kononnya agar mereka serik berkerajaankan PAS dan beralih arah memberi sokongan kepada Umno pula.

Usah dihitung kenyataan dan siaran yang memperlekeh perjalanan pemerintahan negeri. Gema-riuh kemiskinan rakyat Kelantan, kehidupan mereka yang didakwa sempit dan melarat beserta kegagalan kerajaan negeri menyediakan peluang kerja menjadi ratib yang bagaikan ‘nasi makan air minum’ buat segenap lapisan pendukung Umno.

Manakala persepsi dan andaian kononnya hanya Barisan Nasional (BN) yang mampu membawa kemajuan dan pembangunan sekali gus membahagiakan kehidupan rakyat negeri itu turut menjadi bahan propaganda berterusan sejak dulu hingga kini.

Tidak cukup dengan segenap peringkat Umno di Kelantan, para pemimpin parti itu dari negeri-negeri lain ikut menokok-tambah cerita-cerita memburukkan negeri itu. Manakala para pemimpin Umno Pusat juga pantang ada kesempatan pasti dimanfaatkan semaksima mungkin untuk melontarkan serangan terhadap kerajaan dipimpin PAS itu.

Itulah gambaran betapa agresifnya Umno. Sebab itu agak pelik dan menghairankan apabila ditengah-tengah kegilaan itu ada menteri yang berkunjung ke Kelantan beberapa hari lalu menuturkan kenyataan yang boleh difahami sebagai memuji sesuatu mengenai kehidupan rakyat Kelantan. Apatah lagi perkara dipuji, bahkan cuba ditiru itu, ada hubungkait dengan agenda disemarakkan kerajaan PAS negeri.

Sebuah harian pada Selasa (18 Oktober) lalu memetik kenyataan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim yang berhasrat memperluaskan pengunaan tulisan jawi yang diamalkan di Kelantan ke negeri-negeri lain.

“Kementerian juga ingin melihat supaya penggunaan jawi seperti yang lumrah digunakan di Kelantan dapat digunakan di negeri-negeri lain dengan skrip dalam tulisan itu dijadikan tarikan,” akhbar itu memetik katanya.

Biar pun hasratnya yang khusus hanyalah bagi menjadikan tulisan jawi sebagai medium untuk mencatatkan kisah berkaitan budaya dan penceritaan secara lisan, hakikat penggunaan jawi dalam masyarakat Kelantan yang disebutnya itu mencakupi pelbagai sektor hidup yang jauh lebih luas.

Bahkan tidak sukar diakui betapa Kelantan di bawah PAS menjadi negeri paling ke depan dalam usaha mengetengahkan pengguna tulisan yang menjadi warisan bangsa itu dalam urusan seharian, termasuk urusan-urusan rasmi kerajaan.

Sebermula pemerintahan PAS pada 1990, difahamkan minit mesyuarat Exco negeri itu telah diubah daripada menggunakan tulisan rumi kepada jawi. Apakah ada negeri-negeri lain, terutama yang diterajui Umno yang turut mengambil langkah serupa?

Selain itu papan tanda jalan juga disertakan tulisan jawi bersama-sama tulisan rumi. Langkah itu disusuli peraturan mewajibkan penggunaan tulisan jawi pada papan tanda premis perniagaan, papan iklan dan kain pemidang.

Bermula pertengahan 2009 lalu pula, Kelantan mara setapak lagi dalam memartabatkan tulisan jawi. Semua urusan pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri itu diarah menggunakan tulisan jawi. Ia termasuklah penyediaan minit mesyuarat kesemua PBT.

Tidak syak lagi keprihatinan luar biasa kerajaan negeri di bawah PAS terhadap penggunaan tulisan jawi menjadi pendorong utama menyemarakkan lagi penggunaannya secara lebih meluas dalam masyarakat.

Hakikat letak duduk tulisan jawi yang bersebati dengan masyarakat Kelantan itulah yang barangkali menyentuh hati Rais sehingga mendorong beliau mencadangkan agar kelaziman itu diperluaskan pula ke negeri-negeri lain.

Diakui atau tidak, cadangan menteri itu sebenarnya suatu pengiktirafan terhadap kelebihan dimiliki Kelantan di bawah PAS berbanding negeri-negeri lain, khususnya yang dikuasai Umno sejak berdekad. Justeru, bagaimana mungkin khalayak pencinta warisan budaya bangsa, khususnya yang tegar memperjuangkan penggunaan tulisan jawi secara serius akan memberikan kepercayaan kepada Umno untuk menggantikan PAS?

Apatah lagi keprihatinan PAS itu turut dikaitkan dengan agenda mendaulatkan Islam dalam pemerintahannya. Semua tahu tulisan jawi adalah variasi dan derivasi tulisan Arab yang juga tulisan kitab suci al-Quran.

Ia juga dikira bersebati dengan tradisi ilmu Islam, terutama apabila ratusan kitab lama yang masih digunakan secara meluas di pusat-pusat pengajian Islam ditulis menggunakan tulisan itu. Dari perspektif itu, usaha PAS memartabatkan jawi adalah sealiran dengan hasrat menyemarakkan ilmu Islam dalam masyarakat.

Justeru, apakah wajar ada penganjur pengajian Islam dan pencinta ilmu agama tidak menyokong langkah kerajaan PAS Kelantan dalam hal ini? Bagaimana mungkin pula mereka akan memilih Umno untuk mengambil alih pemerintahan?

Kebetulan pula beberapa hari lalu berlangsung Sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan. Di dalamnya banyak diserlahkan keprihatinan dan keseriusan kerajaan negeri mendaulatkan Islam dalam kehidupan rakyatnya.

Antara perkara agak menarik diperkatakan dan turut mendapat perhatian media arus perdana ialah arahan terbaru kerajaan negeri mengenai kemakmuran surau di pusat-pusat beli-belah. Dewan dimaklumkan bahawa kerajaan negeri menerusi Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI) telah mengeluarkan arahan kepada semua pusat beli-belah dan pasar raya supaya menyediakan imam untuk mengetuai solat di surau premis masing-masing.

Arahan itu sekali gus menggambarkan keseriusan PAS memastikan rakyat melaksanakan ibadat, khususnya solat dalam keadaan paling baik, yakni secara berjamaah. Di mana komitmen para pemimpin PAS dalam hal ini tidak wajar dipertikaikan lagi. Sebagai pemimpin Islam yang bercakap mahu menegakkan Islam, mereka bukan setakat mendirikan Islam dalam diri mereka sahaja, tetapi turut menjadi pendorong orang dipimpinnya menjadi hamba yang taat kepada suruhan agama.

Ia menepati firman Allah di dalam surah al-Hajj ayat 41, yang secara jelas memperincikan sifat pemimpin Islam iaitu apabila mereka diberikan kekuasaan oleh Allah di atas mukabumi, mereka akan mengutamakan urusan mendirikan solat. Kepatuhan itu sekaligus menjadi contoh buat rakyat mengikuti mereka pula.

Ertinya, pemimpin Islam perlu sentiasa ke hadapan di dalam mengajak dan menggalakkan rakyat untuk sama-sama menghayati perintah Allah, terutama dalam menyempurnakan solat. Itulah yang terbukti diusahakan kerajaan PAS.

Malangnya, hari ini para pemimpin Umno lebih ghairah mengajak rakyat ke pesta hiburan dan majlis suka-ria. Bahkan ada pula pemimpin yang sanggup mengiklankan ke seluruh alam maya mengajak rakyat untuk meluangkan masa bersama-samanya menonton siaran langsung perlawanan bolasepak melibatkan pasukan luar negara yang diminatinya. Astaghfirullah al-Azim!

Arahan memastikan surau pusat beli-belah dimakmurkan dengan solat jamaah itu juga bagai menempelak beberapa negeri diperintah Umno. Manakan tidak apabila kerap dilaporkan media bagaimana ada negeri yang hingga kini gagal menyelesaikan masalah kekurangan imam dan bilal di seluruh negeri.

Jangan dikatakan untuk memastikan surau persendirian di premis perniagaan sebegitu disediakan imam bertugas, kegagalan dihadapi negeri-negeri diperintah Umno malah melibatkan masjid-masjid mukim dan masjid daerah. Apa yang berlaku di Terengganu adalah contoh yang amat ketara.

Kebanyakan masjid di negeri itu memang tidak cukup imam dan bilal. Bahkan ada masjid yang terpaksa menggunakan “khidmat” tv untuk melaungkan azan tatkala masuk waktu solat. Itulah yang dilaporkan berlaku di salah sebuah masjid jamek di Kemaman, awal tahun ini.

Beberapa perkara disebutkan di atas hanyalah contoh siri agenda Islamik yang dilaksanakan kerajaan PAS Kelantan. Sama ada dalam isu tulisan jawi mahu pun arahan memakmurkan surau, hakikat bersebati di sebalik isu-isu tersebut sebenarnya menyerlahkan perbezaan amat ketara antara halatuju dan keprihatinan pemerintahan PAS berhubung hal ehwal Islam berbanding Umno.

Sepertimana ditekankan Wan Nik lewat tulisannya tadi, pemerintahan PAS selama 21 tahun di Kelantan boleh dianggap bukti bernyawa bahawa parti itu “adalah satu-satunya parti Islam yang memperjuangkan dasar politik dan pentadbiran Islam serta luhur di atas landasan perjuangan Rasulullah s.a.w.”

Justeru, jika pun Umno Kelantan tampil dengan Gelombang Merah yang ikut disertai taburan wang ehsan dan berbagai umpan kebendaan lain, semuanya itu insya Allah menjadi kecil dan tidak mampu menandingi nikmat berpayung  di bawah pemerintahan Islam di terajui PAS. Selagi rakyat Kelantan berpegang kepada dasar dan fahaman sedemikian, maka pada adat katanya payah lah sikit Umno nak merampas semula negeri itu daripada PAS!

(Artikel ini disiarkan laman harakahdaily.net pada 22 Oktober 2011 di ruangan 'Pendapat dan Analisis' dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment