Hidup selepas ini tentunya tidak lagi sama buat keluarga mendiang Saw Yee Siang dari Tumpat, Kelantan. Kontraktor berusia 57 tahun itu ditemui mati dalam keadaan menyayat hati di sebuah kebun pisang berdekatan Binjai, Kota Bharu, pada Selasa (4 Oktober) lalu.
Sepasang suami isteri yang dalam perjalanan ke kebunnya di kawasan berdekatan menemui mayat tersebut dalam keadaan tertiarap dengan tangannya terikat ke belakang, mukanya dipenuhi kesan lebam dan kepalanya berlumuran darah.
Siasatan awal pihak polis mengesahkan mangsa mati selepas dipukul dengan benda keras dalam keadaan kepalanya dibungkus dengan kain. Polis percaya mangsa mungkin mempunyai musuh.
Kejadian itu bukan sahaja menyentap kebahagiaan keluarga mendiang, malah turut mengusik degup jantung setiap insan yang cintakan keselamatan hidup. Tanpa mengira bangsa atau agama, nyawa setiap insan tetap suatu yang amat berharga dan tidak wajar diragut semudah itu.
Dalam kesibukan mengaturkan upacara pengebumian beserta ratap tangis kematian tragis itu, tentu amat sukar bagi anggota keluarga mendiang untuk bersetuju apabila dikatakan Malaysia berada di kedudukan negara paling selamat di Asia Tenggara.
Bagi mereka apa yang dipaparkan sebuah tabloid harian pada Rabu, sehari selepas kejadian tersebut, mengenai tahap keselamatan negara ini di mata dunia sudah tidak memberi apa-apa makna. Kehilangan ahli keluarga yang disayangi dalam keadaan sedemikian dengan sendirinya mewajarkan mereka mempersoalkan hasil kajian tersebut.
Laporan tabloid itu memuatkan hasil kajian Institute for Economics and Peace (IEP) yang berpangkalan di Australia, melalui Global Peace Index yang diumumkan Mei lalu. Selain disifatkan negara paling selamat di Asia Tenggara, Malaysia juga berada di kedudukan keempat paling selamat di Asia Pasifik selepas New Zealand, Jepun dan Australia.
Hasil kajian sama turut meletakkan negara kita di tangga ke-19 dalam senarai negara paling selamat dan aman daripada 153 negara di dunia.
Biar pun dapatan kajian itu membuatkan sebilangan pemimpin dan pendukung mereka tersenyum bangga, ia tidak memberikan kesan serupa buat sebahagian rakyat yang terdepan keadaan sebaliknya. Kes pembunuhan kejam seumpama dialami mendiang Yee Siang bukan lagi kes terpencil.
Kita tidak perlu mengundur jauh ke hari-hari terkebelakang untuk menemui kes-kes menyayat hati dan meremangkan bulu roma sebegitu. Akhbar pada Isnin, sehari sebelum itu contohnya, melaporkan penemuan mayat seorang lelaki berlumuran darah dengan kesan tembakan di kepala di sebuah apartmen di Langkawi.
Beberapa hari itu sebelum itu ada berita sepasang suami isteri berbangsa India yang dalam perjalanan menoreh getah di Batang Kali dibunuh kejam. Mayat mereka ditemui berlumuran darah dengan kesan tetakan di leher, kepala serta tangan.
Bagi keluarga mendiang pasangan itu, label negara paling selamat diperolehi Malaysia barangkali ibarat suatu persendaan. Perasaan sama barangkali turut dikongsi anggota keluarga seorang warga emas di Kuantan yang dilaporkan parah di tangan dan bahu kirinya selepas diserang dua lelaki bersenjatakan parang dan kapak ketika beliau sedang minum di sebuah kafe siber, pada Isnin. Pemandu lori itu cedera parah dan terpaksa dimasukkan ke hospital.
Biar pun insiden itu tidak melibatkan kehilangan nyawa, ia tidak syak lagi meninggalkan kesan mendalam terhadap perasaan individu terbabit. Rasanya jika ditanya pendapat pakcik itu mengenai status Malaysia sebagai negara paling selamat, tersilap haribulan boleh jadi dia akan menyumpah-menyeranah si penanya itu.
Reaksi serupa mungkin diperolehi jika soalan sama diajukan kepada mangsa samun di Hutan Melintang, Perak, juga pada hari sama. Dalam kejadian pada 11 malam itu, wanita berkenaan yang sedang bersiap menutup kedai didatangi seorang lelaki yang mengacukan parang ke lehernya, kemudian melarikan wang tunai lebih RM1300.
Bagaimana pula dengan trauma dialami seorang pemandu teksi di ibukota, mangsa samun tiga penumpangnya yang meletakkan pisau Rambo di lehernya?
Kesemua kes disebutkan di atas sengaja dipetik daripada laporan media cetak beberapa hari sebelum laporan IEP yang menyanjung Malaysia sebagai negara paling selamat di rantau ini. Rasanya kes-kes itu hanya sebilangan contoh kepada puluhan kes seumpamanya yang dimuatkan media saban hari. Ada pun jumlah kes sedemikian yang tidak berupaya dilaporkan media rasanya jauh lebih besar.
Hakikat itu mendorong pertikaian lebih munasabah mengenai status negara kita yang dikatakan paling selamat itu. Apatah lagi akhbar pada hari sama (Rabu) turut memuatkan pengesahan seorang timbalan menteri di Dewan Rakyat bahawa statistik bunuh diri dalam negara didapati meningkat secara berganda dari tahun ke tahun sejak 2007.
(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1680, 10 Oktober 2011 di ruangan 'KOLUMNIS', F22 dengan tajuk serupa. Ia turut dipetik laman detikdaily.net pada 16 Oktober 2011 di ruangan 'Penulis Tamu)
No comments:
Post a Comment