Monday, June 28, 2010

Isu undi pos, ibu negara akan “banjir” lagi?

oleh: Mat Zain Mat Isa

PAS sekali lagi membuktikan kepada semua pihak bahawa ia sebuah parti yang cintakan demokrasi. Untuk itu, ia bukan sahaja memilih menyertai proses pilihan raya, malah berusaha sedapat mungkin agar proses demokrasi itu benar-benar menepati lunas dan prinsip sepatutnya.

Sebab itu PAS tidak teragak melaungkan amaran kepada mana-mana pihak, khususnya Barisan Nasional (BN) selaku penguasa negara, agar peka dan prihatin terhadap apa-apa bantahan rakyat berhubung kepincangan dan dakwaan penyelewengan yang melanda demokrasi negara selama ini.

Keseriusan PAS dalam hal ini mendorong parti itu menubuhkan Badan Penggerak Demokrasi dan Mobilisasi (BPDM), sebuah jawatankuasa bertindak setaraf lajnah-lajnah lain. Badan ini dipengerusikan Haji Mohamad Sabu.

Di antara agenda utama yang mahu dicapai dari usaha badan ini ialah agar wujudnya pilihan raya yang bersih dan adil. Untuk itu rakyat diberi kesedaran tentang hak asasi mereka mengecapi amalan demokrasi tulen dan hak itu dilindungi Perlembagaan Malaysia.

Selama ini banyak aspek perjalanan pilihan raya negara kita menjadi bahan pertikaian. Di antara yang paling lumrah diperkatakan ialah soal kewujudan pengundi diragukan atau sering diistilahkan sebagai pengundi hantu. Ia berkait langsung dengan masalah daftar pemilih yang gagal dibersihkan daripada nama-nama pengundi terbabit.

Turut menjadi pertikaian berpanjangan ialah sistem undi pos. Sejak sekian lama PAS membantah kewujudan pengundi kategori ini dan menuntut ia dimansuhkan. PAS senada dengan parti-parti pembangkang lain bahawa ketelusan dan kebebasan memilih di kalangan pengundi pos amat dipertikaikan. PAS menuntut kelemahan ini diperbetulkan demi sebuah pilihan raya yang adil dan telus.

Para pemimpin BN sebaliknya sering tampil dengan seribu alasan dan rasional mempertahankan kewujudan undi pos. Hujahnya diperkukuhkan para penganalisis dan pengulas politik pro-BN yang tampil dengan berbagai kajian masing-masing.

Wajar diakui bukan menjadi tabiat BN menerima pandangan pihak lain, lebih-lebih lagi sesuatu yang disuarakan dari kem pembangkang. Para pemimpin BN sebaliknya lebih selesa meremehkan tuntutan itu, seraya menyifatkan bantahan terhadap undi pos sebagai isu lapuk.

Malah ada yang mengatakan isu itu sengaja ditimbulkan pembangkang sebagai alasan menutup kelemahan dan ketidak upayaannya menentang BN. Lalu, kata mereka, pembangkang sengaja menyediakan penyebab kekalahan yang bakal dilalui.

Meski pun suara ini lazimnya kedengaran pada setiap kali menjelang sesuatu pilihan raya, sama ada kecil mahu pun umum, ia bukan semata-mata didorong perkembangan terkini itu. Justeru amat tidak wajar ditohmahkan kononnya bantahan pembangkang itu semata-mata kerana menilai kekuatan mereka yang masih gagal menandingi keutuhan sokongan terhadap BN.

Intipati usaha membantah undi pos tidak wajar dilihat semata-mata kerana pembangkang cemburu dengan deposit tetap yang tidak memihak mereka. Hasrat utama rakyat ialah melihat ketelusan perjalanan pilihan raya dan ketulusan penghayatan demokrasi.

Setakat ini tidak nampak sebarang tanda BN akan memperbetulkan kepincangan dikaitkan dengan sistem undi pos. Tambahan pula kewujudannya buat masa ini amat menyelesakan BN. Ia ibarat deposit tetap buat parti itu. Malah dalam keadaan tertentu ia bertukar menjadi “talian hayat” buat BN menyelamatkan hegemoni politiknya.

Undi pos menjadi penyelamat buatnya di banyak konstituensi. Justeru, secara logiknya adalah suatu yang amat menghairankan andainya dalam keadaan itu BN bersetuju memansuhkannya.

Lagi pun, bila masa BN peduli soal ketelusan dalam pelaksanaan pemerintahannya atau halangan kebebasan terhadap rakyat? Malah dalam isu undi pos ini kita dapat lihat BN tidak kisah dicemuh sebagai menyalahgunakan kuasa menekan pengundi terbabit. Ia sebaliknya selesa menafikan wujudnya unsur paksaan dan kongkongan itu, walau pun ada kes membuktikan hal itu memang berlaku.

Ertinya, yang penting bagi BN hanyalah kemenangan. Apa dipedulikannya soal ketelusan proses demokrasi. Katalah apa nak kata sekali pun, termasuk melabelkannya sebagai bukan anak jantan, tidak gentleman dan seumpamanya, BN tidak kisah.

Yang dipentingkannya, asalkan kuasa politik negara kekal di tangannya. Berbekalkan kekuasaan itu, jika pun nanti akan ada seribu satu bantahan, petisyen mahu pun memorandum, BN juga ada seribu satu muslihat melepaskan dirinya.

Mengakui betapa sukarnya parti pemerintah itu tunduk kepada apa-apa suara desakan rakyat, maka rakyat wajar digerakkan untuk bangkit dalam suasana lebih “luar biasa”. BN perlu diajar agar tidak terlalu memandang ringan tuntutan rakyat, terutama berhubung hak dan kebebasan mereka.

Rakyat pernah mengajar BN sejurus sebelum Pilihan Raya Umum 2008 lalu menerusi Himpunan 100,000 menuntut pilihan raya yang bersih dan adil. Kini PAS sekali lagi menyatakan kesediaannya untuk mengepalai rakyat membanjiri jalan-jalan raya di ibu negara.

Baru-baru ini Mohamad selaku Pengerusi BPDM telah melaungkan tekad bahawa himpunan besar-besaran membantah undi pos bakal diadakan menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 nanti. Demonstrasi jalan raya dicadangkan itu adalah dalam rangka memulihkan demokrasi dan menuntut perjalan pilihan raya yang lebih bersih dan adil. Tidak lebih dari itu.

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1552, 28 Jun 2010 di ruangan 'kolumnis', F21 dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment