Sunday, June 27, 2010

“Apa salahnya pakai kasut buatan Gombak?”

Oleh: Mohd Nasir Awang

PAS sekali lagi dianggap bermimpi dan beromong kosong apabila mencanangkan hasrat bersama Pakatan Rakyat (PR) menawan Putrajaya dari tangan Barisan Nasional (BN) lewat pilihan raya umum akan datang.

“Perwakilan (muktamar PAS) kelihatan resah apabila terus dihumban dengan keburukan parti pemerintah, kerana ramai gusar dengan kemampuan Pakatan Rakyat terutama PAS sendiri, sekiranya mereka benar-benar berjaya menguasai Putrajaya nanti,” coret wartawan sebuah akhbar tali barut BN.

Catatan itu jelas sekali untuk demoralisasi tekad para pemimpin PAS mencapai impian besar itu. Sepanjang muktamar tahunan parti itu di Kota Bharu, antara 9 hingga 13 Jun lalu, topik menawan Putrajaya dalam pilihan raya nanti tidak lekang dari menjadi bahan bicara para perwakilan.

“Ke Putrajaya, insya-Allah, kita membawa kemenangan. Orang kata kita bermimpi, tapi kita bermimpi yang soleh,” ujar Presiden PAS, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang.

Melihatkan reaksi spontan sidang muktamar petang itu yang menyahut tekad itu dengan gema takbir, kata-kata sang pemimpin itu tidak syak lagi telah menyemarakkan keyakinan anak-anak buahnya terhadap tekad parti itu. Penegasan Presiden PAS itu juga sekaligus menempelak usaha parti lawan dan anasir upahannya memperlekehkan impian besar PAS bersama PR mengambil alih pemerintaha negara nanti.

Namun di masa sama, PAS tidak akan sekadar terlena dibuai impian itu. Parti itu turut mengatur berbagai strategi dan tindakan ke arah itu. Ia bertekad mengambil kesempatan atas kebencian dan kemarahan rakyat terhadap BN.

Di masa sama, serangan propaganda BN tidak diremehkan. Apatah lagi PAS yang sudah masak dengan tendang terajang politik BN, khususnya Umno, dapat menjangka bahawa parti pemerintah itu tidak akan berdiam diri.

BN akan berusaha sedaya mungkin meyakinkan rakyat bahawa yang terbaik bagi mereka ialah untuk kekal memilih BN. Seperti lazimnya, parti itu tidak akan teragak untuk mengulangi politik cara lapuk dengan menabur persepsi kononnya negara akan mundur dan huru-hara jika diperintah parti selain BN.

Minda rakyat akan terus diasak dan dipasak dengan fahaman kurafat kononnya hanya BN mampu memerintah negara dengan baik. Hanya BN didakwa boleh menganjurkan pembangunan dan kemajuan. Hanya parti itu yang berupaya menjamin keselamatan negara dan masa depan rakyatnya.

Diakui atau tidak, kepakaran BN dalam menakluki pemikiran rakyat dengan dakyah sebegitu sebenarnya diwarisinya dari bangsa penjajah. Dengan kuasa dan kepakaran mereka, penjajah telah berjaya mengindoktrinasi pemikiran rakyat mengikut acuan pemikiran yang mereka kehendaki.

Nilai dan persepsi utama ditanam ke dalam pemikiran rakyat ialah kehebatan mereka. Bangsa penjajah digambarkan sebagai maju, bertamadun dan jauh lebih ke depan dalam segenap aspek kehidupan berbanding penduduk tanah jajahan mereka.

Penjajah berjaya memasak pemikiran masyarakat kita sehinggakan segala yang didatang dan diwariskan Barat dilihat sebagai nilai dan cara hidup paling baik dan secocok dengan kelas dunia. Akibatnya, sebilangan orang Melayu sendiri memandang remeh soal budaya dan identiti bangsa.

Contohnya, ada yang rasa “malu” menggunakan bahasa Melayu. Pada mereka seseorang itu dianggap hebat apabila mampu mengetengahkan istilah atau ungkapan Inggeris, sama ada dalam ucapan, tulisan, ketika berdepan media atau urusan-urusan rasmi lain. Bahasa Melayu dianggap tidak setanding dengan taraf sosial dan pendidikan serta tidak mempunyai nilai ekonomi yang tinggi.

Pemilihan pakaian, makanan dan lain-lain keperluan hidup juga menyediakan medan sangat subur untuk penjajahan pemikiran. Apa-apa yang berjenama Barat dianggap berprestij dan berimej tinggi. Tersemat di hati rakyat kononnya hanya dengan memiliki atau menggunakan apa-apa yang bersifat Barat yang mampu menjadikan mereka berkelas dunia.

Negara kita sudah merdeka lebih 50 tahun. Usia itu sepatutnya sudah lebih dari cukup untuk menjadikan kita sebuah negara matang dan dewasa. Maka sudah sampai masanya pemikiran rakyat juga dimerdekakan dari penjajahan itu.

BN seakan menyedari kesilapan itu. Sebab itu sejak beberapa tahun lalu, setiap kali menyambut hari kemerdekaan negara, media elektronik ada menayangkan iklan yang cuba memperbaiki persepsi negatif rakyat terhadap jatidiri bangsa merdeka.

Antaranya ialah iklan yang mengisahkan kedukaan seorang pemuda kerana hanya mampu memakai kasut buatan Gombak. Di dalam tren, beliau terpikat dengan seorang wanita Melayu yang duduk di kerusi bersebelahannya.

Fikirannya melayang dan berangan menaiki pelamin bersama wanita itu. Namun kegembiraannya terhenti apabila ia membayangkan wanita itu menjenguk ke arah kasutnya.

“Apa salahnya pakai kasut buatan Gombak?”, teriak pemuda itu, sekali gus menyedarkan ia dari lamunan indah tadi.

“Tidak salah. Kasut buatan Gombak kan bagus!”, balas wanita tadi sambil mengangkat kakinya. Dia juga memakai kasut buatan sama.

Moral cuba disemat iklan itu ialah setelah lebih 50 tahun merdeka, kita sepatutnya tidak lagi masih terbelenggu dengan jiwa kerdil kononnya hanya sesuatu yang berjenama Barat yang mampu memberikan kehidupan berkelas.

Saya kira ramai seronok dan terhibur melihat iklan itu. Kita juga sepatutnya mengambil pengajaran berguna dari iklan itu. Bahawa tidak semestinya jenama Barat yang selama ini dianggap baik dan bertaraf dunia itu tidak mampu ditandingi kehebatannya oleh jenama tempatan.

Maka apa kata kita terjemahkan dialog tadi ke dalam realiti politik di depan mata kita kini. BN sudah lama memerintah dan segala macam keburukan serta kepincangan telah terserlah di bawah kekuasaannya.

Kini cuba tanyakan, apa salahnya rakyat beri peluang kepada PAS pula menduduki Putrajaya? Harap-harap kita akan mendengar jawaban berkumandang, “tidak salah. Parti Islam itu kan jauh lebih bagus daripada BN!”

(Artikel ini disiarkan tabloid mingguan Siasah Bil: 0206, 27 Jun 2010 dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment