Sunday, June 6, 2010

Penafian “tidak akan” ayat keramat BN pukau rakyat

Oleh: Mohd Nasir Awang

Cadangan diutarakan kerajaan Barisan Nasional (BN) minggu lalu untuk mengurang atau memansuhkan subsidi beberapa barangan keperluan dan bahan bakar tidaklah begitu mengejutkan. Selain ura-ura dan petunjuk ke arah itu telah pun terzahir beberapa ketika sebelum ini, tabiat BN yang sering mendahulukan rakyat dalam menanggung sebarang beban kewangan dihadapi kerajaan juga telah dimaklumi umum. Bukankah itu tafsiran sinis rakyat ke atas konsep “Rakyat Didahulukan” yang jenuh dilaungkan BN?

Sepertimana lazimnya, setiap langkah pemotongan subsidi kerajaan akan dirasionalkan untuk penjimatan. Seringkali juga rakyat cuba diyakinkan kononnya hasil penjimatan di situ akan diagihkan kepada perkara lain yang lebih bermanfaat buat rakyat.

Itulah hujah para pemimpin BN sewaktu meminta rakyat menerima secara positif kenaikan mendadak harga minyak beberapa tahun lalu. Kononnya ia “tidak akan” membebankan rakyat.

Penjimatan subsidi ke atas harga bahan bakar itu pula dijanji digunakan untuk usaha menaiktaraf sistem pengangkutan awam negara. Kini, setelah berlalu beberapa tahun, apakah ia benar-benar tidak membebankan rakyat? Apakah tahap sistem pengangkutan kita bertambah baik?

Barangkali oleh kerana ada rakyat yang menerima hujah itu menyebabkan BN terus selesa menggunapakai alasan dan rasional serupa sebagai asas utama cadangan terbaru tadi.

Pada 26 Mei lalu, kerajaan mencadangkan subsidi tol, bahan api dan tenaga serta beberapa barang makanan utama seperti gula, tepung dan minyak masak pula dikurangkan atau dimansuhkan secara berperingkat mulai tahun ini. Seperti sebelumnya, tindakan itu diharap membolehkan kerajaan menjimatkan perbelanjaan sehingga RM103 bilion dalam tempoh lima tahun.

Cadangan itu dikatakan antara buah fikir terbaik yang mampu diutarakan seorang menteri dalam usaha mengatasi masalah beban hutang negara yang semakin meningkat. Dilaporkan beban itu kini mencecah RM362 bilion atau 54 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Nisbah itu bukan lah angka yang baik dari sudut prestasi ekonomi. Angka hutang itu pula adalah catatan tertinggi sejak negara mencapai kemerdekaan. Hebat bukan hasil BN mengurus ekonomi negara?

Jumlah itu dianggarkan meningkat kepada RM1,158 bilion  menjelang 2019. Andai ia menjadi realiti, negara dibimbangi akan jatuh muflis. Alasan itulah yang digunakan pak menteri tadi untuk merasionalkan mengapa soal penyusunan semula subsidi dicadangnya itu wajar diterima positif oleh rakyat.

Selain menggunakan taktik menakutkan rakyat dengan kemungkinan buruk sebegitu, BN turut memberi jaminan menjaga kepentingan rakyat. Kononnya pelaksanaan cadangan baru itu “tidak akan” membebankan kehidupan rakyat, lebih-lebih lagi golongan berpendapatan rendah.

Ayat keramat “tidak akan....” sebegitulah yang sering digunakan BN. Ia sudah jadi hujah klise dan sangat stereotaip. Perhatikan setiap kali BN memperkenalkan langkah baru menambah beban rakyat, penafian serupa itu sering kedengaran, dengan maksud menolak kontroversi dan keraguan rakyat.

Bukankah ayat keramat itu turut disuarakan BN mengiringi pelancaran Model Baru Ekonomi (MBE) baru-baru ini? Dalam usaha meyakinkan pelbagai pihak yang mencurigai dan mempertikaikan dasar itu, Perdana Menteri antara lain memberi jaminan MBE “tidak akan” menjejaskan kepentingan ekonomi bumiputera. Hujah stereotaip, bukan?

Begitu juga dalam isu pembangunan Kampung Baru di tengah pusat Bandaraya Kuala Lumpur. Sabtu (29 Mei) lalu, menteri berkaitan hal itu memberi jaminan pelaksanaannya “tidak akan” meminggirkan Melayu. Kononnya hak pelaksanaan dan kawalan pemilikan Melayu di kampung tradisi itu tetap menjadi keutamaan BN walau pun kuota 40 peratus daripada kawasan seluas 151 hektar itu dicadangkan dibuka kepada kaum lain apabila dibangunkan kelak.

Perhatikan pula apa hujah bodoh beberapa pemimpin BN mempertahankan kelulusan lesen judi bola sepak beberapa minggu lalu. Ada pemimpin Umno yang bukan sahaja menyokong dosa besar itu dihalalkan, malah mereka menganggap pihak yang membantah lesen judi itu sebagai sekadar beretorik, bersikap dwi-piawai dan hanya mempolitikkan isu tersebut.

Hujah mereka, kelulusan lesen pertaruhan itu hanya untuk bukan Islam dan “tidak akan” membabitkan kebenaran kepada orang Islam berjudi. Simplistik sangat cara mereka berfikir, bukan?

Apakah mereka ini buta mata dan hati untuk menerima realiti bahawa selama ini pun yang memenuhi premis judi berlesen itu adalah orang Islam? Bukankah seorang bekas Ketua Menteri Umno yang menanggung hutang lebih RM7 juta kepada sebuah kelab judi di London sebelum ini juga seorang Islam?

Dua isu membabitkan penyerahan kawasan milik negara kepada negara jiran baru-baru ini juga disusuli hujah kononnya ia “tidak akan” menjejaskan kedaulatan negara. Malaysia menyerahkan dua blok telaga minyak di laut kepada Brunei, manakala tanah miliki Keretapi Tanah Melayu Berhad di Tanjung Pagar diserahkan kepada Singapura untuk dimajukan.

Anehnya, tidak sedikit rakyat sebegitu mudah menerima apa juga alasan dan rasional diberikan BN. Hanya berbekal penafian “tidak akan”, sebilangan rakyat bagaikan dihipnotis dan terus terpukau untuk melihat kesemua tindakan BN tadi sebagai baik, betul serta tidak mengenepikan kepentingan rakyat dan negara.

Kepercayaan membuta tuli dan penerimaan tanpa berbelah bahagi terhadap apa juga penafian dibuat BN membentuk kecenderungan amat merbahaya, terutama dalam konteks ‘semak dan imbang’ yang sepatutnya wujud dalam masyarakat.

Rakyat sepatutnya memastikan perjalanan pemerintahan di landasan yang tepat dalam menjaga kepentingan dan keselesaan hidup mereka. Malangnya realiti yang ada kini masih jauh dari hasrat tersebut.

Maka bersedialah untuk kehidupan yang lebih perit dan terbeban!

(Artikel ini disiarkan tabloid mingguan Siasah Bil: 0203, 6 Jun 2010 dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment