Monday, June 21, 2010

Kes Alor Limbat bukti Umno Terengganu masih bergolak

oleh: Mat Zain Mat Isa

Jika ada mana-mana pihak menganggap ketiadaan isu dan cerita panas mengenai pergeseran dalaman Umno Terengganu mutakhir ini membuktikan parti itu telah berjaya mendamaikan puak-puak bertelagah di dalamnya, ia memang satu andaian amat silap.

Tepat sepertimana sering disebut orang, perbalahan dalaman Umno memang boleh diibaratkan seumpama api dalam sekam. Meski pun zahirnya kelihatan tenang dan selamat, hakikat sebenar di bawah timbunan hampas padi itu tidak seindah tergambar pada zahirnya.

Sepertimana tabiat api dalam sekam yang sentiasa membahang, bara permusuhan para pemimpin Umno juga begitu. Dendam dan kebencian antara mereka sentiasa menyala dan hanya menunggu “cuaca” bersesuaian untuk kembali marak.

Bagi yang memahami dan meyakini tabiat semulajadi parti yang gemar bertelagah itu, sebarang berita mengenai perbalahan dalamannya, meski pun terzahir secara tiba-tiba, bukan lagi suatu yang menghairankan. Sebab itu apabila sebuah akhbar tempatan Terengganu pada Khamis (17 Jun) tidak semena-mena menjadikan berita pertembungan antara para pemimpin cawangan Umno di sebuah kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) dengan wakil rakyat parti mereka sendiri, ia sedikit pun tidak mengejutkan.

Akhbar berkenaan memetik kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Alor Limbat, Alias Abdullah, sebagai mendakwa ada pihak tertentu cuba menjanjikan projek bernilai puluhan juta ringgit kepada mana-mana pihak yang berjaya menjatuhkannya.

Menurutnya, ekoran tawaran itulah wujudnya kumpulan melibatkan sebilangan ketua cawangan di kawasannya menzahirkan penentangan terhadap beliau.

Alias mengulas tindakan lebih 40 ketua cawangan dan Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dalam Dun diwakilinya yang menghantar memorandum kepada Menteri Besar Terengganu, Dato’ Ahmad Said, Selasa lalu.

Difahamkan memorandum itu bertujuan mendesak Alias melepaskan jawatannya sebagai Pengerusi Penyelaras Dun Alor Limbat. Para pemimpin Umno terbabit mendakwa beliau gagal menjalankan tugas sebagai wakil rakyat di kawasan itu.

Cerita pertembungan dan pergeseran dua pihak di dalam Umno Marang, khususnya di Dun Alor Limbat, bukan lagi dongengan atau sesuatu yang boleh dianggap sebagai rekaan parti lawan. Ia ibarat bangkai gajah yang mudah dilihat batang tubuhnya atau dihidu baunya dari jarak yang jauh.

Kekeruhan hubungan antara Adun itu dan pemimpin bawahannya sebenarnya sudah terhasil sejak sekian lama. Kemuncak pertembungan itu ialah pada 2007 lalu apabila ada cawangan di dalam Dun berkenaan mengemukakan usul undi tidak percaya kepada Alias.

Umno Cawangan Padang Midin pernah memutuskan usul berkenaan dalam mesyuarat cawangan berkenaan pada 28 Mei 2007. Dikatakan tiga daripada lima usul tersebut berkaitan hilang kepercayaan terhadap Adun berkenaan.

Pihak cawangan itu mendakwa pertikaian antara mereka dengan waki rakyat itu berpunca daripada tindakan Adun berkenaan yang tidak mematuhi undang-undang parti dan tidak melaksanakan arahan parti. Tidak dapat dipastikan apakah yang dimaksudkan dengan dakwaan tersebut.

Bagaimana pun, di antara desas-desus diperkatakan ketika itu, Adun berkenaan didakwa membatalkan pemilihan jawatankuasa Peti Undi Umno Padang Midin yang diarah diadakan oleh Umno Bahagian Marang pada 2006.

Alias juga didakwa menolak senarai calon anggota JKKK kampung berkenaan bagi sesi 2006/07 sepertimana diluluskan sebulat suara oleh mesyuarat Umno cawangan. Perselisihan itu dikatakan merebak kepada fitnah-memfitnah sesama mereka. Perpecahan tambah ketara apaila wujud suasana saling pulau-memulau program yang masing-masing adakan.

Ketika telah pun kedengaran cubaan melunakkan pergeseran itu. Didakwa kononnya pertikaian dihebahkan itu sengaja dicipta pihak yang berseteru dengan Adun berkenaan. Sehingga dikatakan seorang pemimpin kanan bahagian tersebut adalah pemain utama di belakang seluruh episod itu.

Beliau dikatakan sangat terliur untuk bertanding di Dun berkenaan. Lalu didakwa bertanggungjawab merancang dan mengadakan pelbagai strategi bagi menjatuhkan Alias termasuk memberi gambaran negatif betapa Adun berkenaan tidak disenangi para pemimpin bawahan Umno dan wajar ditukar.

Andaian itu seakan terbukti apabila kemuncak bantahan kumpulan penentang itu ialah desakan agar Presiden Umno menolak Alias sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum 2008.

Di dalam hujah mengiringi usul berkenaan, jurucakap cawangan tersebut menegaskan, “biarlah kita korbankan seorang wakil rakyat, asalkan rakyat sekampung hidup harmoni dan berpadu”.

Usul itu secara jelas menerangkan maksud perjuangan mereka, iaitu agar Umno-BN menggantikan Alias dengan calon yang mereka senangi. Ia bagaimana pun tidak diterima pucuk pimpinan Umno. Alias dipilih bertanding semula dan beliau masih mampu mempertahankan kemenangannya. Pada 2004, BN berjaya merampas kerusi berkenaan daripada PAS.

Dalam usaha PAS Terengganu mencanangkan hasrat menawan semula negeri itu, Dun Alor Limbat sentiasa berada di pertengahan senarai 17 atau 18 kerusi yang mesti dimenangi PAS.

Sama ada Alias akan kekal mewakili BN nanti atau PAS berjaya merampas semula kerusi Dun tersebut, seperkara yang pasti, kes Alor Limbat membuktikan pergolakan dalaman Umno Terengganu tidak pernah padam.

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1550, 21 Jun 2010 di ruangan 'kolumnis', F22 dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment