Monday, June 14, 2010

Tradisi PAS juarai isu keadilan

oleh: Mat Zain Mat Isa

Sehingga rencana ini ditulis (Khamis, 10 Jun), tema muktamar tahun ini belum diumumkan. Bagaimana pun desas-desus yang kuat mengatakan ia akan kembali berkisar pada persoalan keadilan. Ada yang mengatakan ia berbunyi ‘Islam Adil Untuk Semua’, ada yang menjangka ‘Keadilan Islam Untuk Semua’. Tidak kurang juga yang menyebut ‘Islam Untuk Keadilan’.

Apa pun ungkapan sebenar yang dipilih, ia dijangka tidak lari daripada penekanan utama prinsip asas perjuangan PAS, iaitu hanya Islam yang mampu melimpahkan keadilan kepada semua makhluk di mukabumi ini.

Sesungguhnya perjuangan menegakkan keadilan dan menentang sebarang bentuk kezaliman telah terlembaga di dalam PAS sejak ia ditubuhkan hampir 60 tahun lalu. Fasal 6 Perlembagaan PAS mengungkapkan usaha-usaha parti itu, antara lain menerusi Ceraian (2), “Memperjuangkan Islam sebagai aqidah dan syari’ah serta menjadikannya sebagai panduan berpolitik dan bernegara serta memperkenalkan nilai-nilai keislaman dalam usaha menegakkan keadilan dan kemajuan di segenap bidang termasuk pemerintahan dan pentadbiran, ekonomi dan sosial serta pelajaran dan pendidikan”.

Komitmen PAS terhadap perjuangan menegakkan keadilan adalah agenda yang tidak pernah padam. Setiap pemimpin utama PAS yang silih berganti tidak pernah jemu mengulang-ulangi slogan keadilan. Sorotan ucapan-ucapan dasar mereka di muktamar-muktamar tahunan PAS boleh dijadikan bukti komitmen itu.

Yang Dipertua Agung PAS yang kedua, Dr Burhanuddin al-Helmi misalnya, di dalam ucapan dasarnya di Muktamar Agung Kesembilan pada 1960 mengajak ahli-ahli PAS menghancurkan kerajaan Perikatan yang disifatkannya sebagai “pihak-pihak yang tidak tahu di mana letaknya kebenaran, keadilan dan mementingkan diri mereka sendiri”.

Dua tahun kemudian di Muktamar Agung PAS ke-11, beliau menyebut dengan lebih jelas tentang prinsip keadilan dalam perjuangan PAS dengan katanya, “PAS telah nampak bahawa tidak akan dapat diselamatkan umat Islam, negara ini dan juga rakyat keseluruhannya melainkan dengan berpegang kepada ajaran dan asas pemerintahan yang adil dan jujur seperti yang dianjurkan oleh al-Quran”.

Menurut Dr Burhanuddin lagi, dengan menjadikan keadilan Islam dalam undang-undang dan politik negara sebagai asas pemerintahan, ia akan dapat menyelesaikan pelbagai masalah  yang timbul.

Dalam ucapan dasar tahun berikutnya, beliau menyebut pula, “kerana parti PAS ini berjuang berdasarkan kefahaman Islam, maka perlulah kita memberitahu kepada orang-orang yang bukan Islam supaya jangan menaruh perasaan gentar dan curiga terhadap PAS. Fahaman Islam mempunyai perikemanusiaan yang begitu adil dan beradab. Fahaman yang mengajak seluruh insan supaya hidup aman damai dengan menghormati hak masing-masing”.

Haji Yusof Abdullah ar-Rawa lewat ucapan dasarnya yang pertama pada 1983 juga mengulangi penegasan prinsip keadilan itu. Antara lain beliau menyebutkan, “biarlah manusia seluruhnya mengerti bahawa perjuangan Islam ialah perjuangan membebaskan manusia dari kepalsuan, kezaliman, penindasan dan penderitaan. Perjuangan Islam ialah perjuangan menegakkan keadilan, perdamaian, kebenaran dan kesejahteraan”.

Yusof juga telah mencetuskan idea menjadikan PAS sebagai pelopor gerakan keadilan yang menyatukan semua pihak yang berjuang menuntut ia ditegakkan. Lewat tema “Teguhkan Jamaah, Teruskan Jihad” pada 1986, beliau mencabar ahli-ahli PAS dengan katanya, “kita mesti menggerakkan jamaah kita sebagai kekuatan politik yang membawa penyatuan gerakan keadilan di negara ini berlandaskan prinsip-prinsip Islam”.

Bagi Yusof, PAS merupakan salah satu di antara mata rantai perjuangan mustadhafin sejagat yang bersatu di bawah panji-panji keadilan dan kesejahteraan untuk menentang kezaliman, eksploitasi dan penindasan mustakbirin.

“Kita mencintainya (PAS) kerana ia telah, sedang dan insya-Allah akan terus menjadi wadah himpunan kaum mustadhafin yang setia kepada kebenaran dan perjuangan untuk menegakkan keadilan dan menentang kezaliman dalam apa juga bentuknya,” tegas Yusof dalam ucapan dasar bertajuk “Membina Ketahanan Ummah”, ucapan dasar terakhir beliau selaku Yang Dipertua Agung PAS.

Idealisme perjuangan Yusof disambung penggantinya, Ustaz Fadzil Mohd Noor. Nasib Fadzil lebih baik kerana dalam era kepimpinannya suasana politik negara memungkinkan beliau merealisasikan penyatuan gerakan keadilan di negara ini.

Dalam menghadapi Pilihan Raya Umum 1990, PAS mengadakan kerjasama dengan tiga parti menerusi Angkatan Perpaduan Ummah. Antara asas perjuangan yang disepakati ialah menentang kezaliman Barisan Nasional (BN) dan menegakkan keadilan politik, ekonomi dan sosial.

Tradisi itu diteruskan dengan pemilihan motto “Bersama Menegakkan Keadilan” sebagai tema tahunan PAS pada 1999. Ia bukan sahaja tepat dengan iklim politik tanahair ketika itu sehingga terbentuknya Barisan Alternatif, malah  menggamatkan lagi laungan keadilan yang telah diteriakkan PAS sejak sekian lama.

Kini, dalam keadaan BN masih kekal meneruskan ketidak adilan ekonomi, sosial dan politik dalam pemerintahannya, PAS tampil mengemukakan Islam sebagai alternatif. PAS sekali lagi mengajak seluruh rakyat negara ini untuk membuka minda membicara dan mendalami aspek keadilan yang mampu ditawarkan Islam untuk semua lapisan masyarakat.

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1548, 14 Jun 2010 di ruangan 'kolumnis', F21 dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment