Monday, March 29, 2010

Apabila bohong, khianat jadi tabiat ahli politik

oleh: Mat Zain Mat Isa

Memang benar kata orang, dunia politik ibarat permainan sangat kotor. Kekotoran itu bukan semata-mata kerana sistem atau kerangka politik itu sendiri, tetapi lebih disebabkan tabiat dan perilaku buruk watak-wataknya.

Orang politik cenderung mengenepikan soal etika, sama ada di sisi aturan demokrasi atau hukum agama. Bercakap bohong, mencipta dakwaan palsu, menabur janji kosong, berhasad dengki, menabur fitnah dan jatuh-menjatuh sesama sendiri adalah antara sifat yang seakan diterima sebagai tabiat dan lumrah politik.

Bahkan, tatkala kepentingan peribadi mengatasi keutamaan kumpulan, orang politik tergamak menggadai prinsip dan memutar haluan perjuangan. Ketika itu mereka tidak kesah menjilat kembali muntah sendiri atau dilabelkan pengkhianat, asalkan kepentingan peribadi dapat diselamatkan.

Ingat lagi istilah “membakar jambatan” yang pernah dipopularkan seorang tokoh politik lebih dua dekad lalu? Beliau bukan calang-calang orang. Seorang yang pernah keluar-masuk barisan Kabinet dan telah berada dalam parti pemerintah negara buat beberapa lama.

Ketika meyakinkan para pengikutnya dengan ungkapan “bakar jambatan” itu, beliau seorang timbalan presiden parti serpihan Umno. Tokoh itu berikrar tidak akan sekali-kali kembali kepada Umno, parti yang dilabelkannya sendiri sebagai pengkhianat bangsa dan berbagai gelaran lagi.

Bagaimana mungkin beliau menyeberangi semula kerana jambatan penghubung antaranya dengan Umno telah “dibakarnya”? Bahkan di ketika lain, kedengaran juga ikrar jika dia mati dan hidup kembali pun, dia tidak akan kembali kepada parti mungkar itu.

Semua kita tahu apa kesudahannya. Pemimpin berkelulusan doktor falsafah di bidang undang-undang itu bukan sahaja secara terbuka melanggar ikrarnya itu, malah berusaha keras membawa masuk kembali para pengikutnya secara en bloc ke dalam Umno. Sebagai habuannya beliau bukan sahaja diterima semula sebagai ahli biasa Umno, tetapi hingga kini tersenarai dalam barisan Kabinet.

Seorang lagi pelaku politik, juga dari sebuah parti serpihan Umno, pernah menggoncangkan pentas politik tanahair lebih 10 tahun lalu dengan istilah “sumpah keramat”. Hampir tiada amalan korupsi, kronisme dan nepotisme di kalangan pemimpin utama Umno yang tidak didedahkannya.

Kelantangan dan kepetahan anak muda ini menggarap isu-isu politik amat memukau pelbagai pihak. Beliau disandarkan bakal menggoncangkan keutuhan Umno dan Barisan Nasional (BN) di persada kuasa.

Ketika itu tiada khalayak politik mahu pun penganalisis dan pemerhati akan percaya seketika kemudian beliau kembali semula bersekongkol dengan parti korup yang menjadi bahan cemuhannya sendiri. Namun itulah yang berlaku kira-kira dua tahun lalu.

Banyak lagi kes membabitkan kenyataan dan pendirian bohong seumpama itu. Ia bukan sahaja mengotorkan padang permainan politik, malah turut memberikan gambaran seolah-olah dunia politik dipenuhi watak-watak tidak bermaruah dan tidak boleh diyakini pegangan perjuangan mereka.

Kebelakangan ini fenomena mengecewakan ini seakan kembali menguasai pentas politik negara. Ada parti dilanda perkelahian yang tidak berkesudahan. Ada yang berakhir dengan penyingkiran sebilangan mereka dari parti dan ada yang kemelut perebutan kuasanya belum selesai hingga kini.

Ada parti pula bertindak keluar dari gabungan induk kerana hilang kepercayaan terhadap kepimpinannya. Namun paling mutakhir dan lebih menjadi fokus media ialah tindakan beberapa bekas wakil rakyat Keadilan yang kini hebat menyerang kembali bekas parti mereka.

Apa yang paling mendukacitakan ialah kenyataan yang mereka dakwa sebagai pendedahan mengenai taktik dan tabiat buruk pemimpin bekas parti mereka seakan diterima sebagai perkembangan baik dalam politik negara.

Percanggahan kenyataan antara pihak terlibat tambah mengelirukan rakyat. Perkelahian melampaui batas antara mereka merobohkan tembok rasional. Sehinggakan semakin sukar dinilai mana hujah dan kenyataan yang benar, mana yang palsu.

Disedari atau tidak, gelagat politik sedemikian menjerumuskan negara ke lembah kemunafikan yang nyata. Maaf cakap, perlakuan sebilangan ahli politik kita menepati ciri atau sifat muanfik yang pernah diberi amaran oleh Rasulullah s.a.w.

Apabila berkata-kata, mereka cenderung berbohong. Itu sudah dimaklumi dan telah pun dihuraikan tadi. Apabila diberikan amanah, sama ada kuasa, kewangan atau sebagainya, mereka gemar mengkhianatinya. Berleluasanya amalan rasuah, meningkatnya gejala ketirisan dalam perbelanjaan negara dan ghairahnya ahli politik melompat parti adalah simptom utama amalan khianat.

Apabila berjanji, mereka memungkirinya dan apabila berkelahi, mereka cenderung melampaui batas. Ertinya tabiat dan perilaku ahli politik kita sebenarnya sudah menepati empat sifat utama kemunafikan itu.

Amat malang sekiranya fenoma ini seakan diterima sebagai lumrah. Ia seolah-olah satu pengiktirafan bahawa politik Malaysia adalah medan politik munafik. Sedangkan Islam masih dilaungkan sebagai agama Persekutuan dan di dalamnya masih berkumandang suara-suara menjulang amalan politik cara Islam.

Barangkali usaha kita mengenengahkan Islam sebagai pemimpin perubahan masih belum sepadan dengan kebobrokan yang telah terbentuk dalam politik negara!

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1526, 29 Mac 2010 di ruangan 'kolumnis', F21 dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment