Monday, March 22, 2010

Kaukus Bebas ringankan kerja Ahli Parlimen BN

oleh: Mat Zain Mat Isa

Patutlah para pemimpin Barisan Nasional (BN) beriya-iya sangat memberikan reaksi positif terhadap idea pembentukan kaukus oleh Ahli-Ahli Parlimen Bebas di Dewan Rakyat. Belum pun sempat cadangan itu direalisasikan secara rasmi, hasil maksud kaukus itu telah pun mula terzahir.

Gelagat penampilan dan butir ucapan wakil rakyat Bebas pada Sidang Dewan Rakyat bermula Selasa (16 Mac ) lalu menceritakan segala. Ia menghampiri persepsi sebelum ini bahawa tindakan tiga Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (Keadilan) keluar parti dan menjadi wakil rakyat Bebas baru-baru ini adalah langkah permulaan menyertai BN.

Meski pun setakat ini kekal dengan status Bebas, tindakan dan kenyataan mereka banyak menguntungkan BN. Pengkhianatan mereka mengakibatkan kekecohan dan fitnah politik terhadap bekas parti mereka. Gelora itu memberi kesempatan agak selesa buat BN mengganyang Pakatan Rakyat (PR) dengan berbagai serangan dan sendaan.

Ucapan sulung Ahli Parlimen Bayan Baru, Dato’ Seri Zahrain Mohamed Hashim dari kerusi Bebas di Parlimen, Rabu (17 Mac) lalu adalah bukti ketara. Dalam ucapannya, bekas rakan karib Anwar itu mendakwa rancangan ‘16 September’ diilhamkan Anwar untuk mengambil alih kerajaan Pusat dari tangan BN dipenuhi pembohongan.

Beliau menyenaraikan beberapa fakta, antaranya melibatkan dakwaan perkenan Yang Dipertuan Agong, sokongan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan dokongan sejumlah Ahli Parlimen BN yang membolehkan PR membentuk kerajaan.

Sama ada fakta-fakta tersebut benar atau semata-mata fitnah, pihak paling gembira dengan pendedahan Zahrain itu ialah BN. Lihat saja reaksi girang dan senyum melebar para Ahli Parlimennya seraya memekik sinis ke arah kem pembangkang tatkala wakil Bebas itu melontarkan dakwaannya.

Malah tidak keterlaluan diandaikan bahawa ada di kalangan Ahli Parlimen BN saling berbisik sesama mereka bahawa kelantangan Zahrain itu telah meringankan kerja-kerja mereka mencari modal dan hujah berdepan serangan blok pembangkang. Dalam ertikata lain, bekas Pengerusi Keadilan Pulau Pinang itu telah meletakkan dirinya seakan “lebih BN dari Ahli Parlimen BN” sendiri.

“Dia (Zahrain) cakap saya jumpa tentera. Kenapa beliau tidak beritahu tentera mana. Beliau kata saya suruh Ahli Parlimen (PR) tunggu dalam Dewan (Rakyat) untuk menumbangkan kerajaan BN. Cakap seperti itu adalah cakap orang Umno,” demikian tempelak Anwar, ketika ditemui media di lobi Parlimen.

Apa yang dirakamkan itu adalah suasana Sidang Dewan Rakyat di hari pertama perbahasan selepas kemunculan blok Bebas. Selain Zahrain, blok ini turut dianggotai tiga lagi bekas Ahli Parlimen Keadilan, termasuk dua yang keluar parti iaitu Tan Tee Beng (Nibong Tebal) dan Mohsin Fadzli Samsuri (Bagan Serai). Manakala seorang lagi ialah Zulkifli Noordin (Kulim-Bandar Baharu) yang menjadi wakil Bebas setelah dipecat keahliannya dari parti itu.

Sebelum mereka, terdapat hanya tiga wakil Bebas di Dewan Rakyat. Mereka ialah Dato’ Paduka Ibrahim Ali (Pasir Mas), Dato’ Eric Enchin Majimbun (Sepanggar) dan Dato’ Dr Chua Soon Bui (Tawau). Pada pilihan raya umum lalu Ibrahim menang di atas tiket PAS, manakala Eric dan Dr Chua di atas tiket BN mewakili Parti Maju Sabah (SAPP).

Ibrahim mengisytiharkan diri sebagai wakil Bebas sejurus menang, manakala dua yang lain itu menukar status berikutan tindakan SAPP mengumumkan keluar dari komponen BN.

Berbekalkan jumlah tujuh anggota itulah timbulnya usul pembentukan kaukus Bebas di Parlimen. Orang yang mencetuskan idea itu ialah Zahrain sendiri.

Kenyataan itu segera disambut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Nazri Aziz. Beliau selaku menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal Parlimen menganggapan pembentukan kaukus Bebas bakal menjadikannya blok kuasa ketiga dalam Parlimen. Nazri malah mendakwa kehadiran mereka amat penting terutama sebagai kuasa penentu dalam keadaan tertentu di Parlimen, termasuk dalam perkara yang memerlukan undi dua pertiga.

Kenyataan itu sudah tentu merujuk kepada jumlah sokongan diperlukan BN untuk memenangi sesuatu undian. Cara gaya bahasa Nazri itu membayangkan betapa BN amat selesa dengan pertambahan Ahli Parlimen Bebas. Seolah-olah sudah ada keyakinan di pihak BN bahawa mereka ini tidak akan mengecewakan parti pemerintah itu tatkala undi mereka diperlukan.

Secara tersirat juga pembentukan kaukus Bebas itu bakal memadamkan kekecewaan BN atas kehilangan dua Ahli Parlimen SAPP yang menyertai blok Bebas tadi. Barangkali dengan adanya kaukus itu nanti, penentangan dua Ahli Parlimen Sabah itu terhadap BN sedikit sebanyak dapat dinutraliskan, terutama hasil desakan dan pujukan lima lagi anggota sama status dengan mereka itu.

Justeru tidak jauh tersasar jika disimpulkan bahawa kemunculan wakil rakyat Bebas bakal memudahkan BN menyempurnakan perancangan politiknya. Di luar Parlimen, hakikat itu telah dibuktikan menerusi sokongan tiga wakil Bebas di Perak yang menjadi faktor utama kejayaan BN merampas kuasa.

Manakala pendedahan Umno Bahagian Padang Serai mengenai hasrat Adun Lunas, Mohd Radzhi Salleh menyertai parti itu mengukuhkan lagi persepsi bahawa status wakil Bebas yang mereka duduki kini hanyalah persinggahan sementara ke arah melompat sepenuhnya ke dalam BN.

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1524, 22 Mac 2010 di ruangan 'kolumnis', F21 dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment