Sunday, March 14, 2010

Mendamba penyelesaian bermaruah kes wakil rakyat lompat

Oleh: Mohd Nasir Awang

Sebagai salah satu jalan keluar mengurangkan kekusutan dan kebusukan akibat amalan melompat parti oleh wakil-wakil rakyat, PAS sekali lagi menyuarakan agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengkaji semula peruntukan di bawah Akta Pilihan Raya yang menghalang mana-mana wakil rakyat yang meletakkan jawatan daripada bertanding semula.

Menurut peruntukan tersebut, mana-mana Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang mengosongkan kerusi disandangnya tidak dibenarkan menjadi calon pilihan raya selama lima tahun.

Satu kenyataan daripada Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, yang disiarkan media pada Isnin (8 Mac) menyebutkan bahawa pindaan akta tersebut amat penting memandangkan peruntukan itu kini dianggap penghalang utama kepada amalan politik lebih demokratik dan bermaruah.

“Pada pandangan saya secara peribadi, calon yang bertanding dalam (di atas tiket) sesuatu parti, kemudiannya keluar parti (selepas menang), secara moralnya perlu meletakkan jawatan sebagai wakil rakyat,” katanya.

Baginya, pindaan akta tersebut akan membuka peluang kepada setiap pihak yang terlibat dalam pertikaian membuktikan kekuatan pengaruh masing-masing di kawasan terbabit. Logiknya, persoalan apakah wakil rakyat tersebut menang kerana kapasiti peribadi atau lebih disebabkan faktor parti akan terjawab apabila diadakan pilihan raya semula. Hanya rakyat sebagai pengundi yang paling berhak menentukannya.

Wakil rakyat terbabit juga tidak lagi mempunyai alasan takut kehilangan kerusinya jika meletakkan jawatan. Dengan itu pilihan raya semula akan mengurangkan perasaan tidak puas hati setiap pihak terlibat apabila sekali lagi diberi peluang mengukur kekuatan pengaruh masing-masing.

Suatu ketika dahulu peraturan sedemikian tidak wujud. Tatkala itu mana-mana wakil rakyat yang merasa tidak lagi selesa untuk terus bersama parti yang menjadi tiket kemenangannya boleh mengosongkan kerusi disandangnya dan bertanding semula.

Kesempatan itu pernah dimanfaatkan pemimpin Umno sendiri suatu ketika dulu. Antara contoh klasik ialah tindakan Ahli Parlimen Johor Bahru, Datuk Shahrir Abdul Samad. Beliau menang Pilihan Raya Umum 1986 di atas tiket Barisan Nasional (BN).

Bagaimana pun, pemilihan Umno 1987 menyebabkan parti itu terbelah dua. Sebilangan pemimpin parti itu, termasuk Shahrir kemudiannya terpinggir. Beliau yang tidak lagi selesa untuk kekal sebagai wakil rakyat BN akhirnya meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen.

Satu pilihan raya kecil diadakan di Johor Bahru pada 25 Ogos 1988 di atas percaturan menguji kekuatan BN/Umno dan kumpulan serpihan ‘Umno 46’ ketika itu. Mewakili kumpulan ini ialah Shahrir sendiri yang bertanding sebagai calon Bebas, manakala mewakili BN ialah calon Umno, Haji Mas'ud Abdul Rahman.

Keputusannya, Shahrir menang dengan majoriti 12,613 undi. Bagi banyak pihak terutama para pengundi di kawasan terbabit, pilihan raya kecil itu adalah penyelesaian paling demokratik dan bermaruah terhadap pertikaian pengaruh di situ. Ia adalah kata putus terhadap dakwaan pihak-pihak bertelagah.

Dalam ertikata lain, Johor Bahru membenarkan dakwaan kumpulan serpihan Umno dan juga Shahrir sendiri bahawa pengaruh peribadinya atau kumpulan diwakilinya ketika itu mengatasi kekuatan pengaruh BN/Umno.

Kini hujah dan dakwaan serupa turut kedengaran daripada beberapa wakil rakyat yang kebelakangan ini bertindak meninggalkan parti dan mengisytiharkan menjadi wakil Bebas. Kononnya pengaruh peribadi mereka masih kuat di kalangan pengundi di kawasan masing-masing.

Malangnya apabila wakil lompat itu dicabar bekas partinya meletakkan jawatan bagi diadakan pilihan raya semula untuk membuktikan kekuatan pengaruh masing-masing, belum ada antara mereka bersedia berbuat demikian.

Halangan utama melaksanakan penyelesaian bermaruah itu ialah peraturan di bawah Akta Pilihan Raya yang disebutkan tadi. Kita percaya andaikata wakil lompat itu tidak dihalang mempertaruhkan nasib sekali lagi, tidak akan ada lagi alasan untuk mereka tidak mengosongkan kerusi disandang itu.

Persoalannya, apakah BN bersedia meminda kembali akta itu? Bagi yang mengenali tabiat BN, kedegilan parti pemerintah itu melayani tuntutan pihak pembangkang tidak sukar dimengertikan. Dalam perkara yang khusus berkaitan perjalanan pilihan raya, BN pernah memekakkan telinga terhadap beberapa rungutan dan bantahan parti lawan.

Selaku pemerintah negara, BN terlalu yakin setiap peraturan diperkenalkan kerajaan dan undang-undang diterimapakai SPR adalah sengaja digubal dan dilaksanakan untuk mengukuhkan status quo politiknya.

Justeru, selagi mana BN yakin sesuatu peraturan itu menguntungkan survival politiknya, maka mana mungkin untuknya meminda atau menggantikannya dengan sesuatu yang lain? BN akan hanya bising dan kecoh tentang kelemahan atau kesilapan peraturan sedia ada apabila ia tiba-tiba merasa rugi atau terbeban dengan pelaksanaannya.

Apa pun alasan BN untuk tidak melayan gesaan meminda akta tadi, ia wajar memikirkan keuntungan mungkin diperolehinya, terutama jika berlaku sesuatu masalah politik dalamannya. Jangan lupa BN sendiri pernah memanfaatkan peluang mengosongkan kerusi beberapa tokohnya untuk kepentingan politiknya.

Kes pertukaran kerusi antara Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Abu Hassan Omar dengan Adun Permatang, Jamaluddin Adnan pada Mei 1997 adalah contoh terbaik. Pertukaran itu adalah kaedah penyelesaian terbaik yang mampu difikirkan BN untuk memecahkan kebuntuan isu pelantikan Menteri Besar Selangor ketika itu. Abu Hassan yang menjadi menteri kabinet terpaksa “diimport” apabila BN gagal menemui calon terbaik di kalangan Adun sedia ada.

Apakah ada jaminan masalah serupa tidak akan berulang? Ataukah BN mahu menunggu terhantuk dengan masalah itu, barulah ia terngadah dan bergegas meminda semula halangan dimaksudkan itu?

(Artikel ini disiarkan tabloid mingguan Siasah Bil: 0191, 14 Mac 2010 dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment