Monday, March 8, 2010

Ahli keluar parti uji setiakawan komponen PR

oleh: Mat Zain Mat Isa

Dalam sesi pertemuan ringkas dengan sekumpulan tonggak utama PAS Kawasan Besut pada Isnin (1 Mac) lalu, Naib Presiden PAS, Dato’ Mahfuz Omar diterjah soalan berhubung kecenderungan para pemimpin Parti Keadilan Rakyat (Keadilan) meninggalkan parti itu mutakhir ini.

Kebetulan pula beberapa jam sebelum pertemuan tertutup itu, tersebar berita Ahli Parlimen Keadilan Nibong Tebal, Tan Tee Beng, mengumumkan keluar parti dan menjadi wakil rakyat Bebas. Dalam sidang medianya beliau menyenaraikan empat sebab utama berbuat demikian. Antaranya ialah kecewa dengan kerenah kepimpinan tertinggi parti.

Bekas Setiausaha Agung Keadilan, Dato’ Salehuddin Hashim, yang turut hadir pada sidang media tersebut pula mengesahkan telah terlebih dahulu mengambil tindakan demikian. Beliau mendakwa keluar parti dua minggu selepas melepaskan jawatannya pada 7 Januari lalu.

Perisytiharan itu berlaku tidak sampai 24 jam selepas bekas Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin, mengumumkan keluar Keadilan dan menyertai Umno. Beliau yang sebelum ini mengosongkan kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Penanti disandangnya berbuat demikian di hadapan Perdana Menteri pada majlis perjumpaan kepimpinan tertinggi sebuah pertubuhan silat di ibu negara.

Alasan diberikannya sudah agak klise. Beliau mendakwa hilang kepercayaan terhadap parti dan kepimpinannya. Alasan serupa telah kerap diberikan oleh mana-mana pemimpin yang melompat sebelum ini. Paling akhir kedengaran ialah pada 12 Februari lalu apabila Ahli Parlimen Bayan Baru, Dato’ Seri Zahrain Mohd Hashim mengumumkan pendiriannya keluar Keadilan.

Rentetan kejadian keluar parti yang bagaikan sambung-menyambung itulah yang menimbulkan keresahan di kalangan para pendokong Pakatan Rakyat (PR), termasuk pendokong PAS di Besut. Apatah lagi di kalangan mereka yang berbuat demikian adalah wakil-wakil rakyat.

Tindakan mereka itu sudah tentu akan menjejaskan kekuatan dan kedudukan PR di dalam Dewan. Paling tidak ia memberi impak negatif terhadap imej dan kredibiliti pakatan pembangkang itu, terutama dalam usaha membina dan meraih kepercayaan lebih besar daripada rakyat dalam pilihan raya umum akan datang.

“Saya kira tidak ada apa yang perlu dibimbangkan (ekoran wakil rakyat Keadilan keluar parti). Saya melihat apa yang berlaku terhadap Keadilan itu adalah proses pembersihan untuk partinya. Ia adalah proses biasa yang berlaku kepada mana-mana parti. Kita PAS sendiri pun telah lama melalui proses ini,” tegas Mahfuz.

Bagi memperkuatkan hujahnya, beliau turut menyebut nama beberapa bekas pemimpin utama PAS yang bertindak keluar parti, termasuk dua bekas Presiden dan Naib Presiden. Namun apa yang dilihatnya, dan menjadi fakta sejarah yang diakui semua pihak, perbuatan pemimpin meninggalkan PAS tidak memberikan kesan negatif jangka panjang kepada parti. Ia sebaliknya, sepertimana didakwa Mahfuz, telah membersih dan mematangkan PAS selepas peninggalan mereka.

Sememangnya wujud kebimbangan agak ketara di dalam masyarakat ekoran siri tindakan keluar parti oleh beberapa pemimpin Keadilan tadi. Meski pun bagi sesetengah khayalak politik masalah itu lebih menjurus kepada kelemahan dan kepincangan pentadbiran parti tersebut sahaja, suara lebih besar mengatakan ia juga menjadi masalah bersama parti-parti pendokong PR, termasuk PAS dan DAP.

Sepertimana dimaklumi, oleh kerana calon diletakkan mana-mana parti itu menentang Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya lalu adalah atas kesepakatan mewakili PR, maka keputusan rakyat memilih calon berkenaan hendaklah diakui atas dasar menyokong PR. Justeru, apa-apa tindakan dibuat mereka yang menjadi wakil rakyat itu adalah juga berkait rapat dengan sokongan dan kepercayaan rakyat terhadap pakatan tersebut. Ia tidak wajar dianggap sekadar menggambarkan masalah sokongan terhadap parti-parti tertentu sahaja.

Tidak syak lagi pihak paling gembira dan bersyukur dengan perkembangan ini ialah para pemimpin BN. Bertalu-talu sudah kedengaran berbagai komen dan ulasan mereka. Antara mereka mendakwa kejadian itu mengesahkan wujudnya masalah dalaman serius di kalangan parti-parti pembangkang, khususnya Keadilan. Ada pula optimis parti itu sudah hilang pengaruh dan bakal berkubur sedikit masa lagi.

Bahkan ada yang secara sinis memulangkan paku buah keras terhadap keghairahan PR mencanangkan hasrat menawan Putrajaya. Bagi mereka kejadian wakil rakyat Keadilan keluar parti mutakhir ini adalah bahana perancangan 16 September yang dilaung-laungkan pemimpin parti tersebut sendiri.

Apa pun telahan dan ulasan pihak lawan, para pendokong PR sepatutnya menangani keadaan kini dengan lebih berhati-hati. Itulah cabaran sebenar yang mendepani kita. Bahawa perkembangan tidak menyenangkan ini amat memerlukan kesabaran dan kebijaksanaan semua pihak dalam PR.

Sementara BN kelihatan optimis mencanangkan akan memperolehi kembali majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat menerusi sokongan wakil-wakil Bebas yang didakwa bakal bertambah jumlah mereka dalam masa terdekat, kedudukan Penasihat Keadilan, Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Pembangkang juga cuba digugatnya. Tusukan itu adalah jarum paling berbisa untuk menguji setiakawan parti-parti dalam PR.

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1520, 8 Mac 2010 di ruangan 'FOKUS', N21 dengan tajuk "Pemimpin keluar parti uji setiakawan dalam Pakatan")

No comments:

Post a Comment