Sunday, March 7, 2010

Mentaliti kebendaan strategi kembali makan diri BN

Oleh: Mohd Nasir Awang

Ketika bercakap kepada media di majlis Program Juara Rakyat: Bulan Kebajikan anjuran Umno Bahagian Marang, Sabtu (27 Februari) lalu, Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said meluahkan rasa kesalnya terhadap sebilangan rakyat yang sentiasa mengharapkan bantuan kerajaan.

Apa yang amat mengecewakannya ialah apabila ada antara mereka didapati mempunyai keupayaan kewangan yang sepatutnya tidak melayakkan mereka menerima bantuan. Contohnya termasuklah kemampuan anak masing-masing yang telah berjaya dan sepatutnya tidak lagi membiarkan ibu bapa menagih bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Jika diikutkan rasa hati, mahu saja saya katakan, “padan muka” kepada Barisan Nasional (BN), terutama MB Terengganu itu. Sebab bagi saya apa yang dikesalkan beliau itu sebenarnya angkara kesilapan strategi yang direncanakan BN sendiri sejak sekian lama.

Maksudnya, kalaulah tidak kerana sikap para pemimpin BN yang suka mengungkit dan memasyhurkan keupayaannya menghulurkan segala macam bantuan kepada rakyat, maka pada adatnya usaha menyemai sikap berdikari di kalangan rakyat akan lebih berjaya.

Didorong hasrat yang terlalu mahu diiktiraf kebaikan dan keprihatinannya membela rakyat, BN seakan terlupa bahawa di masa sama sikap memanjai rakyat dengan berbagai bantuan, khususnya wang ringgit, sebenarnya menyuburkan mentaliti subsidi dan cintakan kebendaan di hati rakyat.

Umum mengetahui amalan memberikan pelbagai subsidi dan sumbangan wang kepada rakyat telah puluhan tahun menjadi senjata paling ampuh buat BN memenangi hati rakyat. Sepanjang hayatnya BN hidup atas sokongan rakyat yang antara lain diikat dengan curahan kebendaan.

BN sangat selesa menyemai mentaliti agar rakyat sentiasa mengharapkan bantuan kerajaan. Dengan itu mudahlah baginya memaksa mereka terus memberikan sokongan dan undi di setiap kali berlangsungnya pilihan raya. Umpan kebendaan dijadikan bahan “ugutan” atau dalam bentuk lebih lunak sebagai “penambat hati” rakyat agar terus ingat kebaikan BN. Ada sesiapa mahu membantah hujah ini?

Tradisi ini amat ketara di negeri-negeri di mana kekuatan pembangkang agak seimbang dengan BN. Saban tahun BN berbelanja besar bagi melaksanakan strategi politik ini.

Matlamat mewujudkan apa-apa skim bantuan bagi membantu golongan yang memerlukan wajar dipuji. Malangnya, tidak semua golongan sasar berpeluang memanfaatkannya. Pengagihan bantuan kebendaan di peringkat kampung dan daerah banyak bergantung kepada perakuan pemimpin politik.

Dalam banyak keadaan, kriteria pemilihan penerima bantuan tidak dibuat berdasarkan status ekonomi mereka tetapi lebih kepada merit politik. Akhirnya bantuan itu tidak sampai kepada golongan sasaran.

Kepincangan sebegini sudah lama disuarakan. Bahkan di kalangan rakyat yang menjadi mangsa pilih kasih itu, mereka lebih rela jika bantuan-bantuan itu ditiadakan. Namun tidak kelihatan usaha bersungguh di BN memperbetulkan keadaan ini. Ia sebaliknya terus berulang.

Barangkali BN sendiri lebih selesa keadaan sebegitu berterusan. Ia rela peruntukan subsidi itu tidak dimanfaat golongan sasar. Dengan itu BN akan sentiasa ada peluang memanipulasi kesusahan dan kesempitan hidup golongan miskin untuk kepentingan politiknya.

Strategi jahat BN ini amat terserlah sewaktu Terengganu di bawah PAS. Ada fakta yang boleh dipercayai betapa para pemimpin BN yang ketika itu menjadi pembangkang memainkan peranan besar menghasut rakyat agar berduyun-duyun menagih bantuan kebajikan dari kerajaan negeri. Mereka tahu kerajaan berdepan kekangan kewangan sangat kritikal, lalu mengambil kesempatan menambah tekanan politik ke atas PAS.

Saya masih ingat awal Januari 2002, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang selaku Menteri Besar Terengganu menegur sikap segelintir rakyat negerinya yang terlalu mementingkan diri sendiri sehingga menyulitkan usaha kerajaan negeri membantu golongan tidak berkemampuan. Beliau memetik satu contoh bagaimana seorang yang mampu memiliki kenderaan mewah tetapi masih menagih bantuan JKM untuk ibunya.

“Saya diberitahu oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat, ada anak yang datang bawa kereta Mercedes .. bukan dia driver (pemandu), memang itu kereta dia. Marah (kepada JKM) kerana lambat beri bantuan kepada emaknya. Itu memalukan dan tak ada maruah”, kata Tuan Guru.

“Pernah berlaku kita ambil tindakan (pemutihan) terhadap mereka yang ada kebun getah dan kelapa sawit atau berniaga di mana-mana tetapi masih mendapat bantuan. Itu tidak patut kerana mereka ada alat untuk bekerja. Itu kita kena betulkan,” katanya lagi.

Nah! Bukankah apa dialami PAS itu persis apa yang dikesalkan Ahmad minggu lalu? Sememangnya program ‘pemutihan’ yang dilakukan kerajaan negeri terhadap senarai penerima bantuan kebajikan dan zakat tahunan telah menjadi isu hangat ketika itu. Sedari awal tindakan itu dilakukan, berbagai pihak telah memanipulasi isu berkenaan.

Ketelusan diterapkan PAS dalam melakukan pemutihan senarai penerima bantuan JKM sengaja diputarbelit ‘suara-suara ghaib’ di dalam masyarakat. Mereka nampaknya berjaya menaikkan sentimen kemarahan golongan yang terbabit dengan ‘pemutihan’ itu terhadap PAS.

Siapakah ‘suara-suara ghaib’ itu? Itulah yang saya katakan, ada fakta mendorong kita percaya bahawa BN berperanan besar menyemarakkan bantahan pihak yang digugurkan nama mereka itu terhadap kerajaan negeri ketika itu.

Kini apabila masalah sama menimpa BN pula, ia ibarat strategi jahat yang kembali memakan diri parti itu. BN bagaikan terjatuh ke dalam lubang telaga digalinya sendiri untuk memerangkap parti lawan sebelum ini.

Barangkali inilah yang diajarkan Al-Quran, “mereka merencanakan kejahatan dan Allah Ta’ala juga merencanakan yang demikian ke atas mereka sedang Allah Ta’ala itulah sebaik-baik perencana.” Elok kita renungkan maksud ayat Allah ini.

(Artikel ini disiarkan tabloid mingguan Siasah Bil: 0190, 7 Mac 2010 dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment