Friday, March 19, 2010

Isu karikatur cabar keghairahan sambut Maulidur Rasul

oleh: Mat Zain Mat Isa

Belum pun genap lima tahun tercetusnya isu penghinaan terhadap Nabi Muhammad s.a.w. oleh beberapa akhbar, terutama di negara-negara Barat, kejadian serupa kini berulang kembali. Dunia Islam sekali lagi dihadapkan dengan penghinaan serupa oleh beberapa akhbar di negara Barat.

Sebelum ini sudah tercetus ketegangan besar ekoran sikap jahil dan bongkak penguasa dan pengamal media itu. Ia bermula dengan tindakan berani sebuah akhbar Denmark mempersenda dan menghina umat Islam serata dunia.

Pada 30 September 2005, akhbar Jyllands-Posten menyiarkan 12 karikatur memaparkan seorang lelaki dalam keadaan menghinakan. Berdasarkan beberapa petunjuk dan paparan, lelaki itu difahami dimaksudkan kepada Nabi Muhammad s.a.w.

Antara karikatur itu memaparkan Baginda s.a.w. memakai serban berbentuk bom. Ia dipercayai sengaja dilukis bagi menggambarkan Islam sebagai agama yang berfikir atas paksi keganasan.

Isu itu menyemarakkan sentimen agama dan perkauman. Seluruh dunia Islam tampil membantah kebiadaban media itu. Ada negara Islam memanggil pulang duta masing-masing dari Denmark dan ada yang mengumumkan pemboikotan urusan ekonomi dengannya. Bantahan kepada PBB dan agensi hak asasi manusia antarabangsa juga dikemukakan.

Malangnya, bantahan umat Islam itu pada awalnya tidak diendahkan media terbabit, atas alasan kebebasan bersuara. Lebih biadab lagi, beberapa akhbar dan majalah di negara-negara lain pula turut menyiarkan karikatur sama, kononnya sebagai sokongan moral dan atas dasar setiakawan.

Meski pun ada permohonan maaf daripada beberapa media terbabit kemudiannya, ia hanya dibuat setelah kecaman dan rusuhan memuncak di beberapa negara Islam. Beberapa nyawa juga terkorban.

Kini, terbukti permohonan maaf itu bukan hasil penyesalan media Barat atas keterlanjuran mereka. Tindakan merobek maruah dan membelakangi sensitiviti umat Islam itu ternyata memang disengajakan.

Sebab itu penghinaan terhadap Rasulullah s.a.w. yang tidak dapat diterima umat Islam itu diulangi lagi. Ia sekali lagi dicetuskan akhbar di rantau Scandinavia juga. Kali ini giliran akhbar di Sweden pula, negara jiran Denmark.

Tiga akhbar negara itu iaitu Dagens Nyheter, Expressen dan Sydsvenska Dagbladet baru-baru ini menyiarkan karikatur menghina Nabi Muhammad s.a.w.

Sebagai umat Islam yang cintakan Junjungan Mulia s.a.w., kita sentiasa berharap penghinaan sebegitu tidak berlaku. Pun begitu kita juga meyakini tentu ada hikmat sangat besar mengapa Allah Taala mentakdirkan ia dilakukan musuh Islam di saat dunia Islam masih diselubungi mood menyambut Maulidur Rasul s.a.w.

Negara kita sendiri agak terkedepan dalam menganjurkan sambutan besar-besaran. Selain dijadikan cuti umum, saban tahun turut diadakan majlis penganugerahan khas bersempena Maulidur Rasul.

Acara perarakan sambil melaungkan salawat kepada Nabi s.a.w. bagaikan sudah menjadi agenda wajib. Sehinggakan apabila ada pandangan kedua mengenai kaedah lebih tepat untuk umat Islam meraikan hari lahir Rasulullah s.a.a.w. (yakni tidak semestinya dengan berarak), ia mendapat reaksi amat tidak menyenangkan pelbagai pihak di serata negara. Mereka berpegang kepada tradisi dan menganggap ia pendekatan terbaik membuktikan kecintaan dan penghormatan terhadap Nabi Muhammad s.a.w.

Di saat roh sambutan Maulidur Rasul itu masih hangat terasa di sanubari umat Islam inilah, maka Allah Taala mentakdirkan berlakunya penghinaan terhadap Baginda s.a.w. Masanya agak tepat untuk menguji kesediaan mereka bersatu menzahirkan kecintaan dan kasih sayang mereka terhadap Rasulullah s.a.w.

Jika sejak beberapa minggu lalu mereka begitu ghairah dan bersungguh menyambut Maulidur Rasul sehingga sanggup berpeluh ketiak dan bergetar anak tekak kerana berarak dan melaungkan salawat kepada Baginda s.a.w., maka inilah masanya mereka buktikan sekali lagi kecintaan itu.

“Pemuda (PAS) akan turun beramai-ramai di Kedutaan Sweden 19 Mac ini bagi menunjukkan bantahan kita terhadap pelukis dan akhbar mereka yang telah menghina Rasulullah s.a.w. Saya mengajak seluruh umat Islam tanpa mengira fahaman politik turun bersama-sama menzahirkan bantahan terhadap penghinaan yang dilakukan terhadap Rasul kita,” akhbar pada Ahad (14 Mac) memetik kenyataan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasrudin Hassan.

Bagi kita itulah peluang untuk umat Islam negara ini merealisasikan tema sambutan Maulidur Rasul tahun ini, “Memantap Ukhuwwah Memperkasa Ummah”. Pemantapan persaudaraan Islam hanya akan terbentuk apabila semua pihak, tanpa mengira perbezaan latarbelakang hidup, berganding bahu dan berpadu tenaga mempertahankan kemuliaan Nabi s.a.w. Hanya dengan persaudaraan yang mantap, ummah ini dapat diperkasakan.

Demonstrasi yang bakal diadakan Dewan Pemuda PAS pada Jumaat nanti akan menjadi saksi dan bukti komitmen itu. Apakah keghairahan sebilangan pihak mempamerkan kecintaan terhadap Nabi Muhammad s.a.w. menerusi sambutan Maulidur Rasul itu benar-benar meninggalkan kesan kecintaan dalam hati mereka, bakal disaksikan. Sejauh manakah mereka tersentuh dan terpanggil untuk keluar beramai-ramai menyatakan bantahan terhadap pihak yang sewenang-wenangnya menghina dan menjatuhkan martabat suci Nabi Besar kita s.a.w.

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1523, 19 Mac 2010 di ruangan 'kolumnis', F21 dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment