MENJADI tabiat semulajadi setiap manusia yang bertamadun untuk mengharapkan sebuah kehidupan yang aman dan damai. Manakala di kalangan manusia yang berpegang kepada ajaran agama pula, mereka turut meminta agar negeri yang mereka diami sentiasa dilimpahi rahmat dan berkat yang berterusan daripada Allah s.w.t.
Negeri Terengganu, alhamdulillah, setakat ini masih berada di dalam keadaan aman dan damai. Manakala rakyatnya yang berbilang kaum dan agama dapat hidup dalam keadaan harmoni dan muhibah.
Tepat sebagaimana yang dititahkan oleh Sultan Mizan sewaktu merasmikan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 16 April lalu, di mana Baginda telah melafazkan kesyukuran dan kegembiraan kerana “suasana pada masa kini di Negeri Terengganu Darul Iman tetap aman dan damai. Tidak ada peristiwa-peristiwa besar yang berlaku yang mengeruhkan suasana kehidupan harmoni semua kaum di negeri ini”.
Titah ucapan Baginda itu telah dirafak sembahkan dengan sokongan dari setiap wakil rakyat penyokong kerajaan.
Kita juga percaya, sekalian rakyat jelata negeri ini turut berkongsi pandangan dengan wakil-wakil rakyat mereka itu. Kerana, manusia secara fitrahnya amat cintakan keamanan dan kedamaian.
Namun, di tengah-tengah kesungguhan Sultan mendoakan kesejahteraan rakyat Baginda dan sekalian pacal yang hina ini juga turut mengharapkan perkara yang sama, rupa-rupanya di sana terdapat juga sekelompok rakyat negeri ini yang terus menghidupkan sentimen konfrontasi dengan Kerajaan Negeri yang ada ini.
Mereka itu malah bercita-cita menjadikan negeri ini sebagai ‘medan peperangan’. Tidak cukup setakat mengumpul kekuatan di dalam negeri ini sahaja, mereka juga secara terbuka mengundang ‘kuasa luar’ untuk turut serta ‘memerangi’ kerajaan ini.
Sebuah akhbar harian pada akhir bulan lalu melaporkan bahawa seorang pemimpin kanan parti pembangkang negeri ini secara terbuka menjemput para pemimpin tertinggi partinya untuk datang ‘berperang’ di negeri ini.
Katanya (sebagaimana yang dilaporkan), “Kami nak menjemput semua Naib Presiden datang ke Terengganu dan kita tidak ada masalah untuk aturkan pertemuan atau pun ceramah. Mulai hari ini, kita jadikan negeri Terengganu sebagai medan peperangan”.
Pemimpin yang bergelar ‘Datuk’ itu juga dilaporkan turut mengajak ahli-ahli partinya, “mari kita berperang dengan PAS di Terengganu dalam usaha kita menyelamatkan negeri Kedah, dalam kita mahu menyelamatkan Selangor dan Pahang tidak jatuh ke tangan PAS”.
Masya Allah, Datuk! Apa sudah jadi ni? Demi menyelamatkan negeri-negeri lain, relakah kita lihat negeri sendiri jadi ‘padang jarak padang tekukur’? Itu dah kira macam kata orang tua-tua dulu, dalam usaha menyelamatkan kera di hutan, maka susu yang ada rela diberikan kepada kera. Sedangkan anak di rumah rela dibiarkan mati kelaparan, Masya Allah!
Sekali fikir, terasa seolah-olah kita sedang menyaksikan babak drama ketika Peringgi nak masuk ke Melaka dahulu. Waktu Peringgi mula-mula datang hampir 600 tahun dahulu, ada seorang pembesar negeri yang bergelar Datuk Mandaliar. Beliau dikatakan sangat iri hati terhadap beberapa pembesar lain yang rapat dengan Baginda Sultan.
Demi menjaga ego dan kepentingan peribadinya, tanpa memikirkan kesejahteraan rakyat dan negeri Melaka, Datuk Mandaliar telah memainkan peranan penting mengundang ‘kuasa luar’ Peringgi untuk menyerang Melaka.
Akibat dari tindakan pengkhianat bangsa itu, sebuah kerajaan Melayu akhirnya jatuh ke tangan penjajah. Keamanan negeri telah ternoda dan kesejahteraan rakyat hanya tinggal kenangan.
Sejarah adalah pengajaran bagi generasi kemudian dan ia juga mampu berulang. Tetapi bagi kita yang berupaya mengulangi sejarah, tentu sekali tidak rasional untuk kita memilih sejarah yang pahit dan hitam untuk diulangi.
Mengundang ‘kuasa luar’ untuk memporak-perandakan negeri sendiri adalah salah satu episod hitam dalam sejarah negara yang sepatutnya diambil pengajaran.
Terus-terang kita katakan bahawa perkara ini berlaku, punca utamanya ialah apabila parti yang telah menerajui negeri ini selama 38 tahun, tiba-tiba kalah dengan begitu teruk. Sehingga kini, lagak para pemimpinnya menggambarkan mereka masih tidak dapat menerima hakikat bahawa mereka sudah tidak memerintah lagi.
Betul, “kekalahan memang cukup memedihkan sehingga menitiskan air mata dan menyayukan perasaan”. Tetapi adakah kepedihan dan kesayuan perasaan itu boleh dijadikan lesen untuk memperjudikan keamanan negeri dan kesejahteraan sekalian rakyatnya?
Kita menasihatkan pihak yang berhasrat menjadikan ‘Negeri Cantik Berbudaya Menarik’ ini sebagai ‘medan peperangan’ agar memikirkan semula ketersasulannya itu. Kerana, jika dijual terlalu murah, lambat-bangat akan ada orang yang membelinya.
Lagi pun Rasulullah s.a.w. pernah berpesan, “Jangan kamu bercita-cita mencari musuh. Tetapi apabila kamu berhadapan dengannya, maka jangan sekali-kali kamu berundur”.
Jangan sampai kita mempertaruhkan keamanan negeri dan kesejahteraan rakyat demi memenuhi ego politik yang sempit!
(Artikel ini disiarkan tabloid dwimingguan Warta Darul Iman terbitan Urusetia Penerangan Negeri Terengganu (UPNT), Bil: 27, 8 Julai 2001 di kolum 'Komentar' dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment