Tuesday, July 10, 2001

Bab 4: Royalti: Rompakan Terbesar Abad Ini

"Usaha kerajaan BN memperbodohkan rakyat Terengganu dengan menukar perkataan royalti kepada ehsan adalah perbuatan jahat dan khianat.”

PAS Tenat Tetapi Rakyat Terengganu Terus Dapat Faedah”, baca tajuk sebuah rencana dalam sebuah majalah berita mingguan akhir Oktober lalu.

“Wang Ehsan, Rakyat Bersyukur 18,000 Golongan Miskin Dapat Duit Hari Raya”, jerit pula sehelai pemidang di tengah-tengah kesibukan sebuah pekan di daerah utara Terengganu. Ia sebenarnya mahu memproklamir pembahagian wang RM200 kepada sebilangan rakyat menjelang Aidilfitri yang lalu.

Semacam ada suatu kesepakatan di antara para aktivis Umno Terengganu yang menggantung pemidang itu dengan penguasa media cetak yang menerbitkan majalah tersebut di ibukota negara.

Kedua-dua pihak nampaknya tidak mahu ketinggalan mengambil bahagian dalam psychological warfare (perang psikologi) yang sengaja dicetuskan ekoran rampasan royalti petroleum oleh kerajaan Pusat September lalu.

Di antara jarum utama yang cuba didoktrinkan ke dalam pemikiran masyarakat ialah bahawa BN bukan bertindak terhadap rakyat Terengganu, tetapi hanya menidakkan hak PAS untuk mentadbir wang royalti milik rakyat Terengganu itu. Sebab itu, ratib popular di kalangan aktivis BN ialah “Wang Ehsan Hak Rakyat, Bukan Hak PAS”.

Kita bersetuju bahawa wang royalti petroleum itu bukan hak PAS. Kita juga menuntut pihak pembangkang turut faham bahawa wang tersebut juga bukan hak mak-bapak mana-mana pemimpin mereka. Betul! Ia adalah hak rakyat Terengganu, dan mesti dipulangkan kepada rakyat. Soalnya, siapakah yang berhak menguruskan wang tersebut bagi pihak rakyat Terengganu?  

Dunia tidak boleh lari daripada hakikat bahawa sebagai pengundi, rakyat Terengganu telah membuat pilihan pada 29 November 1999 lalu. Sebuah kerajaan yang sah telah terbentuk hasil pilihan rakyat secara demokratik.

Sepatutnya semua pihak menghormati keputusan yang telah dibuat oleh rakyat. Tepat sebagaimana disuarakan oleh sehelai pemidang tajaan sebuah Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), “Jangan Cabuli Hak Kerajaan Pilihan Rakyat Terengganu”.

Malangnya, Umno nampak jelas terlalu egoistik untuk menerima hakikat bahawa ia telah kalah di Terengganu. Bagi menyempurnakan amarah balas dendamnya itulah, perompakan duit royalti petroleum dari rakyat Terengganu telah dilakukan.

Berbagai tafsiran yang kononnya berlandaskan undang-undang dibuat untuk menjustifikasikan rompakan tersebut. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Rais Yatim di dalam salah satu kenyataannya kepada media secara panjang lebar telah menerangkan bahawa duit royalti, yang diberikan nama baru oleh Umno sebagai ‘ehsan’, itu bukan milik rakyat Terengganu. Alasan yang beliau berikan ialah kerana apa yang ditandatangani antara Kerajaan Terengganu dan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dulu itu bukannya perjanjian atau agreement, tetapi sekadar MoU (Memorandum of Understanding) sahaja.

Ada pula puak-puak Umno yang mengatakan duit itu diberikan kepada Terengganu selama ini kerana rakyat Terengganu ketika itu berkeadaan miskin. Ertinya, sebaik sahaja PAS mengambilalih pemerintahan Terengganu, tup-tup rakyatnya terus jadi kaya. Justeru, duit itu tidak perlu lagi dihulurkan kepada Terengganu.

Penindasan ini sebenarnya dijemput oleh rakyat Terengganu sendiri iaitu bekas pemimpin Umno yang tersangat kecewa dan merasakan mustahil bagi mereka mendapatkan kembali kuasa pemerintahan. Lebih-lebih lagi sekiranya dibiarkan kerajaan PAS mentadbir Terengganu dan berterusan melakukan perubahan dan pembangunan dengan duit royalti itu.

Mereka inilah yang mula-mula memberi laluan jahat dengan mengisytiharkan bahawa duit royalti itu hanyalah ehsan kerajaan Pusat kepada Terengganu. Bukankah di Perhimpunan Agung Umno tahun lalu perwakilan Umno Terengganulah yang lantang mendesak kerajaan Pusat menarik balik duit berkenaan daripada Terengganu?

Soalnya, apakah benar surat yang ditandatangani bersama oleh bekas MB Terengganu dan Pengerusi Petronas pada tahun 1975 itu hanyalah sehelai kertas yang tidak bernilai yang dipanggil MoU itu?  Kalau betul, sangat bodohlah sepasukan Exco di bawah MB lama yang sanggup menyerahkan khazanah negeri yang tidak terhitung nilai harganya itu secara percuma kepada sebuah syarikat yang dipanggil Petronas, tanpa sebarang pembalasan setimpal.

Terdapat satu surat rasmi yang bertajuk ‘Akta Kemajuan Petroleum 1974: Perjanjian antara Kerajaan Negeri Terengganu dengan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) Seksyen 4 (Pembayaran).’

Surat rasmi berkenaan bermula dengan perkataan ‘perjanjian’, iaitu: ‘Perjanjian ini dibuat pada 22hb Mac 1975 di antara Kerajaan Negeri Terengganu (kemudian daripada ini disebut Kerajaan) sebagai satu pihak dengan Petroliam Nasional Berhad, sebuah syarikat yang diperbadankan di bawah Akta Syarikat, 1965, dan yang pejabat berdaftarnya terletak di No. 21 Jalan Melaka, Kuala Lumpur (kemudian daripada ini disebut Petronas) sebagai pihak satu lagi.’ 

Jelas di situ perkataan ‘perjanjian’ telah digunakan dan ianya adalah di antara Kerajaan Terengganu dengan sebuah syarikat kecil pada masa itu bernama Petronas. Oleh itu, Kementerian Kewangan tidak berhak campur tangan dalam menindas satu pihak ke atas satu pihak yang lain yang menjadi rakyat negara Persekutuan.

Ada pula yang mengatakan perkataan royalti tidak ada disebut dalam perjanjian itu. Itulah sebabnya ia dianggap ehsan. Memang, perkataan royalti tidak disebut secara spesifik di dalam perjanjian pertama itu, tetapi makna dari frasa yang terdapat dalam perjanjian itu membawa maksud royalti iaitu jumlah duit yang perlu dibayar kepada pemilik berlandaskan nisbah tertentu dari jumlah harta yang diperolehi.

Hal royalti ini sebenarnya terdapat pada sambungan perjanjian di atas yang berkaitan dengan pembayaran di bawah Seksyen 4. Dengan jelas dicatitkan bahawa bekalan petroleum itu adalah asalnya milik rakyat negeri Terengganu dan ganjaran dari penukar milikan hak punya dan keistimewaan yang diberikan kepada syarikat kecil Petronas pada masa itu, maka bayaran 5 peratus dari hasi jualan akan dibayar tunai kepada kerajaan negeri.

“Oleh yang demikian, sebagai balasan bagi pemilikan dan hak, kebebasan dan keistimewaan berkenaan petroleum yang ditakhlukkan oleh Kerajaan kepada Petronas, maka dengan ini adalah dipersetujui seperti berikut:
1.                  (1) Petronas hendaklah membayar wang tunai kepada Kerajaan secara bayaran tahunan sebanyak yang setara dengan lima peratus daripada nilai petroleum yang didapati di Terengganu dan dijual oleh Petronas atau agen-agen atau kontraktor-kontraktor dalam tempoh yang diperuntukkan dalam fasal 2.

Berkaitan dengan bayaran tunai, Pengerusi Jawatankuasa Hisbah dan Tugas-tugas Khas Negeri Terengganu, Tun Dato’ Dr. Mohd Salleh Abas mengulas: “Satu kesimpulan lain ialah bayaran wang tunai ini ialah bayaran royalti kerana mengikut undang-undang, khusus amalan perniagaan (commercial usage), royalti itu ialah satu bayaran yang wajib dibuat oleh penerima hak kepunyaan kepada tuannya yang menyerahkan hak kepunyaan itu. Syarikat-syarikat minyak menggunakan perkataan royalti kepada bayaran yang mereka buat sebagai balasan kepada mana-mana concession yang mereka dapat. Bayaran royalti setakat 5% itu adalah hak Kerajaan Terengganu dan rakyat Terengganu dan Petronas wajib membayarnya. Hak Kerajaan Terengganu tidak boleh diganggu dan dibolot oleh Kerajaan Pusat. Bahkan Kerajaan Pusat juga menerima royalti daripada Petronas mengenai petroleum yang dijumpai dan dikeluarkan Petronas di dasar lautan Terengganu.”

Usaha kerajaan BN memperbodohkan rakyat Terengganu dengan menukar perkataan royalti dengan perkataan ehsan adalah perbuatan yang sangat jahat dan khianat. Royalti adalah satu bayaran yang wajib dibayar kepada pemunya hak yang menyerahkan hak sesuatu harta.

Manakala bayaran ehsan ialah satu bayaran sukarela atas belas kasihan si pembayar. Pembayar bebas tidak membayarnya atau jika dibuat pun, pembayar bebas membayar pada bila-bila masa atau dengan jumlah yang mengikut budi bicara pembayar.

Dengan menukar nama bayaran wang tunai royalti kepada perkataan ehsan tidak akan mengubah status bayaran 5% tunai dari segi perundangan dan ia tetap wajib dibayar oleh Petronas dan ia tetap menjadi duit milik rakyat Terengganu sampai bila-bila.

Kalaulah bayaran wang tunai itu berbentuk ehsan, mengapakah bayaran itu diwajibkan oleh Akta Kemajuan Petroleum 1974 dan Perjanjian Royalti 1975? Perjanjian Royalti 1975 dibuat untuk memenuhi Akta Kemajuan Petroleum 1974. Sebab itu, Kerajaan Negeri Terengganu telah menerima bayaran hasil royalti petroleum daripada Petronas sebanyak 5 peratus setahun sejak tahun 1978.

Petronas tidak pernah gagal membayarnya sebanyak 2 kali setahun iaitu pada bulan Mac bagi setengah tahun pertama dan pada bulan September setiap tahun bagi setengah tahun kedua.

Sehingga Mac 2000 lalu, jumlah hasil terimaan royalti petroleum oleh kerajaan negeri ialah sebanyak RM7,129,413,373.00. Pecahan terperinci terimaan hasil royalti tersebut adalah seperti di dalam jadual berikut:
TAHUN
ROYALTI (RM)
TAHUN
ROYALTI (RM)
1978
13,200,000.00
1979
75,114,699.00
1980
108,412,054.00
1981
186,641,649.00
1982
181,940,948.00
1983
205,924,509.00
1984
264, 193, 596.00
1985
280,916,928.00
1986
264,006,911.00
1987
202,056,222.00
1988
266,606,651.00
1989
266,016,870.00
1990
348,516,639.00
1991
418,191,311.00
1992
418,834,558.00
1993
412,196,601.00
1994
360,447,636.00
1995
395,309,874.00
1996
447,307,861.00
1997
514,878,605.00
1998
565,148,360.00
1999
498,722,126.00
2000
434,828,765.00



Kecuali terimaan untuk tahun 2000, kesemua terimaan sebelumnya adalah di bawah kerajaan BN, iaitu berjumlah RM6,694,584,608.00. Dengan terimaan hasil royalti tersebut, negeri Terengganu menjadi salah sebuah negeri terkaya di negara ini. Terengganu mencatatkan pendapatan per kapita RM19,880, iaitu menduduki tempat kedua di seluruh negara selepas Wilayah Persekutuan yang mencatatkan RM25, 100.

Kata Tun Mohd Salleh lagi: “Selain daripada itu, tanggungan (obligation) Petronas membayar wang tunai ini adalah diwajibkan oleh Seksyen 4 Akta Kemajuan Petroleum 1974 dan Perjanjian pada 22 Mac 1975; di antara Petronas dengan Kerajaan Negeri Terengganu.

“Perjanjian ini tidak ada langsung kena mengena dengan kerajaan Pusat yang membolehkan ia campurtangan dalam perjanjian ini untuk menghapuskan hak Kerajaan Negeri Terengganu. Perbuatan ini adalah bertentangan dengan undang-undang kontrak dan Perlembagaan Malaysia.”

Pembohongan istilah ehsan jelas terbukti apabila pada 16 September 1987, Petronas sendiri memberi nama bayaran wang tunai ini sebagai bayaran royalti. Ini jelas dalam surat Tan Sri Abdullah bin Salleh selaku Presiden Petronas ketika itu kepada Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad, selaku MB Terengganu.

Jelaslah sekarang langkah jahat Umno menarik royalti minyak bukanlah kerana kekeliruan perjanjian tetapi kerana terlalu benci dan berdendam terhadap PAS yang telah berjaya mengambilalih pemerintahan kerajaan Terengganu. Dan, dalam keadaan yang ada kini, harapan royalti itu dipulangkan semula sudah mustahil selagi Kerajaan Pusat tidak bertukar.

Kabinet sudah pun memperuntukkan RM560 juta dari royalti yang dijadikan ehsan itu untuk disalurkan kembali ke Terengganu di bawah perhatian Kementerian Pembangunan Luar Bandar. Ucapan Belanjawan 2001 Menteri Kewangan pula menyelitkan betapa ehsan itulah yang akan digunakan untuk membiayai program yang ditaja oleh Jawatankuasa Peringkat Pusat (JPP) di Terengganu.

Selagi Kerajaan Pusat tidak bertukar, selagi itulah isu royalti ini menjadi rompakan terbesar yang pernah berlaku di abad ini.

(Artikel ini adalah Bab 4 dari buku ketiga tulisan Mohd Nasir Awang berjudul: Terengganu Lepasi Pantang – Kuasa Yang Menjerat?, diterbitkan oleh Rangkaian Minda Publishing, Batu Caves, Selangor, pada 2001)

No comments:

Post a Comment