N
|
ampaknya hujan tidak jemu-jemu
menyirami bumi negeri Terengganu dalam setahun kebelakangan ini. Ghalibnya,
musim hujan ‘Ribut Timur’ akan bermula November, atau paling awal di bulan
Oktober, di setiap tahun. Musim itu juga kebiasaannya akan berakhir antara
Januari atau Februari berikutnya.
Tapi, dalam setahun
kebelakangan ini, ia bermula lebih awal, seawal September dan melarat hingga ke
Mac. Manakala di penghujung Mac itu pula, sudah datang musim baru, iaitu ‘Ribut
Barat’. Keadaan ini menyebabkan negeri Terengganu sentiasa dibasahi hujan, dan
boleh dikatakan tidak ada bulan yang benar-benar ‘kemarau’ mutakhir ini.
Allah Subhanahu wa Ta’ala jua
Yang Maha Mengetahui apa hikmat di sebalik putaran musim itu. Seluruh alam
buana ini adalah milikNya jua, dan manusia hanya berperanan mentadbir dan
memakmurkan dunia sebagaimana yang diarahkan oleh Allah SWT. Kerana, sebagai
Tuhan yang menciptakan langit dan bumi, Dia turut bertanggungjawab mencipta
Islam sebagai ajaran dan panduan hidup manusia. Manakala panduan dan ajaran
tersebut dirangkumi pula di dalam Al-Quran dan As-Sunnah.
Kerajaan negeri Terengganu kini
telah meletakkan dasar utama pemerintahannya untuk mendaulatkan sebuah
pemerintahan berasaskan Al-Quran dan As-Sunnah. Ia bukannya agenda politik semata-mata,
malah memenuhi tuntutan agama. Firman Allah di dalam al-Quran (maksudnya): Dan
apabila telah berkata Tuhanmu kepada para malaikat, sesungguhnya Aku akan
jadikan di atas muka bumi itu khalifah (pentadbir).(Surah al-Baqarah ayat 30)
Istilah khalifah itu
mengandungi makna yang jauh lebih luas daripada sekadar ‘pentadbir’. Di antara
pengertian khalifah yang diberikan oleh beberapa ulama Islam ialah:
Menggalang-ganti pengutusan para anbiya’ dalam menegakkan agama dan
mentadbirkan dunia dengannya (agama).
Ertinya, bagi memenuhi tugas
dan tanggungjawab manusia sebagai khalifah di atas muka bumi ini, seseorang
yang diamanahkan untuk mengurus dan mentadbir itu mestilah tahu selok-belok
hukum dan peraturan agama. Bahkan, bukan sekadar tahu sahaja, malah dia
mestilah bersedia dan berupaya untuk melaksanakan tuntutan-tuntutan agama itu.
Di antara tugas dan peranan
manusia yang mentadbir atau memerintah itu dinyatakan oleh Allah di dalam
firmanNya yang bermaksud: Mereka yang
Kami menangkan di atas muka bumi, mereka itu mendirikan sembahyang,
mengeluarkan zakat, menyeru kepada perkara maaruf dan mencegah daripada perkara
mungkar. (Surah al-Hajj ayat 41)
Allahyarham
Profesor Zulkiflee Muhammad, bekas Timbalan Yang Dipertua Agung PAS, sewaktu
memberikan wasiat atau ‘Amanat Terakhir’ beliau kepada anggota-anggota kerajaan
PAS Negeri Kelantan yang baru dipilih semula dalam Pilihan Raya Umum 1964 lalu,
sempat menghuraikan ayat di atas. Antara lain, beliau mengemukakan pengertian
yang lebih luas terhadap ungkapan ‘mendirikan sembahyang dan mengeluarkan
zakat’ yang disebutkan itu.
Beliau
menyebutkan: “Dengan ayat-ayat ini dapatlah tuan-tuan membayangkan bahawa orang
yang telah ditolong (diberi kemenangan) oleh Allah SWT itu tugasnya telah
dinyatakan oleh al-Quran; menjaga kedaulatan agama, menjaga khidmat-khidmat
masyarakat, melakukan sesuatu yang baik dan mencegah sesuatu yang jahat.”
Solat
adalah tiang agama. Mendirikan solat bererti mendirikan agama atau menjaga
kedaulatan agama. Manakala ibadat zakat sememangnya suatu agenda masyarakat
yang tersangat penting di dalam Islam.
Semua
itu, terutama dalam hal menjaga kedaulatan agama, tidak akan dapat dilaksanakan
kecuali dengan penuh keimanan dan ketaqwaan kepada Allah SWT. Kerana, setiap
diri yang bergelar muslim semestinya memperakui bahawa bumi ini adalah milik
dan ciptaan Allah. Maka sudah tentulah Allah SWT sendiri yang lebih mengetahui
apakah cara dan aturcara terbaik untuk melaksanakan tanggungjawab tersebut.
Tidak
syak lagi, bekal iman dan taqwa merupakan rukun terpenting dalam memerintah
muka bumi ini. Bacalah firman Allah (maksudnya): Dan kalau sekiranya penduduk sesuatu negeri itu beriman
serta bertaqwa, pasti akan Kami bukakan kepada mereka (pintu kurniaan yang
melimpah-limpah) berkatnya dari langit dan bumi. (Surah al-A’araf ayat 96)
Adalah
di luar jangkauan akal kita untuk mengatakan secara pasti bahawa hujan yang
melimpah-limpah turun sejak dari awal pemerintahan PAS di Terengganu itu adalah
sebahagian daripada ‘berkat dari langit’ yang dimaksudkan oleh Allah Ta’ala
itu. Tetapi, sebagai hambaNya, kita berkeyakinan bahawa di sebalik setiap
kejadian yang ditakdirkan olehNya ke atas hamba-hambaNya ini, terangkum rahmat
dan berkat untuk sekalian manusia.
Lebih-lebih
lagi, Kerajaan negeri Terengganu kini telah meletakkan dasar utama
pemerintahannya ialah mendaulatkan sebuah pemerintahan berasaskan Al-Quran dan
As-Sunnah. Asas itulah merupakan tunjang utama di dalam membentuk sebuah
masyarakat yang beriman dan bertaqwa, sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah
SWT.
Ternyata
Allah Ta’ala itu amat menepati segala apa yang dijanjikanNya. Janji mencurahkan
berkat dan rahmat kepada negeri yang didiami umat beriman dan bertaqwa tidak
akan dibiarkanNya hanya tinggal janji. Perkara ini dapat kita perhatikan, sama
ada secara tersurat atau tersirat, zahir atau tersembunyi, menerusi beberapa
pemerhatian di dalam masyarakat.
Segala-galanya
bagaikan bermula apabila rakyat Terengganu menzahirkan kesediaan mereka
menerima PAS, dengan segala dasar dan program pemerintahan yang dikemukakannya,
untuk mentadbir bumi Darul Iman itu.
Pertama: Hujan Rahmat
Belum
pernah negeri Terengganu dilanda banjir seteruk itu. Sekurang-kurangnya tidak
pernah dalam masa yang dapat diingat oleh penulis. Di kalangan warga tua Terengganu,
mereka bercerita tentang ‘Bah Merah’ yang dikatakan berlaku pada tahun 60-an
dulu. Ketika itu, kita masih terlalu kecil untuk mengingati segala yang
berlaku.
Semacam
suatu kejutan (memang pun ianya kejutan) bagi sebuah kerajaan yang baru dibentuk,
apabila tiba-tiba sahaja hujan mencurah-curah dengan lebat sekali. Seelok-elok
setahun kerajaan bertukar tangan, Terengganu dilanda bencana banjir yang sangat
dahsyat. Sehingga ada yang mentafsirkannya sebagai ujian bagi kerajaan baru.
Ujian bagi para pegawai dan kakitangan yang terbabit dengan kerja-kerja bantuan
banjir di daerah-daerah. Tiada kurang juga yang menyifatkannya sebagai bala
dari Allah sebab ‘menzalimi orang-orang Umno’.
Bagi
sesetengah kalangan yang lain pula, limpahan air ke bumi Terengganu merupakan
petanda awal dari Allah untuk melimpahkan berkatNya. Kalangan ini berhujah
bahawa disebabkan limpahan air yang banyak itulah, maka awal tahun ini
menyaksikan limpahan buah-buahan di serata negeri Terengganu.
Buah-buahan,
terutamanya durian dan duku, sememangnya memerlukan air yang agak banyak (tapi
bukan terlalu banyak), terutama di musim ia berbunga. Hujan yang berterusan
alhamdulillah telah membekalkan air semulajadi yang diperlukan pokok-pokok itu
untuk menghasilkan buah.
Hasilnya,
belum pernah rakyat Terengganu dapat menikmati buah-buahan, terutamanya durian
dan duku, semurah dan sebanyak yang dikecapi tahun ini. Sehinggakan di minggu
kemuncak lambakan buah-buahan itu, harga sebiji buah durian saiz sederhana
tidak sampai satu ringgit (RM1.00). Manakala buah duku Terengganu, yang
terkenal lemak dan manis, yang kebiasaannya dijual antara RM2.50 hingga RM4.00
sekilo, terpaksa dijual dengan harga RM5.00 untuk tiga (3) kilo.
Betul,
para penanam dan peniaga kurang mendapat keuntungan. Tetapi, rakyat terbanyak
telah sama-sama dapat menikmatinya. Kekurangan pendapatan untuk segelintir
telah digantikan oleh Allah dengan kenikmatan untuk sebuah masyarakat yang
lebih besar.
Hal
yang sama diperhatikan turut berlaku terhadap para pengusaha tanaman tembakau.
Kita tahu satu-satunya kegunaan tembakau ialah untuk membuat rokok. Memang ia
ada kegunaan-kegunaan lain, tetapi tidak setakat yang diketahui oleh para penanam
tembakau di Terengganu.
Kerajaan
baru pimpinan PAS, sebagaimana rakannya di Kelantan, memandang aktiviti merokok
sebagai suatu tabiat yang buruk dan patut dihindarkan. Merokok bukan sahaja
dibahaskan sebagai merosakkan masyarakat dari sudut kesihatan. Ia turut
dibahaskan oleh para ulama Islam dari perspektif hukum agama dan juga kesan
sosial di kalangan anggota masyarakat.
Sekadar
memberitahu masyarakat tentang budaya merokok dan hukum merokok menurut Islam,
tidak dapat memberikan kesan yang mendalam, terutama di kalangan para pengusaha
tanaman tembakau. Bahkan, silap-silap haribulan, rakyat dari kalangan penanam
itu akan ‘memberontak’ dan kembali menyusahkan pihak kerajaan.
Musuh
utama para penanam tembakau saban tahun ialah hujan yang lebat. Maka, apabila
hujan turun mencurah-curah dan menenggelamkan tanaman tembakau dua musim
berturut-turut (dua awal tahun), rakyat tidak boleh menyalahkan kerajaan.
Rakyat perlu menerimanya sebagai amaran dari Allah agar mereka beralih aktiviti
mereka daripada tanaman itu kepada tanaman-tanaman lain yang lebih ‘berfaedah’.
Bukankah itu pun rahmat dari Allah juga?
Kedua: Peningkatan Industri Pelancongan
Negeri
Terengganu sememangnya terkenal sebagai salah satu destinasi pelancongan yang
terbaik di negara ini. Negeri itu memiliki hampir segala-gala yang diperlukan
untuk menggamit para pelancong. Terengganu ada pantai berpasir yang panjang,
ada pulau-pulau yang jernih airnya, ada lagun, bukit, tasik, air terjun, lata,
hutan lipur, gua-gua, sungai dan lain-lain.
Ada
pula beberapa keistimewaan tersendiri yang hanya kedapatan di Terengganu dan
tidak kedapatan di negeri-negeri lain. Antaranya ialah ulat sutera (yang hanya
ada di Sarawak, selain Terengganu), penyu dan Masjid Terapung (yang kemudiannya
ditiru konsepnya oleh Dr. Mahathir untuk Masjid Putrajaya).
Manakala
tarikan-tarikan yang lain ialan Taman Bukit Puteri, Muzium Negeri, Memorial
Batu Bersurat, industri batik dan anyaman, nasi dagang dan keropok lekor.
Tidak
keterlaluan jika dikatakan bahawa mengatasi segala tarikan yang disenaraikan di
atas itu ialah ‘Rusila dan Tok Gurunya’. Memang pun kedua-dua itu tidak
kedapatan di negeri lain, selain Terengganu. Kekuatan tarikan ‘Rusila dan Tok
Gurunya’ itu dikatakan menyamai kekuatan ‘Pulau Melaka dan Tok Gurunya’ bagi
negeri Kelantan.
Sebab
itu, kebanyakan rombongan pelancong domestik dari luar Terengganu tidak
melepaskan peluang berhenti, walau pun hanya untuk seketika, di perkarangan
Masjid Rusila, sebelum mereka menjelajah ke lain-lain destinasi pelancongan di
Terengganu. Kalau boleh bertemu mata dan/ atau bersalaman dengan Tok Guru,
itulah yang terlebih baik dan menjadi kemuncak hasrat sebilangan mereka
berkunjung ke Terengganu.
Industri
pelancongan di Terengganu adalah salah satu sektor yang mencatatkan peningkatan
yang ketara sejak peralihan kerajaan. Data ketibaan pelancong ke Malaysia mudah
dicatatkan, kerana negara mempunyai pintu-pintu masuk yang ditempatkan pegawai
imigresen. Jumlah pelancong yang keluar-masuk dengan mudah dapat dicatatkan.
Bagaimana
pun, pintu seumpama itu tidak kedapatan di sempadan masuk ke negeri Terengganu.
Maka, data kedatangan pelancong ke negeri itu diambil melalui pengiraan
bilangan penginap-penginap hotel yang dikumpul melalui Kajian Purata Penginapan
oleh Tourism Malaysia disamping oleh Kerajaan Negeri Terengganu sendiri.
Bagi
enam bulan pertama tahun lalu (Januari hingga Jun 2000), Negeri Terengganu
mencatatkan seramai 205,362 orang penginap hotel/chalet, iaitu meningkat
sebanyak 12.57% berbanding 182,434 orang bagi tempoh yang sama di tahun
sebelumnya (Januari hingga Jun 1999). Perincian Jumlah Penginapan Hotel di Terengganu
2000/1999 adalah seperti jadual di bawah.
Kategori Penginap
|
Jan-Jun 1999
|
Jan-Jun 2000
|
Peratus Peningkatan
|
Pelancong
Domestik
|
151,138
|
152,779
|
+1.09
|
Pelancong
Asing
|
31,296
|
52,583
|
+68.0
|
Jumlah
|
182,434
|
205,362
|
+12.57
|
Perlu
diingat bahawa jumlah kedatangan pelancong domestik yang dicatatkan itu
hanyalah membabitkan mereka yang menginap di mana-mana hotel/chalet di negeri
itu sahaja. Sebab itu, jumlah peningkatan yang dicatatkan hanyalah satu peratus
sahaja. Ada pun puluhan ribu (atau mungkin ratusan ribu) lagi yang sekadar
singgah mengadakan lawatan dan tidak menginap, atau rombongan yang memanfaatkan
mana-mana tempat awam seperti masjid, surau atau rumah persendirian sebagai
tempat penginapan tidak diambil kira. Maka, amat tidak benarlah ketakutan
sesetengah kalangan kononnya kalau Islam memerintah, industri pelancongan akan
merudum.
Ketiga: Lubuk Emas Untuk Rakyat
Di
dalam manifesto pilihan raya PAS Terengganu tercatat secara jelas janji PAS
untuk ‘membuka penyertaan yang lebih luas kepada rakyat tempatan dalam industri
pengeluaran emas’. Maka, apabila PAS telah berjaya memerintah, janji tersebut
mahu tidak mahu mesti dikotakan. Lembu berpegang pada tali, tetapi kita manusia
berpegang pada janji.
Februari
lalu, dua pengumuman oleh pemimpin kerajaan negeri amat melegakan rakyat,
khususnya mereka yang berminat atau bergiat di dalam aktiviti mendulang emas.
Tok Guru MB mengumumkan bahawa kawasan mendulang emas Lubuk Mandi akan dibuka
semula, dan ia akan dibuka sepenuhnya untuk aktiviti mendulang oleh rakyat.
Lebih
kurang pada ketika yang sama juga, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan,
Perumahan dan Alam Sekitar, Wan Abdul Muttalib Embong pula mengumumkan bahawa
satu lagi kawasan mendulang emas akan dibuka kepada rakyat, iaitu di daerah
Dungun.
Menurut
sumber kerajaan negeri, kawasan mendulang emas di Lubuk Mandi itu akan dibuka
pada Jun ini. Pihak kerajaan kini sudah berada di peringkat akhir kajian
persediaan dan garis panduan bekerja untuk para pendulang akan diumumkan
bila-bila masa sekarang.
Sedikit
potongan hasil akan dikenakan ke atas pendulang-pendulang sebagai sebahagian
sumbangan mereka setelah Kerajaan Negeri menyediakan beberapa kemudahan untuk
keselesaan mereka. Antara kemudahan yang disebut bakal disediakan ialah jentera
pengorek atau penyodok tanah yang akan mengaut tanah bergalian dari perut bumi
untuk diayak oleh pendulang.
Ertinya
mereka tidak perlu mengorek sendiri lubang-lubang dan memperjudikan nyawa
mereka menyelinap lubang di bawah tanah. Turut disediakan ialah surau untuk
bersolat dan tandas di kawasan yang dipagari dengan kawalan keselamatan yang
munasabah. Apa yang penting, rakyat akan berpeluang menikmati hasil perut bumi
Allah mengikut kadar usaha masing-masing.
Keempat: Budaya Menuntut Ilmu
Secara
tradisi, asas kekuatan PAS ialah di kawasan penanaman padi dan pusat pengajian
pondok. Di situlah sebilangan pemimpin utama PAS dilahirkan dan/atau menerima
pendidikan awal mereka. Malah beberapa institusi pondok di seluruh negara
terkenal sebagai pangkalan aktiviti PAS di tempat masing-masing. Sehinggakan
pernah wujud ungkapan popular: “Di mana ada padi, di situ ada pondok. Di mana
ada pondok, di situ ada PAS.”
Mungkin
sinonimiti itu sengaja dicipta dan diabadikan di dalam pemikiran masyarakat
oleh para pemimpin BN, bagi menggambarkan PAS tidak lebih sebuah parti marhaen,
parti pesawah padi dan pak lebai kampungan. Tetapi, dari satu sudut lain, pada
ungkapan itu sebenarnya terpahat unsur kekuatan utama PAS – kecintaan
pendokongnya terhadap majlis pengajian ilmu Islam. Majlis pengajian di
pondok-pondok dan pusat-pusat tarbiyah PAS saban minggu sebenarnya menjadi
medan saluran komunikasi dan interaksi paling berkesan antara pemimpin dan
pengikut PAS.
Di
Terengganu sendiri, hampir setiap kawasan parlimen mempunyai pusat tarbiyah PAS
yang menjadi tumpuan saban minggu. Kuliah mingguan, yang kebiasaannya diadakan
setiap pagi Jumaat, menghimpunkan ratusan, malah ribuan, ahli-ahli PAS dari
seluruh kawasan masing-masing sekurang-kurangnya buat sekali dalam seminggu.
Apabila
PAS telah bergelar pemerintah, kecintaan terhadap majlis ilmu yang sudah sekian
lama terbudaya dan bertradisi di kalangan ahli-ahli PAS itu merebak pula kepada
masyarakat umum. Tindakan kerajaan negeri menubuhkan Unit Pembangunan Insan
(UPI) telah mempercepatkan lagi proses membudayakan majlis ilmu ke dalam
masyarakat terbanyak.
Sebilangan
mereka, terutamanya para pegawai dan kakitangan kerajaan yang selama ini agak ‘culas’ mengikuti mana-mana kuliah
atau ceramah agama kini sudah tidak dapat mengelakkan diri lagi. Ya lah!
Mungkin di peringkat awal mereka itu hadir dengan separuh hati. Mereka rasa
terpaksa hadir sebab itu program kerajaan. Tetapi keberkatan majlis ilmu itu
lambat-bangat melembut dan menjinakkan hati yang pada awalnya agak keras dengan
majlis-majlis sebegitu.
Kini,
aktiviti mendidik masyarakat dan membudayakan ilmu dalam masyarakat sudah tidak
tertumpu di pusat-pusat PAS sahaja. Ia juga sudah tidak melibatkan kalangan
ahli-ahli PAS sahaja. Ia sudah menjadi aktiviti masyarakat umum, yang ikut
disertai oleh segenap lapisan masyarakat tanpa mengira fahaman atau
kecenderungan politik.
Sudah
tentu, jurang perbezaan antara orang yang menimba ilmu dengan orang yang tidak
menghiraukan soal menambah ilmu adalah ibarat langit dengan bumi. Kesannya amat
jelas dirasakan. Rakyat yang menimba ilmu semakin terbuka minda, dan dapat
membezakan antara nas al-Quran dan Hadis berbanding nas suratkhabar dan TV.
Rakyat
menjadi semakin dekat dengan agama dan sudah dapat melihat kesyumulan Islam,
tahu bahawa Islam itu sangat luas dan merangkumi segenap aspek kehidupan.
Mereka sedar kini betapa sesatnya mereka dulu, kerana memisahkan agama dengan
politik. Itulah rahmat dan berkat yang diperolehi rakyat Terengganu, hasil
bernaung di bawah sebuah pemerintahan yang meletakkan agama mengatasi segala
yang lain.
Kelima: Pembangkang Lebih Bertanggungjawab
Belum pernah berlaku dalam
sejarah kehidupan di Terengganu, sebuah parti pembangkang begitu cakna terhadap
permasalahan rakyat, sebagaimana yang sedang berlaku sekarang. Sebelum ini,
Terengganu bukan tidak ada parti pembangkang. Ada, dan parti itu ialah PAS.
Tetapi, sejauh mana sangat PAS mampu cakna terhadap keperluan kebendaan
rakyat? Kerana, semua orang tahu PAS adalah parti miskin, parti yang hidup
semata-mata atas pengorbanan ahli dan pendokongnya sahaja.
Tetapi, apabila tiba giliran
Umno jadi pembangkang di Terengganu, rakyat negeri itu telah dilanda suatu
fenomena kehidupan yang baru. Rakyat seolah-olah mendapat nikmat daripada ‘dua
kerajaan’. Semuanya gara-gara kenanaran Umno yang masih tidak sedar dia sudah
kalah.
Umno terlalu lama jadi
kerajaan, lebih 38 tahun. Maka dia rasa tidak tanggung nak jadi
pembangkang dan nak terus berperanan sebagai sebuah kerajaan. Para pemimpin
Umno kini jadi terlebih cakna terhadap rakyat, terutama dalam hal-hal
membabitkan huluran bantuan kebendaan.
Tiba-tiba saja Umno Terengganu
menjadi tersangat peka dengan permasalahan rakyat. Dengar saja ada rumah
terbakar, atau rosak dilanda banjir, atau dipupuk angin, rombongan Pemuda dan
Wanita Umno yang dahulu akan sampai. Belum sempat Pejabat Daerah, Pejabat
Kebajikan Daerah atau pejabat-pejabat lain di bawah kerajaan negeri sampai,
orang-orang Umno sudah selesai menghulurkan bantuan mereka.
Para pemimpin Umno yang selama
puluhan tahun lalu tidak pernah sinsing seluar meredah sungai atau bendang
menjenguk rakyat, setelah PAS memerintah Terengganu kini fenomena itu dapat
dilihat. Bekas wakil rakyat, yang semasa berpenggal-penggal menjadi wakil
rakyat dahulu tidak pernah mengangkat walau sebatang kayu untuk membina rumah
rakyat, kini setelah sudah tidak bergelar wakil rakyat, dia molek-molek ada turut
mencemar bahunya mengusung rumah untuk rakyat.
Itu dah kira molek bedo’oh la!
Satu lagi rahmat Allah, secara tak langsung rakyat Terengganu kini berpeluang
mendapat dua saluran bantuan. Satu dari saluran kerajaan negeri dan satu lagi
dari Umno. Hakikat ini pasti tidak akan dikecapi kalau PAS jadi pambangkang,
sebab PAS parti miskin.
Sebagai pembangkang, PAS tak
akan mampu buat apa yang Umno boleh buat sebagai pembangkang. Maka, bagi
memastikan Umno terus jadi bertanggungjawab, cakna terhadap rakyat, dan
rakyat pula mendapat bantuan dari dua saluran, maka rakyat perlu mengekalkan
Umno sebagai pembangkang di Terengganu.
(Artikel ini adalah Bab 7 dari buku ketiga tulisan Mohd
Nasir Awang berjudul: Terengganu Lepasi Pantang – Kuasa Yang Menjerat?,
diterbitkan oleh Rangkaian Minda Publishing, Batu Caves, Selangor, pada 2001)
No comments:
Post a Comment