01)
Sukar ditemui oleh
rakyat. Telefon ke rumahnya, orang di rumah kata dia ke pejabat. Telefon ke
pejabat, orang pejabat kata dia tak ada, mungkin di rumah. Telefon handset, tak berjawab, tidak aktif atau
sebagainya.
02)
Menghadkan masa
untuk urusan rasmi, sehingga tidak mahu rakyat mengganggu masa rehatnya di
rumah: “Ini kena pergi ke pejabatlah, sekarang ni bukan masa pejabat” dan
sebagainya, apabila rakyat datang ke rumah.
03)
Jarang mengunjungi
tempat-tempat awam seperti pasar, kedai kopi, atau berjemaah di surau dan
masjid. Sedangkan sewaktu berkempen dahulu, sesibuk mana sekali pun, boleh
dikatakan tidak ada ceruk di dalam kawasan pilihan rayanya yang tidak
dikunjungi.
04) Mempamerkan sifat ‘tahi hidung masin’. Antaranya selalu
memberikan alasan tidak membawa duit, terlupa membawa beg duit dan seumpamanya
apabila diminta membelanjakan air minum di kedai.
05) Menunggu di dalam kereta dengan tingkap tertutup dan aircond terpasang, sambil membiarkan
anak atau isteri sahaja yang turun membeli di kedai atau pasar. Sedangkan,
banyak mata yang memandang tingkah-lakunya, dan mata-mata yang memandang itulah
yang banyak dihulur tangan dan disapa beserta senyuman sewaktu berkempen
pilihan raya dahulu. Apa salahnya turun menyapa atau bersalam-salaman?
06) Tidak begitu mengambil berat soal aktiviti dan gerakerja
parti. Mesyuarat parti pun sama banyak antara hadir dengan tidak hadir. Alasan
yang sering diberikan ialah sibuk dengan urusan wakil rakyat.
07) Gagal meraikan pandangan dan saranan kepimpinan parti
setempat dalam banyak hal berkaitan masyarakat. Lebih cenderung mengikut pandangan
sendiri, atau merujuk pandangan pihak-pihak yang tidak mempunyai tanggungjawab
di dalam parti.
08) Suka melindungi individu-individu yang bermasalah dengan masyarakat
dan parti, khususnya dari kalangan pegawai kerajaan atau penjawat awam. Contohnya,
“dia tu orang ana!”, apabila
diceritakan kepadanya tentang perlakuan buruk atau kerja sabotaj yang dilakukan
oleh pegawai berkenaan.
09) Suka minta kertas kerja setiap kali kumpulan rakyat
datang meminta sumbangan derma. Pasukan bola, kumpulan silat, dikir barat atau
kumpulan sosial yang lain mana tahu nak buat kertas kerja?
10) “Apa ni
Encik-encik! Ini Yang Berhormatlah, tak kenal ke?”, mengherdik orang awam yang kebetulan memang tidak kenal dirinya sebagai
wakil rakyat, lalu mengalu-alukan beliau sebagai orang biasa.
11) Menunjukkan perubahan mendadak dalam gaya hidup.
Contohnya, menukar kenderaan, membuat atau membaiki rumah, mengenakan pakaian
yang berjenama – mengikis sifat zuhud dan tawadhu’.
12) Sering membawa keluarga bersama-sama apabila melawat kawasan
atau menyelesaikan urusan rakyat, sehingga menimbulkan perasaan kurang senang
dan ‘tidak lawas’ di kalangan rakyat untuk mengadukan hal atau membincang
sesuatu yang agak sulit.
13) Suka ‘bergemolok’ atau berinteraksi dengan
kontraktor-kontraktor, tauke-tauke atau korporat yang dikenali umum sebagai ‘kaki
projek’.
14) Terlalu campurtangan dalam urusan pejabat kerajaan,
sehingga menimbulkan perasaan kurang senang di kalangan para pegawai di
jabatan-jabatan kerajaan.
15) Menjual nama kononnya beliau mempunyai hubungan peribadi
yang baik dan rapat dengan mana-mana pemimpin tertinggi kerajaan seperti MB,
Exco atau pegawai atasan (sebagai memancing laluan mendapatkan sesuatu projek,
tender atau kelulusan permohonan).
16) Gemar berjanji kepada rakyat, termasuk di dalam perkara
yang sukar ditunaikan atau yang masih belum jelas kemunasabahannya.
17) Membela atau melayani ‘bapak-bapak Umno’ di
kampung-kampung melebihi had sepatutnya atau melebihi tahap layanan yang
diberikan kepada orang-orang PAS yang bertungkus-lumus memenangkan beliau dalam
pilihan raya lalu.
18) Melaksanakan agenda masyarakat secara ‘lone ranger’ tanpa melibatkan
organisasi parti setempat, seperti menghulurkan bantuan kepada fakir-miskin
sendirian tanpa memanfaatkan cawangan atau JSR setempat.
19) Sengaja mencari atau mencipta musuh di dalam parti
termasuk mereka-reka cerita kononnya ada pihak dalaman yang cuba menjatuhkan
atau menggugat kedudukannya. Tujuannya ialah untuk menagih simpati masyarakat
atau menanam sifat benci masyarakat terhadap orang-orang yang dianggap saingan
politiknya.
20) Terlalu berkira di dalam mengeluarkan perbelanjaan.
21) Terlalu jarang turun padang melawat kawasan dan bertemu
mata dengan rakyat cum pengundi.
22) Memilih untuk tinggal di luar kawasan yang diwakilinya.
23) Menghabiskan banyak masa di luar kawasan untuk
berbagai-bagai program atau urusan sehingga menyukarkan rakyat menemuinya.
24) Tidak mengambil berat soal undangan rakyat, seperti
kenduri, tahlil dan sebagainya.
25) Tidak begitu ghairah menziarahi rakyat yang sakit, yang
memerlukan sumbangan kebajikan atau yang meninggal dunia, walau pun perkara itu
sudah dimaklumkan kepadanya.
26) Bercakap bohong.
27) Menggunakan kuasa bagi memenuhkan jawatan-jawatan
lantikan politik dengan kroni-kroni atau orang-orang kepercayaannya, sehingga
sanggup membelakangkan aktivis parti atau nama-nama yang dicadangkan oleh
parti.
28) Tidak berlaku adil dan ‘berat sebelah’ di dalam
menyelesaikan pertelingkahan atau pertindihan kepentingan yang berlaku di
kalangan rakyat.
29) Sering melakukan kunjungan terpilih, sama ada masjid dan
surau tertentu sahaja setiap kali datang ke sesuatu kampung, atau ke
rumah-rumah orang tertentu sahaja diulang-ulanginya. Seolah-olah masjid/surau
lain atau rumah orang-orang lain itu bukan rakyatnya, atau hanya orang itu
sahaja yang bekerja untuknya dalam pilihan raya lalu.
30) Menjadikan jawatan wakil rakyat sebagai ‘harta pesaka’
yang menjadi hak miliknya selagi mana dia wujud atau berminat dicalonkan
semula. Dan sebarang pandangan parti atau pihak lain untuk menggantikannya
dengan orang lain sebagai calon dianggap seolah-olah cuba menimbulkan kekacauan
dan menjatuhkan imej beliau.
31) Memberi kepercayaan untuk mengendalikan sesuatu urusan
bagi pihak dirinya kepada seseorang yang dipertikaikan imej dan kewibawaannya.
Sama ada disebabkan taraf pendidikan, kebolehan hubungan personal atau track-record peribadi yang tidak
menyenangkan dalam masyarakat.
32) Tidak ada seni dalam berbahasa. Termasuklah meggunakan
bahasa ‘blunt’ yang boleh menyakitkan
telinga dan menyinggung perasaan rakyat, terutama di dalam menjawab sesuatu
aduan/permintaan rakyat.
33) Memanfaatkan peruntukan pembangunan dan kebajikan untuk
kepentingan peribadi atau kroni, sehingga mengenepikan kepentingan yang lebih ‘dharuri’.
34) Sering membesar-besarkan khidmat atau perbelanjaan yang
telah dibuat (termasuk mendakwa telah mengeluarkan duit poket sendiri
begian-begian banyak untuk sesuatu kerja pembangunan dalam kawasan).
35) Mengamalkan politik adu domba di antara anggota masyarakat.
Sebagai wakil rakyat, mereka menjadi tempat orang ramai mengadu. Antara aduan
tentulah membabitkan perkara-perkara yang menyentuh pihak lain dalam
masyarakat. Wakil rakyat jangan pula menjadi ‘pengancum’ atau batu api yang
mendedahkan kepada pihak yang kena adu tentang aduan dan tohmahan yang
dikemukakan oleh pihak yang mengadu. Akhirnya, tuduh-menuduh dan bermasam muka
menular dalam masyarakat yang natijahnya ialah perpecahan.
36) Menggunakan kedudukannya sebagai orang yang disegani
masyarakat untuk membina klik/puak di dalam parti, untuk membina kekuatan dan imej peribadi tanpa mengira untung-rugi
terhadap parti.
37) Suka mengkambing-hitamkan orang atau pihak lain, terutama
di dalam melepaskan diri apabila berhadapan dengan sesuatu kes/permasalahan
masyarakat yang tidak berjaya diselesaikannya. Termasuklah cuba menonjolkan
kesilapan orang lain dan menyembunyikan kesilapan sendiri.
38) Kurang menjaga protokol, teurtama sewaktu menghadiri
majlis-majlis rasmi. Sama ada mengenakan pakaian yang tidak kena dengan majlis,
bercakap/berucap ‘lari dari tajuk’ atau
sering tertidur sewaktu majlis berlangsung.
39) Hilang sifat lapang dada atau fikiran terbuka, terutama
di dalam menerima secara positif sebarang kritikan atau teguran yang dibuat
oleh rakan atau rakyat terhadap perlakuan dan prestasinya sebagai wakil rakyat.
40)
Lebih rela melihat
imej parti dan kerajaan terus tercemar daripada memperakui kewujudan
perilaku-perilaku buruk yang disenaraikan di atas. Apatah lagi untuk melihat
dirinya memperbetulkan kesilapan/kelemahan yang telah dilakukan.
(Artikel ini adalah Lampiran 3 dari buku ketiga tulisan
Mohd Nasir Awang berjudul: Terengganu Lepasi Pantang – Kuasa Yang Menjerat?,
diterbitkan oleh Rangkaian Minda Publishing, Batu Caves, Selangor, pada 2001. Walau
pun hanya sebagai lampiran, ia mendapat reaksi paling positif dari para
pembaca, mungkin kerana kritikannya yang menepati realiti yang berlaku ketika
itu.)
No comments:
Post a Comment