T
|
ernyata kemenangan bergaya PAS
di Terengganu dalam pilihan raya umum lalu merupakan suatu cultural shock (kejutan
budaya) bagi kebanyakan ahli dan penyokong PAS di negeri itu. Dalam sekelip
mata sahaja, sebuah parti yang sejak hampir 40 tahun lalu terkenal sebagai
pembangkang, telah bertukar status menjadi sebuah parti yang memerintah.
Parti yang perlu memikirkan
soal pembentukan kerajaan, soal penguasaan institusi-institusi masyarakat dan
soal mentadbir kampung dan qaryah. Ahli-ahli partinya pula perlu
membiasakan diri dengan program-program kerajaan, perlu mengetahui berbagai
selok-belok menghadiri majlis dan juga protokol di acara-acara rasmi kerajaan.
Penyesuaian sebegitu bagaimana
pun tidak memerlukan masa yang agak lama bagi ahli-ahli PAS untuk melakukannya.
Lagi pun, orang PAS bukannya koman sangat! Mereka pun tahu menulis-membaca.
Bahkan, di kalangan penjawat awam pun ramai yang jadi aktivis PAS. Tidak kurang
juga dari golongan profesional seperti peguam, doktor, jurutera, dan
sebagainya. Ada yang berkelulusan pondok, ada yang lepasan universiti dalam dan
luar negeri. Yang dari Eropah dan Amerika pun tidak kurang juga di dalam PAS.
Apa yang agak menimbulkan
masalah ialah soal ‘pembahagian ghanimah’. Maksud kita ialah bila tiba ke
peringkat mengisi jawatan-jawatan lantikan politik. Sedikit kekecohan kelihatan
berlaku di sana-sini terutama di dalam menentukan siapakah calon terbaik bagi
mengisi jawatan-jawatan seperti Pengerusi, Timbalan dan Setiausaha JSR,
Penyelia dan Penyelaras UPI di peringkat DUN-DUN, serta Ahli-Ahli Majlis
Daerah.
Ada pun lain-lain jawatan yang
lebih tinggi, terutama membabitkan jawatan-jawatan di peringkat negeri tidaklah
banyak diperkatakan orang. Kerana, tanggungjawab mengisikan jawatan-jawatan
tinggi itu sememangnya di luar jangkauan ahli-ahli PAS di peringkat bawahan
untuk memikirkannya.
Sekali fikir, suasana yang
dihadapi oleh orang-orang PAS di awal kemenangan dahulu saling tak ubah seperti
peristiwa yang diriwayatkan di dalam sejarah Islam mengenai ‘Perang Hunain’.
Seperti yang kita ketahui, perang tersebut berlaku pada tahun 8 Hijrah dan
selang tidak lama selepas peristiwa Fathul-Makkah, iaitu penawanan kota Mekah
oleh tentera Islam.
Perang Hunain tercatat sebagai
salah satu perang yang membariskan kekuatan tentera Islam paling ramai. Jumlah
tentera Islam ialah seramai 12,000 orang, iaitu 10,000 tentera Muhajirin dan
Ansar yang baru selesai menawan kota Mekah, dicampur 2,000 lagi dari
orang-orang Mekah sendiri. Kalangan orang-orang Mekah itu kebanyakannya yang
baru mengisytiharkan diri menganut Islam setelah Fathul-Makkah.
Orang-orang Islam telah
menanggung suatu ujian yang besar dalam peperangan ini. Tatkala kabilah Hawazin
dan Thaqif menyerang tentera Islam, sebahagian besar mereka menjadi kucar-kacir
dan bertempiaran mengundur lari. Bilangan mereka yang ramai tidak mendatangkan
faedah pada masa itu. Sehingga, seruan dari Rasulullah s.a.w. sendiri supaya
mereka bertahan dan berjuang telah tidak diendahkan. Diriwayatkan hanya lebih
kurang 100 orang sahaja sahabat Muhajirin dan Ansar serta Ahlul Bait yang setia
melingkungi Rasulullah s.a.w.
Setelah kabilah Hawazin dan
Thaqif berjaya dikalahkan oleh tentera Islam, maka banyaklah harta rampasan
perang atau ghanimah yang diperolehi. Diriwayatkan, golongan yang paling
awal menuntut bahagian daripada ghanimah tersebut ialah golongan dari
kota Mekah tadi.
Sehingga dikatakan ada di
kalangan mereka itu yang sampai menarik-narik baju Rasulullah s.a.w. sambil
meminta-minta diberikan bahagian untuknya. Permintaan mereka dipenuhi dengan
baik oleh Rasulullah, sehinggakan Baginda tidak mempunyai cukup bakinya untuk
diagihkan kepada kaum Muhajirin dan Ansar.
Tetapi itu tidak menjadi
masalah sedikit pun bagi golongan Muhajirin dan Ansar. Mereka adalah golongan
yang dicatatkan di dalam sejarah sebagai golongan ‘yang telah dipermuliai
mereka oleh Allah Ta’ala dengan Islam’. Mereka juga disifatkan sebagai golongan
‘yang hati mereka telah bersebati dengan keimanan dan Islam sentiasa terjunjung
di batu jemala mereka.’
Sebab itu, walau pun hanya
sebilangan mereka yang sempat mendapat bahagian yang tidak seberapa daripada
pembahagian ghanimah, mereka tidak merungut. Mereka lebih merelakan Rasulullah
s.a.w. mengutamakan golongan yang baru menganut Islam, yang masih tidak faham
Islam dan masih mengutamakan kebendaan dalam perjuangan mereka.
Begitulah juga lebih-kurangnya
suasana yang terpaksa dihadapi oleh aktivis-aktivis PAS di Terengganu di awal
pemerintahan dulu. Sebaik sahaja PAS memperolehi kemenangan, terdapat golongan
yang cuba menonjolkan diri sebagai ahli dan penyokong PAS. Bahkan, penonjolan
mereka macam ‘mi segera’, sangat cepat mengembang dan menonjol, sehinggakan
para aktivis asal terpinggir ke belakang.
Sudah tentu mereka itu
menonjolkan diri sebagai ahli PAS dengan kepentingan-kepentingan tersendiri.
Mereka boleh jadi golongan atas pagar yang selama ini tidak menyebelahi
mana-mana pihak, tetapi secara tradisi mengundi BN. Dalam pilihan raya umum
lalu, mereka ini secara bersahaja mengundi PAS. Mereka ini sebenarnya bukan
ahli Umno.
Tidak kurang juga antara mereka
itu yang memang menjadi ahli dan penyokong Umno. Tetapi ke-umno-an mereka itu
banyak didorong oleh kepentingan kebendaan, seperti menjaga kepentingan
perniagaan, dikongkong akibat perjawatan yang dipegang dan sebagainya. Mereka
ini tidak ada sifat setia kepada parti mereka.
Orang macam ini tak ubah
seperti lalang atau sampah yang terapung di permukaan air. Lalang akan
membengkok ke mana jua arah tiupan angin. Sampah pula akan hanyut dan berputar-putar
ikut arah aliran arus.
Mereka ini adalah golongan yang
tidak berpendirian tetap. Bukan tidak ada pendirian, mereka ada pendirian.
Pendirian mereka ialah mengikut mana yang menang, mana yang berkuasa, yang
boleh dipengaruhi oleh mereka untuk menjaga dan menjamin kepentingan peribadi
mereka.
Orang-orang PAS asal, atau
sering diistilahkan sebagai ‘Ahlul Badar’, melihat perkembangan ini dengan
perasaan yang sangat sebak dan terharu. Di kalangan mereka sudah ada yang
terlintas bahawa diri mereka sudah tidak diendah atau diperlukan lagi oleh
parti. Kerana, apa yang dapat mereka nilai berdasarkan ‘kegelojohan’ ahli-ahli
baru PAS itu, para pemimpin parti juga seolah-olah merestui perlumbaan mendapatkan
kepentingan diri itu.
Sedangkan mereka tidak pernah
diajar berkelakuan begitu selama ini. Ada di antara mereka yang menggelarkan
diri sebagai “buldozer tayar berantai”, iaitu merujuk kepada jentera
berat yang hanya diperlukan ketika mula menarah bukit atau meratakan tanah.
Setelah jalan raya siap dibina dan ditarkan, buldozer itu sendiri
‘diharamkan’ memijak jalan raya yang dibuatnya itu.
Allah Ta’ala telah mendatangkan
ujian ini. Sesetengah ahli dan penyokong PAS yang merasakan diri mereka terlalu
dipinggirkan akhirnya tiba-tiba bertukar menjadi terlalu demanding.
Mereka mula membuat onar, menuntut itu dan ini, membangkitkan soal pengorbanan
yang mereka lakukan selama berpuluh-puluh tahun dalam perjuangan, dan
berbagai-bagai lagi. “Tunggu dipelawa, orang tak pelawa”, kata mereka.
Penulis melihat perkembangan
ini sangat membahayakan masa depan PAS sebagai sebuah gerakan Islam. Tetapi,
itu tidak bermakna penulis mahu menyalahkan para aktivis yang demanding itu.
Ada rasionalnya juga tuntutan atau pun sungutan sesetengah mereka itu. Sebab
paling besar ialah kerana PAS berjaya mewarisi sebuah kerajaan yang ‘kaya’,
yang mampu memberi atau menyediakan serba-serbi untuk dinikmati oleh rakyat
yang selama ini tertindas oleh sebuah kerajaan yang zalim.
Sedangkan sebilangan mereka
yang baru menyertai PAS itu, mereka sudah pun mengecapi kesenangan sewaktu Umno
memerintah dahulu. Mereka adalah bekas ahli dan penyokong Umno. Dari sudut itu,
bolehlah dikatakan tidak adil sekiranya kerajaan PAS sekarang ini pun turut
mengutamakan mereka itu mengatasi orang-orang PAS asal yang tidak pernah
mengecapi keadilan selama ini.
Di situlah timbulnya ungkapan
‘Umno perintah, Umno kenyang. PAS perintah pun, Umno juga kenyang’. Yang
dimaksudkan ‘Umno juga’ itu ialah orang-orang Umno yang baru menyertai PAS atau
menonjolkan diri sebagai ahli PAS hanya selepas kemenangan. Bagi mengimbangi
keadaan itu, segolongan aktivis PAS telah dipaksa oleh keadaan untuk menjadi
agak demanding.
Ternyata Allah Ta’ala masing
sayangkan PAS. Mungkin Allah Ta’ala mahu menjaga kelangsungan perjuangan suci ini.
Dia Maha Mengetahui setakat mana keupayaan dan kemampuan orang-orang PAS
menghadapi ujian atau mehnah dalam bentuk kesusahan. Ia semacam sudah menjadi
nasi makan air minum bagi orang-orang PAS. Di sekat bantuan baja subsidi, di
halang daripada berhimpun, dinafikan permit ceramah, dilontar dengan telur
tembelang, didiskriminasi dalam pemilikan rumah awam, tanah tapak rumah, tanah
pertanian, segala macam tender.
Malah, sudah ada orang-orang
PAS yang diperlakukan lebih daripada perlakuan dasar apartheid ke atas
bangsa kulit hitam di Afrika Selatan suatu ketika dahulu. Mereka diserang,
dipukul, ditembak dan dibunuh. Itulah yang berlaku di Lubuk Merbau pada tahun
1985 dahulu, diikuti dengan Peristiwa Memali pada bulan November tahun yang
sama.
Ramai orang mampu menerobosi
ujian kesusahan. Tetapi kebiasaannya, manusia begitu mudah tewas dengan ujian
kesenangan. Ujian itulah yang telah hampir-hampir merentap kesucian perjuangan
Islam yang selama ini didokong oleh PAS.
Sebab itu bagi penulis sendiri,
dan mungkin bagi beberapa aktivis PAS yang lain, tragedi rompakan wang royalti
petroleum yang dihadapi oleh kerajaan Terengganu, dari satu sudut merupakan
peringatan atau amaran daripada Allah SWT. Nasib baik juga kita masih belum
melangkah begitu jauh dalam keadaan ‘mabuk’ dibuai kesenangan. Senang kerana
kita telah memerintah, duit yang banyak menyenangkan kerajaan negeri mengatur
berbagai-bagai rancangan dan pembaharuan untuk kesejahteraan rakyat.
Senang juga, kerana seluruh
lapisan masyarakat nampaknya bersama-sama kita. Kita sudah beranggapan bahawa
seolah-olah sudah tidak ada pegawai dan kakitangan kerajaan yang masih mahu
kepada Umno. Semua mereka sudah sokong PAS. Kita menang pun kerana merekalah!
Kita seolah-olah mahu
mempercayai semua orang yang datang kepada kita, yang mendakwa telah menyertai
parti kita, tanpa perlu menyelidik maksud dan tujuan kedatangan mereka. Para
aktivis parti pula semacam dirasuk keadaan, dan menjadi merajuk, atau
terkejar-kejarkan jawatan dan habuan, sehingga terlupa matlamat asal
perjuangan.
Alhamdulillah, dengan
tercetusnya isu rampasan royalti itu, rakyat bagaikan disentak dari buaian
mimpi masing-masing. Dalam masa tidak sampai pun sebulan selepas isu itu
meletus bermacam-macam cerita mengenai para pegawai dan kakitangan kerajaan
negeri yang menerjah ke telinga penulis.
Dari setinggi-tinggi pusat
pentadbiran negeri di Wisma Darul Iman sehinggalah ke sebawah-bawah di masjid
dan JSR di peringkat kampung, cerita kakitangan kerajaan negeri yang bercakap
dalam nada ugah begitu banyak kedengaran. Sokongan bulat kepada kerajaan
baru yang sejak selepas pilihan raya umum lalu seringkali tidak kering di
bibir, telah berubah nada.
Sedarlah kita di pihak PAS
bahawa sokongan mereka selama ini adalah kerana kita ada kekuatan kebendaan. Apabila
kita sudah hilang kekuatan itu, mereka mula menzahirkan diri mereka yang
sebenarnya.
Para aktivis PAS yang agak demanding
tadi juga kembali merasa serba-salah apabila menyedari ‘tuntutan’ peribadi
mereka turut menyulitkan kerajaan negeri dalam keadaan yang ada sekarang.
Itulah lebihnya orang-orang PAS! Mereka cepat sedar kesilapan mereka, dan
secepat itu juga mereka mampu mengkesampingkan kepentingan diri, demi
perjuangan. Ternyata asas tarbiyah yang ditanam oleh para pemimpin PAS selama
ini tidak sia-sia.
“Tidak ada harakah
tanpa tanzim, dan tidak ada tanzim tanpa tarbiyah”
Tak tahulah sejauh mana
pemahaman penulis ke atas ungkapan di atas menepati maksud sebenar pengungkap
asalnya. Tetapi, dari segi praktikalnya bagi dipadankan dengan suasana
pemerintahan PAS di Terengganu ini, maka penulis rasa ungkapan di atas wajar di
rephrase menjadi “tidak ada pemerintahan Islam tanpa PAS, dan tidak ada
PAS tanpa tarbiyah”.
Di antara unsur utama dalam
proses pentarbiyahan ialah mehnah atau tribulasi. Dalam bahasa Melayu ada yang
menterjemahkannya sebagai ujian, cubaan, dugaan dan seumpamanya. Demi Allah, sejak
tercetusnya isu royalti di Terengganu, rakyat yang mempunyai pendirian hidup
bukan menjadi semakin tidak yakin dengan kerajaan PAS Terengganu. Sebaliknya,
rakyat dari segenap lapisan semakin bangkit menyatakan sokongan mereka yang
tidak berbelah bahagi terhadap kerjaan Terengganu kini.
Bermula dengan perarakan aman
di pinggir bandar Kuala Terengganu pada 13 September, rakyat Terengganu
seolah-olah tidak menoleh ke belakang dalam menyatakan kebersamaan mereka
dengan kepimpinan PAS untuk mengharungi isu ‘pencabulan tidak bermoral’ itu
oleh Kerajaan Persekutuan.
Pada hari itu, kesemua anggota
Dewan Harian Dewan Pemuda PAS (DPP) Pusat bersama-sama DPP Terengganu dan lebih
300 ahlinya dari seluruh negeri berhimpun hampir dua jam melawan terik mentari
di pintu masuk Wisma Darul Iman. Mereka bertekad menyatakan sokongan kepada
rakyat dan kerajaan Terengganu dalam isu royalti.
Di sebelah malamnya pula
diadakan ceramah perdana atas isu yang sama, juga di bandar Kuala Terengganu.
Puluhan ribu manusia hadir, dan ribuan juga sumbangan derma yang berjaya
dipungut.
Dua hari selepas itu, puluhan
ribu lagi rakyat Terengganu terpacak di tengah-tengah padang Stadium Sultan
Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu. Mereka bersolat hajat bersama-sama
para pemimpin kesayangan mereka tanpa menghiraukan hujan yang mencurah-curah
turun.
Malam berikutnya, jumlah yang
lebih ramai berduyun-duyun pula memenuhi Taman Rekreasi Kuala Ibai dalam
ceramah perdana sempena Himpunan Pemuda Islam Terengganu (Himpit) 2000. Amat
mengejutkan, sumbangan derma yang dipungut malam itu mencecah angka RM9,000.
Banyak pihak mengatakan bahawa
sejak PAS mencapai kemenangan di Terengganu, belum pernah sambutan sebegitu
hebat diberikan kepada ceramah-ceramah perdana yang dianjurkan. Manakala jumlah
pungutan derma pula jarang sekali melebihi RM3,000. Tetapi, sejak tercetusnya
isu royalti petroleum itu, rakyat kembali berduyun-duyun bagaikan anai-anai
keluar dari pasu. Semangat berkorban untuk perjuangan kembali meningkat.
Itulah silapnya Umno. Silapnya
para pemimpin Umno, silapnya Dr. Mahathir, Datuk Abdullah Badawi, Datuk Idris
Jusoh dan lain-lain pemimpin Umno Terengganu. Mereka terlupa bahawa orang-orang
PAS adalah ibarat besi waja. Semakin dibakar dan diketuk, ia akan menjadi
semakin tajam. Dan ketajaman itu sudah tentu bakal kembali menikam Umno dan
Barisan Nasional juga!
(Artikel ini adalah Bab 8 dari buku ketiga tulisan Mohd
Nasir Awang berjudul: Terengganu Lepasi Pantang – Kuasa Yang Menjerat?,
diterbitkan oleh Rangkaian Minda Publishing, Batu Caves, Selangor, pada 2001)
No comments:
Post a Comment