B
|
unyinya agak pesimistik, bukan?
‘Mampukah Tok Guru Pertahan Terengganu?’, seolah-olah mempersoalkan kembali
kewibawaan dan keupayaan seorang ulama terbilang itu mengekalkan pemerintahan
partinya yang tahan uji itu di negeri Terengganu.
Penulis pernah mengajukan
soalan yang sama kepada rakan-rakan dari berbagai latar belakang hidup.
Jawapan-jawapan yang diterima juga agak pelbagai. Seorang rakan yang berjawatan
agak tinggi di dalam perkhidmatan awam secara tegas mengatakan soal mampu atau
tidak adalah bergantung kepada beberapa faktor. Antaranya, ia bergantung kepada
prestasi wakil-wakil rakyat di dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab
mereka. Kerana, bagi beliau dan juga sebilangan pegawai kerajaan sepertinya,
baik atau tidak prestasi sesebuah kerajaan adalah dinilai sebahagian besarnya
melalui prestasi wakil-wakil rakyatnya.
Tak tahu nak dikatakan, apakah
ianya suatu yang membanggakan atau sebaliknya apabila daripada seramai 28
pemimpin PAS yang menjadi anggota dan penyokong kerajaan itu, hanya dua tokoh
utama sahaja yang boleh diklasifikasikan sebagai ‘bebas’ daripada sebarang
kritikan pedas atau komen negatif. Sudah tentu mereka ialah Tok Guru Menteri
Besar sendiri dan Ahli Exco Kanannya, Haji Mustafa Ali. Ada pun lain-lain
pemimpin dan wakil rakyat, tidak banyak pun sedikit, ada-ada saja rungutan yang
disuarakan.
Ya lah! Mereka pun manusia
biasa. Mana ada manusia yang tidak membuat silap. Bukankah Rasulullah s.a.w.
sendiri pun telah berpesan bahawa setiap manusia itu tidak terlepas daripada
dua sifat, iaitu silap dan lupa. Tetapi, sifat apologetik sahaja tidak memadai
untuk mengelak daripada nilaian negatif rakyat jelata.
Apa yang lebih penting ialah
rakyat mahu melihat wakil-wakil rakyat sekurang-kurangnya memperakui kelemahan
dan kesilapan, kemudian berusaha merubah atau memperbaikinya. Para wakil rakyat
sudah sepatutnya tahu apa yang patut dan apa yang tidak patut mereka lakukan
sebagai wakil rakyat PAS. Rakyat memilih PAS dan mengenepikan janji-janji
Barisan Nasional tidak kerana lain, semata-mata kerana PAS berjanji kepada
mereka mahu melaksanakan Islam dan memerintah dengan adil.
Memang, dalam masa tidak sampai
dua tahun pemerintahan di Terengganu, PAS boleh dikatakan telah berjaya
membuktikan banyak perkara. Ia telah membuktikan keupayaannya mentadbir negeri
secara adil dan demokratik terhadap semua pihak.
Kesungguhan PAS di dalam
menegakkan syariat Islam juga turut terserlah dengan beberapa langkah drastik
membabitkan pelaksanaan syariah seperti pengharaman judi, penyusunan semula
penggunaan arak, dan pengawalan rapi lesen-lesen premis hiburan dan pertunjukan
yang berpotensi mendorong pengunjung terjerumus ke kancah maksiat. Itu telah
kita sebutkan.
Bahkan, dalam beberapa perkara,
terutama membabitkan perubahan-perubahan dalam masyarakat, PAS di Terengganu
nyata lebih terkehadapan daripada lain-lain kerajaan negeri pimpinan BN dan
juga kerajaan Pusat sendiri. Dan kita tahu itulah yang merunsing dan merimaskan
Umno, terutama Presidennya Dr. Mahathir Mohamad.
Pantang besar bagi Dr. Mahathir
kalau ada pihak mendakwa ada orang lain mampu memimpin Malaysia selain dirinya.
Buktinya sudah ada. Lihatlah apa jadi dengan Tengku Razaleigh? Hanya kurang 40
undi lebih sahaja lagi untuk menduduki kerusi PM, tetapi kini sudah amat jarang
kedengaran suaranya dalam politik negara.
Ada juga cerita yang mengatakan
di antara sebab utama pertubuhan dakwah Al-Arqam diharamkan ialah kerana
pemimpin agungnya, Abuya Asha’ari, pernah bercakap soal memerintah Malaysia.
Dikatakan Asha’ari terlalu yakin dapat menawan pentadbiran negara ini, walau
pun tanpa menyertai pilihan raya. Itulah sebabnya Dr. Mahathir merasa tercabar
dan bertindak ke atas pertubuhan berkenaan.
Kes yang sama juga berlaku ke
atas Anwar. Di zaman kemuncaknya, hampir tidak ada pihak yang berani mengatakan
bahawa Anwar tidak layak menggantikan Dr. Mahathir. Secara jujur, sama ada
kawan mahu pun lawan, semuanya memperakui kewibawaan dan ketrampilan Anwar
sebagai bakal PM. Malah, ada yang meletakkan harapan Anwar akan menjadi PM yang
jauh lebih baik daripada Dr. Mahathir. Itulah yang menyebabkan ‘orang tua’ tu
naik bengang, dan jadilah apa yang telah terjadi itu.
Jadi bila Asiaweek 16
Jun 2000, majalah mingguan yang berpangkalan di Hong Kong dan disebarkan di
seluruh dunia, telah memberikan publisiti besar tentang kemungkinan Tok Guru MB
Terengganu itu mampu memimpin Malaysia, Dr. Mahathir semakin naik geram.
Asiaweek edisi berkenaan telah memilih Tok Guru sebagai hiasan
muka depannya dengan tajuk ‘Will he one day lead Malaysia?’, dengan
keterangan gambarnya ‘Abdul Hadi Awang of Parti Islam SeMalaysia’. Gambar yang
sama juga telah dipilih oleh Penerbitan Pemuda untuk menghiasi kulit depan buku
penulis bertajuk Masa Untuk Tok Guru Buktikan: PAS Mampu Pimpin Malaysia.
Sekali lagi disebutkan bahawa,
dalam masa lapan belas bulan memerintah Terengganu, PAS jelas telah
memanfaatkan sepenuhnya masa itu untuk membuktikan banyak perkara. Sehinggakan
dapat disimpulkan bahawa PAS telah membuktikan ia mampu memimpin Malaysia, jika
diberikan peluang berbuat demikian. PAS telah buat apa yang selama 38 tahun
pemerintahan Umno di Terengganu dulu tidak buat.
Dalam keadaan yang ada sekarang
ini, prestasi baik itu amat perlu dikekalkan. Kerajaan Terengganu didokong oleh
PAS. Rakyat terbanyak sama ada di Terengganu atau di seluruh negara akan melihat
kelemahan pentadbiran kerajaan Terengganu sebagai kelemahan dan ketidak-cekapan
PAS. Imej PAS banyak bergantung kepada imej yang ditonjolkan oleh kepimpinan
kerajaan Terengganu kini. Sebab itu, perancangan kerajaan itu mestilah
melambangkan kemampuan dan keupayaan PAS di dalam menerajui sebuah
pemerintahan.
Sudah sampai masanya PAS bukan
sekadar bercakap atau terus menabur janji untuk melaksanakan itu dan ini. Masa
yang ada bukan lagi untuk mendendangkan lagu pilu nasib diri apabila harta
dirompak orang.
Tampillah ke tengah masyarakat
dan kemukakanlah perancangan alternatif untuk mempertingkatkan pendapatan
negeri, di samping pada masa yang sama kita terus mengharapkan keputusan
mahkamah akan memihak kepada kerajaan dan rakyat Terengganu. Kerana, dalam
keadaan yang ada kini, jawapan kepada soalan ‘Mampukah Tok Guru Pertahan
Terengganu?’ itu amat banyak bergantung kepada mampu atau tidak PAS
mentadbir Terengganu tanpa wang royalti.
Sama-samalah kita doakan agar
pemimpin dan rakyat Terengganu Darul Iman terus diberikan kekuatan oleh Allah
untuk mengharungi saat-saat getir ini. Amin! Ya Rabbal ‘Alamin!
(Artikel ini adalah Bab 9 dari buku ketiga tulisan Mohd
Nasir Awang berjudul: Terengganu Lepasi Pantang – Kuasa Yang Menjerat?,
diterbitkan oleh Rangkaian Minda Publishing, Batu Caves, Selangor, pada 2001)
No comments:
Post a Comment