Tuesday, July 10, 2001

Prolog: Cubaan Mentafsir Tempoh Pantang


Sejarah bagaikan mahu berulang lagi di Terengganu. Bagaimana sebuah kerajaan yang sah dipilih oleh rakyat secara demokratik, tetapi akhirnya ditumbangkan oleh Barisan Nasional (BN) secara yang tidak bermoral. Itulah yang pernah berlaku di Terengganu pada tahun 1961 lalu.


Semua makhluk politik di negara ini sepatutnya tahu bahawa BN/Umno mempunyai track-record yang sangat cemerlang di dalam kerja-kerja menumbangkan pemerintahan pembangkang. Senjata utama ialah politik adu-domba, ancam-ugut, pecah-perintah dan politik wang. Di samping itu, peranan sampingan yang turut dimainkan oleh media massa dan pelbagai jentera kerajaan turut memudahkan pelaksanaan strategi Umno/BN itu.

Sekurang-kurangnya tiga contoh ketara dapat kita sebutkan tentang hal ini. Pertama, ialah apa yang berlaku terhadap Kerajaan PAS Terengganu pada tahun 1961; kedua Kerajaan PAS Kelantan (1978); dan ketiga, Kerajaan Parti Bersatu Sabah (PBS – 1994). Dalam Pilihan Raya Umum 20 Jun 1959, PAS telah berjaya memenangi 13 daripada 24 kerusi DUN Terengganu, seterusnya membentuk kerajaan. Di dalam buku Masa Untuk Tok Guru Buktikan: PAS Mampu Pimpin Malaysia (Penerbitan Pemuda, Ogos 2000), penulis ada membuat sedikit catatan ringkas mengenai peristiwa kejatuhan kerajaan PAS itu.

Dua punca utama disebutkan di situ. Pertama, percakaran sesama sendiri, termasuk kelemahan kepimpinan PAS negeri yang tidak mempunyai sebarang pengalaman mentadbir. Kedua, strategi politik wang yang dilaksanakan oleh parti Perikatan, sehingga berjaya memperdaya beberapa orang ADUN PAS.

Taktik dan strategi yang digunakan oleh BN terhadap Kerajaan PAS Kelantan pula agak halus. Segala-galanya bagaikan bermula pada tahun 1969, iaitu setelah negara ditimpa kecelakaan perkauman yang paling dahsyat pada 13 Mei. Para pemimpin Umno menggambarkan bahawa bangsa Melayu sedang terancam. Mereka datang kepada PAS dengan ‘muka kesian’ dan mempelawa PAS mewujudkan perkongsian kuasa dengan Umno, demi menjaga survival politik Melayu.

Di Kelantan, yang mana ketika itu diperintah oleh PAS, sebuah Kerajaan Campuran PAS-Perikatan telah diwujudkan. PAS dengan rela telah berkongsi kuasa memerintah negeri itu, walau pun baru sahaja diberi mandat semula oleh rakyat untuk terus memerintah secara mutlak.

Tidak cukup setakat berkongsi kuasa di sebuah negeri, PAS kemudiannya menyahut pelawaan Umno untuk menyertai Barisan Nasional (BN). Kesempatan itulah yang telah digunakan oleh Umno untuk melemahkan PAS. Ia terserpih agak lebar apabila sebilangan pemimpin dan ahli-ahlinya bertindak membantah kemasukan PAS ke dalam gabungan BN.

Sebagai bukti yang jelas, Pilihan Raya Umum 1974 yang disertai PAS di atas tiket BN telah menyaksikan undi protes ahli-ahli PAS beralih begitu banyak kepada calon-calon PSRM di beberapa buah negeri. Manakala beberapa pemimpin utama PAS di peringkat negeri-negeri turut bertanding sebagai calon bebas.

Sedangkan dengan menyertai BN itu, PAS telah menurunkan tarafnya daripada berkongsi kuasa dalam Kerajaan Campuran kepada sebuah perkongsian secara juz’ie. Taraf PAS sudah jadi sama dengan lain-lain parti komponen di dalam BN seperti Malaysian Chinese Association (MCA), Malayan Indian Congress (MIC), Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) dan lain-lain.

Persepakatan yang dibina itu bagaimana pun tidak kekal lama. PAS dinyah keluar dari BN pada tahun 1977, setelah segala kemanisan perpaduan dihisap keluar dari batang tubuh PAS. Kerajaan Kelantan pimpinan PAS ditumbangkan melalui taktik pecah dan perintah, apabila sebilangan pemimpin dan penyokong PAS bertindak menubuhkan parti baru, Barisan Jamiah Islamiah SeMalaysia (Berjasa).

Berlainan pula halnya dengan kerajaan PBS di Sabah. Setelah BN gagal dalam beberapa percubaannya menjatuhkan PBS melalui pilihan raya, BN nekad menggunakan strategi ‘membeli ADUN’. Pilihan  Raya Negeri Sabah yang berlangsung pada 18 dan 19 Februari 1994 menyaksikan kejayaan PBS memenangi 25 daripada 48 kerusi DUN Sabah. Manakala bakinya sebanyak 23 kerusi telah dimenangi oleh BN.

Sudah tentu kelebihan dua kerusi itu amat menyulitkan PBS untuk kembali membentuk kerajaan. Berbagai masalah dan kesukaran dihadapi PBS, termasuk gagal mendapatkan watikah perkenan Yang Dipertua Negeri di atas perlantikan seorang Ketua Menteri baru dari PBS.

Akhirnya, dunia menyaksikan seorang demi seorang ADUN PBS mengisytiharkan diri keluar dari parti mereka dan menyertai parti-parti komponen BN. PBS ditumbangkan sebelum sempat membentuk kerajaan, walau pun baru sahaja diberi mandat semula oleh rakyat Sabah.

Ketiga-tiga tragedi politik tersebut meninggalkan parut yang sangat besar dalam sejarah politik negara. Sehinggakan di kalangan pemerhati politik ada yang berpendapat bahawa bagi ketiga-tiga negeri berkenaan, terdapat suatu istilah pemerintahan yang disebutkan sebagai ‘tempoh pantang’, terutama bagi parti-parti yang bergelar ‘pembangkang di peringkat Pusat.

Kebiasaannya, istilah pantang hanya digunakan untuk perempuan bersalin. Sama ada bersalai atau tidak, kebiasaannya apabila melepasi hari keempat puluh selepas bersalin, seseorang ibu dikatakan selesai pantang atau ‘lepas empat puluh’. Bagaimana pun, tempoh pantang sebenar, iaitu suci daripada nifas jarang sekali menghambil masa sesingkat itu.

Tempoh pantang sebenar boleh berlanjutan hingga kepada 60 hari. Di atas hakikat itulah barangkali, apabila PAS berjaya memerintah Kelantan pada tahun 1990 lalu, cuti bersalin 60 hari diperkenalkan oleh kerajaan Kelantan. Ia kemudiannya ikut diterima pakai oleh kerajaan Persekutuan, yang selama ini hanya memberi tempoh 40 hari untuk cuti bersalin.

Tempoh cuti bersalin itu bagaimana pun diperpanjangkan lagi oleh PAS apabila ia berjaya memerintah Terengganu pada tahun 1999 lalu. Tujuannnya ialah untuk memberikan keselesaan yang lebih kepada si ibu dan juga bapa. Ertinya, setakat ini sudah ada tiga tafsiran berlainan untuk tempoh pantang bagi perempuan bersalin, iaitu 40 hari, 60 hari dan kini 90 hari.

Berbeza pula dengan tempoh pantang di dalam hal perceraian atau disebutkan iddah. Tempoh yang ditetapkan oleh syarak ialah tiga kali suci daripada haid, atau kebiasaannya menyamai tempoh tiga bulan 10 hari. Manakala bagi perempuan yang diceraikan ketika sedang mengandung pula ialah sehingga ia selamat melahirkan anak yang dikandungnya.

Seperti yang disebutkan tadi, bukan sekadar ibu bersalin atau perempuan bercerai yang tertakluk kepada tempoh pantang masing-masing. Di dalam politik juga semacam ada suatu tempoh pantang bagi sesuatu perkara. Misalnya, walau pun parti-parti politik dibenarkan berkempen sepanjang tempoh berlangsungnya sesuatu pilihan raya yang disertai mereka, tetapi tempoh antara jam 12:00 tengah malam terakhir sehingga selesai mengundi di petang keesokan harinya adalah ‘tempoh pantang’ bagi mana-mana parti politik mengadakan sebarang bentuk kempen (kecuali merayu undi di kawasan pusat pembuangan undi).

Di kalangan rakan-rakan penulis, ada yang menyebutkan bahawa tempoh pantang bagi kerajaan PAS di Kelantan ialah dua penggal bersih. Manakala apabila masuk penggal yang ketiga dianggap sebagai penggal yang mula menimbulkan masalah. PAS menang pada tahun 1959 dan sekali lagi pada tahun 1964. Begitu juga pada tahun 1969, tetapi hanya sejurus selepas itu (iaitu 1971) PAS mula menghadapi fenomena politik baru yang menjadi detik permulaan penghakisan kuasa PAS diKelantan.

Sebab itu, apabila isu yang mendapat jolokan ‘Tiga Abdul’ timbul di Kelantan sejurus selepas Pilihan Raya Umum 1999 lalu, di kalangan rakan-rakan penulis mula mengaitkannya dengan sejarah silam kerajaan PAS di Kelantan. Lebih-lebih lagi apabila terdapat sebilangan pemimpin PAS semacam menghulurkan sekali lagi tangan persahabatan kepada Umno dalam episod ‘Perpaduan Melayu’ yang agak hangat beberapa ketika awal tahun ini.

Bagi mereka, penggal ketiga bagi PAS di Kelantan ialah penggal permulaan timbulnya masalah. Andaikata PAS mampu bertahan sepanjang penggal ini, dan melangkah ke penggal keempat tanpa gugatan, maka insya Allah payahlah sikit Umno nak rampas kembali Kelantan daripada PAS.

Di atas perkiraan yang sama, tempoh pantang bagi kerajan PAS di Terengganu bagaimana pun agak singkat. Ia berlangsung hanya selama 2 tahun, 4 bulan, 10 hari. Mengambilkira tarikh pilihan raya umum negeri-negeri 1959, tarikh bagi negeri Terengganu ialah pada 20 Jun 1959.

Di hari itu, PAS telah berjaya memenangi 13 daripada 24 kerusi DUN Terengganu, seterusnya membentuk kerajaan. Manakala tarikh dikemukakan undi tidak percaya terhadap kepimpinan Encik Mohd Daud Samad sebagai MB Terengganu ialah pada 30 Oktober 1961. Ini menjadikan tempoh antara keduanya ialah 2 tahun, 4 bulan dan 10 hari.

Manakala tempoh perkhidmatan Mohd Daud sebagai MB pula dicatatkan bermula dari tarikh 29 Jun 1959, sehingga beliau secara rasminya menyerahkan jawatan berkenaan kepada penggantinya pada 8 November 1961. Tempoh berkenaan juga selama 2 tahun, 4 bulan, 10 hari.

Dengan segala macam tribulasi atau mehnah yang membadai kerajaan PAS di Terengganu kini, sudah ada di kalangan pemerhati politik tanahair yang mengajukan soalan: Mampukah Terengganu Lepasi Pantang? Atau dalam ertikata yang lain, mampukah PAS mempertahankan kerajaannya di Terengganu melepasi tempoh 2 tahun, 4 bulan dan 10 hari, sebagaimana sejarah kerajaannya yang lalu itu? Itulah yang cuba dikupas dan dianalisa dari segenap sudut oleh penulis melalui buku ini.

Mohd Nasir Awang
Kg. Raja, Besut, Terengganu
20 Jun 2001

(Artikel ini adalah bab Prolog atau pembuka bicara dari buku ketiga tulisan Mohd Nasir Awang berjudul: Terengganu Lepasi Pantang – Kuasa Yang Menjerat?, diterbitkan oleh Rangkaian Minda Publishing, Batu Caves, Selangor, pada Julai 2001)

No comments:

Post a Comment