“Apa yang agak
ironi sedikit, sebahagian harapan dan cita-cita Wan Mokhtar boleh dikatakan
tercapai dengan program pemerintahan PAS itu.”
Meneliti buku Sekali Penyu
Menyusur Pantai, yang merupakan koleksi 42 ucapan terpilih Dato’ Seri Amar
Diraja Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad selaku Menteri Besar Terengganu, memberi
gambaran betapa murninya hasrat beliau untuk melihat wujudnya keseimbangan
antara kepentingan duniawai dan ukhrawi di dalam program pemerintahannya.
Selama lebih dua dekad sebagai
MB, Wan Mokhtar di dalam banyak ucapannya sering menyentuh soal usaha
pimpinannya untuk melahirkan masyarakat yang bukan sahaja berwibawa dan
profesional, tetapi juga yang berilmu.
Sayang sekali, pengucapan dan
iltizam beliau itu tidak sepenuhnya ‘sempat’ dizahirkan menerusi tindakan
konkrit dan nekad oleh kerajaan yang dipimpinnya sendiri. Tempoh 25 tahun
(1974-1999) sebagai MB barangkali masih belum cukup lama untuk Wan Mokhtar
merealisasikan segala yang diimpikannya.
Sebab itu, arak tetap
berlambak, judi terlalu lambat untuk diharamkan sepenuhnya, tempat-tempat
maksiat tidak terkawal, muamalat riba menjadi tradisi, rasuah dan salahguna
kuasa sampai ke tahap merunsingkan.
Masyarakat yang dilahirkan
mungkin berwibawa, tetapi agak kurang sifat taqwa. Imej dan kedaulatan ‘Darul
Iman’ yang digelarkan kepada Negeri Terengganu seolah-olah semakin pudar dan
terhakis.
Barangkali Wan Mokhtar sendiri
pun tidak suka kepudaran dan hakisan itu terjadi. Tetapi, rakyat menilai bahawa
segala impian dan cita-cita beliau hanya mampu bertahan sekadar ‘cakap tak
serupa bikin’.
Rakyat telah memberikan beliau
tempoh yang cukup lama. Dua puluh lima tahun bukannya masa yang singkat. Sudah
sepatutnya rakyat menuntut perubahan. Memang wajar pun rakyat menuntut agar
dikembalikan kedaulatan Negeri Terengganu sebagai ‘Darul Iman’, negeri bagi
orang-orang yang beriman.
Sebab itu, apabila hasrat
tersebut dinyatakan dengan jelas oleh PAS di dalam Manifesto Pilihanraya Umum
Kesepuluh lalu, rakyat merasakan itulah apa yang sangat dicita-citakan oleh
mereka selama beberapa tahun kebelakangan ini.
Rakyat yang sudah dianggap
berwibawa, kini mahu juga jiwa mereka diisi dengan agenda taqwa. Rakyat yang
sudah diulit dengan pembangunan kebendaan mahu diri mereka diseimbangkan juga
dengan pembangunan insan. Akhirnya, rakyat memilih PAS.
Bersesuaian dengan hasrat
mengembalikan kedaulatan ‘Darul Iman’, Kerajaan Negeri Terengganu di bawah
kepimpinan penuh bijaksana dan berpandangan jauh Tuan Guru Haji Abdul Hadi
Awang semenjak diberi mandat memerintah negeri ini sememangnya mengambil amanah
untuk merealisasikan apa yang dijanjikannya dalam manifesto pilihanraya lalu.
Di atas hasrat itu, di antara
perkara paling awal dilakukan ialah menyusun semula pentadbiran negeri dengan
mengambilkira aspek pandangan dan pendapat dari pelbagai lapisan masyarakat,
khususnya ahli-ahli PAS yang bertanggungjawab memberikan mandat kepada PAS
untuk menerajui Terengganu.
Antara perkara-perkara yang
diberikan hiraki keutamaan ialah Perlaksanaan Syariah dan Muamalat Islam dalam
semua aspek pengurusan masyarakat dan pentadbiran. Dalam konteks perlaksanaan
agenda utama ini, sebuah portfolio telah diwujudkan khusus untuk itu iaitu
Jawatankuasa Pendidikan, Dakwah dan Perlaksanan Syariah.
Dalam tempoh yang singkat di
awal pemerintahan, pelbagai aspek perlaksanaan syariah telah dilaksanakan
dengan melihat kepada pengurusan sistem muamalat Islam, pentadbiran hukum
syarak dan pentadbiran negeri keseluruhannya.
Pertama: Memindahkan kesemua akaun simpanan milik kerajaan negeri
serta agensi-agensi dan anak-anak syarikat milik kerajaan negeri ke dalam akaun
perbankan Islam tanpa riba (al-Wadiah).
Kedua: Menghapuskan pengambilan kadar faedah sebanyak 4%
daripada Skim Pinjaman Kakitangan Kerajaan yang melibatkan skim pinjaman kereta
dan komputer. Kerajaan negeri juga berhasrat mengadakan dana khas untuk skim
pinjaman ini khusus kepada projek perumahan rakyat kos rendah.
Ketiga: Berusaha menambah cawangan Skim Muassasah Gadaian Islam
(ar-Rahnu) daripada satu cawangan sedia ada kepada tiga cawangan.
Kerajaan negeri juga bercadang untuk mewujudkan satu cawangan skim gadaian
Islam di setiap daerah di seluruh negeri Terengganu.
Keempat: Menghapuskan kadar faedah 4% daripada setiap pelajar yang
menerima bantuan pinjaman daripada Dana Tabung Pendidikan Tinggi Negeri. Bukan
semata-mata di atas dasar meringankan beban, tetapi membebaskan mereka daripada
cengkaman riba yang dikutuk Allah itu.
Kelima: Membatalkan kesemua lesen premis perjudian di seluruh
negeri Terengganu. Turut dibanteras ialah kegiatan snooker, pusat video dan
sukan tinju/tomoi yang dipercayai menjadi tempat menyemai unsur-unsur judi.
Keenam: Menyusun semula penjualan dan penggunaan minuman keras
dengan mengurangkan lesen premis penjualan arak daripada 39 buah kepada hanya 8
buah, sekira-kiranya hanya cukup untuk membekalkannya bagi kegunaan masyarakat
bukan Islam sahaja.
Ketujuh: Di sebalik usaha berterusan memastikan minat pelabur
untuk ke Terengganu dipertingkat serta diperluaskan, kerajaan negeri turut
memastikan bahawa setiap pelaburan yang diterima adalah bebas daripada
unsur-unsur melanggar syarak.
Kelapan: Soal mengangkat martabat wanita juga menjadi salah satu
agenda utama kerajaan negeri. Untuk itu, penglibatan kaum wanita di dalam
setiap persembahan kebudayaan sama ada membabitkan penyanyi/artis wanita atau
penari-penari dalam persembahan gamelan, rodat dan lain-lain tarian rakyat
dilarang sama sekali. Kawalan lesen hiburan termasuk persembahan dikir barat
pula disyaratkan tiada penyanyi wanita. Manakala penyertaan wanita dalam Ujian
Tilawah Al-Quran sama ada di peringkat negeri mahupun kebangsaan turut
dihentikan.
Kerajaan Terengganu juga
berusaha meningkatkan taraf kehidupan dan kebajikan rakyat dengan tumpuan
kepada soal mengurangkan kemiskinan, peluang pendidikan tinggi, perumahan
rakyat serta pengurangan dan pemotongan cukai yang membebankan.
Untuk itu, kajian menyeluruh telah
dijalankan di bawah seliaan agensi kerajaan negeri seperti Unit Perancang
Ekonomi Negeri (UPEN), Jabatan Kebajikan Masyarakat, Majlis Agama Islam dan
Adat Melayu (Maidam), Yayasan Pembangunan Keluarga dan lain-lain untuk
menganalisis status kemiskinan dan seterusnya melaksanakan strategi dan program
jangka pendek dan jangka panjang bagi mempertingkatkan taraf ekonomi golongan
miskin dan termiskin. Antaranya ialah:
Satu: Mewujudkan mekanisma berteraskan penghayatan Islam yang
mampu berperanan ke arah aspirasi kerajaan negeri iaitu mempertingkatkan
keberkesanan institusi Zakat dan Baitulmal, dengan memastikan bahawa pungutan
dan pembahagian zakat adalah adil dan menyeluruh.
Dua: Menaikkan kadar bantuan am Jabatan Kebajikan Masyarakat
dari RM50 hingga RM150 sebulan kepada orang-orang tua yang miskin, dhaif dan
tidak berkeluarga kepada kadar minima RM100 sebulan. Manakala bantuan keluarga
ialah RM60 hingga RM250 sebulan bergantung kepada bilangan tanggungan dan
keadaan sosioekonomi masing-masing. Yang penting ialah pemberian adalah
berdasarkan keadilan tanpa mengira latarbelakang politik penerima.
Tiga: Mewujudkan Badan Induk Wanita Terengganu (Mawaddah) di
bawah portfolio Hal Ehwal Wanita dengan misi untuk membela, melindungi dan
memartabatkan hak wanita serta mendapat tempat bersesuaian dengan tuntutan
Islam. Antaranya:
a)
Mengadakan sesi
ceramah dan penerangan serta dialog dengan pemilik premis perniagaan dalam
usaha memperkenalkan peraturan menutup aurat untuk wanita Islam (bagi rakan
mereka yang bukan Islam dipohon berpakaian sopan), serta kaunter bayaran
berasingan antara wanita dan lelaki. Manakala semua pengusaha perhotelan,
resort/chalet dan gedung perniagaan diarahkan supaya mengasingkan bilik/asrama
pekerja lelaki dan perempuan dengan harapan menghindarkan berlakunya sebarang
gejala tidak diingini.
b)
Melalui seliaan
Jabatan Kebajikan Masyarakat, menyalurkan Bantuan Am kepada golongan balu dan
janda yang masih berkeluarga serta pada masa yang sama memberikan latihan
kemahiran, vokasional, teknikal dan keusahawanan dengan maksud membolehkan
mereka berdikari dengan terbabit aktif dalam aktiviti ekonomi luar rumah.
Empat: Kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Usahawan
(YPU) dan agensi berkaitan akan juga memastikan setiap usahawan dan peniaga di Terengganu
akan terus mendapat manfaat hasil daripada beberapa program pembangunan
usahawan seperti kursus-kursus, lawatan sambil kerja, ekspo dan seumpamanya.
Lima: Skim pinjaman Tabung Pembangunan Usahawan Terengganu
(TPUT) turut dipinda. Dasar terdahulu yang menggunakan kaedah konvensional
melibatkan faedah sebanyak antara 1%-9% bagi jenis-jenis pinjaman Skim Modal
Teroka (Venture Capital), Skim Pinjaman Langsung (SPL), Skim Kredit
Pusingan (SKP) dan Skim Pemfaktoran (SP) telah diubahsuai. Skim Pinjaman Tanpa
Faedah berlandaskan sistem kewangan Islam yang diperkenalkan kerajaan baru
ialah Al-Murabahah, Al-Mudharabah, Al-Ijarah dan Al-Qard ul-Hasan. Sehingga
Oktober 2000, sebanyak 278 permohonan pinjaman telah diterima. Daripada jumlah
itu, sebanyak 20 permohonan telah diluluskan melibatkan nilai pinjaman lebih
RM1.0 juta.
Enam: Kesinambungan kepada usaha mengurangkan bebanan rakyat
serta menjamin kebajikan rakyat menjadi agenda utama pengurusan masyarakat.
Untuk itu kerajaan negeri telah mengambil langkah terbaik dengan melaksanakan
penghapusan dan pengkajian semula cukai-cukai dan tol:
a)
Tol Jambatan Sultan
Mahmud
b)
Cukai pintu rumah
kediaman
c)
Cukai bakul di
pasar
d)
Lesen perahu dan
beca roda tiga
e)
Daftar lahir,
permit pindah, sembelih binatang ternakan (dikaji semula)
f)
Cukai tanah ditukar
kepada sistem zakat dan kharaj (dikaji semula)
Pada ketika yang sama, kerajaan
juga berusaha mempertingkatkan tahap pembangunan insan di kalangan pegawai dan
kakitangan kerajaan khususnya dan rakyat amnya. Untuk itu, kerajaan negeri
telah mengambil beberapa langkah, antaranya:
a)
Menubuhkan Unit
Pembangunan Insan (UPI) dan Akademi Pembina Insan (API).
b)
Mengadakan tazkirah
mingguan pada setiap pagi Khamis untuk semua pegawai dan kakitangan kerajaan
negeri.
c)
Menggiatkan
aktiviti kuliah, ceramah dan kursus keagamaan dari masa ke semasa ke arah
membentuk masyarakat yang jujur dan amanah dalam menjalankan tanggungjawab
masing-masing.
d)
Program Pekan
Budaya Daerah-daerah dan Festival Terengganu yang merupakan agenda tahunan
dalam kalendar pelancongan negeri diselitkan acara Ceramah/Forum Perdana
bertujuan menyuntik jiwa masyarakat agar lebih bertaqwa kepada Allah.
e)
Bagi mengingatkan
rakyat kepada solat, pasar malam direhatkan operasi jual-beli selama setengah
jam di permulaan waktu Maghrib.
f)
Para pengguna
jalanraya pula diingatkan dengan kalimah-kalimah tasbih, tahmid dan takbir yang
dipacak dibirai-birai jalan.
Tujuh: Di bawah portfolio perumahan pula kerajaan negeri akan
memastikan setiap rakyat negeri Terengganu yang telah berkeluarga diberikan
keutamaan memilih sama ada memohon untuk memiliki tanah tapak rumah ataupun
membeli rumah untuk kediaman sendiri.
Lapan: Sebagai memantapkan lagi kebajikan rakyat yang
berkeperluan, dasar pemilihan tanah juga diperkemaskan lagi dengan menawarkan
semula permohonan untuk memiliki tanah kepada rakyat tempatan. Malah, keutamaan
diberikan kepada permohonan untuk membangunkan tanah yang boleh mengeluarkan
hasil makanan dan pertanian.
Di dalam usaha memperkemaskan
kembali polisi pengurusan dan pentadbiran kerajaan negeri, langkah-langkah
berikut telah diusahakan:
Pertama: Mewujudkan portfolio Hisbah dan Tugas-tugas Khas yang
diketuai oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Dato’ Dr. Haji Mohd Salleh Abbas
yang antara lain untuk mengetuai Badan Penyiasatan Penyelewengan bermaksud
menyiasat semua bentuk penyelewengan dan
pembaziran yang berlaku sepanjang tempoh pentadbiran kerajaan pimpinan lalu. Ia
juga bertujuan untuk memantau semua perjalanan kerja pengurusan kerajaan serta
kakitangan kerajaan dan agensi di bawah kerajaan negeri.
Kedua: Mewujudkan Jawatankuasa Syura Rakyat (JSR) sebagai
menggantikan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) untuk
memastikan semua dasar dan program kerajaan dapat dilaksanakan dengan adil dan
saksama. Pandangan dan kerjasama rakyat diambilkira, seumpama program
gotong-royong akan digalakkan dalam usaha untuk memaju dan menjaga keselamatan
kampung.
Ketiga: Semua projek infrastruktur untuk kemudahan asas rakyat
diteruskan manakala ‘projek mega’ dan mewah yang tidak mengikut hiraki
keutamaan dikaji semula.
Keempat: Dasar perhutanan juga telah diubah dan permohonan kawasan
balak dibuka secara tender menjamin ketelusan dan keadilan kepada semua pihak.
Kelima: Kerajaan negeri terus berusaha untuk menarik pelabur dari
dalam dan luar negeri dengan mengadakan promosi, taklimat dan misi-misi lawatan
dalam dan luar negara.
Jelas sekali, dalam tempoh
tidak sampai dua tahun pemerintahannya di Terengganu, PAS sebenarnya telah
banyak melaksanakan dasar dan peraturan Islam. Ianya sudah pasti mengambilkira
pembangunan kemanusiaan dengan meletakkan Islam sebagai kayu ukuran dan
landasan dalam melaksanakan semua dasar dan polisi. Terpulanglah kepada rakyat
untuk menilainya berdasarkan akal fikiran yang rasional menggunakan
pertimbangan hidayah.
Apa yang agak ironi sedikit,
sebahagian harapan dan cita-cita Wan Mokhtar boleh dikatakan tercapai dengan
program pemerintahan PAS itu. Maksud penulis ialah kata-kata beliau di dalam Sekali
Penyu Menyusur Pantai, iaitu: “Semoga, apabila sekali penyu menyusur
pantai, ia membawa bersamanya angin perubahan ke arah kecemerlangan.”
Barangkali penyu sudah menyusur
pantai pada tahun 1999 lalu. Akibatnya, Terengganu dilanda angin perubahan. Dan
ternyata perubahan yang dilakukan oleh rakyat Terengganu itu setakat ini
sememangnya menjurus ke arah kecemerlangan, seperti yang diimpikan oleh Wan
Mokhtar.
Cuma agak malang baginya,
perubahan ke arah kecemerlangan itu hanya boleh dilakukan dengan terlebih
dahulu menjatuhkannya dari takhta pemerintahan.
(Artikel ini adalah Bab 2 dari buku ketiga tulisan Mohd
Nasir Awang berjudul: Terengganu Lepasi Pantang – Kuasa Yang Menjerat?,
diterbitkan oleh Rangkaian Minda Publishing, Batu Caves, Selangor, pada 2001)
No comments:
Post a Comment