Oleh: Mohd Nasir Awang
SEDAR tak sedar, rupa-rupanya Dato’ Seri Idris Jusoh
telah pun melepaskan “tembakan politik” pertamanya kepada Menteri Besar
Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Said. Berbekalkan jawatan barunya sebagai menteri
kabinet, bekas MB Terengganu itu kelihatan amat yakin dapat menebus
kekecewaannya sepanjang penggal lalu, terutama apabila sebilangan idea
pembangunan dan pendidikan dicetus dan dimulainya di Terengganu sebelum ini semacam
disisihkan penggantinya itu.
Butir-butir ucapannya pada hari pertama menjejakkan kaki
kembali ke negeri itu selepas secara rasmi mengangkat sumpah sebagai Menteri
Pelajaran dan Pengajian Tinggi II banyak menjurus ke arah itu. Beliau mula
bercakap soal mengembangkan aplikasi konsep Ulul Albab ke sekolah-sekolah di
seluruh negara. Idea Ulul Albab dicetuskan Idris itu kini hanya direalisasikan
di MRSM Kota Putera di Besut, dibantu sebahagian besarnya oleh kedudukan beliau
sebagai Pengerusi MARA dan Ketua Umno Bahagian Besut.
Itulah keistimewaan Idris! Beliau ada keupayaan sangat
tinggi untuk memanfaatkan kedudukan sekaligus memanipulasi kuasa dimilikinya
untuk merealisasikan apa jua agenda dan idea cetusannya. Sebelum itu, ketika
menjawat MB Terengganu, beliau berjaya memaksa kerajaan pimpinannya menjadikan sekolah-sekolah
Imtiaz tajaannya sebagai sekolah yang dibiayai sepenuhnya sebuah agensi
kerajaan negeri.
Kini, apabila menjadi orang utama bertanggungjawab
terhadap pelajaran di seluruh negara, ruang terbuka luas untuk dia membelek
kembali mana idea dan perancangannya yang belum selesai atau tercapai. Sebarang
birokrasi dengan kerajaan negeri sudah tidak lagi akan menjadi halangan utama
untuknya mencapai kepuasan peribadinya.
Paling manis di bayangan Idris barangkali ialah
mengembalikan Taman Ilmu di Besut ke dakapannya. Taman Ilmu ialah satu lagi
idea ‘luar biasa’ Idris di sektor pendidikan. Dikatakan lokaliti itu
dibangunkan dengan hasrat menjadikannya kawasan satelit berkonsepkan ‘bandar
universiti’ mengandungi komponen pendidikan, ekonomi dan pelancongan.
Memang Idris diakui jauh lebih ke depan dan lebih bersungguh
dalam merancang perkara-perkara seumpama ini berbanding Ahmad. Malangnya,
setelah disisihkan dari jawatan MB Terengganu dalam episod amat mengaibkan pada
2008, cita-citanya melihat idea-ideanya dibina makmurkan hampir terkubur.
Beberapa projek dibuat ‘sepak mula’ olehnya, terutama di Besut seakan dilayan
acuh tak acuh oleh Ahmad. Pasar Jertih Souq, Taman Ilmu dan Kompleks Imtiaz adalah
antaranya. Perkembangan pembinaan dan kemajuan pengisian ketiga-tiga projek ini
sejak beberapa tahun lalu sangat “menyiput”.
Dikatakan Ahmad sengaja menidakkan fokus dan keutamaan
pembiayaan terhadap dua projek mega ini, atas berbagai alasan teknikal dan
kewangan. Manakala projek Kompleks Imtiaz yang sudah pun siap bertahun lalu
hanya dibiarkan kosong tanpa dimanfaatkan sepertimana tujuan asal pembinaannya
oleh kerajaan Idris dulu.
Justeru, ada anggapan bahawa Ahmad sebenarnya sengaja
“membiarkan” ketiga-tiga projek itu tidak disempurnakan bagi mengikis ingatan
penduduk Terengganu terhadap jasa dan sumbangan Idris. Jika benar bagai ditelah
itu, bermakna faktor politiking dalaman sesama mereka nampaknya masih menjadi keutamaan.
Mengikut perancangan asal Idris, komponen utama Taman
Ilmu ialah Kampus Induk Universiti Darul Iman Malaysia - UDM (kini UniSZA). Mengambilkira
tempoh pembinaannya, sepatutnya ia sudah beroperasi. Kini dengan jawatan
bertanggungjawab terhadap pengajian tinggi, segala urusan pengoperasian
universiti tertakluk di bawah kementerian diterajui Idris. Makanya hasrat
mendapatkan kembali kuasa mengurustadbir dan memajukan Taman Ilmu semakin relevan
digapainya. Ia bagai pucuk dicita, ulam mendatang buatnya.
Liciknya Idris, dia tidak melontarkan sendiri hasrat
terpendam sekian lama itu. Dia sebaliknya menggunakan orang kanannya di Besut
untuk menyuarakan rasional kerajaan negeri menyerahkan pentadbiran Taman Ilmu
itu kepada Kementerian Pengajian Tinggi (atau lebih tepat ke pangkuan beliau
sendiri).
“Saya dan Dr Rahman akan membawa perkara ini kepada
Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said agar Taman Ilmu diserahkan kepada Kementerian
Pelajaran demi pemantapan Taman Ilmu,” kata Adun Hulu Besut, Nawi Mohamed, yang
juga Timbalan Ketua Umno Bahagian Besut dalam ucapan mengalu-alukan kepulangan
Idris dari ibukota, 17 Mei lalu.
Beliau dan Adun Kuala Besut, Dr A. Rahman Mokhtar
terpilih menduduki kerusi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Terengganu baru-baru
ini. Pemilihan mereka itu sepatutnya membantu Ahmad memperkuatkan cengkamannya
di kalangan sesama parti, khususnya di Besut. Malangnya, hal itu nampak gayanya
tidak akan berlaku.
Sebaliknya, mereka dipercayai akan banyak membantu Idris
mendapatkan semula beberapa “kuasanya” yang hilang sebelum ini, termasuk
antaranya hak memajukan Taman Ilmu dan Kompleks Imtiaz di Bukit Keluang. Sebab
itu, walau pun hasrat tadi ditutur Nawi, tidak sukar ditelah bahawa ia
sebenarnya datang dari Idris sendiri.
Jangan lupa, kemampuan Idris memanfaat kedudukan dan
memanipulasi kuasanya amat terserlah. Justeru, kemaraannya dalam mengembalikan kuasa
dan cengkaman politiknya di Terengganu tidak sayugia dipandang ringan
musuh-musuh politiknya. Tidak syak lagi orang paling terhimpit dan tidak senang
duduk dengan perkembangan kini ialah tidak lain daripada Ahmad Said sendiri!
(Artikel ini disiarkan akhbar Harakah Bil: 1848, 21-23 Rejab 1434/31 Mei-2 Jun 2013 di ruangan F22 KOLUMNIS dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment