Monday, May 13, 2013

Lonjakan akhir PAS Terengganu cipta kejutan


Oleh: Mohd Nasir Awang

Agak tinggi nada suara saya tatkala berbual bicara soal perkembangan politik negara dengan sebilangan teman di ibukota beberapa minggu lalu. Ketika itu Parlimen Malaysia diambang pembubaran. Cakap-cakap mengenai persepsi umum bahawa Pakatan Rakyat (PR) akan menawan Putrajaya (pusat pentadbiran negara) amat laris kedengaran. Masing-masing (rakan-rakan pendukung PR) seronok menghitung kononnya beberapa negeri lagi akan jatuh ke tangan PR, selain empat negeri sedia ada.

Di masa sama, kutukan dan pertikaian terhadap nasib yang bakal menimpa PAS Terengganu turut menjadi bahan persendaan agak laris. Boleh dikatakan setiap yang mengejek itu akan menyandarkan hujah mereka kepada apa yang mereka dakwa sebagai hasil kajian oleh pihak itu dan ini, yang kesemuanya kata mereka menyimpulkan bahawa Terengganu antara negeri yang akan kekal di perintah Barisan Nasional (BN).

“Terengganu paling tak ada harapan... Perak boleh ambik balik, Johor pun boleh ambik! Perlis, Negri Sembilan, semua kemungkian (PR) dapat ambik. Terengganu je tak nampak gaya. Macamana ni Sir?”, terjah seorang teman, yang juga aktivis media.

Sepertimana yang lain, beliau mendakwa hujah itu adalah penemuan terbaru hasil kajian seorang ahli akademik kulit putih yang dikenali pakar kajian politik Asia Tenggara, khususnya Malaysia. Saya sendiri pun pernah beberapa kali bertemu dan berbicara dengan pakar dimaksudkan.

Saya tidak menafikan keilmuan dan kepakarannya dalam kajian politik negara kita. Cuma saya tidak pasti apakah yang didakwa sebagai hasil kajian itu memang betul-betul dinyatakan pakar tersebut, atau hanya “raisan” teman tadi daripada perawi lain untuk menyedapkan hujahnya.

Apa pun saya agak tersinggung apabila jangkaan kegagalan di Terengganu itu dibahasakan kepada sikap, pendekatan dan strategi politik diambil PAS negeri itu yang kononnya “eksklusif dan tidak terbuka”, lalu dinilai tidak mampu menarik masyarakat. Lebih mencabar rasional saya lagi ialah apabila dihujahkan kononnya PAS Terengganu “tidak mesra Pakatan Rakyat”. Malah pendekatan diambilnya “menyimpang” daripada strategi diambil PAS negeri-negeri lain di seluruh negara. Sedangkan, katanya Terengganu adalah “negeri Presiden dan Setiausaha Agung” PAS.

“Ente ni negatif sangat, kuat sangat sentimen anti-Terengganu”, tepis saya, agak keras bercampur kecewa. Sebagai anak Terengganu, yang juga pendukung parti, saya tidak pernah ketinggalan mengikuti segala perkembangan politik negara, termasuk “pertikaian dalaman” parti. Justeru, saya anggap “persendaan” itu lebih dibauri sentimen negatif sesama sendiri ketika itu.

Seraya menghormati jika benar apa yang didakwa sebagai hasil kajian pakar itu, saya turut cuba mengendurkan “serangan” terhadap PAS Terengganu. Rasional saya, boleh dikatakan hampir semua faktor atau fenomena menjurus ke arah perubahan politik di seluruh negara yang terserlah ketika itu turut wujud di Terengganu.

Paling ketara ialah fenomena kebangkitan anak muda dan penguasaan media baru oleh khalayak pendukung PR. Antara faktor kebangkitan anak muda ialah kejayaan program Orang Muda Geng Kita” (OMGK) dilaksanakan Dewan Pemuda di seluruh negara.

Terengganu tidak terkecuali. Bahkan lebih menyemarakkan kebangkitan anak-anak muda di Terengganu ialah apabila ikon utama rakan sebaya mereka di seluruh negara adalah Ustaz Azhar Idrus, ulama yang bukan sahaja berasal dari negeri mereka sendiri, tetapi sengaja mengekalkan slanga Terengganu walau di mana beliau berkuliah. Anak-anak muda menggelarkan beliau “Big Boh”. 

Selain itu, usaha menawan Terengganu turut dibantu beberapa faktor pendorong lain. Antaranya, kerja keras Kelab Anak-Anak Terengganu Penyokong PAS di Perantauan (Perantau). Kelab ini menjelajah seluruh negara sejak bertahun, mengesan dan mengumpul anak-anak Terengganu, termasuk mengadakan suaikenal dan ramah mesra dengan pemimpin PAS negeri.

Kemuncak agenda Perantau membantu PAS negeri ialah kempen P3P, yakni “Perantau Pulang Pakoh Pakatan”, yang alhamdulillah dilaksanakan dengan jayanya untuk Pilihan Raya Umum ke-13 minggu lalu.

Pendorong lain ialah usaha gigih dan pengorbanan besar PAS negeri menyempurnakan berbagai program memasyarakatkan PAS. Antara yang utama ialah lapan siri himpunan raksasa. Tujuh siri Himpunan Kebangkitan Rakyat-PAS Ganti Umno (HKR-PGU) dilaksanakan sepanjang dua tahun terkebelakang melibatkan tujuh kawasan Parlimen. Manakala untuk kawasan Hulu Terengganu, siri itu digantikan dengan ijtimak Itqanul Muluk. Setiap satu himpunan yang memakan belanja ratusan ribu itu alhamdulillah berupaya meninggalkan kesan positif, terutama dalam membentuk persepsi politik masyarakat setempat terhadap keupayaan PAS.

Turut saya anggap faktor pembantu sokongan terhadap PAS ialah rekod khidmat Adun-Adun PAS yang sangat baik. Sebab itu kesemua kerusi milik PAS pada 2008 berjaya dipertahankan. Sebagai contoh, saya ke Dungun tahun lalu. Orang di sana sangat memuji Ustaz Wan Hassan, Adun Sura. Prestasinya sangat baik. Beliau malah dikatakan memanjangkan khidmat di luar sempadan Dun. Sehinggakan orang Dungun berkata, “jika Ustaz Wan Hassan tanding Parlimen pun, insya Allah boleh menang”. Cakap setahun lalu itu kini benar-benar menjadi realiti.

Di atas rekod sama, walau pun Dato’ Harun Taib tidak bertanding di atas faktor kesihatan, legasinya di Dun Manir memudahkan anaknya mewarisi kemenangan cemerlang untuk PAS. Begitulah juga Adun-Adun PAS yang lain, yang kebanyakannya mencatat peningkatan dalam majoriti kemenangan masing-masing.

Kesemua faktor di atas melibatkan perancangan dan usaha berterusan. Ia bukan dibuat secara ‘adhoc’ atau tidak berencana, sebaliknya dirancang dan dilaksanakan berterusan selama bertahun. Ertinya, jika negeri lain menunjukkan perkembangan sokongan terhadap PAS/PR yang lebih menyerlah berbanding Terengganu, itu tidak sepatutnya dikaitkan dengan dakwaan kononnya PAS Terengganu ‘tak buat kerja’, atau ‘silap pilih strategi/pendekatan’.

Namun, persepsi kurang baik terhadap PAS negeri itu tetap menguasai forum politik negara. Sehinggalah ke saat pembubaran Parlimen dan DUN-DUN pun, Terengganu masih diletakkan sebagai negeri paling tidak ada harapan buat PR.

Persepsi itu bagaimana pun segera berubah sejurus selepas pembubaran Parlimen. Entah macamana, tiba-tiba cakap-cakap yang sangat negatif terhadap keupayaan negeri itu melonjakkan sokongan bertukar nada menjadi lebih positif. Sehinggalah apabila usai penamaan calon, cakap-cakap negatif itu beransur ranap. Sebaliknya, semakin berkumandang pula laungan bahawa “kita (PAS) akan perintah semula Terengganu”.

Pada pengamatan saya, ada beberapa faktor yang mendorong “pecutan akhir” ini berlaku. Secara ringkasnya, saya simpulkan seperti berikut.

Pertama, perebutan kerusi dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR). Walau pun dari luarannya “kegagalan” pemimpin kedua-dua parti rakan menyelesaikan tuntutan ke atas beberapa kerusi di Terengganu dianggap memberikan kesan negatif terhadap PR, ada implikasi positif sebenarnya yang terhasil dari episod perebutan itu.

Saya melihat berlaku “lonjakan” luar biasa dalam mempamerkan kekuatan jentera PAS, terutama di Bukit Besi, Kota Putera dan Seberang Takir, sebagai justifikasi tuntutan mewakili PR di kerusi-kerusi terbabit. Sekira-kira jika alasan kelemahan gerakerja dijadikan sandaran menyerahkan mandat kepada PKR untuk melawan BN, alasan itu sudah tidak relevan lagi.

Ketegasan Tuan Guru Presiden meminta kerusi-kerusi berkenaan diserahkan kepada PAS amat tepat. Ia bukan sahaja melonjakkan semangat dan kesungguhan kerja pendukung di situ, malah turut mewujudkan kerjasama lebih erat dengan parti rakan itu di kawasan-kawasan lain. Di empat kerusi lain ditandingi PKR, iaitu Telemong, Bandar, Permaisuri dan Parlimen Kemaman, jentera PAS telah menunjukkan setiakawan sangat tinggi membantu parti yang memang kekurangan jentera itu.

Kedua, ‘line-up’ calon-calon PAS yang meyakinkan. Kepelbagaian latarbelakang pendidikan dan profesion di kalangan mereka bagaikan isyarat bahawa PAS serius dalam usahanya membentuk pasukan terbaik menerajui kerajaan sekiranya diberi kemenangan. Ketiadaan beberapa “muka lama” juga melegakan banyak pihak.

Dalam masa yang singkat persepsi itu berjaya membentuk mood positif terhadap PAS di seluruh negeri, tentu sekali antaranya dengan bantuan media baru. PAS/PR mengetengahkan 20 muka baru melibatkan semua kawasan. Paling menonjol ialah di kesemua lima kerusi di Besut dan tiga kerusi di Setiu, serta masing-masing dua di setiap kawasan lain.

Ketiga, percaturan calon BN. Dengan mengemukakan 15 muka baru dan menonjolkan semula lima muka lama, BN sepatutnya dapat menambah keyakinan rakyat. Malangnya, manouvre politik di sebalik penampilan mereka itu membawa natijah negatif. Rupa-rupanya percaturan calon BN terhasil daripada politik cantas. Tidak kurang lapan penyandang digugurkan, bukan sangat kerana nilaian prestasi mereka, tetapi lebih kerana merit politik dalaman Umno.

Memang cerita perbalahan dalaman Umno tidak pernah padam. Parti itu malah sudah sinonim dengan perpecahan dan cantas-mencantas ini. Namun, kebiasaannya ia akan “diubati” oleh pucuk pimpinan tatkala berdepan pilihan raya.

Kali ini penyelesaian itu tidak muncul. Sebaliknya, yang muncul ialah calon-calon Bebas dari kalangan pemimpin dan aktivis Umno. Enam kerusi menyaksikan calon BN turut ditentang ahli partinya sendiri. Walau pun semua mereka tidak berjaya menarik undi yang besar, kemunculan mereka telah melontarkan persepsi kepada masyarakat umum bahawa Umno/BN adalah parti yang suka berbalah. Persepsi ini secara tidak langsung memberikan imej positif kepada PAS.

Keempat, pengundi Cina tolak BN. Bukti paling nyata ialah di Dun Bandar, apabila mereka menolak bangsa sendiri (calon BN) sehingga memenangkan calon Melayu (PR). Sokongan dan undi mereka turut dirasai di peti-peti undi kaum itu. Ia turut memberi saham memenangkan PAS di Cukai dan hampir merampas Jertih.

Kelima, isu-isu yang memakan diri BN. Beberapa isu diketengahkan BN tidak menghasilkan kesan diharapkan. Sebaliknya kes-kes seperti pengedaran/penayangan video lucah di pos-pos BN, poster ‘seluar dalam’ dan isu kalimah Allah yang diputarbelit, gagal mempengaruhi rakyat. Manakala isu kononnya PAS menjadi tunggangan DAP berbalik menikam BN apabila terbukti Umno sebenarnya yang menjadi tunggangan MCA, sepertimana dalam kes hudud.

Ada lagi faktor-faktor lain yang boleh disenaraikan. Antaranya isu pelbagai kegagalan pemerintahan BN di bawah Dato’ Seri Ahmad Said, isu peningkatan bebanan hidup rakyat, pembaziran wang rakyat dan seumpamanya.

Wujud juga beberapa isu yang lebih bersifat lokal, antaranya membabitkan perbandingan kelebihan calon PAS dan kelemahan calon BN, buruk laku pemimpin Umno setempat dan seumpamanya.

Berbekalkan suasana itu, PAS Terengganu akhirnya berjaya memenangi 15 daripada 32 kerusi Dun, berbanding 17 oleh BN. Pencapaian itu tidak syak lagi mengejutkan banyak pihak. Daripada penilaian yang dianggap paling tidak ada harapan, ia melonjakkan prestasi sehingga hampir-hampir merampas semula kerajaan.

Biar pun tidak berjaya memerintah semula Terengganu, kejayaan dicapai PAS negeri itu bagi saya amat membanggakan. Ia bukan sahaja menyentap keegoan dan keangkuhan BN selaku parti pemerintah, tetapi turut menutup mulut para pengkritik dalaman yang selama ini terlalu pesimis dan negatif terhadap keupayaan PAS Terengganu.

Apalah agaknya reaksi teman-teman saya tadi jika kami bersua selepas ini?

(Artikel ini disiarkan akhbar Harakah, Bil. 1843, 3-6 Rejab 1434/13-16 Mei 2013 di ruangan F14 FOKUS dengan tajuk "PAS Terengganu cipta kejutan - Lonjakan akhir tutup mulut pengkritik, benam keegoan BN")

No comments:

Post a Comment