Oleh: Mat Zain Mat Isa
Baguslah PAS Terengganu cepat sedar akan kelemahannya
“membiarkan” gerakerja parti di Besut dan Setiu sebelum ini tanpa fokus dan
perhatian khusus. Setelah dua kawasan parlimen itu tidak berupaya menyumbang
sebarang kerusi dalam PRU-13 baru-baru ini, kepimpinan parti di negeri itu
segera melontarkan hasrat mengambil perhatian lebih berat terhadap kawasan
berkenaan.
Harakah 17 Mei lalu
memetik kenyataan Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, YB Ustaz Satiful Bahari
Mamat bahawa pihaknya akan memberi tumpuan lebih serta mensasarkan kawasan
Besut dan Setiu untuk dimenangi pada PRU-14 nanti. Menurut Adun Paka itu,
tumpuan lebih bagi kedua-dua kawasan berkenaan kini dijadikan keutamaan bagi
PAS Terengganu sebagai persiapan mengambil alih negeri pada pilihan raya akan
datang.
Dua kawasan parlimen paling utara negeri itu kini menjadi
bahan bualan dan sindiran paling laris di kalangan pengulas dan penganalisis
politik. Boleh dikatakan hampir semua medan sembang politik, rasmi atau tidak
rasmi, seakan tidak melepaskan peluang untuk mempersoalkan, “kenapa Besut dan
Setiu langsung tidak menyumbang sebarang kerusi (untuk PAS Terengganu)?”
Selalunya juga pertanyaan itu akan disusuli dengan
andaian penuh harapan, “kalau lah setiap kawasan tu sumbang satu kerusi pun,
kita (PAS) dah boleh memerintah (Terengganu).”
Mereka merujuk kepada kejayaan PAS nyaris merampas
Terengganu pada PRU lalu. Parti itu menang di 15 daripada 32 kerusi dan memerlukan
hanya dua kerusi lagi untuk mendapat majoriti mudah.
Itulah gambaran penyesalan di forum-forum sembang,
terutama di kedai kopi, anjung surau mahu pun di tempat kerja. Sedangkan pada
asalnya (sebelum tiba pilihan raya) harapan sebegitu tinggi terhadap sumbangan
kerusi dari dua kawsan itu (khususnya Besut) tidak pun menjadi bahan utama bual
bicara umum.
Sebab itu penulis melihat persoalan ini wajar diperhalusi
semula. Sekurang-kurangnya para pemimpin dan pendukung PAS Terengganu sendiri,
juga penganalisis dan pemerhati politik yang ghairah mengulas keputusan PRU-13
di negeri itu boleh sedikit berlaku adil dan realistik dengan faktor-faktornya.
Untuk itu, di sini penulis lontarkan beberapa pemerhatian
yang bagi penulis menjadi antara faktor mendorong terhasilnya keputusan pilihan
raya itu seadanya.
Pertama, maaf cakap, kesungguhan PAS Terengganu sendiri
untuk merampas kerajaan tidaklah begitu meyakinkan. Penulis teringat dalam satu
perbincangan tertutup, seorang pemimpin kanan PAS negeri menyatakan pihaknya
tidak berhasrat untuk memerintah Terengganu tanpa menawan Putrajaya. Meminjam
perkataannya, “tak leh buat apa jugak kalau tak perintah Pusat!”.
Pendirian itu rupanya bukan bersifat peribadi. Ia diulang
pemimpin lebih atas daripadanya (di peringkat negeri) dalam satu majlis di
Besut. Lebih kurang katanya, “kita (PAS) akan hadapi banyak kesukaran kalau pun
kita menang Terengganu, banyak benda tak leh nak buat, kalau kita menang negeri
saja, tak menang Pusat.”
Ertinya, kepimpinan tertinggi PAS Terengganu seakan
seia-sekata meletakkan harapan menawan Terengganu secara bersyarat, yakni
mestilah juga di masa sama menawan kerajaan Pusat. Itu bukanlah pendirian atau
penegasan yang baik, lebih-lebih lagi apabila ia diucapkan secara terbuka. Bagi
penulis, ia tidak membantu melonjakkan semangat gerakerja jentera bawahan.
Kedua, dalam setahun-dua terawal selepas PRU 2008 lalu,
senarai kerusi-kerusi sasar tidak begitu jelas melibatkan mana-mana kerusi di
kawasan Besut. Hal itu mungkin mengambilkira majoriti kekalahan pada pilihan
raya tersebut, di mana Dun terbaik di Besut, iaitu Hulu Besut (dengan majoriti
kekalahan lebih 2,500), hanya berada di tangga ke-21. Sedangkan untuk
memerintah Terengganu, jumlah kerusi yang disasarkan hanyalah 17.
Ertinya, Besut tidak diletakkan harapan tinggi untuk
menyumbang kerusi membantu kemenangan Terengganu. Jangan dikatakan untuk
sasaran 17 kerusi, untuk senarai lebih panjang melibatkan 20 kerusi pun masih
belum termasuk mana-mana kerusi dari Besut.
Kes ini berbeza dengan Setiu, di mana dua kerusi dari
kawasan berkenaan, iaitu Jabi dan Batu Rakit memang tersenarai sebagai kerusi
sasaran “mesti menang” sedari awal lagi.
Namun, menurut kata beberapa pihak, senarai itu
kemudiannya berubah. Kononnya, ada dua kerusi di Besut, iaitu Jertih dan Kota
Putera dimasukkan ke dalam senarai sasar. Kita tidak pasti sejauh mana dakwaan
itu benar. Apa yang pasti, tidak ada pula kedengaran cakap-cakap mengiyakan
dakwaan sedemikian, khususnya di kalangan pendukung PAS di Besut sendiri.
Lebih-lebih lagi dalam konteks Dun Kota Putera, agak
tidak munasabah jika dikatakan ia turut termasuk dalam Dun sasar PAS negeri,
memandangkan ia pada sepanjang masa diletakkan sebagai Dun paling tidak
berpotensi untuk dimenangi. Dun itu malah sentiasa dijadikan keutamaan untuk
difaraidkan kepada parti rakan, Keadilan. Hanya di saat-saat akhir menjelang
PRU lalu barulah ‘angin’ sokongan dari pihak atasan, termasuk PAS Kawasan Besut
sendiri terhadap tuntutan pendukung PAS di Dun berkenaan terzahir.
Sebab itu ‘perebutan’ hak ke atas kerusi itu terseret
hingga ke tahap pertarungan tiga penjuru. Ketegasan pimpinan parti
mempertahankan hak PAS bertanding di situ tidak terserlah sedari awal. Sebab
itu bagi penulis agak tidak logik bila ada pihak mengatakan kononnya PAS negeri
juga menyenaraikan Kota Putera sebagai Dun sasar untuk dimenangi.
Ketiga, apabila PAS gagal di mana-mana kerusi, kena
tengok juga kekuatan parti lawan di situ. Pernah disebut orang dan diakui
banyak pihak bahawa di antara Umno paling ganas dan paling jahat di seluruh
negara ialah Umno Terengganu. Sedangkan pendukung Umno Terengganu paling
“kepala pengat” ialah dari Besut.
Sedarilah hakikat bahawa Ketua Umno Bahagian Besut adalah
Pengarah Strategik Umno Malaysia. Beliau adalah kepala perancang segala macam
strategi BN mengalahkan PAS/PR di seluruh negara. Maka mana mungkin dia
membiarkan partinya sebegitu mudah dikalahkan oleh PAS di daerahnya sendiri?
Kini, orang galak bercakap bahawa Besut dan Setiu paling
payah menerima angin perubahan. Dua kawasan Parlimen ini dianggap ‘deposit
tetap’ BN Terengganu.
Lalu ada yang secara berseloroh (sinis... sebenarnya!)
mengumpamakan dua daerah itu ibarat Sabah dan Sarawak buat BN dalam konteks
nasional (deposit tetap kemenangan BN). Namun bagi kita, tidak ada yang mustahil
dalam politik. Insya Allah tanggapan itu bakal berubah dalam siri pilihan raya
akan datang.
Bahkan, Sabah dan Sarawak sendiri pun sudah menunjukkan
perubahan ke arah lebih positif buat pakatan pembangkang. Maka tidak mustahil
Besut dan Setiu juga mampu mengorak langkah lebih bagus buat PAS.
Paling tidak pun kita patut ucapkan tahniah kepada PAS
Kawasan Besut. Mereka telah menunjukkan pencapaian sangat positif di Jertih dan
Kota Putera baru-baru ini. Di kedua-dua kerusi itu PAS berjaya mengurangkan
majoriti kemenangan BN sekitar 2,000 undi.
Bayangkan, andaikata “lonjakan” serupa berlaku di Dun Kuala Berang,
Batu Rakit dan Jabi (tiga Dun yang difahamkan termasuk senarai “perlu menang”),
maka pada adatnya sudah tentu Terengganu menjadi milik PAS dan Pakatan Rakyat. Di kala itu, barangkali orang pun tidak akan segalak kini mempersoalkan kenapa Besut tidak menyumbang walau pun satu kerusi. Betul tak?
(Artikel ini adalah versi asal (sebelum potong) kepada artikel disiarkan akhbar Harakah, Bil:1847 17-20 Rejab 1434/27-30 Mei 2013 di ruangan F8 KOLUMNIS dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment